Browsing Tag

Imamkan solat jenazah

Imamkan solat jenazah
Berita Semasa, Ibadah,

Imamkan solat jenazah untuk ibu bapa meninggal, anak lebih afdal daripada tok imam

MELIHAT seorang anak imamkan solat jenazah untuk ibu bapanya membuatkan sesiapa sahaja mudah tersentuh, beremosi dan mata ‘berkaca-kaca’. Lebih-lebih lagi anak itu masih lagi berusia belasan tahun.

Benar, itulah yang kita saksikan apabila seorang pemuda, Abdurrahman Amir Ruddin, 19 menjadi imam solat jenazah buat kedua-dua orang tuanya yang meninggal dunia selepas terlibat kemalangan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, Segamat, Johor baru-baru ini.

Mereka ialah Allahyarham Amir Ruddin Ismail, 46 dan isterinya Norahimah Noor Muhammad, 43. Turut terkorban dalam insiden tersebut ialah empat orang adik beradiknya. Hilang enam beranak dalam sekelip mata. Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Demikianlah bakti terakhir seorang anak kepada ibu bapanya sebelum mereka meninggalkan dunia.

Imamkan solat jenazah

ABDURRAHMAN menyiram air mawar di pusara kedua ibu bapanya dan empat adik beradinya yang terkoban dalam nahas jalan raya di Johor. -Foto: Bernama

Menurut pendakwah Ustaz Abdullah Khairi, antara piawaian seorang anak yang soleh apabila dirinya mampu menunaikan solat jenazah dan menguruskan kematian orang tuanya.

Baca juga Ada yang ‘mandul’ walaupun anak ramai

“Seorang anak yang soleh, bila bapanya mati, anak itu boleh sembahyang jenazah bapanya. Bila bapa itu mati, anak itu boleh mandikan jenazah bapanya.

“Apabila ayahnya duduk di dalam kubur, si anak boleh menghantarkan pahala doa untuk bapanya yang berada di dalam barzakh,” katanya menerusi sebuah video yang dikongsikan dalam TikTok.

Antara anak dan imam, siapakah yang afdal menjadi imam solat jenazah?

Menjawab persoalan itu, pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, sudah tentulah anak yang paling afdah mengimamkan solat jenazah untuk ibu bapanya.

USTAZ AZHAR IDRUS

“Para ulama menyebut, apabila berlaku kematian seseorang contohnya ibu bapa, yang paling afdal adalah anak si mati (imamkan solat jenazah).

Baca juga Adik Syahril, bukti jasa sang anak hingga akhir nafas seorang ibu

“Andai tok imam, sultan atau orang kampung dan sebagainya menjadi imam (solat jenazah ibu bapa kita), harus hukumnya.

“Perlu difahami afdal itu bukanlah bermaksud wajib, tetapi dialah yang terlebih molek (terbaik) dan terlebih banyak pahala,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di YouTube miliknya.

Sementara itu, pendakwah Syeikh Zaini Ahmad menerusi video yang disiarkan dalam YouTube D’nar Cairo SKJDP berkongsikan fadilat apabila seorang anak mengimamkan solat jenazah ibu bapanya yang meninggal dunia.

Jelas beliau, pintu syurga akan terbuka kerana ALLAH merahmati si mati asbab anaknya yang mendirikan solat jenazah buat orang tua mereka.

“Bayangkan anaknya sendiri yang bertakbir dengan penuh kasih sayang. Sebenarnya harapan dia (anak) supaya ALLAH buat baik pada mak dia, itulah doanya dalam hati yang tidak terkeluar pada mulut. Doa itu mustajab.

“Dia (anak) tak baca doa apa, tapi harapan dia itu ‘Ya ALLAH, ampunkanlah dosa mak aku’, itu doalah tu. Mana-mana mak ayah yang mati disolatkan jenazah diimamkan oleh anak, ketahuilah, mak ayah itu calon ahli syurga.

Baca juga (VIDEO) Anak soleh aset ibu bapa ke syurga

“Kalau kami hendak mak kamu di syurga, maka buatlah sesuatu yang terbaik kali terakhir untuk dia,” ungkapnya.

SYEIKH ZAINI

Justeru, Syeikh Zaini menyarankan agar semua anak mendalami ilu berkaitan pengurusan jenazah. Begitu besar manfaat dan imbalannya kelak.

“Bayangkan apabila kita mati nanti, apabila mendengar suara anak kita (yang mengimamkan solat), betapa bahagianya kita kerana anak yang dididik dan dibela berbuat demikian.

“Kata ulama, apabila seseorang anak memandikan jenazah ibunya, ketika menggosokkan tangannya, katalah ‘Mak, tangan inilah yang suap saya makan, bagi saya susu. Hari ini, saya basuhkan tangan mak yang telah menyuapkan saya makan’.

“Apabila basuh tangan ayah, sapu tangannya dan berkata ‘Ayah, inilah tangan ayah yang cari rezeki untuk saya, bagi saya makan…Saya reda ayah, ayah redalah saya’.

“Peluang untuk kita minta sesuatu daripada ALLAH untuk membahagiakan mak, ayah,” ungkapnya.

Justeru, usah lepaskan peluang berkhidmat untuk ibu bapa kita sehingga nafas mereka yang terakhir. Berbaktilah kepada insan yang telah banyak bersusah payah untuk kita selagi hayat dikandung badan.