Browsing Tag

JAIS

JAIS
Berita Semasa,

MAIS larang jadikan masjid sebagai medan politik

MAIS larang jadikan masjid sebagai medan politik..

TANGGAL 12 Ogos merupakan tarikh yang penting buat enam buah negeri di Malaysia yang bakal mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN), kehangatan berkempen juga semakin rancak dijalankan oleh setiap parti.

Rentetan itu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengingatkan larangan menggunakan masjid dan surau di negeri itu sebagai medan politik kepartian sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, larangan itu sudah banyak kali dikeluarkan MAIS selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sejak 2008 lagi.

Justeru, ahli politik yang didapati menggunakan masjid dan surau di Selangor dengan tujuan yang tidak dibenarkan dianggap menghina, mengingkari dan melanggar titah Sultan Selangor serta ketetapan MAIS.

Beliau berkata, pelanggaran itu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 12 (a) atau (b), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

PENGARAH JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad.

“Dalam tempoh berkempen 14 hari di mana parti-parti akan menggunakan apa sahaja peluang dan ruang dalam apa juga bentuk untuk berkempen termasuklah berucap, berceramah, berkhutbah, menyebarkan risalah parti, mengedar poster calon dan lambang parti di dalam ruang dan di kawasan masjid atau surau.

“Pentadbir masjid atau surau di negeri Selangor adalah diingatkan sekali lagi bahawa Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor telah menitahkan sedemikian sejak 2008 lagi.

“Arahan MAIS melarang perbuatan yang menggunakan masjid atau surau sebagai medan politik kepartian dan propaganda politik telah banyak kali dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Artikel Berkaitan 

Sehubungan itu, Mohd Shahzihan mengingatkan pihak pentadbir untuk sentiasa mematuhi dan menguatkuasakan larangan yang ditetapkan MAIS untuk menjadikan masjid dan surau sebagai zon aman serta bebas pengaruh politik kepartian.

“Kegagalan atau sebarang kecuaian mematuhi ketetapan MAIS, pegawai masjid boleh dibatalkan pelantikannya oleh MAIS berdasarkan Peraturan 7 (f) Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor 2017.

“Semua edaran titah DYMM Sultan Selangor dan arahan MAIS yang dikeluarkan oleh JAIS berkaitan perkara ini kepada seluruh pentadbir masjid atau surau negeri Selangor hendaklah dirujuk,” katanya.

TULAR beberapa keping gambar berhubung tindakan Fahmi sebagai ahli politik yang dikatakan berucap di masjid tanpa sebarang tauliah.

Isu YB Fahmi Fadzil berucap di ruang solat utama masjid

Baru-baru ini, tular gambar di media sosial Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil yang sedang berucap di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang pada 30 Julai 2023.

Dalam satu kenyataan, Pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menerima aduan berkaitan perkara tersebut. Siasatan lanjut akan dilakukan mengikut Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki menghina pihak berkuasa agama.

Turut Disyorkan Demi sebar dakwah, ustazah Asma’ Harun gigih dapatkan tauliah setiap negeri 

Pihak JAIS telah menjalankan siasatan dengan memanggil nazir masjid berkenaan bagi mendapatkan keterangan dan tindakan selanjutnya akan dibuat setelah siasatan selesai dilakukan.

JAIS turut mengingatkan dan menegaskan kepada semua calon dan parti yang bertanding supaya berhati-hati ketika berada di dalam dan kawasan masjid atau surau bagi mengelakkan sebarang perlakuan yang boleh membawa kepada perbuatan yang melanggar titah DYMM Sultan Selangor dan ketetapan MAIS.

Tegas JAIS lagi, tindakan akan diambil kepada mana-mana pihak yang melanggar titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan Arahan Majlis Agama Islam Selangor.