Browsing Tag

Inai

Inai
Antarabangsa,

Kerana inai, seorang pelajar perempuan Muslim di London dikeluarkan dari kelas

GARA-GARA memakai inai sempena sambutan Hari Raya Aidiladha baru-baru ini, seorang pelajar Muslim di London mendakwa dikeluarkan dari kelas selama tiga jam.

Insiden itu melibatkan seorang pelajar perempuan, Ayah Lakehal, 12, dari Ark Global Academy di tenggara London pada Isnin lalu.

Tindakan tersebut membuatkan ibunya, Layla Harhala berang, sebagaimana yang dilaporkan oleh BBC pada hari Sabtu.

“Saya marah, sedih dan kecewa. Pihak sekolah menyatakan, anak saya hanya dibawa keluar dari kelas selama sejam sementara keputusan (untuk tindakan lanjut) dibuat dan tiada hukuman tambahan dikenakan,” katanya kepada wartawan BBC.

Memetik laporan portal berita The New Arab, umat Islam terutama di negara Timur Tengah, Afrika Utara, Asia Selatan dan bahagian sub-Sahara Afrika akan menghiasi tangan atau bahagian badan masing-masing dengan lukisan inai.

Baca juga Apakah sebenar hukum wanita mewarnakan kuku menurut Islam?

Ia sebagai sebahagian daripada sambutan Hari Raya Aidilfitri, Aidiladha dan majlis-majlis lain seperti perkahwinan.

Malah, pemakaiannya adalah tidak lama kerana inai yang berasal dari tumbuhan itu hanya boleh bertahan sehingga dua minggu.

Inai

LAYLA (kiri) mendakwah anaknya Ayah Lakehal dikeluarkan dari kelas selama tiga jam pada hari Isnin lalu gara-gara memakai inai sempena merayakan Aidiladha baru-baru ini.

Layla yang juga seorang bidan kanan di Hospital King’s College menjelaskan, lukisan inai itu digunakannya bersama anak perempuannya pada hari Sabtu ketika Aidiladha sebagai sebahagian sambutan perayaan tersebut.

Begitupun, pada hari Isnin lalu, Ayah Lakehal telah menghantar teks mesej kepadanya dari tandas sekolah secara senyap-senyap memberitahu tentang tindakan tersebut yang didakwa melanggar polisi pakaian seragam sekolah.

Wanita berusia 47 tahun itu berkata, sudah tentu sebagai seorang ibu, beliau berasa kasihan atas kejadian yang menimpa anak perempuannya.

“Saya fikir, kita semua harus bebas untuk meraikan (hari raya) dengan cara yang berbeza dan bagaimana kita suka menyambut hari raya masing-masing.

“Bayangkan ketika proses pengasingan itu, anda hanya dapat skrin komputer dan perlu menjalankan kerja-kerja sendiri secara senyap. Tiada permohonan maaf diberikan. Saya marah,” katanya.

Baca juga Guru Dituduh Tanggal Tudung Pelajar Islam

Malah, Ayah Lakehal juga mengadu dengan menyatakan bahawa dirinya berasa tersisih dan didiskriminasi kerana agama. Pelajar itu turut menyatakan: “Saya berasa sangat tertekan kerana tidak dibenarkan meraikan hari raya sekali atau dua kali setahun.”

Sementara itu, Layla berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk memakai inainya ketika bekerja.

“Apa masalahnya? Ia hanya dua kali setahun untuk hanya dua minggu (inai itu). Kami tidak melakukan apa-apa kesalahan pun, sebaliknya kami hanya meraikan hari raya.

Inai

JURUCAKAP sekolah menyatakan, pemakaian inai pada masa ini tidak termasuk dalam polisi uniform sekolah. -Gambar hiasan

“Pada masa ini, dasar (sekolah) tidak jelas. Mereka nampaknya tidak dapat menunjukkan kepada saya di mana yang dikatakan haram sekarang. Saya mahukan penjelasan, ini diskriminasi,” tegasnya.

Tiada sekatan berterusan di sekolah

Dalam pada itu, BBC turut mendapatkan pihak sekolah bagi mengulas lanjut tentang dakwaan berkenaan.

Jurucakap sekolah tersebut menyatakan: “Dasar uniform sekolah menyatakan bahawa solekan adalah dilarang di sekolah dan kami mempunyai garis panduan lain mengenai barang kemas dan perhiasan.

“Pemakaian inai pada masa ini tidak termasuk dalam polisi uniform sekolah. Oleh itu, satu jam masa yang diambil untuk mempertimbangkan sama ada pelajar itu boleh meneruskan kelas seperti biasa atau tidak.

“Selepas satu jam, pelajar berkenaan kembali belajar seperti biasa dan tiada sekatan berterusan dikenakan,” katanya.

Baca juga Sekolah Tarik Balik Tindakan Undang-Undang, Benarkan Pelajar Pakai Skirt Panjang

Jurucakap sekolah itu menambah, pihaknya akan menyemak semula dasar uniform sekolah bagi memastikan semua ahli komuniti jelas tentangnya.

“Ark Global Academy berbangga menjadi sekolah yang inklusif dan pelbagai dengan mempunyai pelajar dan kakitangan daripada pelbagai latar belakang dan agama,” katanya.

Foto: BBC & Canva