Browsing Tag

ibu bapa

Derhaka
Berita Semasa,

Adakah dikira derhaka jika tegur ibu bapa lakukan kesalahan?

ANAK derhaka. Ungkapan itu begitu dibimbangi dan ditakuti kebanyakan masyarakat. Ia umpama ‘sumpahan’ yang boleh membuatkan hidup kita porak-peranda.

Tidak hairanlah jika tiada siapa yang mahu dirinya digelar sebagai anak derhaka ataupun si Tanggang.

Justeru, penting untuk kita pastikan apa jua perkara yang dilakukan mestilah mendapat reda dan restu kedua-dua orang tua masing-masing. Merekalah insan yang paling banyak berjasa daripada ketika mengandung, melahirkan dan membesarkan kita.

Betapa perit dan jerih perlu dilalui oleh orang tua kita semata-mata demi melihat zuriat mereka menjadi insan berguna, bukan sebagai anak derhaka.

Baca juga Anak Derhaka Tak Layak Cium Bau Syurga! Ini Yang Perlu Diketahui

Tambahan pula, untuk menggapai keredaan ALLAH SWT, seorang anak perlu mendapatkan restu dan reda ibu bapa masing-masing.

Derhaka

UNTUK meraih keredaan ALLAH SWT, kita perlu mendapatkan reda dan restu ibu bapa.

Begitupun, andai ibu bapa ada melakukan kesilapan, bagaimanakah cara terbaik bagi seorang anak memperbetulkan kekhilafan ibu bapa masing-masing? Adakah mereka dikira derhaka apabila menegur orang tua?

Menjawab persoalan itu, pendakwah Ustaz Mohammad Wadi Annuar Ayyub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar menjelaskan, wajib menegur ibu bapa andai mereka ada melakukan kesilapan.

Jangan biadab

Pada masa sama, katanya, terdapat adab yang perlu dipenuhi sebagaimana yang diajar dalam agama Islam.

USTAZ WADI ANNUAR

“Teguran yang dibuat itu jangan sesekali menggunakan bahasa yang kesat dan tidak menegur mereka di khalayak ramai dengan membuka aib orang tua kita.

“Seperkara lagi, biarlah nasihat yang diberikan kepada ibu bapa tadi tidak mengguriskan hati mereka. Paling penting, tegur mereka apabila kita bersama emak atau ayah kita sahaja.

“Pendek kata, seorang anak perlu menggunakan perkataan dan ungkapan yang elok serta tidak menghiris hati mereka. Jagalah hati insan yang paling banyak berjasa dalam hidup kita. Itulah ketentuan ALLAH SWT dalam alam ini,” ungkapnya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Baca juga Anak boleh nasihat ibu bapa jika buat salah. Ini cara yang betul…

Menyambung hujahnya, agamawan itu kemudian mengingatkan seluruh umat Islam dengan kalam ALLAH yang memerintahkan supaya kita berbuat baik kepada ibu bapa.

Firman ALLAH SWT: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain-NYA dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara mereka atau kedua-duanya sudah sampai usia tua dalam pemeliharaanmu, maka janganlah sekali-kali kamu mengatakan kepada mereka perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak merela, dan ucapkanlah perkataan yang baik-baik kepada mereka.” (Surah al-Isra’, ayat 23)

Derhaka

KEPADA yang masih mempunyai ibu bapa, ziarahlah selalu serta penuhi segala keperluan dan menyantuni mereka.

Keberkatan hidup

Berdasarkan ayat itu, ujar Ustaz Wadi Annuar, ALLAH SWT menentukan dan mematerikan perintah supaya kita menyantuni ibu bapa dan tidak boleh mengeluh, apatah lagi menarik muka.

Tidak kiralah siapa pun orang tua kita waima dia seorang kaki botol mahupun pelacur, sebagai anak, kita tidak boleh menjerkah mereka dengan kata-kata kesat, ungkapnya.

“Apalagi menghina mereka dengan ungkapan yang menjelikkan. Ketahuilah, berdosa besar jika kita mengangkat suara yang tinggi di hadapan ibu ayah kita walaupun kedua-dua orang kita merupakan pelaku maksiat.

“Ingatlah, ketetapan ALLAH SWT itu tidak akan berubah buat selama-lamanya. Perintah itu bukan sahaja kekal sampai kiamat, tetapi selagi mana wujudnya syurga ataupun neraka, wujudnya seluruh alam ini sampai bila-bila.

Baca juga [VIDEO] Anak kena gantikan puasa yang tidak sempat diqada oleh ibu bapa mereka yang sudah meninggal…

“Kita tiada pilihan kerana itulah yang telah ditetapkan oleh ALLAH SWT. Sesungguhnya, ia mempunyai rahsia yang sangat besar. Ini kerana keberkatan hidup yang sangat luar biasa menanti buat anak-anak yang mentaati ataupun menuruti apa yang diajarkan oleh ALLAH SWT dalam berbakti kepada ibu dan ayah,” jelas beliau.

Sementara itu, pendakwah Ustaz Azhar Idrus menerusi video yang dikongsikan di Instagram jom_kuliah menjelaskan, seorang anak tidak dikira menderhaka sekiranya mereka hanya menunaikan peritah ALLAH SWT.

USTAZ AZHAR IDRUS

“Derhaka itu hanya berlaku apabila anak tersebut menasihati ibu bapanya dengan cara biadab ketika menegur mereka,” katanya.

Sebagai hamba ALLAH SWT, jalankanlah tanggungjawab kita dengan sebaiknya. Tiada masalah kita menegur dan memberi nasihat kepada orang tua masing-masing asalkan bertepatan dengan ajaran Islam.

Siapa tahu bimbingan kita tadi dapat menarik mereka kembali ke jalan yang diredai oleh ALLAH SWT.

Foto: 123rf & Freepik 

Tiga kepenatan disukai ALLAH
Isu,

Tiga jenis kepenatan yang disukai ALLAH

HIDUP sememangnya ada fasa pasang surut yang kadangkala memenatkan. Namun, tanpa disedari rupanya ada beberapa jenis kepenatan yang disukai oleh ALLAH SWT.

Kebiasaannya apabila sudah penat, bermacam rungutan terpacul dari bibir. Penat bekerja, penat memasak, penat belajar dan sebagainya.

Sepayah mana pun cabaran yang dihadapi, ingatlah ALLAH tidak akan menguji hamba-NYA melebihi kemampuannya. Ujian yang diberikan oleh YANG MAHA ESA tidak lain hanyalah untuk menguatkan jiwa.

tiga jenis kepenatan

DR AHMAD SANUSI AZMI

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi di dalam hantaran Facebooknya menyatakan bahawa, ALLAH tidak pernah alpa dengan kesungguhan umat-NYA.

Jelas beliau, ada beberapa jenis kepenatan yang disukai ALLAH, iaitu:

1. Ibu bapa yang bekerja menyara keluarga

Kesungguhan ibu bapa yang bekerja pagi dan petang bagi menyara kehidupan keluarga adalah satu kepenatan yang disukai oleh ALLAH SWT. Bahkan Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa setiap suap yang diberikan suami kepada isteri akan diberi pahala.

Baca juga Model keluarga terbaik disebutkan dalam al-Quran

Sabda Nabi:
Dan tidaklah kamu memberikan nafkah dalam mencari keredhaan Allah melainkan semuanya akan dibalas dengan pahala. Sehinggakan setiap suap yang disuapkan ke dalam mulut isterimu (juga akan diberi pahala).” (Hadis Riwayat Muslim)

Tiga kepenatan

BETAPA mulianya kesungguhan ibu bapa yang mencari rezeki buat keluarganya di mata ALLAH SWT.

Tambahan pula, sebaik-baik nafkah di jalan ALLAH adalah duit yang disumbangkan oleh ibu bapa kepada keluarganya.

Sabda Rasulullah: “Sebaik-baik dinar adalah dinar yang digunakan sebagai nafkah buat menyara keluarganya” (Hadis Riwayat al-Bukhari).

2. Ibu yang memberi makan kepada anak-anaknya

Seorang isteri dan ibu yang bersungguh-sungguh mendapatkan makanan buat anak-anaknya akan turut diberikan ganjaran pahala besar.

Baca juga 4 amalan ini akan memberatkan amalan di akhirat

Al-Imam Muslim meriwayatkan satu kisah di mana Saidatina Aisyah berkata seorang ibu telah datang ke rumahnya bersama dua orang anak perempuannya untuk meminta makanan.

Namun, tiada makanan lain dalam simpanan melainkan sebiji kurma lalu Aisyah berikan kurma tersebut kepada si ibu. Tanpa berfikir panjang, ibu itu membelah tamar tersebut kepada dua bahagian dan memberikan kepada kedua-dua anaknya tanpa meninggalkan sedikitpun untuk dirinya.

Keadaan itu membuatkan Saidatina Aisyah menangis. Apabila menceritakan peristiwa tersebut kepada Rasulullah SAW, baginda berkata,

Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ke atas ibu tadi syurga (iaitu ibu tersebut pasti akan masuk ke syurga) atau (dengan amalan tersebut) Allah akan membebaskannya dari neraka.” (Hadis riwayat Muslim).

tiga kepenatan

SEMEMANGNYA bukan mudah menjadi ibu yang perlu menyediakan makanan buat keluarganya setiap hari. Namun, ketahuilah bahawa besarnya ganjaran pahala yang diperoleh daripada perbuatan tersebut.

3. Membelikan hadiah kepada isteri

Membelikan hadiah buat isteri juga dianggap sebagai amalan yang terpuji.

Amru ibn Umayyah pernah membeli sepasang kain. Seorang sahabat bertanya, apa yang kamu lakukan kepada kain tersebut.

Lalu Amru menjawab: “Aku telah hadiahkannya kepada isteriku Sukhailah binti Ubaydah dan dia berkata: Aku mendengar Rasulullah bersabda: Sesungguhnya sedekah (hadiah) kamu kepada ahli keluargamu akan diganjari pahala sedekah. (Hadis Riwayat Abu Ya’la).

Baca juga Suami Isteri Ibarat ‘Pakaian’, Jaga Aib Pasangan Masing-Masing

Oleh itu, usah terus mengeluh apabila penat bekerja atau menjaga anak-anak kerana sebenarnya ada ganjaran pahala besar yang menanti. Yang penting buat segalanya demi ALLAH, nescaya urusan yang dilakukan akan terasa lebih mudah.

Foto: Pexels & Freepik

model keluarga terbaik disebutkan al-Quran
Berita Semasa,

Model keluarga terbaik disebutkan dalam al-Quran

MEMILIKI keluarga bahagia dan harmoni pastinya menjadi dambaan setiap insan. Islam sendiri sangat menekankan institusi kekeluargaan yang baik dalam kalangan umatnya. Tahukah anda, terdapat model keluarga terbaik disebutkan dalam al-Quran?

Masakan tidak, keperibadian sesuatu individu bergantung kepada cara dia dibesarkan. Bak kata pepatah Melayu, ‘Bagaimana acuan, begitulah kuihnya’, lahirnya seorang insan soleh yang beriman kepada ALLAH SWT adalah hasil didikan baik daripada ibu bapa.

Dalam pencarian model keluarga yang boleh diteladani, ALLAH sudah pun memberikan contoh-contohnya menerusi kalamullah yang diturunkan kepada Rasulullah SAW.

Model keluarga dalam al-Quran

AHMAD SANUSI AZMI

Bagi contoh keluarga yang soleh, ALLAH ada menampilkan kisah keluarga Imran di dalam al-Quran. Perkara ini dikongsikan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi melalui laman sosial Facebook miliknya.

Nama diabadikan dalam al Quran

Imran adalah bapa kepada Saidatina Maryam. Menurut Ibn Asyur, beliau dilihat sebagai lelaki yang soleh dalam kalangan Bani Israel (rujuk al-Tahrir wa al-Tanwir, 3/84).

Ali Imran bukanlah seorang nabi atau rasul dan sebaliknya, hanyalah seorang hamba ALLAH yang biasa. Hebatnya beliau sehingga dimuliakan oleh ALLAH SWT dengan namanya diabadikan dalam kitab al-Quran.

Isteri beliau turut digambarkan sebagai ibu dan isteri yang solehah. Ini dapat difahami melalui dialog (doa) beliau ketika mengandungkan Maryam. Isteri Imran bernazar agar anak yang dikandungnya menjadi seorang yang melindungi agama dan mengabdikan dirinya hanya untuk ALLAH (rujuk al-Tabari, Jami’ al-Bayan).

Model keluarga dalam alquran

INSTITUSI kekeluargaan baik adalah yang mentaati ajaran agama seperti keluarga Imran yang diceritakan menerusi kalamullah.

Berkat doa ibu yang solehah serta ayah yang soleh, mereka dikurniakan anak yang solehah iaitu Maryam.

Bukan itu sahaja, atas takdir yang ditentukan oleh ALLAH, guru yang mendidik Maryam juga adalah yang soleh, iaitu Nabi Zakaria

Dalam masa sama, kisah ringkas dalam al-Quran ini juga menggambarkan kepentingan gabungan peranan ibu bapa dan guru dalam mendidik serta menghasilkan pelajar yang baik.

Baca juga 5 Pendekatan Didik Anak Cara Rasulullah SAW Bagi Membentuk Mereka Menjadi Pemimpin Terbaik Pada Masa Depan  

Walaupun Maryam diuji dengan ujian yang amat sukar apabila beliau mengandung tanpa berkahwin, beliau berjaya melalui ujian ini dengan tenang.

Kehebatan keluarga ini menjadikan nama mereka dipatrikan sebagai salah satu nama surah di dalam al-Quran, iaitu surah Ali Imran.

Yang menariknya, ALLAH turut memberikan contoh keluarga yang tidak baik, yang berlawanan dengan kisah keluarga Imran.

Model keluarga dalam alquran

ALLAH telah memberikan banyak contoh sama ada baik mahupun buruk dalam al-Quran sebagai garis panduan membina sebuah keluarga harmoni.

Kedudukan paling hina

ALLAH mengkhususkan satu surah untuk keluarga Abu Lahab, menggambarkan kedudukan mereka sebagai contoh keluarga yang teruk di dalam al-Quran.

Surah ini dimulakan dengan lafaz ‘tabbat’ (celaka) buat Abu Lahab kerana dia banyak menyakiti Rasulullah dan memusuhi Islam. Bahkan, isteri serta anaknya turut membantu dalam perkara ini.

Ummu Jamil, isteri Abu Lahad dikatakan bukan sahaja mencaci Rasulullah, malah menabur duri di jalan yang dilalui oleh Rasulullah.

Baca juga Merotan Bukan Untuk Menghukum, Sebaliknya Ia Pendekatan Akhir Didik Anak-anak Kita

Anak mereka yang berkahwin dengan puteri Rasulullah, Utbah (yang berkahwin dengan Ruqaiyah) serta Utaybah (yang berkahwin dengan Ummu Kalthum) disuruh pula menceraikan isteri mereka (iaitu anak-anak Rasulullah).

Kejahatan Abu Lahab serta ahli keluarga mereka dalam memerangi Islam diabadikan di dalam al-Quran di dalam satu surah sebagai suatu pedoman bagi Muslim.

Semoga perkongsian ini bermanfaat dalam usaha kita mewujudkan sebuah keluarga sakinah yang beriman dengan perintah-NYA.

Foto: Pexels, Freepik & Unsplash

Taat kepada bapa
Isu,

Bukan sahaja mak, bapa juga wajib ditaati

Bukan sahaja mak, bapa juga wajib ditaati

Dalam Islam, institusi keluarga adalah sesuatu yang amat diutamakan. Islam memberi panduan lengkap dalam menyusun sistem kekeluargaan yang mantap, sekali gus menjadikannya batu asas yang kukuh kepada pembentukan masyarakat. Ini kerana, kebahagiaan yang wujud dalam keluarga akan memberi kesan positif terhadap pembentukan negara.

Islam amat prihatin dalam memastikan kerukunan rumahtangga. Justeru, setiap individu mempunyai tanggungjawab yang perlu ditunaikan demi keharmonian keluarga.

Kadangkala terdapat tanggapan bahawa tugas mendidik anak bukan tugas bapa, sebaliknya ia dibebankan kepada ibu semata-mata. Ini menyebabkan ada bapa ‘lepas tangan’ dan membiarkan sepenuhnya urusan mendidik anak kepada si ibu. Tanggapan ini amat salah dan tidak selari dengan syariat Islam.

Baca juga Begitu besarnya pahala mendidik anak-anak. Ibu bapa jangan mudah mengeluh, jaga amanah ALLAH dengan sebaiknya

Rasulullah ikon bapa

Bapa sebagai ketua rumahtangga juga berperanan mendidik anak. Justeru bapa wajib mengemudi bahtera rumahtangga demi memastikan anak-anaknya mencapai kecemerlangan di dunia dan akhirat.

Taat kepada bapa

BETAPA bertuahnya orang yang sedang menjaga ibu bapanya kerana dipilih oleh ALLAH SWT untuk menerima pahala dan rezeki yang luas.

Rasulullah SAW adalah contoh terbaik untuk para bapa mendidik anak ke jalan yang diredai ALLAH. Sebagai bapa, Rasulullah telah berjaya memimpin keluarga ke arah yang dikehendaki oleh ALLAH.

Walaupun puteri Rasulullah mempunyai iman yang kental, namun Baginda tetap berpesan kepada puterinya itu: “Wahai Fatimah, bebaskanlah dirimu daripada api neraka”. Apatah lagi ALLAH SWT telah memperingatkan perkara ini di dalam Surah at-Tahrim, ayat 6 melalui firman-NYA yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Selamatkan diri kamu dan anggota keluarga kamu daripada api neraka”.

Dorongkan rasa bertuhan

Peranan mendidik anak sememangnya terletak pada bahu bapa, manakala ibu sebagai pendokong utamanya.

Ini dinyatakan dalam firman ALLAH dalam Surah Luqman ayat 13 yang bermaksud: “Dan ketika Luqman berkata kepada anaknya, pada waktu dia memberi pengajaran kepada anaknya: Hai anakku, janganlah kamu menyekutukan ALLAH, sesungguhnya menyekutukan ALLAH adalah benar-benar kezaliman besar.”

Di sini, Luqman sebagai bapa, mula mendidik anaknya dengan memperkenalkannya kepada ALLAH, Pencipta dan Pemilik alam ini.

Seterusnya Luqman (mewakili kaum bapa) mengajarkan anaknya tentang bahaya syirik dan menasihatkan anaknya mengenai beberapa tata cara akhlak mulia.

Baca juga Walaupun ibu bapa telah uzur dan nyanyuk, jangan culas jalankan tanggungjawab kepada mereka…

Begitulah betapa besarnya tanggungjawab bapa dan ini menunjukkan bapa memang tidak boleh lepas tangan dalam pembinaan sahsiah anak.

Atas dasar itu al-Imam Ibn al-Qayyim turut pernah menjelaskan bahawa seawal kelahiran anak lagi kita telah dianjurkan untuk membisikkan azan di telinga mereka. Lafaz tauhid yang menerobos ke telinga mereka menggambarkan betapa penerapan nilai akidah perlu diterapkan sejak anak kecil itu lahir ke dunia.

Taat kepada bapa

SEAWAL kelahiran anak, kita telah dianjurkan untuk membisikkan azan di telinga mereka.

Sebagai anak pula, menjadi kewajipan untuk berbakti dan taat kepada kedua ibu bapanya. ALLAH berfirman dalam surah al-Isra’, ayat 23 yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain DIA dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.”

Pentingnya berbuat baik kepada ibu bapa dapat dilihat dalam ayat al-Quran ini dengan begitu jelas apabila ALLAH menggabungkan perintah untuk mengabdikan diri kepada ALLAH dengan tidak mensyirikkan-NYA dengan perintah berbuat baik kepada ibu bapa.

Justeru, setiap anak wajib taat kepada ibubapanya. Tidak memadai seseorang itu hanya taat kepada ibu namun secara sengaja mengabaikan si bapa. Apatah lagi, menderhaka kepada ibu bapa hukumnya haram dan berdosa besar.

Seorang anak wajib mentaati ibu bapa selagi arahan mereka tidak bercanggah dengan hukum syarak. ALLAH akan memberi ganjaran hebat dan mengampunkan dosa sekiranya berbakti kepada ibu bapa dengan sempurna.

Baca juga Jangan jadi anak tak kenang budi, jangan ambil kesempatan atas kebaikan, kemurahan hati ibu bapa

Kesan baik berbakti kepada ibu bapa ialah dirahmati ALLAH, beroleh pahala dan jiwa menjadi tenang. Jangan jadi anak yang berdendam kepada bapa sekiranya terdapat kekurangan tanggungjawab yang ditunaikan olehnya. Sebaliknya, berbuat baik dan berbaktilah kepada mereka dalam apa jua keadaan sekalipun.

ANEKDOT

UNGGULI 9 bakti ini kepada ibu bapa:

Taat kepada bapa

IBU bapa adalah insan yang paling berharga di dunia ini.

1. Sentiasa berdoa dan mohon ampun untuk ibu bapa.

2. Berikan bantuan kewangan.

3. Gunakan perkataan yang baik ketika berbicara dengan mereka.

4. Bantu mereka ketika diperlukan terutama ketika mereka sakit atau tua.

5. Jangan sekali-kali menjamah makanan sebelum ibu bapa makan.

6. Mencium tangan mereka ketika keluar rumah dan mohon izin sebelum keluar.

7. Membayar hutang sekiranya mereka telah meninggal dunia.

8. Laksanakan wasiat mereka yang tidak bercanggah dengan Syarak.

9. Berbuat baik kepada sahabat mereka.

***Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman ialah Pensyarah Wacana Aqidah, Fiqh dan I’jaz Al-Quran, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia

Foto: 123rf

Bukan sahaja mak, bapa juga wajib ditaati

Tinggalkan suruhan ALLAH
Berita Semasa,

Sikap Anak Adalah Cerminan Ibu Bapa. Didik, Tunjukkan Teladan Baik Sejak Mereka Kecil Lagi

no comment

Oleh FOUZIAH AMIR

SEBAGAI orang Islam, sewajarnya kita perlu menjadi hamba dan khalifah yang baik. Paling penting, pastikan setiap ahli keluarga masing-masing mempunyai asas ilmu agama.

Demikian pesan bekas Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Tabung Haji, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff yang berkongsi pandangan tentang tanggungjawab ketua keluarga menerusi sesi rakaman program Majlis Ayah di Batang Kali, Selangor baru-baru ini.

NIK MOHD HASYUDEEN

Sebagai bapa katanya, kita tidak boleh lari daripada tanggungjawab untuk pemimpin keluarga, selain menghidupkan ilmu agama dalam kehidupan.

“Sebenarnya, nilai ilmu tersebut boleh dilihat melalui akhlak kita. Sebagai ketua keluarga, kita mungkin boleh berpesan dan menegur ahli keluarga masing-masing. Namun, apa yang kita lakukan mesti menjadi contoh kepada mereka,“ katanya.

Bapa kepada enam anak itu mengakui, pembentukan sahsiah dirinya datang daripada ayahnya, Yusoff Mohamed dan datuk saudaranya, Mohd Ali Ismail.

“Ayah saya ialah guru sekitar tahun 1960 hingga 1970-an yang dipandang tinggi dan menjadi rujukan dalam masyarakat. Beliau mengajar saya untuk mengenal erti memberi tanpa balasan.

“Bapa saudara pula bekerja kampung, tetapi tidak mengabaikan tanggungjawab untuk menjaga keluarga sendiri dan saudara terdekat. Saya mempelajari nilai jujur dan amanah daripada mereka untuk menjadi insan dalam masyarakat dan seorang bapa,“ ujarnya.

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang beriman! Jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.“ (Surah at-Tahrim, ayat 6)

Mengambil motivasi daripada ayat suci itu, Nik Mohd Hasyudeen berkata, kalam ALLAH tersebut menjadi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi dirinya sebagai ketua keluarga.

Baca juga Merotan Bukan Untuk Menghukum, Sebaliknya Ia Pendekatan Akhir Didik Anak-anak Kita

Bagi mencapai KPI tersebut, katanya, beliau sendiri perlu mematuhi perkara yang diperintahkan oleh ALLAH SWT dan ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

“Beri tunjuk ajar kepada anak dan cucu mengenai Islam dan ilmu urus diri. Apabila meninggal dunia, perkara yang boleh memberi manfaat kepada diri ialah doa anak soleh.

Sikap anak

SESI rakaman Majlis Ayah bersama Nik Mohd Hasyudeen (kanan) yang diadakan di kebunnya di Batang Kali baru-baru ini.

“Ya, bukan mudah untuk mendidik mereka walaupun dihantar ke sekolah yang bagus. Apatah lagi, pada zaman serba canggih kini, kita tidak mampu mengawasi setiap tingkah laku mereka. Oleh itu, penting untuk kita tanamkan prinsip agama dalam jiwa mereka agar dapat dijadikan panduan untuk membuat sebarang keputusan dalam kehidupan.

“Apa-apapun, ibu bapa tetap menjadi contoh kepada anak. Walaupun kita memberi nasihat dan teguran, anak akan melihat dahulu apa yang kita lakukan. Namun begitu, sebagai manusia, kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Jika ini berlaku, jelaskan kepada mereka agar kesilapan itu tidak berulang,“ katanya.

Majlis Ayah merupakan sesi Berinteraksi dengan Al-Quran; Baca, Faham dan Amal‘ khusus buat golongan lelaki terutama yang bergelar ayah. Surah al-Mulk menjadi surah pilihan untuk ditadabbur dengan topik berkaitan kebapaan.

Pendekatan program itu bermula dengan perkongsian tetamu ayah yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Foto: Freepik & Fouziah Amir

Berita Semasa,

Pukul kanak-kanak sebagai hukuman… Ini pandangan Islam tentang pendekatan tersebut

LUMRAH seorang kanak-kanak memang suka bermain. Kadangkala habis bersepah satu rumah apabila mereka mula memunggah mainan masing-masing.

Memang pening dibuatnya. Namun, begitulah sifat mereka yang sedang dalam proses membesar.

Sepertimana orang dewasa yang lain, kanak-kanak juga tidak lari daripada membuat kesalahan. Adakalanya kesalahannya tidaklah terlalu besar mana, tetapi anak comel itu telah dihukum oleh kedua ibu bapanya.

Ada segelintir ibu bapa yang suka mengambil pendekatan memukul anak walaupun masih kecil. Tujuannya untuk memberi mereka pengajaran supaya kesalahan sama tidak diulang semula.

Apakah pandangan Islam tentang hal ini? Adakah harus ibu bapa memukul anaknya yang masih kecil andai mereka membuat kesalahan?

Ujar pendakwah Ustaz Azhar Idrus, seandainya kanak-kanak yang belum mumaiyiz (membezakan sesuatu yang baik dan buruk) melakukan kesalahan, maka mereka tidak boleh dipukul sama ada oleh ibu bapa atau orang lain.

“Ini kerana memukulnya tidak memberi sebarang faedah kepadanya memandangkan usianya itu dan keadaannya yang masih kecil serta tidak dapat mengerti dan mengambil pelajaran kenapa mereka dipukul,” katanya sebagaimana yang dikongsikan menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

Adapun bagi kanak-kanak yang telah mumaiyiz pula, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, dibolehkan untuk memukul mereka jika melakukan kesalahan apabila tindakan itu memberi faedah kepada mereka.

Pukul kanak-kanak

Ia sebagaimana yang disebutkan dalam kitab al-Mausu’atul Fiqhiyah iaitu: “Sesungguhnya ulama-ulama fiqah telah membahagikan usia kanak-kanak itu kepada dua bahagi yang utama.

(Artikel berkaitan: Jangan maki hamun anak-anak, kelak ia akan berbalik kepada kita)

“Pertama ialah kanak-kanak yang belum mumaiyiz. Maka, mereka tidak dikenakan hukuman daripada segala bagai hukuman pada tubuh badan sama sekali kerana keadaan tidak dipersoalkannya.

“Kedua, kanak-kanak yang sudah mumaiyiz, maka tidak dikenakan hukum hudud dan qisas, akan tetapi diajar akan adab kepada mereka atas apa yang telah mereka lakukan dengan pengajaran yang munasabah dengan usia mereka sama ada dengan dimarahi dan dipukul yang tidak merosakkan.”

Namun begitu, katanya, pukulan tersebut mestilah pukulan yang tidak merosakkan.

“Ketahuilah, haram memukul anak-anak dengan pukulan yang merosakkan iaitu pukulan yang melukakan atau melebamkan atau seumpamanya.

“Begitu juga haram memukul pada mukanya atau kepalanya atau kemaluan kanak-kanak tersebut,” katanya.

Jelas beliau lagi, keharusan memukul yang dibenarkan syarak bukanlah bertujuan untuk menyakitkan kanak-kanak berkenaan atau membalas dendam.

Sebaliknya, ujar beliau, ia untuk memberi kesedaran bahawa mereka telah melakukan kesalahan.

“Maka, pukullah dengan pukulan perlahan yang memadai untuk menakutkan kanak-kanak tersebut.

“Namun begitu, jika tidak dipukul tetapi hanya dinasihatinya, nescaya ia adalah lebih baik.

Pukul kanak-kanak

DIDIKLAH anak-anak berlandaskan didikan yang diajar oleh agama Islam.

“Ingatlah, ibu bapa yang memukul anaknya dengan pukulan yang tidak dibenarkan syarak telah melakukan satu bentuk kezaliman dan siapa yang melakukan satu kezaliman, nescaya akan ditanya di akhirat nanti,” jelas beliau.

Bagaimana pula jika kanak-kanak itu melakukan kesalahan dengan merosakkan harta orang?

Menjawab persoalan itu, Ustaz Azhar Idrus berkata, wajib diganti harta yang rosak itu dengan harta kanak-kanak itu atau harta penjaganya.

Justeru, didiklah anak-anak kita dengan cara yang dianjurkan oleh Islam. Usah sesuka hati memukul mereka terutama anak-anak yang masih kecil.

Semoga kita dikurniakan sifat sabar yang tinggi dalam mendidik dan membesarkan anak-anak yang pelbagai ragam. Berdoalah agar ALLAH SWT memudahkan urusan kita.

Sumber: Instagram uaioriginal

Foto: Freepik

Berita Semasa,

Jangan jadi anak tak kenang budi, jangan ambil kesempatan atas kebaikan, kemurahan hati ibu bapa

KEBANYAKAN suami isteri bekerja pada hari ini demi menampung keperluan hidup dan kos sara hidup yang tinggi. Pastinya rutin harian yang dilalui agak sibuk. Masakan tidak, kita perlu bijak membahagikan masa untuk mengurus kerjaya dan rumah tangga.

Bagi pasangan yang dikurniakan anak, lazimnya, mereka akan menghantar anak-anak di taska atau mengupah pengasuh untuk menjaga permata hati mereka.

Namun, segelintir mereka yang berkemampuan pula akan mengupah pembantu rumah yang boleh diharapkan untuk mengasuh anak masing-masing sepanjang mereka bekerja.

Begitupun, tidak semua orang bernasib baik. Sebilangan orang terpaksa menghantar anak-anak kepada ibu bapa masing-masing untuk dijaga kerana tidak mampu membayar pengasuh. Itu pun jika kebetulan mereka duduk serumah atau kediaman mereka berdekatan dengan ibu bapa atau mertua masing-masing.

Namun, cerita kurang enaknya apabila ada segelintir orang sanggup mengupah ibu bapa masing-masing untuk menjaga anak mereka, sekali gus membantu mereka menguruskan rumah masing-masing.

Sekali imbas, mungkin perkara itu dianggap remeh. Apa tidaknya, memang rata-rata sikap kedua orang tua kita memang begitu. Tidak suka duduk diam. Ada sahaja ingin dilakukan meskipun ketika bertandang ke rumah anak mereka.

Anak ambil kesempatan terhadap kebaikan ibu bapa

BERBAKTILAH kepada kedua ibu bapa selagi mereka masih ada di dunia ini.

Pun begitu, usahlah kita mengambil kesempatan atas kebaikan dan kemurahan hati ibu bapa kita.

Pendakwah Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid berkata, Rasullah SAW pernah ditanyakan tentang kedudukan orang tua pada seorang anak.

Nabi Muhammad SAW menjawab: “Orang tua adalah syurga kamu atau neraka kamu.”

“Berdasarkan sabda nabi itu, jelaslah bahawa kita sendiri mempunyai pilihan sama ada hendak masuk ke syurga iaitu dengan berbakti kepada orang tua atau masuk ke neraka apabila kita melawan orang tua.

“Bagaimanapun ingatlah, tak ada makna ibadah seseorang walaupun dirinya banyak kali menunaikan haji dan umrah serta banyak bersedekah jika tidak dapat membahagiakan atau berbakti kepada orang tuanya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

Sebagai seorang anak, Habib Ali Zaenal Abidin mengingatkan kita agar berbaktilah kepada orang tua masing-masing dan jangan sesekali sombong kepada mereka.

(Artikel berkaitan: Anak bagi duit, tapi tak ziarah ibu bapa, macam mana tu…)

“Jangan sombong kepada orang tua, jangan sombong kepada orang lain, jangan sombong kepada dirinya sendiri.

“Ketahuilah, pada akhir zaman, anak akan sombong dengan orang tua. Pada akhir zaman juga, anak akan mengungkit ihsannya kepada orang tua, anak akan berkira dengan orang tuanya dan orang tua akan takut dengan anaknya.

“Pada akhir zaman juga, anak tidak hormat pada orang tuanya,” katanya.

Jika keadaan itu berlaku, agamawan itu mengingatkan kita tentang tanda-tanda kiamat yang mana salah satu daripadanya ialah hamba sahaya yang melahirkan tuannya.

Anak ambil kesempatan terhadap kebaikan ibu bapa

LUANGKAN masa untuk menziarahi ibu bapa masing-masing jika ada kesempatan.

Jelas beliau, ia bermaksud seorang ibu (hamba sahaya) melahirkan anak (yang menjadi majikan kepada ibunya).

“Bagaimana anak boleh menjadi majikan kepada ibunya? Itulah yang dipanggil anaknya berstatus sebagai majikan yang boleh suruh dan memerintah ibunya sehingga ibu umpama pembantu bagi anaknya.

“Ibu umpama orang suruhan yang disuruh ke sana dan ke sini. Ibu macam diberi gaji untuk jaga cucu atau sebagainya.

“Kalau itu adalah kehendak daripada diri sendiri atau perkara itu atas dasar kasih sayang atau dengan keikhlasan, tidak ada masalah.

“Namun begitu, kalau anak mengatakan kepada orang tuanya: ‘Aku bayar kamu kamu jaga anak aku’…tidak sepatutnya dia (anak) berbuat demikian kepada orang tuanya.

“Ini kerana, kata Nabi Muhammad SAW: ‘Engkau dan harta kamu milik orang tua kamu’,” pesannya.

Justeru, berhati-hatilah dalam setiap tindak-tanduk kita. Apatah lagi, kepada ibu bapa yang tidak pernah lelah melahirkan, membesarkan dan menjaga kita dengan penuh sempurna hingga kita menjadi insan berguna pada hari ini.

Sumber: Instagram @habibalizaenalalhamid

Foto: 123rf & Freepik