Browsing Tag

isteri

Nusyuz
Gaya Hidup, Pilihan Editor,

Isteri Berstatus Suri Rumah Layak Tuntut Hak Harta Sepencarian, Namun Masih Ramai Yang Tak Tahu

no comment

SAAT ikatan perkahwinan yang dibina menemui titik noktahnya, ramai yang mula memikirkan tentang soal harta sepencarian. Lebih-lebih lagi bagi pasangan yang sama-sama membanting kudrat bekerja.

Masakan tidak, isu berkaitan harta bukan boleh dibuat main. Ia merupakan perkara sensitif. Sedangkan adik beradik lagikan bergaduh disebabkan harta, inikan pula suami isteri.

Ya, ketika memadu kasih, semuanya nampak indah belaka. Boleh dikatakan pasangan tidak kisah untuk mengeluarkan perbelanjaan besar semata-mata mahu selesa hidup bersama.

Namun, apabila bercerai, segala momen indah itu bagaikan menjadi plot sedih yang perlu segera dihumban ke dalam laut paling dalam. Semuanya bertukar menjadi mimpi ngeri. Pada masa itu, masing-masing mulalah mempertahankan hak terutama harta sepencarian.

Begitupun, bagi isteri yang tidak bekerja, golongan ini seakan dipinggirkan haknya. Alasan klise yang sering kita dengar adalah suri rumah tangga langsung tidak memberikan sumbangan berbentuk wang.

Hakikatnya, pengertian harta sepencarian begitu meluas skopnya dalam Islam. Bolehkah isteri berstatus suri rumah menuntut harta sepencarian dan apakah asasnya mereka boleh berbuat demikian?

Apakah lagi sebenarnya hak seorang isteri termasuk mereka yang tidak bekerja selepas bercerai?

Baca juga Rumah Atas Nama Sendiri Boleh Jadi Harta Sepencarian? Ini Pencerahan Peguam Syarie

Sumbangan tidak langsung

Membuka tirai bicara, peguam syarie, Khairul Fahmi Ramli memulakannya dengan definisi tentang harta sepencarian.

KHAIRUL FAHMI

Ujar beliau, ia bermaksud harta yang diperoleh bersama oleh suami dan isteri dalam tempoh perkahwinan mereka.

Paling penting, katanya, harta berkenaan juga adalah daripada usaha bersama antara suami isteri termasuk pendapatan yang didapati daripada modal antara suami dan isteri sepanjang mereka kekal dalam ikatan suci berkenaan.

“Berdasarkan definisi itu, ketahuilah bahawa isteri yang tidak bekerja boleh dan mempunyai hak untuk menuntut harta sepencarian berdasarkan sumbangan tidak langsung.

“Sumbangan tidak langsung yang dimaksudkan merujuk kepada sumbangan isteri dalam menguruskan keluarga dan anak-anak sepanjang suami keluar bekerja.

“Skop pengurusan keluarga ini merangkumi sumbangan isteri dalam menjaga harta suami dan memberikan sokongan serta dorongan kepada suaminya untuk berjaya dalam kerjayanya. Mudah kata, sumbangan daripada isteri yang tidak bekerja adalah pengurusan keluarga yang telah memudahkan urusan suami untuk keluar bekerja,” katanya ketika ditemu bual oleh Bernama baru-baru ini.

Begitupun, jelas Khairul Fahmi dari Tetuan Khairul Fahmi, masih terdapat sebilangan kaum Hawa tidak bekerja enggan tampil ke hadapan untuk menuntut hak dalam harta sepencarian.

Puncanya adalah disebabkan mereka tidak mempunyai ilmu dan pengetahuan tentang hak wanita yang diceraikan atau kematian suami, terangnya.

Harta sepencarian

WALAUPUN isteri tidak bekerja, mereka berhak untuk menuntut harta sepencarian kerana sumbangan tidak langsung dalam menguruskan rumah tangga bagi memudahkan urusan suami mencari rezeki.

“Sedangkan, wanita dalam dua kategori tersebut layak untuk menuntut harta sepencarian. Malah, bagi mereka yang kematian suami, tuntutan harta sepencarian perlu didahului sebelum harta dibahagikan melalui kaedah faraid atau pembahagian harta pusaka.

“Selain itu, terdapat juga wanita enggan mengambil pusing tentang perkara itu kerana malas untuk bergaduh dengan bekas suami dan keluarga bekas suami bagi menuntut hak kerana takut digelar kaki kikis,” katanya.

Menyambung hujah, Khairul Fahmi yang juga Timbalan Setiausaha Persatuan Peguam Syarie Malaysia Kedah menjelaskan, faktor kemampuan turut dikesan antara kekangan utama untuk golongan wanita menuntut hak mereka.

Jelasnya, terdapat segelintir mereka tidak berkemampuan untuk menampung kos guaman bagi melantik peguam untuk menguruskan tuntutan harta sepencarian tersebut.

“Kebiasaannya nilai harta yang hendak dituntut sebagai harta sepencarian juga tidak berbaloi jika dibandingkan dengan kos memfailkan kes di mahkamah dan kos lantikan peguam.

“Bahkan, kos tuntutan harta sepencarian sememangnya tinggi kerana harta tersebut perlu melalui proses penilaian untuk mengetahui nilai semasa. Pada masa sama, mahkamah perlu mengambil kira sumbangan pihak-pihak bagi tujuan pembahagian harta tersebut,” katanya.

Kurang pengetahuan

Senada dengan Khairul Fahmi ialah peguam syarie, Mohammad Amir Asyraf Abd Mutalib.

MOHAMMAD AMIR ASYRAF

Pengamal undang-undang syariah dari Tetuan Shazril Khairy Mustafa & Associates menjelaskan, sesetengah isteri hanya tahu bahawa mereka perlu taat kepada suaminya semata-mata tanpa perlu mengetahui hak jika berlaku penceraian atau kematian.

“Perkara ini dapat dilihat kerana kurangnya pendedahan ilmu rumah tangga antara suami dan isteri serta pengetahuan berkaitan hal isu mahkamah syariah,” katanya kepada Bernama.

Beliau menambah, kadangkala sifat kurang keinginan mengambil tahu berkaitan hak isteri dan berpegang teguh dengan pendirian asalkan hidup bahagia bersama suami boleh ‘memakan diri’.

“Apabila bila berlaku perceraian atau kematian, baru mereka merasakan bahawa adanya hak yang boleh dituntut untuk menjamin kehidupan seterusnya.

“Faktor kawasan dan tempat tinggal itu sendiri boleh menjadikan satu faktor mengapa wanita tidak tahu dan ambil tahu berkenaan hak-hak mereka selepas perceraian atau berlaku kematian,” katanya.

Apa yang menyedihkan apabila isteri merasakan takat sumbangan mereka terhadap harta tersebut tidak seberapa, ungkapnya.

“Mungkin dia menganggap bahawa dirinya tidak ada apa-apa sumbangan terhadap harta tersebut. Perasaan itulah yang menyebabkan dia merasakan diri tidak layak menuntut harta tersebut.

“Sedangkan, harta sepencarian ini sebenarnya dinilai takat sumbangannya sama ada secara langsung dan tidak langsung,” katanya.

Hak selepas bercerai

Adakah harta sepencarian hanya boleh dituntut selepas perceraian dan kematian suami?

Baca juga Suami Tak Boleh Sewenang-Wenangnya Gelar Isteri Nusyuz, Hanya Mahkamah Syariah Sahaja Boleh Mensabitkannya

Menjawab persoalan itu, peguam syarie, Nurain Akmal Khairunnisa Amir Hamzah menjelaskan, terdapat tiga keadaan yang membolehkan tuntutan tersebut dibuat.

NURAIN AKMAL KHAIRUNNISA

“Keadaan itu termasuklah isteri yang diceraikan, isteri yang ‘dipoligamikan’, selain wanita yang kematian suami,” jelasnya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Kepada kaum Hawa yang terpaksa berpisah akibat perceraian, pengamal undang-undang syariah itu menitipkan pesan supaya cakna dengan hak masing-masing.

Antaranya menuntut hak penjagaan anak, mutaah, harta sepencarian, hutang perkahwinan, nafkah anak, nafkah tertunggak dan nafkah idah, terangnya.

“Untuk tempat tinggal sebaik sahaja perceraian berlaku, ia bergantung kepada situasi. Andai rumah yang didiami bersama sebelum berpisah ialah rumah isteri, maka seelok-eloknya, suamilah yang keluar dari kediaman berkenaan.

“Seandainya ia melibatkan rumah sewa atau milik suami, sebaiknya bekas suami menyediakan tempat tinggal. Caranya adalah dengan membiarkan bekas isteri tinggal di situ sepanjang tempoh idah.

“Selain itu, bekas suami juga boleh menyediakan tempat tinggal lain jika mereka enggan keluar dari rumah kelamin sebelum ini untuk bekas isteri menjalani tempoh idahnya,” katanya.

Sebelum mengakhiri bicara, Nurain Akmal Khairunnisa meninggalkan pesanan begitu berharga kepada wanita bercerai.

Nasihatnya, usahlah berputus asa dan menganggap bahawa perceraian adalah jalan penamat kepada kehidupan.

“Sebaliknya, jadilah wanita yang bijak dan pandai mengurus emosi. Ya, memang kesedihan tak dapat hendak diungkapkan, tetapi percayalah bahawa ALLAH MAHA MENGETAHUI atas segala-galanya. Urusan takdir dan jodoh adalah aturan-NYA.

Harta sepencarian

SIMPAN dokumen berkaitan untuk pembuktian takat sumbangan bagi menuntut hak masing-masing dalam harta sepencarian.

“Ingatlah, ALLAH SWT menyatakan dalam kalam-NYA tentang hak wanita yang sudah bercerai. Maka, kumpullah kekuatan untuk membina kehidupan baharu dan ambillah langkah yang bijak menuntut hak masing-masing supaya lebih bersemangat memulakan fasa kehidupan baharu.

“Tindakan itu sekali gus memberikan pengajaran kepada bekas suami supaya tidak mengambil mudah tentang isu perceraian dan hak wanita selepas diceraikan. Dengan adanya hak-hak sebagaimana disebutkan tadi, jelaslah bahawa Islam sangat mengangkat martabat kaum Hawa,” jelasnya.

Sumber: Bernama

Foto: Bernama & 123rf

Status perkahwinan
Gaya Hidup,

Jangan Sewenang-wenangnya ‘Jatuh Hukum’ Sendiri Tentang Status Perkahwinan, Buruk Padahnya

no comment

DALAM usia yang begitu muda, Amri Din dan Zulaiha Adam (kedua-duanya bukan nama sebenar) diijabkabulkan dalam satu majlis pernikahan di negara jiran dengan berwalikan hakim.

Ketika itu, masing-masing berusia 20 tahun. Barangkali desakan hati dan cinta membuatkan mereka lupa dengan implikasi yang bakal ditanggung.

Selepas setahun berkahwin, Amri dan Zulaiha berjaya juga menamatkan pengajian mereka. Sepanjang tempoh itu, kedua-duanya tidak pernah tinggal bersama.

Situasi itu menyebabkan Zulaiha sangsi dengan perkahwinannya bersama Amri. Malah, wanita itu juga berasakan dirinya tidak lagi terikat dengan Amri. Apatah lagi selepas mereka pulang ke menetap bersama keluarga masing-masing.

Zulaiha pula semakin sibuk selepas ditawarkan bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat terkemuka. Di tempat kerjanya itu, wanita itu jatuh cinta dengan seorang pemuda bernama Hadif Ali (bukan nama sebenar).

Oleh sebab samar-samar dengan status dirinya, Zulaiha menganggap bahawa perkahwinannya di negara jiran sebelum ini tidak sah apatah lagi tidak pernah didaftarkan di negara ini.

Lalu, tanpa ragu-ragu Zulaiha menerima pinangan Hadif. Malah, keluarganya juga bersetuju dengan pilihan hatinya.

Berita pernikahan Zulaiha sampai ke pengetahuan Amri. Walaupun dirinya dan Zulaiha tidak pernah tinggal bersama dan menjalankan tanggungjawab sebagai pasangan suami isteri, namun lelaki itu terpanggil untuk memperbetulkan keadaan.

Lelaki itu kemudian memfailkan permohonan daftar nikah dirinya dan Zulaiha. Pada masa sama, beliau turut membuat tuntutan faraq nikah terhadap Zulaiha dan ‘suami baharunya‘ di mahkamah syariah.

Mahkamah memutuskan untuk mendengar kedua-dua kes itu dalam satu prosiding. Justeru, Amri mengemukakan keterangan dokumen dan saksi termasuk catatan keterangan nikah, surat Majlis Agama Islam dari negara tempat mereka bernikah kepada Konsulat Jeneral Malaysia dan surat Konsulat Jeneral Malaysia berhubung pengesahan perkahwinan.

Status perkahwinan

RUJUKLAH pihak yang sepatutnya seperti mahkamah syariah jika ada masalah berhubung status perkahwinan.

Selain itu, beliau juga membawa afidavit daripada seorang pegawai Jabatan Agama Islam di negara ini termasuk surat yang dikeluarkan jabatan agama tersebut bagi pengesahan wali bertauliah di Majlis Agama Islam negara berkenaan.

Malangnya, sepanjang perbicaraan berlangsung, Zulaiha dilihat lebih banyak berdolak-dalik dengan mengemukakan versi cerita yang berbeza. Malah, beliau turut mengemukakan saksi termasuk ibu bapa dan adik beradiknya untuk menyokongnya bahawa dirinya masih bujang.

Pun demikian, mahkamah percaya catatan nikah dari Majlis Agama Islam dari negara jiran itu tidak dikeluarkan sewenang-wenangnya tanpa upacara pernikahan di sana.

Justeru, hakim mensabitkan bahawa pernikahan antara Amri dan Zulaiha adalah sah menurut hukum syarak serta diperintahkan untuk didaftarkan di Pejabat Agama Islam Daerah.

Pada masa sama, mahkamah memutuskan pernikahan antara Zulaiha dan ‘suami‘ yang baru dinikahinya itu tidak sah dan batil serta difaraqkan serta-merta.

Mendengar keputusan itu, fikiran Amri terasa lapang. Sekurang-kurangnya dirinya sempat memperbetulkan keadaan sebelum menjadi bertambah parah.

Baca juga Bayi Jadi Mangsa Anak Tak Sah Taraf Gara-Gara Sikap Ibu Bapa Kahwin Terburu-buru

Perkahwinan poliandri diharamkan dalam Islam

WALAUPUN undang-undang di Malaysia mengiktiraf pernikahan yang dilangsungkan di luar negara seperti Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla dan Pattani, Thailand, pasangan tetap perlu mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia.

Ia perlu dibuat menerusi Jabatan Agama Islam berhampiran tempat tinggal masing-masing tidak kiralah sama ada perkahwinan itu dilakukan dengan kebenaran atau sebaliknya.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Terengganu, Fazru Anuar Yusof menegaskan, tindakan itu penting dan bukan untuk menyusahkan pasangan, tetapi demi kebaikan mereka pada masa akan datang.

FAZRU ANUAR

“Pendaftaran perkahwinan juga perlu untuk memastikan perkahwinan yang dijalankan di negara jiran adalah sah, bukannya hasil daripada pernikahan sindiket yang kebanyakannya adalah tidak sah dan batil.

“Pasangan yang menjalin hubungan yang tidak sah dan batil ini adalah bersekedudukan tanpa nikah dan hidup dalam penzinaan,“ jelasnya.

Dalam kes Zulaiha Adam dan Amri Din (kedua-duanya bukan nama sebenar), peguam syarie itu menjelaskan, meskipun perkahwinan mereka tidak pernah didaftarkan dan tidak hidup bersama, wanita tersebut tidak boleh terus menjatuhkan ‘hukum‘ atas keabsahan perkahwinan berkenaan.

“Kes ini sepatutnya dirujuk kepada pihak yang lebih arif sama ada pegawai di Pejabat Agama Islam ataupun mahkamah syariah.

“Disebabkan sikap Zulaiha yang terus menghukum itulah menimbulkan masalah baharu dengan berakhir perkahwinan kali kedua walaupun berstatus isteri orang atau disebut sebagai poliandri.

“Ketahuilah, poliandri adalah diharamkan dalam Islam berdasarkan Surah an-Nisa‘, ayat 24. Mujurlah Amri mengambil tindakan pantas dengan segera memfailkan tuntutan faraq nikah antara Zulaiha dan ‘suami baharunya‘ itu,“ katanya.

Kepada satu soalan, pengamal undang-undang syariah itu menjawab: “Suatu perkahwinan itu dikira sah jika telah memenuhi rukun-rukun yang telah ditetapkan oleh syarak.

Status perkahwinan

PENTING untuk pasangan suami isteri mendaftarkan perkahwinan mereka di Jabatan Agama Islam berhampiran sekiranya bernikah di luar negara atau dalam negara sama ada dengan kebenaran atau tidak.

“Jika pernikahan dilangsungkan di dalam kawasan adanya wali mujbir tersebut, seharusnya keizinan perlu diperoleh daripada wali tersebut.“

Namun, jika wanita berkenaan berada di luar kawasan mastautin atau lebih dua marhalah daripada wali mujbir dan bernikah tanpa keizinannya, perkahwinan itu adalah sah.

Hal itu katanya, dapat dilihat melalui Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52.

Ia antara lain memutuskan hukum pernikahan di luar negara adalah sah dengan syarat pernikahan itu mengikut rukun nikah, pernikahan itu melebihi dua marhalah, tiada keputusan mahkamah yang menghalang perempuan itu berkahwin atas alasan syarak di tempat dia bermastautin.

“Pernikahan itu juga dilakukan oleh wali hakim yang diiktiraf oleh wilayah negara berkenaan dan diakad nikahkan di wilayah berkenaan yang mana ia ditauliahkan sebagai wali hakim,“ terang Fazru Anuar.

Foto: Unsplash & 123rf