Browsing Tag

jenazah bukan islam

ziarahlah kenalan bukan Islam
Berita Semasa,

Ziarahlah kenalan bukan Islam yang meninggal. Ini penjelasannya

ISLAM sangat menitikberatkan hubungan harmoni sesama manusia tanpa mengira latar belakang dan agama. Bahkan, terdapat keharusan berbuat baik kepada golongan bukan Muslim yang tidak memusuhi Islam.

Firman ALLAH SWT: “ALLAH tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahanah, ayat 8)

Baca juga Hukum ucap ‘inna lillahi wa inna ilaihi roji’un’ kepada non-Muslim

Oleh itu, sewaktu mereka hidup, berbaik-baiklah dengan kenalan bukan Islam seperti saling menziarahi, memberi makanan dan lain-lain.

Namun, bagaimana pula jika mereka meninggal dunia? Adakah kita masih dibenarkan oleh agama untuk terus menghormati golongan bukan Muslim dengan mengiringi serta menziarahi jenazah mereka?

ziarahilah kenalan bukan Islam

ISLAM menganjurkan umatnya mengadakan hubungan baik sesama manusia walau berlainan agama dan kepercayaan.

Dalam hal ini, jumhur ulama mempunyai pendapat berbeza.

Terdapat sebuah riwayat bahawa Baginda SAW tidak menghadiri pengebumian bapa saudaranya, Abu Talib. Sebaliknya, Nabi menyuruh Ali RA untuk menyelesaikan proses pengebumian ayahnya itu.

Pergilah dan tanamlah ayahmu kemudian jangan kamu lakukan sesuatu sehingga kamu datang menemuiku.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Melalui riwayat ini, sebahagian ulama seperti Imam Malik RA termasuk mazhab al-Hanbali berpendapat bahawa umat Islam dilarang untuk menghadiri pengebumian orang bukan Islam sama ada jiran mahupun saudara mara.

Baca juga Bila orang bukan Islam beri salam, apa harus kita jawab…

Namun, menurut sarjana Islam, al-Khatib al-Syarbini, Ali sangat taat kepada bapanya. Jadi, apabila Abu Talib meninggal dunia, beliau tetap menjalankan tanggungjawabnya sebagai anak.

Oleh itu, ada juga ulama yang berpandangan bahawa, jika orang bukan Islam yang meninggal itu adalah saudara maranya, maka dibolehkan untuk menghadiri. Namun, tidak boleh jika jenazah tersebut tiada hubungan persaudaraan atau pertalian darah.

Walau bagaimanapun, portal Pejabat Mufti Wilayah menjelaskan, umat Islam dibolehkan menghadiri upacara pengebumian bukan Islam, pandangan ini dikeluarkan melihat kepada kebaikan yang perlu dilakukan sesama insan dan untuk menyebarkan syiar Islam itu sendiri.

ziarahlah kenalan yang bukan Islam

Dari segi mengiringi jenazah, pihak Mufti Wilayah Persekutuan berkata, ia bergantung kepada keperluan. Ini kerana sebahagian ulama membenarkan dan ada juga yang mengatakan perbuatan itu dilarang.

Bahkan, mazhab Syafie juga membenarkan perbuatan memandikan, mengkafankan serta mengebumikan jenazah bukan Islam. (Rujuk al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie, 1/628; Al-Hawi al-Kabir, 3/19)

Pun begitu, ia perlu dilakukan mengikut beberapa syarat yang tidak melanggar akidah seperti tidak terlibat dalam upacara bukan Islam yang berkait rapat dengan kepercayaan agama lain, tegas pihak Mufti Wilayah Persekutuan.

Baca juga Mengapa jenazah meninggal di Makkah, wajah tidak bertutup dan diselimut kain berbeza warna?

Kesimpulannya, sekadar menghadiri majlis pengebumian orang bukan Islam adalah diharuskan, terutamanya jika ada hubungan keluarga.

Namun, harus juga diingat apa sahaja adab atau tatacara yang dilakukan oleh golongan bukan Muslim ketika upacara pengebumian itu tidak boleh disertai, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan acara khusus keagamaan mereka.

Sumber: Irsyad al-Fatwa siri ke-151: Hukum Menghadiri Majlis Pengebumian Bukan Muslim & Pendapat Ulama Berkenaan Menghadiri Pengebumian Bukan Islam

Foto: Pexels