Browsing Tag

Istikharah

doa pilihan raya
Berita Semasa,

Doa patut dibaca oleh pengundi ‘keliru’ serta adab-adab yang elok diamalkan sepanjang Pilihan Raya

DOA patut dibaca oleh pengundi ‘keliru’ serta adab-adab yang elok diamalkan sepanjang Pilihan Raya…

Pengundian 12 Ogos esok pastinya bukan mudah bagi sebahagian masyarakat tempatan menentukan pemimpin sesuai meneraju negara melihatkan pilihan calon yang pelbagai.

Ditambah pula dengan komen serta tohmahan yang dilontarkan warganet di media sosial terhadap individu atau parti politik tertentu, ada segelintir yang sudah keliru untuk mengundi calon yang mana satu.

Baca juga Calon pemimpin ini patut ditolak, perhatikan 5 ciri ini yang jelas ditegah dalam Islam

doa pilihan raya

APABILA dalam kebuntuan, mohonlah pertolongan ALLAH SWT kerana DIA sebaik-baik pemberi petunjuk. Foto: Pexels

Baca juga Buat istikharah berkali-kali, tapi masih tiada jawapan…rupanya ini sebabnya

Dalam situasi begini iaitu buntu hendak membuat keputusan, ingatlah bahawa Nabi SAW pernah mengajarkan para sahabat agar memohon istikharah dengan bersolat sunat dua rakaat kepada ALLAH SWT, meminta panduan-NYA dalam apa jua urusan.

Apabila melaksanakan solat istikharah, antara doa yang disarankan pula ialah:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ ، وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ ، وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ العَظِيمِ ، فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلاَ أَقْدِرُ ، وَتَعْلَمُ وَلاَ أَعْلَمُ ، وَأَنْتَ عَلاَّمُ الغُيُوبِ ، اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعِيشَتِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي

Maksudnya: “Ya ALLAH, aku memohon pilihan dengan ilmu-Mu, aku memohon kekuatan dengan kekuatan-Mu, Aku juga memohon daripada limpahan-Mu yang Agung. Engkau mampu sedangkan aku tidak. Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak tahu. Engkau Maha Tahu tentang perkara yang ghaib. Ya ALLAH, jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini baik untuk untuk agamaku, kehidupanku dan penghujungku.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Turut disyorkan Bercuti atau balik kampung, jangan lupa sunnah Rasulullah SAW ini ketika bermusafir.

AMBIL peduli tentang beberapa adab berikut sepanjang pilihan raya seperti yang digariskan oleh Islam. Foto: BERNAMA

Baca juga Benarkah politik tiada dalam al-Quran dan as-Sunnah? Berikut penjelasannya

Selain itu, sebagai umat Islam kita tidak terlalu terbawa-bawa dengan semangat dan emosi dalam berpolitik sehingga mengetepikan prinsip dan nilai Islam.

Oleh itu, portal Mufti Wilayah Persekutuan mengingatkan orang ramai agar menjaga tiga adab ini sepanjang musim pilihan raya serta pada hari mengundi kelak:

1. Ucapkan perkataan yang baik atau diam.
Sabda Rasulullah SAW, “Sesiapa yang beriman kepada ALLAH dan hari akhirat, maka dia hendaklah mengucapkan perkara yang baik atau diam.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Perbuatan memfitnah serta mengamalkan politik kotor terhadap pihak lawan bagi mencapai kepentingan politik merupakan satu tindakan yang sangat dilarang oleh agama.

Walaupun berbeza fahaman politik dan parti, setiap pihak wajar mengambil pendekatan yang baik dan matang dalam berkempen tanpa memburuk-burukan pihak lawan.

PENGGUNAAN cacian serta tuduhan tanpa bukti ketika pilihan raya berlangsung, baik oleh calon mahupun pengundi, tidak seharusnya dijadikan budaya. Sebaik-baiknya diam sahaja jika tiada perkara baik untuk diperkatakan. Foto: 123rf

Baca juga Sesuka hati ‘body shaming’ ibarat menghina ciptaan ALLAH

2. Pastikan maklumat sahih sebelum sebar.
Baginda SAW bersabda, “Tidak akan masuk syurga qattat (golongan yang membawa cerita sedangkan dia hanya mendengar-dengar daripada orang lain tanpa diketahui pucuk-pangkal cerita tersebut).” (Hadis Riwayat Bukhari)

Apabila mendapat suatu maklumat, pastikan ia sahih terlebih dahulu sebelum disebarkan kepada orang lain. Ingat, menuduh seseorang secara melulu atau atas perkara yang tidak benar akan diazab kelak oleh ALLAH SWT.

Firman ALLAH: “Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) ALLAH mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” (Surah al-Maidah, ayat 19)

Turut disyorkan Lima hadis popular ini rupanya hadis palsu

doa pilihan raya

HATI-hati apabila berkongsikan suatu cerita kerana ia mungkin jadi penyebab kita dihumban ke neraka. Foto: Pexels

Baca juga [VIDEO] Neraka menanti pencipta hadis palsu

3. Tidak memberi dan menerima rasuah.
Diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr RA, Nabi SAW bersabda: “Laknat ALLAH kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Memancing undi dengan cara memberikan sogokan atau rasuah, tidak kira dalam bentuk wang atau hadiah, bukan sahaja salah di sisi undang-undang bahkan ia dilarang dalam Islam.

Setiap daripada kita memainkan peranan yang penting dalam pilihan raya ini. Satu undian, walaupun kecil adalah satu usaha untuk memilih pemimpin yang mampu menggalas tanggungjawab serta menunaikan amanah buat rakyat, negara dan agama.

Turut disyorkan Rakyat wajib pilih pemimpin, berikut perinciannya

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan & Tzkrh

Foto: BERNAMA, Pexels & 123rf

Solat
Ibadah,

Buat istikharah berkali-kali, tapi masih tiada jawapan…rupanya ini sebabnya

BUAT istikharah berkali-kali, tapi masih tiada jawapan…rupanya ini sebabnya

Pandemik Covid-19 yang dikesan sejak hujung tahun lalu nampaknya memberikan impak yang bukan calang-calang. Ramai yang terkesan dengan keadaan ekonomi yang mencabar ketika ini.

Bukan sahaja ekonomi negara, malah ada ekonomi isi rumah yang ‘lumpuh’ disebabkan kehilangan pekerjaan. Ada juga yang terpaksa dicutikan daripada bekerja dan dipotong gaji.

Aishah Mohamad (bukan nama sebenar) turut terkena tempiasnya. Gajinya dipotong beberapa peratus. Namun begitu, dirinya masih lagi berkhidmat dengan majikan lamanya kerana beliau begitu mencintai bidang kerjanya sekarang.

Apabila mendapat tawaran pekerjaan daripada syarikat lain, Aishah buntu sama ada mahu menerima atau menolak terus pelawaan berkenaan. Baginya, bukan satu keputusan mudah untuk beliau berhijrah walaupun beliau ditawarkan dengan gaji yang jauh lebih tinggi daripada majikannya sekarang.

Wanita itu lantas melakukan solat sunat istikharah. Beliau begitu mengharap ALLAH SWT membantunya dalam membuat pilihan yang terbaik.

Namun, sehingga kini masih tiada klu atau jawapan diterimanya. Walhal, sudah berkali-kali Aishah melakukan solat istikharah.

Puas difikirkan kenapa istikharah yang dilakukannya kali ini tiada petunjuk. Bukannya pertama kali beliau melakukannya. Sebelum ini, Aishah buntu memilih jodoh yang terbaik. Beliau selamat berkahwin dengan lelaki yang ‘diilhamkan’ menerusi gerak hatinya.

Mengapakah kadang-kadang istikharah tidak terjawab? Apakah bentuk petanda kepada jawapan istikharah yang dilakukan? Adakah hanya melalui mimpi?

Mencari kebaikan

Sinar Islam mengajak pendakwah Ustaz Haslin Baharim untuk berbicara lanjut mengenai topik berkenaan. Jelas beliau, solat istikharah merupakan salah satu sunah Rasulullah SAW. Istikharah itu sendiri bermaksud untuk mencari kebaikan.

USTAZ HASLIN

Malah, Rasulullah SAW menganjurkan kita untuk menunaikan solat dua rakaat (istikharah) apabila kita hendak melakukan suatu perkara. Ia termasuklah dalam urusan jodoh, pindah rumah atau pekerjaan dan sebagainya.

Baca juga Fahami lima waktu diharamkan solat

“Istikharah ini berkait rapat dengan hati. Jika hati kita kotor, mana mungkin mendapat petunjuk daripada ALLAH. Ada orang melakukan (ibadah) yang sunat saja, tetapi tidak solat fardu. Sebab itulah solat istikharah itu tak dapat (petunjuk).

“Namun, seandainya hati kita bagus dan bersih iaitu orang yang melaksanakan dan tidak pernah meninggalkan perintah ALLAH, maka ALLAH SWT akan mempermudahkan jawapan dan berikan petunjuk kepada kita mana yang baik serta tak baik,” katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Ustaz Haslin turut memperbetulkan anggapan tergelincir sebilangan masyarakat yang melakukan solat sunat istikharah hanya ketika mencari jodoh. Hakikatnya banyak perkara boleh dilakukan istikharah.

Bukan itu sahaja, beliau menjelaskan, petunjuk atau keputusan kepada jawapan istikharah tidak semestinya menerusi mimpi. Kadangkala ia datang dalam bentuk bayangan dan pemantapan atau ketenangan hati.

“Contohnya, kita dapat kerja yang baik, tapi pendapatannya tidak banyak walaupun sudah lama bekerja. Rasa macam ingin bekerja sendiri. Kemudian bila buat istikharah, kita rasa hati kita berat nak berhenti kerja tempat lama dan buat kerja lain. Maka, kita berhentilah dan hantar surat peletakan jawatan,” katanya.

Seperkara lagi, Ustaz Haslin yang terkenal dengan jolokan Ustaz Bollywood mengingatkan umat Islam agar melakukan istisyarah iaitu bermesyuarat terlebih dahulu sebelum melakukan solat sunat dua rakaat berkenaan. 

“Berbincanglah dengan orang yang berpengalaman dan alim. Disunatkan untuk kita melakukan istisyarah. Dalam apa-apa hal, istisyarah itu perlu. Imam al-Nawawi berpesan supaya kita berbuat demikian.

“Contohnya bila nak kahwin, tanya ustaz atau orang alim macam mana hendak berkahwin, apa ciri-cirinya, calon sekian dan seumpamanya. Jika dijelaskan bahawa elok berkahwin, maka tidak perlulah kita istikharah.

“Istikharah (hanya melibatkan) perkara yang dirasakan perlu untuk kita mohon sebab duduk antara dua pertimbangan. Kombinasi istisyarah dan istikharah, insya-ALLAH ALLAH akan tolong,” jelas beliau.

Kepada satu soalan, Ustaz Haslin memberitahu: “Tiada waktu yang khusus untuk melakukan solat istikharah. Ia boleh dilakukan sepanjang waktu.

“Namun, jika rajin bangun awal, dirikanlah solat istikharah sebelum solat Subuh. Terpulang kepada seseorang untuk buat (istikharah) berapa kali sehingga dia nampak mana yang berat (petunjuk),” jelas beliau.

Baca juga Amalkan Selalu, Mudah-mudahan Bantuan ALLAH Segera Tiba

Hanya dalam perkara harus

Perlukah melakukan solat sunat istikharah bagi setiap perkara yang berkait rapat dengan kehidupan kita?

Menjawab persoalan itu, pendakwah Ustazah Nourul Iman Nia’mat menjelaskan, sebenarnya Rasulullah SAW menyarankan kepada umatnya saat kita sedang buntu dengan dua pilihan yang tidak dapat ditentukan.

USTAZAH NOURUL IMAN

Pilihan berkenaan tambah beliau, ia mestilah melibatkan perkara yang hukumnya harus iaitu hanya berkaitan dengan keadaan diri kita umpamanya dalam soal perkahwinan, pekerjaan soal harian dan sebagainya.

Seandainya pilihan berkaitan dengan perkara yang halal atau haram, maka tidak perlulah kita lakukan istikharah kerana memang jelas keharamannya dan halalnya, terangnya.

“Begitu juga jika ia melibatkan pertembungan perkara yang haram seperti minum arak.

“Satu lagi, istikharah tak perlu dilakukan jika ada kaitan dengan hukum sunah. Maknanya, jika perkara itu hukumnya sunat, dapat pahala bila kita lakukannya. Maka tak perlulah kita lakukan istikharah, sebaliknya teruskan buat perkara yang sunat,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam baru-baru ini.

Ujar pendakwah itu lagi, Rasulullah SAW juga melakukan istikharah dalam hal-hal keduniaan, kata pendakwah itu lagi. Baginda turut melaksanakan musyawarah dengan para sahabat.

“Pernah satu ketika sahabat beristikharah untuk memperbaiki kedudukan Kaabah. Pendek kata, istikharah ini adalah perlakuan Rasulullah, sahabat dan disuruh kepada kita untuk kita minta keputusan yang mana hasilnya itu kita nak yang terbaik dengan meminta kepada ALLAH,” katanya.

Paling penting tambah beliau, ketika dalam keadaan kebuntuan, usahlah ada kecenderungan terhadap dua pilihan tadi jika ingin melakukan solat sunat dua rakaat.

“Namun, andai kita ada kecenderungan, tak payahlah (istikharah) sebab ia tak menjadi kesan kepada kita. Contohnya, kita kenal dalam soal jodoh atau pekerjaan. Salah satu daripada pekerjaan itu, kita cenderung ke arahnya. Jadi kalau kita beristikharah saat itu, ia tidak akan menjadi fungsi apa-apa pun kepada kita,” katanya.

Jawapan

Meneruskan perkongsian ilmunya, Ustazah Nourul Iman menyentuh tentang jawapan kepada solat istikharah.

Adakalanya segelintir orang walaupun sudah berkali-kali melakukan solat istikharah, namun dirinya masih diselubungi kebuntuan.

 

Istikharah

JAWAPAN kepada solat istikharah tidak semestinya hadir melalui mimpi sahaja.

Kata beliau, barangkali kita tiada ilmu tentang solat berkenaan seperti hanya sekadar menunggu jawapan melalui mimpi.

“Seandainya istikharah sudah dilaksanakan dengan cara yang betul, kemudian kita mengakui kesilapan kita, bertaubat, beristighfar, kemudian kita bersihkan diri kita daripada sebarang pilihan sebab tak mahu ada mana-mana kecenderungan.

“Selepas itu, kita mengharapkan (petunjuk) melalui gerak hati, pandangan orang yang soleh ataupun mimpi dan kita telah pun berkali-kali mengulangi istikharah, tapi belum dapat jawapan dalam apa jua bentuk. Maka saat itu kita jadikan istikharah itu sebagai satu kepasrahan. Pasrah itu bermakna kita bertawakal dan berserah kepada ALLAH SWT.

Baca juga Jangan abaikan solat sunat witir. Walaupun ringkas, tetapi besar ganjarannya

“Kadang-kadang kita hendakkan kepada keindahan dan kesenangan, ALLAH SWT hadiahkan kepada kita sebaliknya iaitu kebenaran dan kesabaran. Jadi, dalam keadaan biasanya pandangan manusia ini, ia tak sama dengan pilihan ALLAH,” katanya.

Tambah beliau lagi, kadangkala kita merasakan ALLAH SWT sudah memberikan kita pilihan melalui istikharah. Namun, setelah pilihan dibuat, kita seolah-olah diuji dengan pilihan tadi. Itu namanya qada dan qadar.

“Barangkali pilihan ALLAH ini adalah untuk menaikkan darjat kita di sisi-NYA sebab kita bersabar. Jangan kita menyalahkan takdir sebab ia ada kaitannya dengan soal akidah. Sebagai umat Islam, kita kena percaya kepada qada dan qadar.

“Apabila kita diuji, usah berkata menyesal dan seumpamanya. Sebaliknya, berlapang dadalah dengan pilihan ALLAH. Jika pilihan itu indah khabar daripada rupa, jangan menyalahkan-NYA. Pasrah kepada ALLAH SWT dan serahkan urusan takdir itu kepada-NYA serta membaca hikmah di sebaliknya,” katanya.

Jikalau hingga saat ini masih tiada sebarang signal diperoleh setelah berkali-kali melakukan solat istikharah, Ustazah Nourul Iman menyarankan kita untuk melaksanakan istisyarah.

Bertanyalah kepada orang yang soleh mana satu pilihan yang terbaik. Barangkali pilihan orang yang soleh itu sesuai dengan gerak hatinya, kemudian tanyalah gerak hati kita pula, terang beliau.

“Mungkin ALLAH SWT belum lagi memberi pilihan kepada kita kerana asbab dosanya. Ketahuilah, ALLAH sebenarnya malu jika kita berdoa dalam istikharah kerana ada banyak doa yang merendahkan (kita untuk bergantung harap kepada-NYA). ALLAH malu jika DIA tak makbulkan doa kita kerana disebutkan dalam al-Quran bahawa andai kita berdoa, ia akan dimakbulkan.

“Kemakbulan itu barangkali ALLAH sudah kabulkan, namun ia masih belum terlaksana disebabkan kotornya hati kita dengan dosa. Ingatlah, salah satu syarat orang berdoa adalah dirinya mesti bersih daripada perkara-perkara yang haram. Kita perlu istighfar dan bertaubat daripada segala dosa.

“Namun begitu, jika kita berdoa dalam keadaan diri masih lagi banyak dosa, ia memungkinkan jawapan ataupun apa yang diinginkan itu tak dapat,” jelas beliau mengakhiri bicaranya.

Justeru, bersihkan diri kita daripada kekotoran dengan bertaubat, beristighfar dan kembali kepada ALLAH SWT. Semoga kita diberikan hidayah dan petunjuk-NYA.

Elak pilihan hasil hasutan syaitan

Saat menghadapi kebuntuan, syaitan begitu mudah membisikkan kata-kata menyesatkan yang boleh membuatkan kita melakukan perkara di luar kawalan.

Ya, sememangnya itulah tugas makhluk ALLAH yang terkutuk tersebut. Mereka tidak pernah berhenti dan berehat daripada menggoda serta menyesatkan manusia.

Justeru, dengan melakukan istikharah ketika kita mempunyai dua persimpangan, ia merupakan cara yang terbaik untuk mengelakkan apa sahaja yang dipilih daripada gangguan syaitan, kata pendakwah Ustaz Ahmad Hazran Ahmad Kamal atau Imam Muda Aran.

IMAM MUDA ARAN

“Itulah beza antara orang beriman dengan tidak. Selagi panduan kita adalah ALLAH dan rasul, maka setelah kita memohon petunjuk dan bantuan, tiada penyesalan sesudahnya.

“Sebaliknya pula, jika kita tidak memohon petunjuk daripada Ilahi, boleh jadi, keputusan yang dibuat itu adalah berpandukan nafsu atau bisikan syaitan. Sudah pasti akhirnya kita akan menyesal,” katanya kepada Sinar Islam melalui aplikasi WhatsApp baru-baru ini.

Firman ALLAH SWT: Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan ALLAH bagi kami. DIALAH Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada ALLAH jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.” (Surah at-Taubah, ayat 51)

Jelas beliau, solat istikharah mempunyai keistimewaan tersendiri. Bukan sahaja mengikut sunah Nabi Muhammad SAW, tetapi pelakunya juga sebenarnya memohon kebaikan dalam hidupnya.

Baca juga Lakukan amalan ini untuk ‘pagar’ rumah daripada gangguan syaitan

“Paling signifikan adalah kebergantungan kita kepada ALLAH SWT ketika mana kita melakukan istikharah. Pada saat itu, kita benar-benar mengharapkan jawapan yang sesuai dengan keredaan ALLAH.

“Kadangkala kita mengharapkan hasil yang sesuai dengan diri, tetapi belum tentu ALLAH berkehendakkan demikian kerana DIA MAHA MENGETAHUI mana yang terbaik buat diri kita,” katanya.

Dalam pada itu, Imam Muda Aran turut menegur beberapa kesilapan yang sering kali kita lakukan ketika menunaikan solat sunat istikharah.

Ketahuilah, kita sepatutnya melakukan istikharah dahulu sebelum membuat keputusan atau sebelum ‘berat’ kepada suatu perkara.

“Jika hati kita memang dari awal lagi sudah suka kepada seseorang atau suatu perkara, maka sebenarnya kita telah membuat keputusan dari awal lagi. Tiada sebablah untuk kita lakukan istikharah sebenarnya jika begini sikap kita.

“Seperkara lagi, selain mencari reda ALLAH dan rasul, jangan lupa juga untuk mendapatkan reda ibu dan ayah, disulami pula dengan nasihat dari alim ulama dan para solihin,” nasihat beliau.

Istikharah

BERSIHKAN hati untuk mendapatkan petunjuk demi kebaikan hal keduniaan.

ANEKDOT

Adab-adab ketika solat sunat istikharah

– Mereka yang melakukan solat istikharah perlu mengosongkan hatinya daripada mengikut hawa nafsu dalam pilihannya.

– Serahkan sepenuhnya pilihan kepada ALLAH SWT. Jangan ada sedikit pun pergantungan kepada perkara-perkara lain melainkan sebagai asbab atau wasilah dalam menyampaikan hajat.

– Sentiasa reda kepada ALLAH dengan setiap apa yang ditakdirkan untuk dirinya.

– Sentiasa merasakan hasil daripada istikharah itu adalah bimbingan ALLAH SWT kepada hamba-NYA dalam memperbaiki diri dan mendapatkan kejayaan dunia serta akhirat.

– Lakukan istikharah kepada ALLAH SWT taala dengan hati yang penuh sedar, yakin dan thiqah (percaya) bahawa ALLAH akan memakbulkan setiap pilihan serta memberi kita yang terbaik dalam hidup.

Sumber: https://www.facebook.com/notes/sudin-co-shoes-outlet/solat-istikharah-kelebihan-dan-hukumnya/262182837152939/

Foto: 123rf