Browsing Tag

Jual semula lembu

Niat buat korban
Ibadah,

Jual semula lembu sedekah untuk ibadah korban, apa hukumnya?

Jual semula lembu sedekah untuk ibadah korban, apa hukumnya?

HAMPIR sahaja Hari Raya Aidiladha, kadangkala tibanya sumbangan daripada insan-insan tertentu yang memberi lembu sedekah untuk dikorbankan.

Lazimnya, ia disumbangkan oleh pihak seperti pemimpin kawasan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan seumpamanya yang diagihkan di surau-surau kariah atau kawasan tertentu.

Bagaimanapun, ada cerita kurang enak didengari. Terdapat pihak tertentu yang menjual semula lembu atau haiwan sedekah tadi kepada individu yang hendak melakukan ibadah korban.

Hasil yang diperoleh daripada jualan tadi akan dimasukkan ke dalam tabung surau.

Bolehkah lembu sedekah tadi dijual semula untuk ibadah korban?

Baca juga Patuhi Akad Wakalah Ketika Urus Ibadah Korban

Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed menjelaskan, andai lembu yang disedekahkan oleh Yang Berhormat (YB) atau pemimpin tersebut jelas untuk tujuan korban, maka pihak surau atau masjid dilarang sama sekali menjual lembu sedekah tersebut.

DR SYED SHAHRIDZAN

“Ia sekalipun hasil jualan itu digunakan untuk faedah surau atau masjid.

“Ini kerana hukum menjual lembu itu jelas haram hukumnya kerana tidak menunaikan syarat yang telah ditetapkan oleh penderma,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya.

Lantaran itu, pendakwah itu mengingatkan agar pihak jawatan kuasa surau atau masjid wajib mencari tujuh nama (bagi seekor lembu) yang dirasakan sesuai untuk dijadikan peserta korban secara percuma.

“Ia seperti golongan fakir miskin yang tidak mampu melaksanakan ibadah korban,” ungkapnya.

Pendekatan itu katanya, ia selari dengan kaedah fiqh yang menyatakan ‘Saluran hasil itu berdasarkan apa yang pewakaf syaratkan’.

“Jika hasil daripada wakaf disyaratkan oleh pewakaf supaya disalurkan kepada individu atau kelompok tertentu, maka wakil tadi wajib melaksanakan apa yang dimaksudkan oleh si pewakaf tadi.

Baca juga Telus Isytihar Jumlah Kos Pengurusan Jika Libatkan Wang Sumbangan Orang Ramai

“Selain itu, terdapat kaedah lain yang menyebut ‘Pensyaratan pewakaf umpama nas daripada pensyariat (ALLAH dan Rasul-NYA’ dan ‘Pensyaratan pewakaf wajib diikuti sepertimana yang dinyatakan oleh mereka (para ulama) iaitu pensyaratan pewakaf umpama nas daripada pensyariat’ iaitu pada kewajipan menunaikannya,” ungkapnya.

Mengukuhkan lagi jawapan tersebut, Dr Syed Shahridzan kemudian mengemukakan pandangan para fuqaha empat mazhab yang menyatakan kedudukan sedekah sama seperti wakaf (walaupun terdapat sedikit perbezaan).

Jual semula lembu

PEMEGANG amanah atau wakil wajib menunaikan pensyaratan penderma. Begitu juga halnya dalam lembu sedekah untuk tujuan korban yang tidak boleh dijual semula. -Foto: 123rf

“Berdasarkan kaedah yang dinyatakan tadi, wakil atau pemegang amanah wakaf atau sedekah wajib menunaikan pensyaratan pewakaf/ penderma.

“Andai penderma meletakkan inisiatif agar wang yang didermakan kepada kelompok tertentu, maka ia seumpama syarat yang telah ditetapkan oleh penyumbang, maka pemegang amanah wajib menyalurkan apa yang telah diniatkan oleh penderma,” katanya.

Begitu juga dalam bab hibah (pemberian). Pendakwah itu menjelaskan, jika seseorang memberi wang kepada rakannya agar membeli sesuatu, maka si penerima wajib membeli apa yang telah diamanahkan oleh si pemberi.

Baca juga Tak boleh guna hasil derma masyarakat awam sewenang-wenangnya kecuali untuk golongan disasarkan

“Penerima tidak boleh mengingkari tujuan hibah dengan membeli barangan selain apa yang ditetapkan oleh si pemberi, melainkan tiada ketetapan dari pemberi,” terangnya.

Justeru, jika ada pihak yang menyumbang haiwan korban untuk dikorbankan pada hari raya haji nanti, jangan pula dijual kepada individu yang hendak melakukan ibadah berkenaan.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.