Browsing Tag

Ibadah dilakukan diterima

Ibadah dilakukan diterima
Ibadah,

Agar ibadah dilakukan diterima ALLAH, pastikan penuhi syarat-syarat ini

Agar ibadah dilakukan diterima ALLAH, pastikan penuhi syarat-syarat ini

SEBAGAI seorang hamba, sudah tentulah kita mahu ibadah dilakukan diterima oleh ALLAH SWT, di samping mengharapkan keampunan, keredaan dan rahmat-NYA.

Ya, itulah antara jalan yang melorongkan kita ke syurga-NYA dan mendapat tempat untuk menjadi calon penghuninya.

Maka sebab itulah kita disaran supaya melakukan apa jua amalan ikhlas dan semata-mata kerana ALLAH SWT. Jika diri diselubungi rasa riak ataupun mahu meraih pujian semata-mata, itulah yang akan digapai.

Baca juga Amalan Ditolak Jika Riak Beribadah

Malah, sikap sebegitu akan lebih menjauhkan kita dengan ALLAH SWT.

Memetik laman web dalamislam.com, terdapat enam syarat yang menjadi indikator utama supaya ibadah kita diterima oleh Yang MAHA ESA.

Berikut perinciannya:

1. Ikhlas semata-mata kerana ALLAH SWT.

Dalam al-Quran, pemilik kerajaan langit dan bumi itu berfirman: “Padahal mereka hanya diperintahkan menyembah ALLAH dengan ikhlas mentaati-NYA, semata-mata kerana (menjalankan) agama…” (Surah al-Bayyinah, ayat 5)

Begitu juga dalam Surah az-Zumar, ayat 2 yang mana ALLAH SWT berfirman: “…Maka sembahlah ALLAH dengan tulus ikhlas beragama kepada-NYA.” 

Ibadah dilakukan diterima

SEPERTIMANA solat, kita perlu melakukan ibadah dan apa jua amalan kebaikan dengan niat semata-mata kerana ALLAH SWT. -Foto: 123rf

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya ALLAH tidak menerima suatu amal perbuatan kecuali yang murni dan hanya mengharap reda ALLAH.” (Hadis Riwayat Abu Dawud dan an-Nasa’i)

2. Berniat kerana ALLAH SWT.

Al Fudhoil bin ‘Iyadh berkata: “Sesungguhnya andai kata suatu amalan itu dilakukan dengan ikhlas, namun tidak benar (tidak sesuai dengan tuntutan Nabi Muhammad), maka amalan itu tidak diterima. Dan andai kata amalan itu dilakukan dengan benar (sesuai dengan tuntutan Nabi) tetapi tidak ikhlas, juga tidak diterima hingga ia melakukannya dengan ikhlas dan benar. Ikhlas semata-mata kerana ALLAH dan benar apabila sesuai dengan tuntutan Nabi Muhammad.”

Baca juga Jangan jadi hamba kepada diri dan nafsu, lakukanlah semua perkara ikhlas kerana ALLAH

3. Tidak syirik.

ALLAH SWT berfirman: “…Oleh itu, janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi ALLAH, padahal kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 2)

Ketahuilah, melakukan amalan kerana orang lain sebenarnya adalah sejenis ‘syirik’ yang perlu dijauhi.

Ia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya sesuatu yang paling aku takutkan terjadi pada kalian adalah syirik kecil.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apa itu syirik kecil?” Baginda menjawab: “Riak.” (Hadis Riwayat Ahmad)

4. Amalan dilakukan sesuai dengan tuntutan syariat.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barang siapa mengamalkan suatu amalan yang tidak ada urusannya daripada kami, maka amal itu tertolak.” (Hadis Riwayat Muslim)

Ibadah dilakukan diterima

PASTIKAN amalan yang dilakukan mengikut sebagaimana diajarkan oleh Islam dan syariatnya. -Foto: 123rf

5. Taubat daripada dosa-dosa dilakukan.

Bayangkan seseorang yang rajin beribadah, tetapi pada masa sama belum bertaubat daripada perbuatan syirik pelbagai bentuk yang pernah dilakukannya. Sia-sialah amalannya itu kerana apa yang dikerjakan itu akan terhapus. Malah, individu berkenaan menjadi orang yang rugi di akhirat kelak.

Baca juga Jika kita tergelincir selepas bertaubat, masih ada ruang untuk bertaubat lagi

6. Ikut jumlah, tatacara, waktu dan tempat yang benar atau ditetapkan.

Sebagai contoh, Rukun Islam kelima dilakukan di Baitullah dalam bulan haji. Ia tidak boleh dilakukan di tempat lain mahupun waktu lain.

Ibadah dilakukan diterima

IBADAH haji misalnya perlu dilaksanakan di Baitullah pada bulan Zulhijah. -Foto: Pexels

Begitu juga dengan ibadah korban yang mesti dilakukan mengikut masa ditetapkan iaitu bermula selepas solat sunat Aidiladha hingga sebelum matahari terbenam pada 13 Zulhijah. Andai dibuat melepasi atau sebelum waktu berkenaan, tidak sah ibadah korban tersebut.

Ayuhlah sama-sama kita perbaiki diri untuk menjadi lebih baik. Semoga amal ibadah yang dikerjakan selama ini diangkat dan diterima oleh ALLAH SWT. Apatah lagi Ramadan bakal tiba tidak lama lagi. Marilah kita ambil peluang keemasan tersebut untuk menyulam ibadah pada bulan mulia berkenaan.