Browsing Tag

ikan tidak dibuang isi perut

Ikan masin
Hukum,

Makan ikan masin, pekasam yang tak dibuang isi perutnya, haramkah dijamah?

WALAUPUN ikan termasuk ikan masin bukan termasuk dalam kategori bangkai dan boleh dimakan, namun kita tetap perlu berwaspada.

Lebih-lebih lagi apabila menjamah ikan yang sudah ‘dijeruk’ seperti ikan kering atau masin, mahupun pekasam.

Ini kerana ada yang tidak dibuang isi perutnya sebelum ia diproses menjadi makanan berkenaan.

Namun begitu, adakah hukum yang sama turut terpakai untuk ikan pekasam dan seangkatan dengannya juga? Apakah pandangan Islam mengenainya?

Baca juga Siang ikan hidup-hidup, di mana keihsanan sebagai manusia? Ini hukumnya yang wajib diketahui

Sinar Islam Plus memetik pandangan para fuqaha Mazhab Syafie yang membahaskan tentang hukum memakan ikan masin tidak dibersihkan isi perutnya sebagaimana dipetik menerusi laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Menerusi kitab al-Jawahir, fuqaha Mazhab Syafie berpandangan: “Semua ikan masin yang tidak dikeluarkan segala isi perutnya, maka ia dianggap najis.”

Ikan

IKAN masin, pekasam atau ikan kering yang tidak dikeluarkan segala isi perutnya dianggap najis dan tidak halal dimakan, kecuali jika ikan tersebut kecil yang sukar dibuang segala isi dalaman perutnya. -Foto: Freepik

Melihat kepada fakta itu, maka Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan, ikan berkenaan dianggap najis dan tidak halal dimakan.

Ia termasuklah ikan besar atau kecil, menurut zahir pendapat berkenaan.

“Bagaimanapun, Imam al-Rafi’i dan al-Nawawi mengatakan, ikan kecil yang masih terdapat isi perut halal dimakan atas sebab kesukaran untuk membersihkannya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Al-Kafi #1952: Hukum Makan Ikan Yang Tidak Dibuang Isi Perut yang disiarkan dalam laman web pejabat mufti tersebut.

Baca juga Walaupun buaya haram dimakan, tapi telurnya halal disantap

Justeru, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengingatkan umat Islam bahawa tidak halal memakan ikan masin atau ikan kering mahupun pekasam yang tidak dibersihkan segala isi perut, tahi mahupun darahnya, menurut Mazhab Syafie.

“Namun, bagi ikan kecil yang sukar dibuang segala isi dalaman perut adalah dimaafkan untuk dimakan,” katanya.

Bagi pengusaha ikan masin, ikan kering dan pekasam, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menasihatkan mereka agar cakna terhadap kebersihan dengan membuang segala kekotoran dalam rongga perut ikan yang bersaiz besar.

“Adapun, isi perut ikan yang sukar dibersihkan kerana saiz ikan terlalu kecil, maka ia termasuk najis yang dimaafkan dan halal untuk dimakan,” katanya.

***Foto: Freepik