JIKA diamati senaskhah al-Quran dari Nasyrul Quran, ada satu ciri unik pada kitab suci tersebut yang pasti tidak akan terlepas daripada pandangan.
Apa yang menarik tentang mushaf terbitan pusat percetakan kedua terbesar di dunia itu adalah pada seni zukhruf bermotifkan corak Melayu yang menghiasi setiap helaian.
Mengapa zukhruf yang menjadi hiasan lembaran mengelilingi ayat-ayat suci ALLAH itu mencerminkan budaya tempatan sedangkan semua sedia maklum kalamullah diturunkan di bumi Arab seperti termaktub dalam sejarah?
Baca juga 5 nikmat dan janji ALLAH SWT kepada pencinta al-Quran
Al-Quran pedoman seluruh umat manusia
Mengulas perkara itu, Pengarah Komunikasi Korporat Nasyrul Quran, Norashikin Abdul Latiff berkata, walaupun al-Quran sering dikaitkan dengan bangsa Arab, namun ia adalah pedoman untuk diteladani seluruh umat manusia.
“Al-Quran adalah untuk semua orang. Ada kisah di sebalik al-Quran yang kita (pihak Nasyrul Quran) harap untuk sampaikan kepada masyarakat,” katanya semasa penulis Sinar Islam Plus mengikuti sebuah lawatan di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya bersama beberapa rakan media lain.
Selain itu, pihak Nasyrul Quran turut menerbitkan al-Quran yang diterjemahkan kepada beberapa bahasa lain termasuk bahasa Inggeris, Hausa, Mandarin, Kazakh serta Tamil.
Turut disyorkan Adab dalam pelupusan al-Quran
Menariknya, setiap kitab terjemahan berkenaan juga menerima sentuhan zukhruf berdasarkan budaya masyarakat penutur bahasa tersebut supaya pembaca terasa lebih dekat dengan al-Quran.
Ujar Norashikin, “Kami mahu (pembaca) ada rasa identiti itu, jadi zukhruf (untuk kitab terjemahan) turut dipengaruhi oleh (budaya) negara berkenaan.
“Dalam masa sama, kami juga berharap cara ini dapat mengubah persepsi orang bukan Islam bahawa al-Quran hanya untuk orang Arab. Sebaliknya, ia adalah kata-kata ALLAH SWT ditujukan kepada seluruh manusia.”
Baca juga Manuskrip al-Quran tertua dunia bakal dipamerkan
Turut disyorkan Pameran unik SK Kelana Jaya (1) wajar dicontohi, pupuk cinta terhadap Rasulullah SAW
Orang awam boleh melawat Kompleks Nasyrul Quran
Lawatan yang dihadiri penulis adalah sebahagian daripada aktiviti program Islamic Tourism Writers’ Workshop kelolaan Islamic Tourism Centre (ITC) bertujuan memberi pendedahan terhadap industri pelancongan Islam di Malaysia.
Menerusi lawatan tersebut, penulis berpeluang melihat proses percetakan kitab suci al-Quran serta fasiliti yang digunakan di Kompleks Nasyrul Quran.
Kebetulan ketika itu juga cetakan pertama bagi al-Quran mushaf Waqaf dan Ibtida’ sedang dijalankan, maka penulis turut diberi kesempatan menjejakkan kaki ke dalam kawasan kilang yang biasanya tidak dibuka kepada orang awam.
Di kilang tersebut, proses percetakan merangkumi kerja mencetak, penjilidan dan pembungkusan kitab al-Quran serta buku-buku agama lain.
Baca juga 5 amalan murah rezeki, al-Quran hadis sebagai panduan
Walaupun tidak dibenarkan masuk ke kawasan kilang demi menjaga kesucian kalam ALLAH yang dicetak, namun orang ramai masih boleh menyaksikan proses percetakan tersebut melalui dek pemerhatian ketika mengikuti lawatan anjuran Kompleks Nasyrul Quran.
Melalui lawatan itu, para pengunjung akan didedahkan dengan peranan Yayasan Restu dan Nasyrul Quran, selain diberikan penerangan tentang proses pembuatan serta percetakan al-Quran.
Kompleks tersebut turut memiliki ruang galeri mempamerkan pelbagai mushaf lama dan baru dari dalam serta luar negara.
Jelas Norashikin, lawatan adalah percuma dan terbuka kepada orang ramai tanpa mengira bangsa dan agama dengan harapan lebih banyak masyarakat mengenali keindahan al-Quran.
Turut disyorkan Lakukan tujuh amalan ini supaya pahala kekal mengalir setelah kita meninggal dunia
“Bukan sekadar golongan bukan Islam, malah orang Muslim sendiri perlu tahu tentang kisah-kisah al-Quran. Malangnya apabila kita membesar, kita lupa ia (al-Quran) adalah surat dari ALLAH.
“Al-Quran adalah surat cinta yang kita perlu baca dan terus membaca. Walaupun kini, kita boleh membaca (ayat suci al-Quran) melalui gajet di tangan, tetapi mukjizat memegang mushaf al-Quran itu sendiri hanya datang dari ALLAH SWT.
“Ada keajaiban di sebalik mempelajari al-Quran sambil menyentuh kalam suci itu dengan jari-jemari anda. (Keajaiban itu) tidak dapat saya ungkapkan dengan kata-kata. Sebaliknya, anda perlu alaminya sendiri,” katanya.
Sebarang maklumat lanjut boleh hubungi:
NASYRUL QURAN
14811, Jalan P14J Precinct 14, 62675 Putrajaya
Tel: 012-919 3095
Laman web: www.nasyrulquran.com
Sumber: Nasyrul Quran
Foto: Islamic Tourism Centre (ITC), Grey Cube Sdn. Bhd. & Sinar Islam Plus