Browsing Tag

hati gelap

Video lucah
Berita Semasa,

Umur pendek, hati gelap bila tonton video lucah

Umur pendek, hati gelap bila tonton video lucah

BAIK Muslim mahupun bukan, kebanyakan mereka yang memiliki imej dan video lucah menganggap perbuatan itu hanya satu hobi atau hak privasi seseorang.

Tidak hairanlah apabila data tahun 2020 mendedahkan, Malaysia berada pada kedudukan keempat tertinggi di dunia dalam statistik penggunaan trafik PornHub.

Lebih menyedihkan apabila ‘pelayaran’ trafik berkenaan semakin mencanak sebanyak 84 peratus dengan kata kunci berkaitan wabak Covid-19.

Pensyarah Kanan, Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Siti Norlina Muhamad menjelaskan, sebagai Muslim, memiliki apalagi menyimpan imej mahupun video porno merupakan perbuatan terkutuk dan mencerminkan betapa lemahnya iman seseorang.

DR SITI NORLINA

Menurut perspektif agama, katanya, situasi tersebut menunjukkan individu berkenaan tidak menghayati konsep ihsan dalam Islam iaitu ‘anda mengabdikan diri pada ALLAH seolah-olah melihat-NYA dan walaupun anda menyedari tidak dapat memandang-NYA, tetapi anda merasakan ALLAH memerhatikan anda’.

“Andai individu itu memahami konsep ini, sudah tentu mereka takut untuk melakukan perbuatan tidak bermoral ini sama ada secara nyata atau sembunyi.

Baca juga Natijah ‘layan’ porno boleh memakan diri

“Sesungguhnya, Islam mewajibkan penganutnya menjaga pandangan mata,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Ia sebagaimana yang dinyatakan ALLAH SWT menerusi firman-NYA yang bermaksud: “Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya ALLAH MAHA MENGETAHUI apa yang mereka perbuat. Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya….” (Surah an-Nur, ayat 30-31)

Melihat kalamullah berkenaan, ujar Dr Siti Norlina, ayat itu mengandungi maksud kecaman dan cercaan terhadap orang yang gemar memerhatikan perkara yang haram.

“Apabila penglihatan secara tidak sengaja jatuh pada sesuatu yang diharamkan, seseorang itu harus segera mengalihkan dan menundukkan pandangan.

“Ini bagi mengelakkan diri daripada terjerumus serta terdorong dalam aktiviti pornografi,” terangnya.

Video lucah

JANGAN sesekali menonton video lucah atau perkara yang diharamkan oleh ALLAH kerana ia mendatangkan kesan buruk kepada diri. -Foto: Freepik

Melihat aurat orang lain lagikan dilarang, inikan pula menontonnya secara sengaja.

Jelas ahli akademik itu, hukumnya tetap sama iaitu diharamkan sama sekali.

“Ini kerana apa yang ditampilkan adalah sama seperti gambaran yang asal dan ia boleh menimbulkan kesan buruk kepada orang yang melihatnya seperti berfantasi sehingga boleh mendorong kepada keinginan untuk berzina.

Natijah buat pelaku

Kepada satu soalan, Dr Siti Norlina menjawab: “Apa sahaja perlakuan maksiat secara berterusan akan menjadi penghalang hidup individu daripada mendapat rahmat dan keberkatan.

Baca juga 4 cara raih rahmat ALLAH SWT. Nampak mudah, tapi ramai yang tak ambil peluang lakukannya

“Sekiranya individu itu sering bergelumang dosa dan maksiat sama ada melibatkan pancaindera atau sebagainya, ia akan memberi kesan terhadap kehidupannya.

“Malah, hubungan dengan ALLAH semakin jauh. Ilmu pengetahuan dan perkara kebaikan juga tidak akan mendampingi pelaku maksiat, selagi dia tidak bertaubat. Kehidupan semakin sulit dan doanya tidak diperkenankan ALLAH.”

Bukan itu sahaja, ujarnya, ketagihan porno akan turut memendekkan umur kerana kesan daripada maksiat dilakukan akan menjejaskan kesihatan pelakunya.

Video lucah

BERGELUMANG dosa dan maksiat menjauhkan hubungan kita dengan ALLAH SWT. -Foto: 123rf

“Emosi sering terganggu, kesihatan fizikal terjejas, tiada ketenangan hidup yang mana akhirnya pelbagai gangguan kesihatan fizikal dan mental mula menghantui hidupnya.

“Diri dikuasai oleh keinginan seksual tanpa batas, akal dicemari dengan pemikiran kotor dan lama-kelamaan, ia memakan diri dan menjejaskan kesihatan individu tersebut,” ungkapnya.

Paling menggusarkan apabila hati pelaku yang menonton imej atau paparan lucah tadi akan menjadi gelap dan lama-kelamaan sukar serta tidak lagi merasakan kemanisan beribadah, terangnya.

Masakan tidak, beliau berkata, orang yang sentiasa bergelumang dengan maksiat sukar mendapat hidayah ALLAH.

Beliau kemudian memetik bait mutiara yang pernah disuarakan oleh Abdullah bin Abbas yang berbunyi: “Sesungguhnya kebaikan mempunyai sinar pada wajah, cahaya dalam hati, kelapangan dalam rezeki, kekuatan pada tubuh badan, serta cinta dalam hati para makhluk. Sesungguhnya keburukan memiliki tanda hitam pada wajah, kegelapan dalam hati, kelemahan pada tubuh, kekurangan dalam rezeki, serta kebencian dalam hati para makhluk.”

Mengambil contoh lain, Dr Siti Norlina menceritakan kisah yang berlaku kepada Imam Syafie untuk dijadikan iktibar bersama.

Ujarnya, Imam Syafie pernah mengadu kepada gurunya, Waqi’ tentang hafalannya yang lemah.

Lantas gurunya berkata, ‘Engkau tentu telah melakukan dosa. Cuba engkau ingat kembali’. Imam Syafie cuba mengingatinya, lalu teringat beliau tanpa sengaja telah terlihat aurat seorang wanita yang tersingkap betisnya ketika menaiki kenderaan. Lantas Imam Syafie terus memalingkan wajahnya.

Video lucah

HENTIKANLAH daripada menonton porno atau video dan gambar lucah yang kelak akan mengundang sengsara. -Foto: Freepik

“Bayangkan jika melihat aurat wanita secara tidak sengaja pun telah dirasakan satu maksiat oleh Imam Syafie, sehingga mengganggu hafazannya, bagaimanakah pula agaknya kesan terhadap orang yang melihat aurat orang lain dengan sengaja atau merasa seronok melihat aurat orang lain?

“Ketahuilah bahawa orang yang sentiasa bergelumang dengan maksiat, hatinya akan diselubungi dengan titik hitam sehingga menyukarkan dirinya dalam melaksanakan ketaatan, berasa malas untuk beribadah dan hilang rasa kemanisan dalam beribadah. Ini ditegaskan sendiri oleh ALLAH SWT dalam surah al-Mutaffifin, ayat 14,” katanya.

Seperkara lagi, beliau mengingatkan, meskipun seseorang sekadar membaca bahan bacaan lucah hingga mampu berimaginasi atau tidak, hukumnya adalah haram dan berdosa besar.

“Elakkan apa saja perbuatan yang mendorong rangsangan zina. Jangan sesekali buka ruang kerana pengaruh negatif akan menguasai diri,” tegasnya.

Baca juga Haram menulis atau baca bahan bacaan berunsur lucah

Baca juga Berkarya biarlah mengikut hukum-hakam Islam

Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, Dr Siti Norlina memberi pesanan bernilai kepada para penulis.

Ujar beliau, penulisan sesebuah karya merupakan amanah untuk mendidik dan mencurahkan ilmu kepada pembaca.

“Oleh itu, penulis mesti memikul tanggungjawab ini dengan baik dan mengelakkan diri daripada menghasilkan karya yang mendatangkan kesan buruk atau mendorong perlakuan maksiat dan dosa.

“Imej atau gambaran pornografi yang dilihat melalui mata akan melekat pada pemikiran manusia dalam jangka masa lama dan sukar dilupakan.

“Bayangan ini akan berulang-ulang datang dalam pemikiran manusia hingga mengganggu fokus terhadap perkara-perkara bermanfaat,” titipnya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.