PERISTIWA Israk dan Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab menjadi saksi satu lagi tanda kekuasaan ALLAH SWT. Sesungguhnya, apabila Sang Khalik berkehendakkan sesuatu, maka terjadilah ia.
Kejadian penuh menakjubkan itu berlaku setahun sebelum hijrah Nabi Muhammad dari Makkah ke Madinah. Mukjizat yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW itu sarat dengan 1,001 hikmah dan begitu besar nilainya di sisi Islam.
Secara ringkasnya, Israk bermaksud perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin dengan menunggang buraq, manakala Mikraj pula merujuk kepada pergerakan baginda dari Masjidil Aqsa ke Sidratulmuntaha.
Perkara itu ada dirakamkan dalam al-Quran menerusi Surah al-Isra’, ayat 1 dan Surah an-Najm, ayat 13 hingga 18.
Menariknya, ketika perjalanan tersebut, pendakwah Asma’ Harun menjelaskan, Nabi Muhammad SAW diberi kesempatan menjadi imam bagi para nabi di Masjidil Aqsa.
ASMA’
Ia sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Aku melihat diriku berada di Hijir Ismail, dan seorang Quraisy bertanya kepadaku tentang perjalananku (Israk dan Mikraj). Mereka bertanya pelbagai perkara mengenai Baitul Maqdis yang aku tidak ingat. Aku merasakan kesulitan yang tidak pernah aku alami. Lalu ALLAH memperlihatkannya kepadaku sehingga aku dapat melihatnya. Tidaklah mereka bertanyakan sesuatu daripadaku melainkan aku menjawabnya. Aku melihat diriku berada dalam kelompok para nabi. Kelihatan Nabi Musa AS sedang mengerjakan solat, ternyata dia seorang lelaki yang tinggi dengan rambut kerinting, seperti seorang pemuda suku Syanu’ah. Dan kelihatan Nabi Isa bin Maryam AS sedang mengerjakan solat, orang yang paling menyerupainya adalah Urwah bin Masud As-Tsaqafi. Dan kelihatan Nabi Ibrahim AS sedang mengerjakan solat, orang yang paling menyerupainya adalah sahabat kamu (iaitu baginda sendiri). Apabila tiba waktu solat, aku mengimami mereka. Setelah selesai solat berkata seseorang: Wahai Muhammad! Inilah Malik, penjaga neraka, berilah salam kepadanya. Aku berpaling kepadanya dan dialah yang terlebih dahulu mengucapkan salam.” (Hadis Riwayat Muslim)
Baca juga Israk Mikraj: Perjalanan penuh hikmah, berikut empat pengajaran daripadanya
Bukan itu sahaja, Asma’ menjelaskan, terlalu banyak perkara luar biasa yang berlaku sepanjang perjalanan agung Rasulullah SAW selama hanya satu malam tersebut.
Beliau kemudian menyenaraikan tujuh peristiwa lain yang dilihat baginda SAW sepanjang perjalanan Israk dan Mikraj itu menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya.
Antara perkara yang dilihat Nabi Muhammad SAW ketika peristiwa berkenaan seperti berikut:
1. Balasan bagi mereka yang suka mengumpat.
JAUHI perbuatan mengumpat yang jelas bertentangan dengan syariat Islam.
Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Pada malam aku dimikrajkan, aku melalui satu kaum yang mempunyai kuku daripada tembaga. Mereka mencakar muka dan dada mereka. Aku lalu berkata: “Siapa mereka ini, wahai Jibril?” Jibril menjawab: “Mereka ialah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah mereka.” (Hadis Riwayat Ahmad & Abu Daud)
Baca juga ALLAH tak ampunkan dosa mengumpat orang lain?
2. Bahana bagi pendakwah yang melupakan diri.
Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tatkala saya diisrakkan, saya melihat beberapa orang yang lidahnya dipotong dengan gunting dari api. Saya bertanya, ‘Wahai Jibril, siapakah mereka itu?’ Dia menjawab: ‘Mereka adalah para khatib umatmu, mereka memerintahkan kepada orang-orang untuk berbuat kebaikan, namun mereka melupakan diri mereka sendiri padahal mereka membaca kitab. tidakkah mereka menggunakan akalnya?” (Hadis Riwayat Ahmad)
3. Haruman keluarga Masyitah.
Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda: “Nabi Muhammad SAW tercium satu bau yang amat harum. Apabila baginda SAW bertanya pada Jibril AS, Jibril menjawab: “Itulah bauan Masyitah (tukang sikat anak perempuan Firaun) dan anak-anaknya. Satu hari, ketika dia (yakin Masyitah) sedang menyikat rambut anak perempuan Firaun, tiba-tiba sikat terjatuh dari tangannya. Ketika mengambil sikat itu ia berkata, ‘Bismillah (Dengan nama ALLAH).’ Lalu anak perempuan Firaun bertanya: ‘Adakah kamu menyebut nama bapaku?’ Masyitah menjawab, ‘Tidak, tetapi aku menyebutkan nama Tuhanku dan Tuhan bapamu, iaitu ALLAH’. Lantas anak perempuan Firaun memberitahu kepada ayahnya (Firaun), lalu Masyitah dibunuh bersama anak-anaknya.” (Hadis Riwayat Ahmad)
4. Telapak kaki bilal didengari di syurga.
CERITA telapak kaki Bilal bin Rabah didengari di syurga ada disebutkan dalam riwayat yang masyhur. -Gambar hiasan
Daripada Abu Hurairah RA, telah berkata Nabi Muhammad SAW kepada Bilal ketika solat Fajar: “Wahai Bilal! Khabarkan kepadaku amalan yang paling utama telah kamu lakukan sejak memeluk Islam. Ini kerana, aku mendengar gerakan kaki di sisiku di dalam syurga.” Bilal menjawab: “Tidak ada amalan utama yang aku amalkan kecuali aku akan berwuduk pada waktu malam atau siang melainkan aku akan solat dengan wuduk tersebut di samping solat-solat yang diwajibkan ke atasku.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Baca juga Selain kefarduan solat, berikut perkara lain semasa peristiwa Israk dan Mikraj
5. Melihat dajal dalam rupa asalnya.
Diriwayatkan daripada Nawwas bin Sam’an al Kilabi dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Bukan dajal yang aku khuatirkan akan memudaratkan kalian. Kerana jika dajal muncul, sedangkan aku masih berada di antara kalian, maka akulah yang akan menghadapinya, bukan kalian. Jika dia muncul, sedangkan saya tidak lagi berada di antara kalian, maka setiap orang Muslim wajib membela dirinya, dan ALLAHLAH yang menjaga setiap orang Muslim sepeninggalanku. Sesungguhnya dajal adalah seorang yang berusia muda, berambut kerinting, dengan bola mata yang menonjol. Dan sesungguhnya pasukan berkudanya memenuhi kawasan antara negeri Syam dan Iraq, lalu menyebar ke segala penjuru. Hai hamba-hamba ALLAH, berpendirian teguhlah kalian.” (Hadis Riwayat Muslim)
6. Diperlihatkan nabi-nabi dan umat masing-masing.
Ibn Anas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Nabi Muhammad SAW melintasi nabi-nabi AS dan melihat umat masing-masing. Ada nabi yang umatnya satu kaum, ada nabi yang umatnya beberapa orang sahaja dan ada nabi yang tidak berumat walau seorang pun. Kemudian baginda SAW melihat lautan manusia yang besar. Apabila baginda bertanya: “Siapa mereka? Dijawab kepada baginda SAW: “Itulah Musa bersama umatnya.” Kemudian dikata kepada Nabi Muhammad SAW: “Angkatlah pandanganmu dan lihatlah di ufuk sana dan ufuk sana.” Apabila Rasulullah SAW melihatnya, dikatakan kepada baginda: “Itulah umatmu. Di antara mereka akan ada 70,000 orang yang bakal memasuki syurga tanpa hisab.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)
7. Khasiat berbekam.
BERBEKAM mempunyai pelbagai manfaat. Malah, Rasulullah SAW juga pernah berbekam. -Gambar hiasan
Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, daripada Nabi Muhammad SAW, baginda bersabda: “Sebaik-baik hari untuk kalian (berbekam) adalah hari ketujuh belas, kesembilan belas dan kedua puluh satu, baginda bersabda: “Tidaklah aku melewati sekumpulan malaikat pada malam aku diisrakkan kecuali mereka berkata; ‘Engkau harus berbekam wahai Muhammad’.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Subhanallah, begitu banyaknya hikmah di sebalik peristiwa Israk dan Mikraj yang boleh kita hayati bersama.
Benarlah, memang tidak dapat disangkal lagi, kejadian bersejarah dalam Islam itu membawa satu pengertian yang cukup besar. Ini kerana ketika itulah, pensyariatan solat fardu lima waktu mula difardukan terus secara langsung kepada Rasulullah SAW sendiri dan tidak melalui Malaikat Jibril AS seperti kebiasaannya.
Justeru, sama-samalah kita menghayati hikmah yang amat bernilai menerusi perjalanan agung Rasulullah SAW di dalam peristiwa Israk dan Mikraj.
Foto: Freepik & Unsplash
Baca Lagi