Browsing Tag

Hormat Barat terhadap Islam

Hormat Barat terhadap Islam
Berita Semasa,

Hilangnya deria hormat Barat terhadap Islam

DUNIA Barat kian hilang deria hormat terhadap Islam. Sentimen Islamofobia kerap berlaku walaupun agama Islam di sisi sirahnya terlalu banyak menabur budi kepada umat manusia.

Ini ekoran kejayaan penganjuran Piala Dunia FIFA 2022 oleh tuan rumah Qatar dari dunia Islam.

Piala Dunia kali ini membuka mata dunia tentang keindahan Islam yang universal, saling mengasihi sesama manusia serta tidak radikal seperti yang dipaparkan mereka. Bahkan lebih 500 orang memeluk Islam sepanjang acara itu berlangsung. Pengikut Islam semakin meningkat dan syiar suci ini terus menyinar.

Situasi tersebut seakan mengancam Barat yang seperti tidak senang dengan kebangkitan Islam seperti yang ditegaskan dalam surah al Imran, ayat 19:

“Sesungguhnya agama (yang diredai) disisi ALLAH hanyalah Islam. Tiada berselisih orang-orang yang telah diberi al-Kitab kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka, kerana kedengkian (yang ada) di antara mereka. Barang siapa yang kafir terhadap ayat-ayat ALLAH maka sesungguhnya ALLAH sangat cepat hisab-NYA.”

Sebenarnya dunia Barat kebanyakannya melihat Islam sebagai ancaman kepada kemenjadian kegemilangan mereka sebagai kuasa dunia dalam pelbagai aspek.

Mereka juga lupa punca dari sentimen mereka (golongan kuffar) yang mencipta dogma pemikiran orang Islam sebagai penganut lemah hingga mudah dibuli.

Ini terbukti dengan berlakunya tindakan pelampau sayap-kanan Sweden-Denmark, membakar al-Quran di Stockholm. Amat menyedihkan lagi Rasmus Paludan, ketua Parti Stram Kurs telah mendapat kebenaran daripada kerajaan Sweden dan di bawah perlindungan polis untuk membakar senaskah al-Quran di luar Kedutaan Turkiye di sana.

Baca juga Biadapnya pemimpin Sweden bakar al-Quran, umat Islam wajib tegakkan kesucian kalam ALLAH SWT

Jangan membisu tatkala agama dipijak

Justeru, tindakan terbaik yang boleh dilakukan oleh orang Islam dalam mengekang gejala ini bukan membisu tatkala agama dipijak. Atau lebih sadis sanggup menjadi barua si penghina, kerana sesungguhnya mempertahankan agama ALLAH adalah suatu kewajipan.

Hormat Barat terhadap Islam

Sekitar himpunan bantahan bakar al-Quran di hadapan Kedutaan Sweden, Jalan Mayang Sari Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sejarah Islam telah menyaksikan akan apa yang telah dilakukan oleh para sahabat dalam mempertahankan Rasulullah SAW daripada dipermainkan oleh orang-orang kafir musyrikin seperti mana kata-kata Buya Hamka:

“Jika diam saat agamamu dihina, gantilah bajumu dengan kain kafan.”

Tidak inginkah kita mencontohi para Sahabat? Adalah menjadi tanggung jawab seluruh Muslimin untuk menjaga agama ini seperti sabda Rasulullah SAW:

“Jagalah (agama) ALLAH, nescaya ALLAH akan menjagamu, jagalah (agama) ALLAH, nescaya ALLAH selalu bersamamu.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Baca juga Penguasa agama perlu lebih tegas pertahankan Islam agar tidak dipandang lemah

Bangunlah wahai Muslimin. Bersatu dan bertindak secara hikmah sebagaimana firman ALLAH:

” ….Tolaklah kejahatan yang ditunjukkan kepadamu dengan cara yang lebih baik, apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah sahabat karibmu.” (Surah Fussilat, ayat 34).

Hakikatnya, Islam wajib dipertahankan walau nyawa jadi taruhan. Mulianya Islam kerana tidak pernah mengajar umatnya menghina agama lain, bahkan menyeru agar menyantuni sesiapa sahaja walau berbeza anutan.

***Artikel ditulis oleh Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia & Kaunselor Berdaftar Kementerian Wanita, Keluarga & Masyarakat, Prof Madya Dr Zaizul Ab Rahman