Browsing Tag

kahwin dua

Poligami
Isu,

Perbetulkan salah faham perihal poligami

POLIGAMI, istilah yang digeruni oleh kebanyakan wanita. Meskipun ada yang sanggup bermadu, tiada siapa tahu apa yang tersirat dalam sanubari hati perempuan mereka.

Bercerita tentang hal itu, baru-baru ini tular video perkongsian seorang lelaki yang mengamalkan perkahwinan poligami. Pemuda tersebut menyatakan, beliau tidak membelakangi isterinya dalam hal sebegitu.

Baca juga Manisnya perkahwinan poligami jika dilakukan dengan betul

Walaupun isteri pertamanya reda menerimanya, tetapi terlihat satu klip yang memaparkan wanita itu menangis sambil dipeluk si suami menenangkannya.

Malah, rakaman itu turut memaparkan kapsyen ‘Isteri yang baik adalah isteri yang taat kepada suami dan menjaga maruah suami’.

Poligami

MESKIPUN poligami pada asalnya diharuskan, tetapi ada syarat-syarat tertentu yang perlu dipenuhi. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Video berdurasi 57 saat itu menerima respons warganet yang rata-ratanya dilihat kurang bersetuju tindakan lelaki berkenaan menyakiti hati isteri meskipun mendapat keizinan untuk berkahwin lagi.

Dalam isu poligami itu, pelakon Nabila Huda juga ada memuat naik hantaran di media sosial miliknya yang berbunyi: “For your info (untuk pengetahuan anda) kami tidak melakukan perkongsian. Tiada dalam kamus hidup kami nak kena berkongsi orang yang kami bersumpah untuk cinta sampai mati dengan wanita lain ya…

“If you’re mine, you’re only mine…We only need one man and we want to be his only woman (Jika awak milik saya, awak hanya milik saya. Kita hanya perlukan seorang lelaki dan kita tahu menjadi satu-satunya wanitanya).”

Baca juga Rupanya tidak wujud ‘payung emas’ dalam poligami

Banyak lagi komen-komen lain yang ditinggalkan oleh netizen.

Sinar Islam Plus tidak berhasrat mengulas panjang tentangnya, cuma tertarik dengan perkongsian pemilik akaun Twitter @Muzuzxck tentang salah faham dari sudut pelaksanaan poligami.

Muzuza yang juga penulis buku kerohanian menjelaskan, hukum berpoligami pada asalnya diharuskan.

Namun, ada suatu perkara yang perlu diketahui bahawa ia boleh berubah hukum dengan situasi yang berbeza!

“Jika sekadar ingin berlazatan, maka makruh (hukumnya).

“Jika tidak boleh berlaku adil, maka diharamkan. Realitinya, poligami ini sangat berat,” ciapnya menerusi Twitter miliknya.

Poligami

PETIKAN ciapan pengguna akaun Twitter @Muzuzxck tentang salah faham berkaitan poligami.

Bukan itu sahaja, perkahwinan lebih daripada seorang isteri itu membabitkan isu keadilan.

Ramai yang hanya memandang soal kewangan menjadi sandaran dalam konteks adil itu.

Baca juga Cara giliran bermalam antara isteri dalam perkahwinan poligami. Ini saranan Islam.

Hakikatnya, Muzuza menjelaskan, adil dalam poligami bukan semata-mata dari sudut kewangan, tetapi juga emosi, nafkah batin dan lain-lain.

Beliau juga kurang bersetuju dengan pernyataan kapsyen pada ruangan video yang tular berkaitan ‘Isteri yang baik adalah isteri yang taat kepada suami dan menjaga maruah suami’.

Menurut perspektifnya, kenyataan itu tidak tepat kerana jika seorang isteri tidak memberi keizinan kepada suaminya untuk berkahwin lain pun, ia bukanlah penanda aras tetap untuk kita katakan bahawa seseorang isteri itu tidak taat.

Apatah lagi untuk kita sebutkan bahawa seseorang isteri itu dikira sebagai tidak menjaga maruah suami apabila tidak mengizinkan poligami, ungkapnya.

“Satu lagi kenyataan (dalam video berkenaan bahawa) ‘poligami adalah suatu yang ALLAH beri untuk memperbetul apa yang silap’, ini juga samar. Apakah yang silap? Dan benarkah tujuan lelaki tersebut termasuk dalam golongan yang dibenarkan?

“Maka tidak tepat untuk buat kesimpulan terus sebegitu melalui sepintas hukum. Begitu juga netizen yang membuat kesimpulan terus dari video pendek dan samar ini.

“Bahkan, saya tidak rasa ada kesilapan sehingga perlu kita bernikah lagi. Saya juga tidak mengharamkan poligami secara mutlak, tetapi cara lelaki ini tidak tepat dalam menggambarkannya,” tegas beliau.

Poligami

KEPADA lelaki yang mahu mengamalkan perkahwinan poligami, fahamkan dulu berkaitan tentangnya sebelum melafazkan akad nikah. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Dalam pada itu, Muzuza berpandangan, video berkenaan tidak sesuai dimuat naik kerana ia disifatkan terlalu umum tanpa mengetahui konteksnya hingga menyebabkan banyak komentar bertebaran.

Baca juga Isteri Boleh Tuntut Fasakh Kalau Suami Berpoligami Bersikap Tak Adil

Ketahuilah bahawa terlalu banyak salah faham yang berlaku waima daripada pihak yang mengamalkan poligami atau tidak, terangnya.

“Yang berpoligami, terkadang tidak adil dalam berhujah sehinggakan hadis palsu dihujahkan, berslogankan ‘poligami itu sunnah’, walhal berkahwin juga satu sunnah.

“Lagi parah apabila kita menggambarkan poligami itu adalah lambang ketidakadilan, walhal ia tidak begitu. Fiqh dalam poligami perlu diperhalusi.

“Dari pihak yang tidak berpoligami pula, beremosi sehingga melintasi sempadan hukum. Memutlakkan pengharaman, ini juga tidak tepat,” tegasnya.

Lantaran itu, beliau menasihatkan agar kita bertakwa kepada ALLAH SWT dan usah melampaui batas.