Browsing Tag

indonesia

indonesia hafal al-quran guna bahasa isyarat
Antarabangsa, Berita Semasa,

Pelajar kurang pendengaran di Indonesia hafal al-Quran guna bahasa isyarat

GARA-gara bimbang terhadap pelajar dengan masalah pendengaran yang sukar mendapat akses kepada pendidikan Islam, seorang warga Indonesia Abdul Kahfi telah mengasaskan sekolah pondok khas untuk golongan tersebut mempelajari al-Quran menerusi bahasa isyarat.

Ditubuhkan pada tahun 2019 di Yogyakarta, Jawa Tengah, Sekolah Agama Darul A’shom terdiri daripada 12 tenaga pengajar serta 115 pelajar berumur antara 7 hingga 28 tahun dari seluruh kepulauan itu.

Seperti yang dilaporkan Arab News, Abdul Kahfi berharap dengan adanya sekolah seperti Darul A’shom, generasi akan datang akan lebih mudah untuk mempelajari agama Islam.

“Ramai orang dewasa dengan masalah pendengaran kini tidak mempunyai pengetahuan mendalam terhadap agama kerana mereka tidak pernah belajar mengenainya pada zaman persekolahan dahulu,” kata ulama itu.

Baca juga Gunakan ‘bahasa kasih sayang’ sebarkan Islam, pendekatan unik imam di Turkiye

Di Indonesia, pengajaran agama yang disediakan oleh sekolah awam kepada kanak-kanak dengan keperluan khas sangat terhad dan hanya bermula ketika mereka berusia lapan atau sembilan tahun. Hal ini berbeza dengan pelajar biasa lain yang mula mendapat pendidikan Islam seawal peringkat tadika.

Selain itu, hasil tinjauan oleh agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mendapati hanya tiga daripada 10 kanak-kanak kurang upaya di Indonesia yang mampu bersekolah.

indonesia hafal al-quran guna bahasa isyarat

KEWUJUDAN pusat pengajian seperti Darul A’shom memberi peluang kepada individu kurang pendengaran untuk mendalami ilmu agama.

Di Darul A’shom, pelajar biasanya mengambil masa kira-kira lima tahun untuk belajar mengaji dan menghafaz al-Quran.

Berbanding orang biasa yang boleh menghafal suku kata untuk membaca teks al-Quran dengan kuat, individu yang cacat pendengaran perlu mengingati setiap isyarat tunggal bagi kesemua 30 juzuk ayat kitab suci itu.

Baca juga Warga Indonesia berbasikal 5000 km untuk tunaikan haji

Muhamad Rafa, 13 tahun yang sudah dua tahun belajar di sekolah itu, menggunakan isyarat jarinya untuk tanda bacaan berbeza bagi menghafal ayat al-Quran di hadapannya.

“Saya amat gembira bersekolah di sini. Di rumah sangat sunyi, tiada siapa untuk bercakap kerana saya sahaja yang pekak, semua orang normal,” kata Rafa, yang sudah menghafal sembilan juzuk al-Quran, kepada wartawan AFP melalui jurubahasa.

Baca juga Pemuda Mesir khatam al-Quran dalam masa 7 jam

Selain ilmu al-Quran, pelajar juga diajarkan undang-undang Islam, matematik, sains dan bahasa asing supaya mereka dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Dalam masa sama, pihak sekolah juga berdepan cabaran untuk meningkatkan keyakinan pelajar sebagai anggota masyarakat yang bermasalah pendengaran.

indonesia hafal al-quran guna bahasa isyarat

DARUL A’shom juga menawarkan pendidikan selain agama seperti ilmu matematik dan sains.

“Dahulu, anak saya mengalami masalah keyakinan diri kerana dia tahu dia berbeza. Sejak dia bersekolah di sini, rasa malu untuk berdepan dengan orang ramai sudah berkurang. Dia beritahu saya, TUHAN menjadikan dia seperti ini dan dia menerima seadanya,” kata Zainal Arifin, ayah kepada Arfi yang merupakan salah seorang pelajar di situ.

Baca juga Gaza disekat bukan penghalang bagi pereka fesyen Palestin ini

Indonesia mempunyai banyak pondok pesantren dan sekolah agama. Adakalanya, sekolah jenis agama menjadi satu-satunya jalan bagi anak-anak daripada keluarga miskin mendapatkan pendidikan.

Sehubungan itu, bagi pelajar yang tidak mampu untuk membayar yuran sekolah sebanyak 1 juta rupiah atau kira-kira RM302.00, mereka ditawarkan belajar secara percuma hasil wang derma atas inisiatif Abu Kahfi.

Pelajar kurang pendengaran di Indonesia hafal al-Quran guna bahasa isyarat

Foto dan sumber: Arab News & RTM

basikal ke haji
Antarabangsa, Berita Semasa,

Warga Indonesia berbasikal 5000 km untuk tunaikan haji

SEORANG bakal haji dari Indonesia berbasikal sejauh 5000 km semata-mata untuk menunaikan ibadah haji.

Tiba sahaja musim haji, seperti biasa umat Islam seluruh dunia berbondong-bondong ke Tanah Suci Mekah bagi melaksanakan rukun Islam yang kelima. Masing-masing mempunyai kisah perjalanan tersendiri. Ada yang memandu ke sana, menaiki kapal terbang dan tidak kurang juga yang berjalan kaki.

Bagi Muhammad Fauzan, dia akhirnya tiba di Arab Saudi setelah mengayuh basikal sejauh 5000 km dari kota Magelang, Jawa Tengah, Indonesia. Perjalanan itu memakan masa hampir lapan bulan, seperti yang dilaporkan agensi berita Saudi Gazette.

Anak kelahiran Indonesia tersebut memulakan pengembaraannya pada 4 November 2021 dan telah selamat menjejakkan kaki di Mekah dua minggu lalu dan dia terus menjalankan ibadah umrah.

basikal ke haji

FAUZAN mengucapkan selamat tinggal kepada sanak saudara di Magelang, Indonesia.

Mengayuh ke jalan ALLAH

“Tujuan saya (berbasikal) adalah untuk menunaikan haji dan menziarahi tiga masjid utama dalam Islam, iaitu Masjidil Haram di Mekah, Masjid Nabawi di Madinah dan Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis. Selepas menjalani ibadah haji, saya bercadang untuk mengayuh ke Palestin pula untuk melawat Masjid al-Aqsa dan negara-negara Arab yang lain.” ujarnya.

Kata Fauzan, perjalanan ini menjadi contoh terbaik bagaimana suatu perkara yang dianggap mustahil, dapat dilakukan dengan izin ALLAH SWT.

“Ramai yang memberitahu saya bahawa perjalanan ini mustahil untuk dilakukan. Namun, saya percaya apa-apa perkara pun boleh dicapai asalkan kita mempunyai niat yang baik, bekerja keras serta berdoa bersungguh-sungguh kepada ALLAH.

Baca juga ‘Cycling Imaam’ ke arah komuniti Oldham lebih sihat

Selain itu, Fauzan yang bekerja sebagai guru agama juga berpendapat bahawa mengayuh basikal adalah cara yang terbaik untuk menunaikan haji dengan kadar segera.

“Kebiasaannya, rakyat Indonesia terpaksa menunggu hampir 40 tahun untuk mendapatkan giliran menunaikan haji. Namun, saya sudah tidak sabar untuk menjejakkan kaki di Tanah Suci jadi saya mula bersiap-siap menyimpan wang gaji bekerja sebagai guru,” katanya.

Pahit manis mengayuh basikal

Selain simpanan wang sebanyak 10 juta rupiah Indonesia (RM 3,000), Fauzan juga menjual produk jamu tradisional serta menyediakan khidmat rawatan bekam di masjid-masjid sepanjang perjalanan dari Magelang untuk mendapatkan wang bagi menampung perbelanjaan pengembaraannya.

basikal ke haji

FAUZAN menerima sambutan baik daripada pegawai Kedutaan Besar Indonesia di setiap negara yang dilaluinya.

Ujar Fauzan, “Jakarta yang berada 500 km dari kampung halaman saya menjadi destinasi pertama. Kemudian, saya kayuh ke Bandan untuk mengambil feri ke Sumatera. Setelah melalui daerah Jambi, saya tiba di Pulau Batang dan menaiki feri ke Singapura pula.”

Walaupun dihambat kepenatan sepanjang perjalanan, Fauzan tidak meninggalkan tuntutan puasa di bulan Ramadan. Sepanjang bulan suci itu, dia berbuka puasa di masjid-masjid sekitar Singapura dan Malaysia. Malah, Fauzan turut serta menyambut perayaan Aidilfitri di Malaysia.

Tambahnya, ketika di Kuala Lumpur, Pegawai Kedutaan Indonesia di Malaysia, Hermono turut menaiki basikal bersama Fauzan sebagai tanda sokongan.

Baca juga Gara-gara kos melambung, sebilangan penduduk Maghribi terpaksa batalkan hasrat tunaikan haji

Namun, pengembaraan basikal Fauzan terpaksa dihentikan di Thailand apabila dia menghadapi kesukaran mendapatkan visa kemasukan ke Myanmar.

“Segala usaha saya untuk mendapatkan visa bagi memasuki Myanmar tidak berhasil. Jadi, saya terpaksa berhenti di Thailand setelah mengayuh sejauh 4000 km. Akhirnya, saya mengambil penerbangan dari Bangkok ke Riyadh pada 26 Mei,” jelasnya.

Basikal ke haji

BAGI Fauzan, tiada perkara yang mustahil jika berbekalkan usaha keras dan doa kepada ALLAH SWT.

Dari Riyadh, Fauzan menyambung kayuh basikal ke bandar Mekah yang terletak 900 km jauhnya sebelum ke Jeddah dimana dia disambut baik oleh Konsulat Jeneral Indonesia, Eko Hartono.

Menurut Fauzan, dia menjangkakan kebenaran untuk menunaikan haji akan diterimanya tidak lama lagi memandangkan Misi Haji Indonesia di Jeddah sudah mula memproses permohonannya.

Sumber dan Foto: Saudi Gazette