Browsing Tag

jenaka

Bicara buruk
Berita Semasa,

Jaga lidah dan maruah, elak bicara buruk walau untuk berjenaka

Jaga lidah dan maruah, elak bicara buruk walau untuk berjenaka

APABILA klip video yang memaparkan gurauan melampau tentang Malaysia dan tragedi MH370 dijadikan bahan jenaka tular baru-baru ini, ia mengundang amarah dan kecaman.

Perkataan yang dilontarkan begitu menjengkelkan dan mengundang panas hati ramai.

Bukan sekali dua isu hangat sebegini berlaku atas nama gurauan ataupun jenaka. Sudah banyak kali terjadi sehingga tidak boleh diterima oleh akal manusia.

Gara-gara mendidih dengan tindakan pelawak komediri kontroversi, ada yang membalas komentar tersebut dalam perkataan yang buruk.

Ketahuilah bahawa bicara buruk tidak dibenarkan sama sekali atas lesen gurauan atau berjenaka.

Demikian tegas Muzuza sebagaimana dikongsikan dalam bebenang Twitter miliknya.

Pemilik akaun Twitter @Muzuzxck itu turut memberikan pandangannya terhadap komentar warga maya apabila ada yang menurunkan komen ‘isu carut kepada rakyat Malaysia itu tak apa, tapi isu MH370 itu yang kita marah’.

Bicara buruk

JANGAN sesekali melontarkan akan membuat komen atau bicara buruk sehingga mengguriskan orang lain. -Foto: 123rf

Menurut perspektifnya, kedua-dua isu berkenaan tidak sepatutnya dilontarkan!

“Mungkin ada yang mengatakan bahawa ‘adillah tu, sebab kita pun buat jenaka pasal rakyat negara jiran juga’.

“Inilah hakikat yang perlu kita baiki. Tidaklah semata kerana orang lain buat, kita juga boleh balas perkara yang sama,” ciapnya.

Beliau yang juga penulis buku kerohanian itu menegaskan, al-Quran mukjizat teragung Nabi Muhammad SAW jelas mengajar supaya kita tidak membalas keburukan dengan keburukan.

Baca juga Jangan sakitkan hati orang lain sesuka hati

Renungkan firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Tolaklah kejahatan yang dilakukan kepadamu dengan cara yang sebaik-baiknya, KAMI MAHA MENGETAHUI apa yang mereka katakan itu.” (Surah al-Mu’minun, ayat 96)

“Mudah kata, biarkan rantaian keburukan berakhir.

“Jangan sesekali menyentuh isu tragedi yang menyakiti hati orang lain, apatah lagi melibatkan orang yang sudah tiada lagi,” tegasnya.

Baca juga Jangan menghina orang yang sudah meninggal dunia

Ia sebagaimana yang disebutkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis: “Jangan kamu mencela orang yang telah mati, sehingga kamu menyakiti orang yang hidup.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Bicara buruk

MENCELA orang yang sudah meninggal dunia pun tidak boleh, inikan pula menyakiti hati insan yang masih hidup di muka bumi ini. -Foto: 123rf

Bagi mengukuhkan lagi hujahnya, Muzuza kemudian mengemukakan pandangan al-Imam al-Mubarakfuri dalam Tuhfah al-Ahwadhi yang menyatakan ‘orang yang hidup’ dalam hadis itu bererti orang yang rapat seperti kaum kerabat individu yang sudah meninggal dunia.

Justeru, beliau mengingatkan agar umat Islam tidak terikut-ikut dengan rentak orang yang tidak berakhlak.

“Jangan kita pergi carut kembali mereka, bahkan balas dengan tindakan yang menaikkan maruah dan akhlak kita. Tunjukkan pernyataan bahawa negara ini punya maruah dan rakyat Malaysia sangat berduka dengan tragedi itu.

“Bukan mengikut rentak wanita itu (pelawak yang mencetus ‘jenaka’ tersebut) dengan mencarut kembali,” tegasnya.

Baca juga Beza agama bukan syarat untuk melakukan tindakan luar batas

Sebelum mengakhiri bebenangnya, beliau memberi peringatan agar kita tidak menormalisasikan perihal jenaka hingga tiada lagi batasan dalam gurauan.

“Akhirnya, sampai tahap mana ia mampu pergi?

“Benar, wanita itu bukan Muslim, tetapi kejadian ini perlu kita ambil ibrah supaya tidak berlaku kepada kita,” ungkapnya.

Ingatlah, usah membalas keburukan dengan kejelikan. Sebaliknya, ikutilah panduan yang dianjurkan oleh agama Islam.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

***Foto: Freepik