Browsing Tag

istinsyaq

istinsyaq
Ibadah,

Istinsyaq, sunnah cuci rongga hidung yang dapat mencegah penyakit

ANTARA sunnah dalam berwuduk yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW ialah istinsyaq iaitu menyedut air ke dalam hidung bagi mencuci rongga hidung.

Perbuatan itu termasuk dalam anggota sunat wuduk yang seringkali dipandang rendah padahal seperti sunnah Rasulullah yang lain, ada manfaat besar di sebaliknya tanpa orang sedari.

Daripada Abu Hurairah RA, baginda Nabi bersabda: “Jika salah seorang di antara kalian berwuduk, maka hendaklah ia menghirup air ke lubang hidungnya (istinsyaq), lalu ia keluarkan (istintsar).” (Hadis Riwayat Muslim)

Baca juga Solat tak boleh ditinggal walau sakit, ini cara berwuduk pada luka berbalut

 

Turut disyorkan Berwuduk dalam keadaan tidak berpakaian, sah atau tidak?

Cara istinsyaq
Istinsyaq dilakukan sesudah membasuh tapak tangan pada awal perbuatan wuduk.

Kaedahnya sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Zaid RA iaitu dengan mengambil sedikit air, sebahagiannya dihirup masuk ke dalam mulut, dan sebahagian lain disedut masuk ke dalam hidung.

Sama seperti hadis itu, jumhur ulama berpendapat, cara istinsyaq yang lebih afdal ialah menghimpunkannya dengan perbuatan berkumur. Pun begitu, tidak ada masalah jika ia diasingkan.

Apa yang utama, istinsyaq dilakukan dengan memasukkan air ke dalam hidung melalui apa cara sekalipun. Namun, sebaik-baiknya ia air tersebut disedut masuk sehingga ke pangkal hidung, kemudian dihembus keluar atau beristintsar supaya hilang segala kotoran seperti habuk kecil dan kotoran lain.

Baca juga Solat sunat wuduk, antara amalan ahli syurga

Istinsyaq mencegah penyakit
Memetik penulisan Pengerusi MACMA Kelantan, Dr Johari Yap, rongga hidung manusia diselaputi lapisan lendir dan rambut halus yang disebut sebagai sistem transport mukosilier (mucociliary transport system).

Untuk pengetahuan, lapisan tersebut berfungsi untuk menapis, menyaring, menghangatkan serta melembapkan udara yang masuk ke dalam sistem pernafasan kita.

Jadi dalam erti kata lain, sistem transport mukosilier berfungis sebagai sistem pertahanan hidung terhadap virus, bakteria atau partikel berbahaya yang terdapat dalam udara.

Namun, jika sistem itu terganggu, kita akan terbersin dan lama-kelamaan hidung akan tersumbat. Maka, salah satu kaedah penjagaan kesihatan dan kebersihan serta pencegahan penyakit adalah dengan mencuci rongga hidung.

Turut disyorkan Jangan lari ketika hujan, sunnah basahkan badan dengan air ramai tak tahu

Baca juga Hati-hati ketika berdakwah, jangan sampai merosakkan pahala

Selain itu, sebuah kajian dilakukan oleh seorang pemuda dari Fakulti Perubatan Universiti Alexandria mendapati bahawa hidung orang-orang yang tidak berwuduk mempunyai lebih banyak kuman berbanding dengan mereka yang mengamalkan wuduk.

Kajiannya juga menjelaskan, beristintsar sekali dapat membersihkan hidung daripada separuh kuman, sedangkan dua kali dapat menambah 1/3 kebersihan. Manakala, jika ia dilakukan tiga kali, hidung akan menjadi benar-benar bersih.

Siapa sangka perbuatan istinsyaq yang kelihatan remeh terkandung pelbagai manfaat untuk kesihatan sehingga ia turut disarankan pengamal perubatan konvensional.

Tambahan pula, sebagai umat Islam, berittiba’ (mengikuti dengan patuh) kepada sunnah Nabi Muhammad SAW adalah sebaik-baik amalan dalam beribadah.

Sumber: Sinar Harian