Browsing Tag

ILMI

A
Agama, Berita Semasa, Dalam Negara,

Warga ILMI diseru mantapkan diri dengan ilmu dan profesionalisme

WARGA Institut Latihan dan Kefahaman Islam Angkatan Tentera Malaysia (ILMI ATM) perlu bersiap siaga sepanjang masa khususnya dalam memantapkan diri dengan  ilmu  dan profesionalisme sepanjang menjalankan perkhidmatan.

Perkara tersebut ditekankan oleh Komandan ILMI ATM, Lt Kol Ismail Wahab pada ucaptama beliau yang disampaikan pada majlis sambutan Hari Ulang Tahun penubuhan ILMI ATM Ke-20.

“Kebajikan kakitangan, warga ILMI dan penuntut juga perlu sentiasa dipelihara agar kerjaya anggota, pengurusan keluarga dan segala hal berkaitan kebajikan diambil perhatian oleh semua warga di ILMI dengan sikap yang terbuka dan berlapang dada,

“Demikian juga keselamatan prasarana dan peralatan di ILMI adalah tanggungjawab bersama dalam menjaga dan jangan sesekali terleka kerana ILMI adalah hak kita, selagi kita berada di ILMI ATM,” kata beliau lagi.

LT Kol Ismail Wahab menyampaikan ucaptama sempena Hari Ulang tahun ILMI ke 20 oleh Komandan ILMI ATM yg ke 7

 

Upacara Perbarisan Hari Ulang Tahun ILMI ATM Ke-20 dizahirkan di Padang Kawat ILMI ATM dengan penglibatan semua kakitangan dan penuntut di ILMI ATM yang diketuai oleh Pemangku Timbalan Komandan ILMI ATM, Mej Zainal Azira Ahmad Zabidi.

Perbarisan diserikan dengan acara penyampaian Sijil Anugerah Khas Komandan kepada  PW II Mohd Fakhrul Afizi Mohd Bakri daripada Cawangan Akademik, Kpl Mohd Fikri Adzeman dari Cawangan Peperiksaan & Validasi, Kpl Samsurih Sailin dari Sel Urus Tadbir dan Kpl Mohd Anas Syamil Isa dari Sel Logistik.

Cawangan Akademik ILMI dipertanggungjawabkan bagi memastikan setiap kursus yang dirancang dan dilaksanakan mencapai objektif yang digariskan kepada setiap penuntut Kursus Kerjaya KAGAT dalam melaksanakan tugas-tugas mereka di Pasukan / Formasi ketiga-tiga perkhidmatan ATM dengan jayanya.

Penuntut-penuntut Kursus Tiga Khidmat didedahkan panduan ilmu-ilmu agama yang betul serta berupaya beramal dengannya ke arah melahirkan warga ATM yang beriman, berilmu dan beramal sekaligus menyokong kekuatan tempur Spiritual Combat Power.

Dalam memastikan kursus-kursus di ILMI berjaya dilaksanakan, Cawangan Tadbir dan Logistik berfungsi sebagai tulang belakang ILMI ATM bagi menguruskan keperluan Sajian dan Penginapan serta Fasiliti di ILMI diselia, dirawat dan diselenggara pada sebilang masa dengan sempurna agar cogan kata I Love ILMI tercapai dan melekat di hati semua warga ILMI ATM.

Cawangan peperiksaan dan validasi ILMI juga memainkan peranan besar dalam memastikan setiap kursus dilaksanakan di ILMI berkesan dan dibuat analisa bagi meningkatkan kursus yang sedia ada berjaya serta meninggalkan kesan positif kepada semua warga ATM.

Upacara Perbarisan Hari Ulang Tahun ILMI ATM Ke-20 diteruskan dengan teriakan Berjuang Berilmu, bacaan doa dan perbarisan.

PERBARISAN bersempena Hari Ulang Tahun, Institut Latihan dan Kefahaman Islam Angkatan Tentera Malaysia (ILMI ATM) Ke-20

 

PARA pegawai meraikan Hari Ulang Tahun Institut Latihan dan Kefahaman Islam Angkatan Tentera Malaysia (ILMI ATM)

 

FORMASI Hari Ulang Tahun, Institut Latihan dan Kefahaman Islam Angkatan Tentera Malaysia (ILMI ATM) dalam huruf jawi

 

PERAJURIT negara sedang mengaminkan bacaan doa

 

PENUNTUT Kursus Penasihat Hal Ehwal Islam Siri 3/2023 merakam kenangan pada sambutan Hari Ulang Tahun, Institut Latihan dan Kefahaman Islam Angkatan Tentera Malaysia (ILMI ATM) Ke-20

 

PW ll Mohd Fakhrul Afizi Mohd Bakri daripada cawangan Akademik menerima Sijil Anugerah Khas Komandan

 

ARTIKEL ini disediakan oleh Kapten Mohd Firdaus bin Mohamad Yusof (Pegawai ICT ILMI ATM), dan disunting untuk siaran oleh Editorial Sinar Islam Plus.