Browsing Tag

Ibu bapa derhaka

Hamba yang melahirkan tuannya
Isu,

Elak jadi ibu bapa ‘derhaka’, jauhi sikap seperti ini

ISTILAH ibu bapa ‘derhaka’ agak canggung pada halwa telinga. Tidak seperti frasa anak derhaka kerana ungkapan sebegitu digunakan sebagai merujuk anak yang bersikap kurang ajar atau biadab terhadap orang tuanya.

Walaupun label itu tidak wajar diberikan kepada insan yang sudah melahir dan membesarkan kita, namun semua pasti mengakui, tiada manusia yang kalis dosa. Hakikatnya, sesiapa pun waima orang tua kita sendiri tidak terlepas daripada melakukan kekhilafan. Namun sebagai anak, tidak boleh sama sekali kita menjadikannya sebagai ‘permit’ untuk tidak berbakti kepada mereka.

Sebaliknya, penyambung keturunan itulah yang lazimnya akan merendahkan ego mereka walaupun adakalanya menerima layanan bertaraf ‘anak angkat’ daripada ibu bapa masing-masing. Semuanya dek kerana ketinggian martabat ibu bapa itu sendiri.

Baca juga Hukum menyakiti hati anak, wujudkah ibu bapa derhaka?

Bagaimana pula jika ada sebilangan orang tua yang tidak mendidik anak-anak dengan baik sehingga mereka ‘naik hantu’? Justeru wujudkah ibu bapa derhaka?

Dosa ibu bapa

Ketika persoalan itu dilontarkan kepada Pensyarah di Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Siti Norlina Muhamad, beliau mempunyai perspektifnya sendiri.

DR SITI NORLINA

Dalam nada tegas, ahli akademik itu menjelaskan, kedudukan sebagai ibu atau bapa tidak boleh dijadikan tiket untuk melayan anak-anak sesuka hati tanpa mengambil kira panduan syarak dalam melaksanakan amanah ALLAH SWT.

Ketahuilah bahawa tanpa sedar, ibu dan ayah juga melakukan dosa terhadap anak-anak hingga layak diberikan gelaran ibu bapa derhaka, ungkapnya.

“Antara yang termasuk dalam kelompok itu ialah mereka yang suka menggunakan kata-kata kesat, memanggil anak dengan panggilan buruk atau pilih kasih dalam memberikan layanan terhadap zuriat sendiri.

“Begitu juga dengan ibu bapa yang melepaskan tanggungjawab dalam memberikan didikan terbaik kepada anak-anak sehingga mereka terpinggir dan terabai daripada pendidikan yang sempurna.

Baca juga Jangan abaikan didikan anak-anak, ini tanggungjawab suami isteri

“Mereka dikategorikan sebagai ibu bapa yang melakukan penderhakaan terhadap perintah ALLAH SWT,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Semua ciri yang disebutkan oleh Dr Siti Norlina itu merupakan inti pati penting daripada satu peristiwa ketika Saidina Umar RA menjadi khalifah.

Dalam pada itu, beliau yang juga bekas Ahli Lembaga Pelawat Hospital Psikiatri turut menegur sikap segelintir ibu dan ayah pada hari ini yang mengambil mudah terhadap pendidikan anak-anak.

Jelas beliau, terdapat kelompok yang hanya mengutamakan pencapaian akademik, tetapi mengabaikan aspek bimbingan rohani dan spiritual permata hati mereka.

Ibu bapa derhaka

JANGAN biarkan diri kita menjadi ibu bapa ‘derhaka’ gara-gara membiarkan anak menerima ‘didikan’ daripada gajet mereka tanpa kawalan sehingga boleh membinasakan masa depan penyambung keturunan masing-masing. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

“Malah, anak-anak disediakan kemudahan gajet dengan alasan mereka boleh meneroka dan mempelajari ilmu di hujung jari. Sedangkan banyak impak negatif terutama kepada anak yang belum matang dalam menentukan hala tuju hidup.

Baca juga Perkasakan peranan ibu bapa, usah biarkan gajet kuasai anak-anak

“Mengertilah, zuriat kita mudah terpengaruh dengan pelbagai fahaman yang mengelirukan dan terjebak dengan budaya songsang, ajaran sesat, ekstrem, pergaulan bebas dan seumpamanya,” tegasnya.

Oleh sebab itu, Dr Siti Norlina mengingatkan agar ibu bapa sepatutnya mengambil pedoman melalui kisah Luqman al-Hakim mengenai cara didikan anak-anak.

Sesungguhnya, beliau bukan bercakap kosong ketika menasihatkan anak-anaknya, sebaliknya Luqman al-Hakim menunjukkan teladan yang baik melalui anugerah hikmah kebijaksaan dikurniakan ALLAH SWT kepadanya.

“Ingatlah, teguran dan nasihat tidak akan berguna andai tiada teladan daripada ibu bapa sendiri.

“Maka orang tua sewajarnya mesti menguasai ilmu sebagaimana yang ditonjolkan oleh Luqman al-Hakim jika mengharapkan permata hati mereka menjadi manusia hebat dan bermanfaat kepada masyarakat,” terangnya panjang lebar.

Beliau kemudian mengajak Muslim merefleksi diri dengan merenung peringatan tegas daripada ALLAH SWT berhubung tanggungjawab ibu bapa terhadap keluarga.

ALLAH SWT berfirman yang mafhumnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka, yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu-bata, penjaganya malaikat yang kasar dan keras yang tidak derhaka kepada ALLAH terhadap apa yang DIA perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah at-Tahrim, ayat 6)

Takut anak kecil hati

Ibu bapa derhaka

IBU bapa jangan risau anak berkecil hati apabila mereka ditegur kerana kesilapan yang dilakukan bagi mengelak mudarat yang lebih besar pada masa akan datang. Pada masa sama, ajarkanlah dan terapkan nilai-nilai Islam dalam keluarga. -Foto: 123rf

Ditebak dengan pertanyaan tentang sikap ibu bapa yang dilihat terlalu ‘takut anak kecil hati’, Dr Siti Norlina yang juga pakar psikologi Islam menjelaskan, perbuatan seperti itu sebenarnya boleh memakan diri sendiri dek kerana sifat terlalu bertolak ansur.

Baca juga Dunia sekarang, anak tidak takut kecilkan hati ibu bapa, tetapi ibu bapa pula yang takut kecilkan hati anak

Lantaran itu, beliau mengingatkan supaya, jangan kerana ingin menjaga hati, ibu bapa sanggup memejamkan mata dan tidak menegur kesalahan dilakukan anak-anak!

“Akhirnya, anak-anak ini akan membesar dalam keadaan tidak tahu apa yang dilakukan adalah memberi mudarat kepada diri dan masyarakat.

“Sekalipun ibu bapa terlalu sibuk dengan kerjaya, peluang untuk bersama dengan anak-anak tidak sepatutnya digunakan untuk hiburan semata-mata, tetapi perlu diselitkan dengan pengisian yang boleh membentuk jiwa dan akhlak mulia pada diri zuriat mereka.

“Oleh itu, ketegasan ibu bapa penting dalam usaha menerapkan kefahaman dan pengamalan agama anak-anak, mendidik mereka berbudi pekerti dengan akhlak terpuji dan mengikut acuan serta panduan syariat ALLAH SWT,” ujarnya.

Dalam hal itu, beliau menukilkan pandangan Imam Ibnu Hajar al-Haitami yang menyatakan: “Jika ibu bapa bertakwa kepada ALLAH SWT, nescaya ALLAH SWT akan mengurniakan kebaikan dan mempermudahkan segala urusan zuriat mereka dengan memberi keberkatan serta petunjuk dalam kehidupan zuriat-zuriatnya. Namun sebaliknya, jika ibu bapa mereka tidak melaksanakan perintah ALLAH dan melanggar larangan-NYA, nescaya anak-anak mereka akan berkelakuan sebagaimana kelakuan ibu bapa mereka.”

Ibu bapa derhaka

MENJADI tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan ‘kemenjadian’ anak-anak dari aspek fizikal, mental dan spiritual serta menerapkan nilai agama dalam kehidupan keluarga. Semua itu akan membentuk peribadi anggota keluarga ke arah kebaikan. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Kepada satu soalan, pensyarah itu menjawab: “Antara tanggungjawab ibu bapa adalah memastikan ‘kemenjadian’ anak-anak dari aspek fizikal, mental dan spiritual. Merekalah yang menerapkan nilai agama dalam kehidupan yang akan membentuk peribadi ahli keluarga ke arah kebaikan.

“Untuk membangunkan sebuah keluarga yang diredai ALLAH SWT, ia mesti bermula dari peringkat awal pemilihan jodoh.

“Carilah pasangan yang mempunyai matlamat dan wawasan yang sama dan sanggup berganding bahu membina rumah tangga serta melahirkan zuriat yang bertakwa kepada ALLAH SWT, selain meletakkan syariat-NYA sebagai panduan utama dalam kehidupan berkeluarga.”-SI+