Browsing Tag

kariah

Kehebatan Ramadan
Soal Jawab Agama,

[Video] Hukum tunaikan solat Jumaat di kariah lain

SETIAP kali tibanya hari Jumaat, kita akan menyaksikan berduyun-duyun orang menunaikan solat Jumaat di masjid mahupun surau di kariah masing-masing. Semuanya berkumpul untuk mendirikan kewajipan tersebut selain mendengar khutbah yang berupa nasihat.

Andai ada di rumah, sudah pasti surau atau masjid kariah sendiri menjadi pilihan. Bagi mereka yang bekerja pula, rumah ALLAH yang berhampiran menjadi lokasi sasaran mereka untuk mendirikan solat tersebut.

Bagaimanapun, ada orang kadangkala teringin untuk menunaikan solat Jumaat di kariah lain kerana sebab-sebab tertentu. Ada pendapat mengatakan boleh berbuat demikian. Begitu juga sebaliknya.

Adakah kita dibolehkan untuk mendirikan kewajipan berkenaan di masjid kariah lain?

Baca juga Solat Jumaat di tempat larangan ulil amri? Hati-hatilah, takut tak sah, nanti kena ganti balik dengan solat Zuhur

Imam Masjid Seksyen 7, Shah Alam, Selangor, Ustaz Mohamad Zulkarnain Khalid memulakan jawapannya dengan mengajak umat Islam merenung semula dalil kefarduan solat Jumaat.

USTAZ MOHAMAD ZULKARNAIN

Dalam al-Quran, ALLAH SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati ALLAH (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah jual beli (pada saat itu)…” (Surah al-Jumu’ah, ayat 9)

Berdasarkan ayat itu, ujar beliau, jelaslah wajib hukumnya bagi setiap Muslim untuk melaksanakan kewajipan solat fardu Jumaat.

Baca juga Tinggalkan solat Jumaat dengan sengaja, apa hukumnya?

Malah, ulama memberikan tujuh kriteria yang membolehkan suatu tempat itu didirikan solat berkenaan, ungkapnya.

“Salah satu daripadanya adalah cukup 40 jemaah yang terdiri daripada ahli kariah itu sendiri atau bermukim. Maksud bermukim ialah kita duduk di suatu tempat dan tidak berniat bermusafir atau meninggalkan lokasi tersebut,” katanya merungkai persoalan warganet dalam video Soal Jawab Agama Sinar Islam Plus.

Berbalik kepada persoalan solat Jumaat di masjid kariah lain, Ustaz Mohamad Zulkarnain yang juga pendakwah itu menjelaskan, umat Islam dibolehkan solat di kariah lain dengan syarat masjid berkenaan sudah cukup 40 orang jemaah yang terdiri daripada ahli kariah tersebut.

“Harus diingat, 40 orang jemaah tadi tidak termasuk kita. Ini bermakna, kita bukan datang ke masjid itu untuk melengkapi bilangan 40 orang jemaah tersebut, tetapi menjadi orang ke-41, 42 dan seterusnya, barulah solat kita di kariah tersebut dikira sah,” terangnya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.