Browsing Tag

kafir

Menerakakan atau mengkafirkan orang
Berita Semasa,

Ingatan buat semua, jangan menerakakan atau mengkafirkan orang gara-gara berbeza ideologi politik

MENERAKAKAN atau mengkafirkan orang. Dua istilah dan label itu sering kita dengar gara-gara berbeza pandangan mahupun ideologi politik.

“Undi parti A, masuk neraka.”

“Pilih parti B, jadi kafir.”

Itu antara frasa yang acap kali diulang siar setiap kali musim pilihan raya. Apatah lagi bahang pilihan raya negeri (PRN) sudah semakin mendekat ketika ini.

Sinar Islam Plus tidak berhasrat untuk menyentuh perihal politik, cuma ingin memanjangkan teguran seorang penulis buku kerohanian @Muzuzxck supaya berwaspada dengan ungkapan sedemikian.

Baca juga Jangan sensasikan isu-isu agama demi laba politik

Jelas beliau menerusi bebenang Twitter miliknya, kenyataan-kenyataan seumpama itu sangat bahaya kepada akidah kerana parti politik bukanlah agama.

Menerakakan dan mengkafirkan orang lain

PARTI politik bukanlah agama, tetapi hanya wadah dalam menterjemahkan idea politik. Justeru, berbeza ideologi tidak sewajarnya membuatkan kita sewenang-wenangnya menerakakan dan mengkafirkan orang lain. -Foto: Freepik

“Akan tetapi, ia hanyalah wadah dalam menterjemahkan idea politik, tidak sampai kepada tahap agama.

“Politik adalah bidang yang luas, diberikan ruang untuk berbeza pandangan, tetapi yang terbaik adalah memberi keuntungan kepada kebajikan rakyat, kebaikan beragama dan seumpamanya untuk negara,” ciapnya.

Berbalik kepada isu menerakakan orang gara-gara berlainan pandangan dalam pemilihan parti, @Muzuzxck menegaskan, urusan berkaitan posisi manusia sama ada di dalam syurga ataupun neraka adalah hak mutlak ALLAH SWT.

Beliau kemudian menukilkan pandangan al-Imam al-Tahawiy Rahimahullah dalam kitab al-Aqidah al-Tahawiyah yang menyatakan: “Kita tidak meletakkan seseorang daripada mereka ke syurga atau neraka.”

“Maka, menerakakan manusia bukanlah dari ajaran agama kita. Ia tidak selari dengan akidah yang sahih.

“Begitu juga dengan isu kafir-mengkafir (takfir). Kita perlu faham bahawa kufur ini terjadi jika kita menafikan atau tidak beriman dengan usul agama seperti menafikan wajibnya solat dan seumpamanya.

“Maka, parti bukanlah sampai ke tahap ‘jika kita lawan usul parti, maka kafir’. Ini jauh daripada kebenaran,” tegasnya.

Justeru, beliau mengingatkan kita agar tidak melampaui batas dengan menganggap bahawa parti politik itu setaraf dengan agama.

Baca juga Benarkah politik tiada dalam al-Quran dan as-Sunnah? Berikut penjelasannya

“Suka saya ingatkan, jangan silap faham dalam hal ini. Politik ada dalam agama, tetapi bukan pada aturan akidah.

Menerakakan atau mengkafirkan orang

BERPOLITIK biar sihat, jangan menerakakan atau mengkafirkan orang secara melulu. -Foto: Freepik

“Perkara ghuluw (melampaui batas) dalam isu mengkafirkan orang ini banyak diulas oleh al-Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitab Zahirah al-Ghuluw fi al-Takfir,” katanya.

Baik organisasi, parti politik mahupun kumpulan-kumpulan tertentu, @Muzuzxck menitipkan pesan agar menjauhkan ahli masing-masing daripada ideologi mengkafirkan orang secara melulu dan bermudah-mudahan.

Baca juga Niat ceraikan isteri kerana politik? Jangan sesuka hati jatuhkan talak walaupun untuk bergurau

“Kesan dari pemikiran tidak sihat begini ada banyak. Antaranya membina berlainan masjid kerana berbeza ideologi politik. Ini adalah perbuatan yang tidak betul dengan apa yang digariskan oleh ulama.

“Impak lebih jauh, apa yang kita takuti sehingga ke tahap mengkafirkan dan seterusnya berlaku perkara tidak diingini. Ini jelas bercanggah dengan agama kita.

“Berpolitik biar sihat, jangan melebihi batas akidah,” katanya mengakhiri pesanannya. -SI+

***Foto: Freepik