Browsing Tag

Hilarion Heagy

Hilarion Heagy
Antarabangsa,

Ceritera Hilarion Heagy, bekas paderi terkemuka di AS yang masuk Islam

NAMA Father Hilarion Heagy tiba-tiba sahaja popular di laman sosial. Semuanya kerana bekas paderi Katolik Timur terkemuka yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu baru sahaja memeluk agama Islam.

Keputusannya itu menjentik emosi ramai tentang ‘penghijrahannya’.

Bayangkan lelaki yang menghabiskan dua dekad hidupnya sebagai pemimpin agama Kristian terbuka hati untuk memeluk agama suci Islam.

Benarlah, hidayah ALLAH SWT itu datang kepada sesiapa yang dikehendaki-NYA. Siapalah kita untuk menidakkannya.

Baca juga Hidayah perlu dicari, masih ramai yang tidak tahu tentang perkara ini

Menerusi catatan blog ditulisnya, Heagy atau nama Islamnya, Said Abdul Latif berkata, beliau sebenarnya sudah lama tertarik dengan agama Islam iaitu selama berdekad-dekad sebelum akhirnya mengambil keputusan untuk berbuat demikian.

“Memandangkan saya tinggal di sebuah biara Katolik, langkah ini perlu dilakukan secara teratur.

“Seseorang tidak boleh menjadi paderi atau biarawan secara terbuka, dan seorang Muslim secara persendirian,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal Middle East Monitor baru-baru ini.

Hilarion Heagy

HEAGY atau nama Islamnya, Said Abdul Latif menyifatkan pengislamannya sebagai ‘kembali kepada Islam’ dan seperti ‘pulang ke rumah’. -Foto: Sportskeeda.com

Suatu perkara yang menarik tentang pengislamannya apabila Said Abdul Latif menganggapnya tindakannya itu sebagai ‘kembali kepada Islam’ dan ‘seperti pulang ke rumah’.

“Ia benar-benar seperti ‘pulang ke rumah’. Inilah kepercayaan primordial (asas/fundamental) saya. Malah, dalam al-Quran ada menyatakan bahawa kami menyembah Tuhan sahaja dan berserah kepada-NYA sejak sebelum dilahirkan,” katanya.

Dalam tulisannya, beliau turut menyelitkan petikan firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan daripada sulbi (tulang belakang) anak cucu Adam keturunan mereka dan ALLAH mengambil kesaksian terhadap roh mereka (seraya berfirman), “Bukankah AKU ini Tuhanmu?” Mereka menjawab, “Betul (ENGKAU Tuhan kami), kami bersaksi.” (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan, “Sesungguhnya ketika itu kami leka terhadap ini.” (Surah al-A’raf, ayat 172)

Sebelum kembali kepada Islam, laman web sportskeeda.com melaporkan, Heagy sememangnya mendapat penghormatan dalam kalangan pengikutnya dek kerana sikap baik yang ditonjolkannya.

Baca juga Elak guna kalimah ‘Priest Muslim’, undang kekeliruan dalam masyarakat

“Beliau digambarkan sebagai seorang yang bersikap baik, suci dan sangat sabar walaupun ketika itu bergelar paderi Ortodoks Rusia,” katanya.

Hilarion Heagy

SEBAHAGIAN ciapan dan hantaran di laman sosial yang dititipkan buat Heagy atau nama Islamnya, Said Abdul Latif selepas berita berkaitan pengislaman beliau bertebaran. -Foto: Sportskeeda.com

Menelusuri kehidupannya, Heagy pada awalnya menyertai Gereja Ortodoks Antiochian sekitar tahun 2003 sebelum meninggalkannya pada 2017 untuk ke Gereja Katolik Timur. Selepas bergraduasi dari St Nazianz’s Holy Resurrection Monastery dan menjadi paderi Katolik Byzantine, akhirnya beliau kini seorang Muslim.

Lantaran itulah, kata Heagy atau Said Abdul Latif, ia menjadi sebab mengapa orang yang bergelar saudara baharu itu tidak bercakap tentang ‘penukaran’ agama, tetapi ‘kembali’ kepada Islam yang merupakan satu perjalanan panjang.

Sejak perkhabaran bertebaran menyatakan dirinya memeluk Islam, beliau mengakui menerima banyak mesej tulus daripada umat Islam.

Baca juga Islam diunjur menjadi agama dominan dunia menjelang tahun 2075

“Saya melihat kemesraan dan keramahan yang dizahirkan oleh masyarakat Islam begitu luar biasa. Tidak pernah saya menerima layanan seperti itu.

“Selepas memeluk Islam, saya merasakan kedamaian, kegembiraan dan kelegaan yang akhirnya membawa saya pulang.

“Maka sekarang bermulalah kerja untuk mendalami keimanan. Pembelajaran yang lebih mendalam, cinta kepada Deen, ummah dan Nabi Muhammad SAW,” ungkapnya.

***Foto: Middle East Monitor