Browsing Tag

Kalamullah dinyanyikan

Kalamullah dinyanyikan
Hukum,

Kalamullah bukan untuk dinyanyikan dengan alunan muzik, haram hukumnya

SEDAP mana pun suara seseorang, usah sesekali mengambil kalamullah untuk dinyanyikan dengan alunan muzik. Dalam erti kata lain, ambil ayat al-Quran jadi lagu nyanyian.

Sinar Islam Plus ada sebab yang kukuh melarang Muslim daripada berbuat demikian.

Barangkali pada perkiraan kita, perbuatan itu akan membuatkan lagu dinyanyikan ada manfaatnya. Tidak kurang juga ada beranggapan, perilaku tersebut akan menambah lagi ‘kesedapan’ nyanyian berkenaan.

Hakikatnya, ketahuilah bahawa menyanyikan ayat atau surah al-Quran seperti memasukkan beberapa kalimah atau bait-bait kalamullah ke dalam lagu yang dialunkan oleh penyanyi berserta alunan muzik adalah haram hukumnya.

Demikian fakta yang dikemukakan oleh pendakwah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus.

USTAZ AZHAR IDRUS

Perkara itu dinyatakan secara jelas dalam hadis diriwayatkan daripada ‘Auf bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Aku takut kamu sekalian akan enam perkara iaitu kepimpinan orang-orang yang bodoh, dan menumpahkan darah, dan jual beli hukum, dan memutuskan silaturahim, dan orang muda mengambil al-Quran sebagai lagu nyanyian dan banyak peraturan pemerintah.” (Hadis Riwayat Ahmad dan at-Tabarani)

Baca juga Memang mudah baca al-Quran tulisan rumi, tapi elakkanlah. Ini sebabnya…

Agamawan itu kemudian mengemukakan pandangan yang dinukilkan oleh Imam al-Munawi dalam kitab Faidhul Qadir bahawa: “Dan erti orang muda mengambil al-Quran bermaksud menjadikan bacaannya berirama, mereka buatkannya mempunyai rentak dan mendatangkannya dengan alunan yang merdu. Dan sungguh telah banyak terjadi pada zaman ini dan kesudahannya, pekerjaan ini kepada berbangga-bangga dengan mengeluarkan lafaz-lafaz al-Quran dari hantarannya (yang sepatutnya).”

Jelas penceramah itu, Imam al-Qurtubi menyatakan, perbuatan menyanyikan al-Quran dalam bentuk terkeluar dari asal bacaan kalamullah yang sahih dan dijadikan sebagai lagu diulang-ulang oleh penyanyi adalah dilarang dalam apa jua keadaan.

“Lebih-lebih lagi jika penyanyi tersebut mengulang dan membuat alunan yang menggetarkan suara serta memanjangkan bacaan tidak sepatutnya.

“Misalnya, bacaan yang tidak panjang tetapi sebutannya dipanjangkan sehinggakan huruf alif yang satu itu menjadi sebutan alif yang banyak atau sebutan satu wau menjadi banyak wau. Demikian penjelasan Imam al-Qurtubi dalam Himpunan Fatwa Syeikh Athiyah Saqr,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman sosial Facebook miliknya.

Kalamullah dinyanyikan

KALAMULLAH bukan untuk dinyanyikan dalam lagu. Ketahuilah bahawa menyanyikan ayat atau surah al-Quran seperti memasukkan beberapa kalimah atau bait-bait kalamullah ke dalam lagu yang dialunkan oleh penyanyi berserta alunan muzik adalah haram hukumnya. -Foto: Canva

Menurut Ustaz Azhar lagi, pengharaman itu disebabkan kerana ia akan mengubah dan merosakkan aturan lafaz serta makna ayat al-Quran itu sendiri.

“Contohnya, barangkali kita terbuang setengah hurufnya atau ditukar sebahagian barisnya atau dipanjangkan bacaan yang pendek untuk disesuaikan dengan irama dan rentak lagu dinyanyikan serta seumpamanya,” ungkapnya.

Baca juga Salahkah tampal ‘sticker’ ayat al-Quran di kereta?

Sebelum menoktahkan perkongsian ilmunya, beliau mengingatkan agar kita tidak berbuat demikian.

“Bimbang jika salah sebut atau bercampur baur maknanya, boleh mendatangkan dosa termasuk kepada orang yang sengaja mendengarnya.

“Ini kerana perilaku itu boleh memesongkan daripada bentuk yang indah kepada kecelaruan makna,” katanya.