Browsing Tag

hilang

hilang status perkahwinan
Berita Semasa,

Wanita hilang selepas sehari bernikah, apa status perkahwinan itu?

Wanita hilang selepas sehari bernikah, apa status perkahwinan itu?

SIAPA sangka hari yang sepatutnya indah buat seorang pengantin lelaki dari Indonesia berubah menjadi pilu dalam sekelip mata apabila wanita yang baru sehari sah menjadi isterinya telah hilang tak dapat dikesan.

Menurut serambinews.com, pasangan yang menetap di Rancabungur di Bogor, Indonesia itu telah bernikah pada 25 Jun lalu.

Namun hanya sehari selepas itu, isterinya dilaporkan hilang selepas keluar rumah untuk membeli makanan dengan menaiki motor.

Baca juga Tiada masalah kahwin wanita lebih berusia, yang penting utamakan agama

Memetik sumber itu lagi, wanita terbabit sudah lebih seminggu menghilang tetapi keberadaannya masih menjadi tanda sang suami.

Jelas pemuda tersebut, dia tidak mempunyai apa-apa masalah dengan isterinya sebelum ini dan mereka telah bercinta selama 5 bulan atas dasar suka sama suka, bukannya kerana dipaksa atau diatur keluarga.

Bercerita mengenai apa yang berlaku sebelum kejadian, dia dan isterinya dikatakan begitu mesra dan perbualan mereka juga tidak timbul sebarang kata-kata yang mencurigakan.

Lelaki itu juga berkata, dia sudah membuat laporan polis dan berharap agar isterinya itu dapat ditemukan dengan kadar segera.

hilang status perkahwinan

Apa jadi pada perkahwinan jika pasangan hilang?
Dalam Islam, situasi sebegini digelar sebagai mafqud.

Menurut para ulama Syafie kontemporari, mafqud adalah: “Orang yang hilang dari tempat asalnya dalam tempoh yang lama sehingga terputus berita mengenainya dan tidak diketahui juga sama ada dia masih hidup ataupun telah meninggal dunia.

Sebagaimana dijelaskan oleh pihak Mufti Wilayah Persekutuan (W.P), ada dua jenis mafqud atau hilang di sisi agama dan bagaimana situasi tersebut boleh mempengaruhi status perkahwinan

1. Suami yang hilang tetapi keadaannya diketahui dan boleh dihubungi.
Dalam situasi ini, si isteri tidak berhak untuk berkahwin lain berdasarkan kepada ijmak para ulama. Namun, sekiranya suami gagal untuk memberi nafkah harta kepada isterinya, maka isteri berhak untuk menuntut fasakh melalui qadhi.

2. Suami yang hilang dalam keadaan terputus khabar berita dan tidak diketahui lokasi keberadaannya. Dalam keadaan ini, para fuqaha berselisih pendapat kepada beberapa pandangan.

Dalam mazhab Syafie, para ulama terbahagi kepada dua pendapat, iaitu sebelum mengahwini lelaki lain, isteri perlu terlebih dahulu menunggu

1. Mengikut tempoh yang ditetapkan, atau
2. Sehingga ada kepastiannya suaminya telah meninggal dunia atau menjatuhkan talak

Dari segi waktu menunggu, ada sebahagian ulama mengatakan tempohnya adalah 4 tahun dengan tambahan masa ‘iddah 4 bulan 10 hari. Pendapat ini juga dipegang oleh Umar bin Al-Khattab, ‘Uthman bin ‘Affan, Ibn ‘Abbas, Ibnu ‘Umar, Malik bin Anas, dan Ahmad.

Pun begitu, pandangan masyhur dalam kalangan ulama Syafie termasuklah pihak Mufti W.P adalah tempoh menunggu adalah bergantung kepada keputusan dan pertimbangan hakim.

Hal ini kerana tidak ada nas yang jelas daripada dalil-dalil Quran dan Sunnah berkenaan penetapan tempoh-tempoh tertentu secara tetap bagi tempoh mafqud sebelum seseorang itu diputuskan sebagai mati.

Jadi, ini bermakna, jika hakim menentukan masa 4 tahun, maka si isteri perlu menunggu sehingga tempoh itu sebelum dibenarkan berkahwin lain selepas ‘iddah.

Walau bagaimanapun, jika selepas 6 bulan misalnya, sudah dapat disahkan dengan bukti bahawa suaminya meninggal dunia, maka si isteri boleh terus berkahwin lain setelah tamat ‘iddah.

Si isteri berkahwin lain tanpa menunggu habis waktu ditetapkan
Jika si isteri berkahwin lain tanpa menunggu selama tempoh yang ditetapkan serta tidak mendapatkan keputusan daripada mahkamah syariah mengenai status perkahwinannya dengan suami yang hilang, maka pernikahan baru itu dikira tidak sah.

Manakala, anak yang dikandung si isteri hasil hubungannya dengan suami kedua adalah anak syubhah yang lahir daripada persetubuhan syubhah dan dinasabkan kepada ayahnya serta berlaku hukum waris antara si ayah dan anak tersebut.

Suami kembali setelah hilang
Dalam pada itu, sekiranya si suami yang hilang kembali semula setelah tamat tempoh mafqud, beliau berhak memilih untuk menikahi isterinya kembali, atau menerima pemulangan mahar (merelakannya dengan suami baru).

Pandangan ini berdasarkan kenyataan Saidina Umar dan Saidina Uthman yang berkata,

“Apabila suaminya kembali (setelah tamat tempoh mafqud), maka si suami diberi pilihan antara kembali memperisterikannya atau menerima pengembalian mahar isterinya tersebut.” (Riwayat Ibn Abi Syaibah, no. 16723)

Apa pun, setiap daripada kita perlu cakna dengan hukum-hakam agama berkaitan isu ini kerana ia boleh memberi impak kepada perkahwinan serta menyentuh hal halal dan haram dalam perhubungan.

Sumber: Serambinews.com & Portal Mufti Wilayah Persekutuan 

Foto: 123RF & TikTok

Wanita hilang selepas sehari bernikah, apa status perkahwinan itu?