Browsing Tag

Isteri Farid Ravi meninggal dunia

Farid Ravi
Berita Semasa,

Dr Farid Ravi kongsi perjalanan terakhir isteri, mahu sempurnakan impian arwah

Dr Farid Ravi kongsi perjalanan terakhir isteri, mahu sempurnakan impian arwah

SEDIH dan rasa kehilangan. Itulah yang dirasakan Prof Madya Datuk Dr Mohd Farid Ravi Abdullah saat isteri kesayangan dijemput Ilahi pada petang Isnin lalu jam 5.40 petang.

Apatah lagi, teman sehidup sematinya itu, Allahyarhamah Datin Suziana Mohd Soyong, 47, pergi ketika bulan Ramadan kian menghampiri.

Lebih memeritkan apabila pemergiannya dekat benar dengan hari ulang tahun perkahwinan mereka yang menginjak usia 22 tahun pada 9 Mac ini.

Bagaimanapun, pendakwah terkemuka itu reda menerima segala ketentuan-NYA.

Baginya, dikurniakan isteri sebaik Suziana merupakan anugerah tidak terhingga daripada ALLAH SWT.

“Dia seorang isteri yang bertanggungjawab bukan sahaja dalam hal urusan rumah tangga, tetapi ummi (panggilan untuk arwah Suziana) memang cekap mengurus semuanya.

“Sekarang ALLAH beri saya rasa kehilangan dan sakit apabila hilang orang tersayang. Begitulah rasanya.

Farid Ravi

ALLAHYARHAMAH Suziana disifatkan sebagai isteri yang bertanggungjawab dan disenangi ramai.

“Kini, sayalah emak dan ayah kepada enam anak-anak kami. Doakan supaya saya kuat dan boleh jaga anak-anak,” titipnya ketika dihubungi Sinar Islam Plus.

Baca juga Isteri pendakwah terkenal, Ustaz Farid Ravi meninggal dunia

Jenazah Suziana selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Bandar Seri Putera kira-kira jam 11 malam, Isnin malam Selasa.

Allahyarhamah meninggalkan enam orang anak iaitu Asma’ Nabilah Mohd Farid Ravi, 21; Fatin Husna, 19; Anis Sumayyah, 17; Izzatul Iman, 14; Khaira Ulfa, 13 dan Muhammad Faris Rifqi, 7.

Dr Mohd Farid Ravi yang juga Rektor Universiti Islam Antarabangsa Selangor itu berkata, arwah Suziana sebenarnya membuat rawatan dialisis rutin di Hospital Serdang pada hari Sabtu lalu.

Perkara itu menjadi kelazimannya sejak tahun 2019 selepas disahkan mengalami masalah kegagalan buah pinggang oleh pakar.

Namun, entah bagaimana dirinya tidak sedarkan diri ketika kejadian.

Apabila dihubungi pihak hospital pada jam 7.30 malam hari berkenaan, beliau terus bergegas ke sana.

“Ummi dibawa ke kecemasan sebelum dipindahkan ke wad pada jam 7 malam hari Ahad.

Farid Ravi

SEBAHAGIAN orang ramai yang menziarahi dan menunaikan solat jenazah buat isteri Dr Mohd Farid Ravi di Masjid Bandar Seri Putera, Kajang pada Isnin lalu. -Foto: Ihsan USTAZ ZAHARI MAHAD MUSA

“Saya sentiasa berada di sampingnya sehinggalah ummi menghembuskan nafas terakhir. Begitu juga dengan anak-anak kami kecuali Faris (anak bongsu),” ceritanya mengimbas kembali detik-detik pemergian isterinya.

Lain daripada biasa

Sebelum menjalani rawatan dialisis, Dr Mohd Farid Ravi sempat mendengar isterinya membaca al-Quran di dalam bilik.

Entah mengapa dirasakan bacaan itu begitu menusuk kalbu.

Baca juga 5 nikmat dan janji ALLAH SWT kepada pencinta al-Quran

“Pada hari itu, saya tidak tahu mengapa saya rasakan bacaannya sangat luar biasa walaupun ummi biasa mengaji pada waktu tersebut,” ungkapnya dalam nada sebak.

Malah, sekitar jam 5.30 petang, Allahyarhamah Suziana juga sempat menghantar mesej kepada suaminya. Arwah berpesan supaya Dr Mohd Farid Ravi menjaga baik anak bongsu mereka, Muhammad Faris Rifqi yang baru sahaja berkhatan Jumaat lalu.

Satu persatu ingatan agamawan itu menerpa pada sikap arwah yang dirasakan sedikit lain ketika akhir hayatnya.

“Ummi sempat membelikan kereta untuk kak long dan anak-anak lain serta berpesan supaya membahagikan gelang miliknya kepada mereka. Minggu ini juga, ummi nampak ceria dan kerap selfie dengan anak-anak.

“Selain banyak bergurau, ummi juga ada cakap bahawa semua (orang) akan pergi, tetapi saya hanya take for granted (ambil mudah),” tuturnya.

Farid Ravi

DATIN Suziana Mohd Soyong (duduk, dua, kiri) dilaporkan meninggal dunia pada petang Isnin.

Paling merentap sanubari apabila arwah Suziana yang merupakan guru bahasa Arab di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Seri Putera, Kajang sempat menyusun baju dan seluar suaminya di dalam bilik mereka.

“Ummi pesan pada saya, jangan campur-campurkan baju dan seluar,” ujarnya.

Dari lubuk hati yang terdalam, ungkap Dr Mohd Farid Ravi, beliau mahu menyempurnakan impian arwah isterinya yang ingin melihat zuriat mereka berjaya.

“Ummi mahu melihat anak-anaknya pandai jaga kehormatan, jaga batasan, pergaulan dan mahu mereka sentiasa hidup dalam kekeluargaan,” ungkapnya sambil bertekad untuk memenuhinya.