Browsing Tag

hibah suami isteri

Hibah
Hukum,

HIBAH: Ini yang para isteri wajib tahu

“SAYANG, abang hibah rumah dan semua duit dalam akaun bank abang untuk sayang. Kalau tiba-tiba abang ‘pergi’, sayang gunalah sebaiknya ya.”

Itu antara bait-bait lisan yang dilontarkan seorang suami kepada isterinya. Bukan apa, bimbang ajal datang menjemput. Bolehlah si isteri menggunakan harta yang ditinggalkan untuk mengurus diri dan anak-anak mereka.

Bagi segelintir orang, kata-kata sebegitu mungkin sudah cukup melegakan sebagai jaminan masa hadapan mereka.

Walaupun jauh di lubuk hati paling dalam terasa sedih dengan ungkapan itu, tetapi mahu atau tidak, yang hidup tetap perlu meneruskan kehidupan.

Namun, ada satu perkara kita perlu tahu. Tidak semua hibah tersebut sah di sisi syarak mahupun undang-undang.

Baca juga Beza antara hibah mutlak dan amanah

Menurut Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah, hibah bermaksud pemberian harta yang berlaku semasa hidup.

Hibah

HIBAH merupakan pemberian yang dilakukan secara sukarela ketika seseorang masih hidup dan ada beberapa syarat serta rukun-rukunnya. -Foto: Freepik

“Paling penting, pemberian itu dilakukan secara sukarela kepada seseorang yang lain ketika hayatnya dan tidak mengharapkan apa-apa balasan dengan lafaz ijab dan kabul atau seumpamanya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web baitulmal.sabah.gov.my.

Terdapat empat rukun dan syarat-syarat hibah yang wajib dipenuhi iaitu pemberi hibah, penerima hibah, barang yang dihibahkan dan sighah (ijab kabul).

“Perkara paling penting dilihat adalah elemen terimaan atau al-qabd berlaku atau tidak. Al-qabd bermaksud mendapat sesuatu, menguasainya dan boleh melakukan tasarruf (urusan) terhadap barang atau harta tersebut.

“Dalam Mazhab Syafie, al-Qabd merupakan syarat luzum iaitu akad hibah tidak sempurna dan tidak berkuat kuasa dengan ijab dan kabul semata-mata, kecuali selepas al-qabd.

“Andai al-qabd tidak berlaku, maka akad hibah tadi merupakan akad yang tidak mengikat. Oleh sebab itu, pemberi hibah berhak menarik balik hadiah tersebut selama mana harta berkenaan berada dalam pemilikannya,” katanya.

Sementara itu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berkongsikan perkara yang perlu diketahui isteri mengenai hibah dalam laman sosial Facebook miliknya.

Baca juga Suami meninggal, ini yang WAJIB isteri tahu tentang peninggalan harta arwah

MAIS menyenaraikan 10 situasi mudah untuk kita memahaminya seperti berikut:

1. Suami tidak menghibahkan atau mewasiatkan harta.

– Maka dalam kes itu, semua yang dimiliki lelaki berkenaan akan menjadi harta pusaka. Ia akan dibahagikan secara faraid kepada waris-waris yang berhak.

Hibah

SEBAIKNYA, sediakan dan lakukan segala proses dokumen untuk memudahkan penerima atau waris yang mendapat ‘hadiah’ tersebut. -Foto: Freepik

2. Lelaki menghibahkan harta tidak alih seperti rumah atau tanah kepada isteri secara lisan, namun kemudian meninggal dunia dan namanya masih tertera dalam geran.

– Dalam kes itu, isteri hendaklah membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi Syariah untuk memohon perintah pengesahan hibah.

3. Pasangan sudah menghibahkan harta alih seperti wang dalam akaun bank secara lisan atau melalui dokumen pengisytiharan hibah, tetapi selepas dirinya meninggal dunia, duit itu masih lagi dalam akaun bank arwah suami dan tiada penguasaan daripada isteri.

– Ketahuilah bahawa hibah itu berkemungkinan menjadi tidak sah.

– Bagaimanapun, dalam kes ini, isteri boleh memohon kepada Mahkamah Tinggi Syariah untuk memohon perintah pengesahan pemberian berkenaan.

Baca juga Hutang penyebab datuk tarik balik hibah kepada cucu, jangan anggap tindakan ini buruk siku

4. Suami menghibahkan harta tidak alih kepada isteri dengan membuat dokumen pengisytiharan hibah dan telah sempurna rukun-rukunnya.

– Perbuatan seperti itu dianggap telah menjadi sah, tetapi isteri tetap perlu membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi Syariah bagi mendapatkan perintah pengesahan andai harta tersebut masih mempunyai nama suami yang sudah meninggal dunia dalam geran.

5. Suami menghibahkan harta tidak alih kepada isteri dengan membuat dokumen pengisytiharan hibah, sempurna rukun-rukunnya dan telah melakukan pindah milik melalui borang 14A KTN 1965.

Hibah

SELAIN wang, harta tidak teralih seperti rumah boleh dijadikan sebagai ‘hadiah’ kepada seseorang. -Foto: Freepik

-Jika begitu situasinya, harta tersebut tidak menjadi harta pusaka sekiranya suami meninggal dunia pada kemudian hari.

6. Suami menghadiahkan harta alih seperti kereta kepada isteri sama ada dengan membuat dokumen pengisytiharan hibah atau tidak, tetapi telah sempurna rukun-rukunnya.

– Maka kereta itu tidak menjadi harta pusaka jika suami meninggal dunia kemudian. Bagaimanapun, wanita tadi tetap perlu memohon ke Mahkamah Tinggi Syariah untuk memohon perintah pengesahan hibah andai kenderaan tersebut masih atas nama arwah suami.

7. Lelaki menghibahkan harta-hartanya kepada isteri, menyempurnakan rukun-rukun dan mendapatkan perintah pengesahan hibah di Mahkamah Tinggi Syariah semasa hidup.

– Dalam kes itu, harta yang sudah dihadiahkan itu tidak akan menjadi harta pusaka andai suami meninggal dunia kelak.

Baca juga Penting untuk urus hibah ketika masih sihat dan bertenaga. PU Syed beri panduan macam mana nak uruskannya

8. Andai kata seorang lelaki menghibahkan harta kepada anak-anaknya dan tidak menamakan isteri sebagai penerima hibah.

– Ketahuilah, hibah berkenaan tidak boleh dipertikaikan di Mahkamah Tinggi Syariah kecuali jika tidak sempurna rukun-rukunnya.

9. Suami mempunyai takaful, simpanan Amanah Saham Berhad (ASB) dan Tabung Haji.

Hibah

AKAUN simpanan merupakan sejenis harta yang boleh dihibahkan. -Foto: Pexels

– Semua itu boleh dihadiahkan kepada isteri secara hibah bersyarat sebagaimana yang telah ditetapkan oleh institusi-institusi berkenaan.

10. Harta-harta yang telah dihibahkan suami dan telah sempurna qabd (diterima) oleh isteri tidak boleh ditarik balik.

– Begitu juga dirujuk mahupun dibatalkan sama sekali walaupun berlaku perceraian atau kematian isteri.

– Rasulullah SAW mengumpamakan orang yang menarik semula hibahnya menerusi hadis daripada Umar bin al-Khattab RA: “Orang yang menarik kembali hibahnya adalah seperti seekor anjing yang menjilat kembali muntahnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Kepada para wanita mahupun lelaki, ambil tahulah tentang perkara tersebut. Ramai yang memandang remeh tentang hal itu sehinggalah ia berlaku kepada diri.

Setidak-tidaknya biarlah kita ada ilmu berkenaan untuk memudahkan urusan semua pihak kelak.

***Foto: Freepik