Browsing Tag

israel

Negara Haram
Isu, Pilihan Editor,

Kutuk Nama ‘Negara Haram’ Dengan Pelbagai Gelaran, Ini Yang Perlu Kita Tahu

no comment

INSIDEN pencerobohan dan serangan tentera Israel ke atas rakyat Palestin dan para jemaah yang sedang beribadah di Masjid al-Aqsa ternyata mendatangkan rasa kurang senang dan memicu amarah umat Islam di seluruh dunia.

Bermula dengan peristiwa yang berlaku pada 7 Mei lalu iaitu ketika kita berada dalam fasa-fasa terakhir Ramadan, rentetan kronologi demi kronologi penindasan terhadap rakyat Palestin semakin parah hingga mengorbankan ratusan nyawa.

Melihat saudara seagama diperlakukan sedemikian rupa membuatkan kita tidak boleh duduk diam. Gesaan demi gesaan dibuat kerajaan negara Islam supaya menghentikan serangan di Palestin.

Masakan tidak, isunya bukan setakat menjaga nyawa rakyat Palestin, tetapi juga Masjid al-Aqsa merupakan kiblat pertama umat Islam.

Begitu banyak kesan sejarah dan nilai sentimental kepada umat Islam. Bahkan, masjid kedua yang dibina selepas Masjidil Haram di Makkah itu juga pernah menjadi saksi dan tempat persinggahan Nabi Muhammad SAW ketika peristiwa Israk.

Di situ jugalah tempat lahirnya para nabi dan rasul sebelum Nabi Muhammad SAW. Sebelum dunia tiba ke hari penamatnya, di kawasan itulah dajal akan dibunuh pada akhir zaman nanti oleh Nabi Isa AS. Saatnya akan tiba kelak, hanya ALLAH SWT sahaja yang MAHA MENGETAHUI.

Maka, tidak hairanlah mengapa situasi di Palestin itu begitu menjentik emosi umat Islam hinggakan ada yang menggelarnya ‘Israel laknatullah’, ‘Israel koyak’ dan pelbagai lagi gelaran-gelaran yang lain.

Negara Haram

SALAH satu bangunan yang menjadi sasaran bedilan tentera Israel hingga memaksa penduduk Palestin berpindah dan mencari perlindungan bagi menyelamatkan diri.

Baca juga Serangan Israel setiap kali RAMADAN?

Pun begitu, ada segelintir orang berpandangan, kita tidak boleh mengutuk negara Israel sedemikian rupa kerana Israel merupakan gelaran kepada Nabi Yaakub AS. Benarkah begitu?

Bagi menjawab kekeliruan ini, Sinar Islam Plus akan berkongsikan beberapa pandangan agamawan tentang perkara ini yang hangat diperdebatkan di media sosial ketika ini.

Bagi pendakwah Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Syed, tiada masalah jika kita menulis ayat ‘Israel koyak’ dan sebagainya kerana nama Israel sudah diterima oleh semua dan diketahui bahawa ia dinisbahkan secara khusus untuk negara dan manusia kafir yang beragama Yahudi.

PU SYED

“Walaupun asal nama Israel adalah nama lain bagi Nabi Yaakub AS, namun kutukan itu tidaklah diniatkan atau ditujukan kepada baginda, bahkan kepada yang berkenaan sahaja,” katanya sebagaimana yang dikongsikan menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

Senada dengan PU Syed ialah pendakwah Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai PU Salman.

PU SALMAN

Bagi menyokong fakta berkenaan, beliau berkongsikan pandangan Imam Syaukani bahawa ulama bersepakat menyatakan, Israel ialah Nabi Yaakub AS.

Malah, katanya, terdapat ulama seperti Syeikh Soleh Fauzan (Saudi Salafi) menyatakan, haram memaki Israel kerana ia nama nabi.

Begitupun, ujar PU Salman lagi, pandangan itu disanggah oleh ulama Azhar, Syeikh Isam Talimah, anak murid kanan Syeikh Yusof Qardawi.

“Hujahnya apabila seseorang mencerca Israel adalah bermaksud negara haram yang didiami Yahudi, bukan Nabi Yaakub.

“(Ia) Seperti kalau seseorang yang bernama Yaakub mencuri, kemudian kita sebut Yaakub mencuri, adakah salah kerana ia nama nabi? Tentu tidak kerana kita tidak maksudkan nabi,” jelasnya di Instagram miliknya.

Fakta itu turut disokong oleh pendakwah Adnin Roslan. Beliau turut memberikan kita penjelasan mudah untuk memahamkan beza antara Israel dan Yahudi.

ADNIN

Ujar Adnin, Israeal merupakan gelaran kepada Nabi Yaakub AS. Sementelah, Yahudi pula ada golongan yang kafir dan tidak beriman kepada ALLAH dalam kalangan bangsa Bani Israel.

“Dalam al-Quran, ALLAH tidak melaknat Bani Israel, tetapi yang ALLAH laknat ialah Yahudi. ALLAH gelarkan mereka dengan dua gelaran iaitu Yahudi dan juga ‘mereka yang kafir dalam kalangan Bani Israel’,” jelasnya menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

ALLAH SWT berfirman: “Dan orang-orang Yahudi berkata: “Tangan ALLAH terbelenggu.” Sebenarnya tangan merekalah yang dibelenggu dan merekalah yang dilaknat disebabkan apa yang telah mereka katakan itu…” (Surah al-Maidah, ayat 64)

Negara Haram

BEBERAPA penduduk Palestin menunaikan solat sunat Aidilfitri di luar kediaman mereka di Beit Lahia di utara Genting Gaza yang musnah akibat dibedil tentera Israel.

Dalam ayat yang lain, ALLAH SWT berfirman: “Telah dilaknati orang-orang kafir di kalangan Bani Israel dengan lisan Nabi Daud dan Nabi Isa, putera Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas.” (Surah al-Maidah, ayat 78)

Adnin yang juga Pengasas Tarbiah Sentap menjelaskan, Nabi Ibrahim AS yang merupakan ‘bapa’ kepada Bani Israel pun terlepas diri daripada Yahudi.

Ia sebagaimana disebutkan dalam firman ALLAH SWT: “Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada ALLAH), dan ia pula bukanlah dari orang-orang musyrik.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 67)

Berdasarkan ungkapan berkenaan, Adnin menasihatkan agar kita tidak menulis atau menggelarkan ‘Israel laknatullah’. Sebaliknya, gunakan ayat ‘Yahudi laknatullah’.

Seandainya kita menyebut ‘hancur Israel’ dan menisbahkan Israel sebagai nama negara haram itu, jelas beliau, maka tiada masalah berbuat demikian.

“Namun, jangan sesekali kita nisbahkan Israel kepada Nabi Yaakub AS.

“Ingatlah bahawa Yahudi ialah kaum Bani Israel yang tidak beriman kepada ALLAH dan kafir. Mereka inilah yang dilaknat oleh ALLAH.

“Sementara itu, negara Israel pula adalah nama negara haram yang dibina oleh puak Zionis,” jelasnya.

Negara Haram

SEKUMPULAN pemuda Palestin menggunakan tong sampah sebagai ‘perisai’ mereka ketika berdepan dengan pasukan keselamatan rejim Zionis berhampiran pos pemeriksaan Hawara di bandar Nablus di Tebing Barat pada Jumaat. -Foto: AFP

Justeru, sama-samalah kita menadah tangan mendoakan kesejahteraan dan keselamatan Palestin dan Masjid al-Aqsa. Doakan senjata ampuh bagi orang mukmin.

Foto: AFP, Koleksi Foto Sinar Harian, Instagram _pusyed, ustazadnin & pusalman