Browsing Tag

harus

bc5f34fb-d79a-441a-88d3-600cf31c4ee6
Berita Semasa,

Fatwa Putuskan Pengambilan Vaksin Harus Bagi Umat Islam

no comment

Islam amat menitikberatkan penjagaan kesihatan umatnya serta memberi galakan agar sentiasa berikhtiar dan mengelakkan diri daripada ditimpa penyakit.

Sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Sa’ad Bin Abi Waqqas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

َنْ تَصَبَّحَ بِسَبْعِ تَمَرَاتٍ عَجْوَةً لَمْ يَضُرَّهُ ذَلِكَ الْيَوْمَ سُمٌّ وَلَا سِحْرٌ

Maksudnya: Barang siapa yang bersarapan dengan tujuh biji kurma ‘ajwah, tidak akan ditimpa kemudaratan dari racun dan sihir pada hari tersebut. (Riwayat Muslim)

Secara umum hadis di atas memberi galakan kepada umat Islam agar berikhtiar untuk melindungi diri daripada sesuatu yang boleh memberi mudarat.

Tindakan melindungi diri ini merupakan tindakan berjaga-jaga (precaution) terhadap sesuatu bahaya yang mempunyai kebarangkalian untuk menimpa diri seseorang.

Pengambilan vaksin dilihat merupakan salah satu cara yang diusahakan oleh kerajaan bagi melindungi rakyat daripadapenyakit berjangkit sekali gus mengurangkan risiko kematian.

Ini bertepatan dengan maqasid al-syari’ah yang wajib dipelihara iaitu memelihara agama (hifz al-din), memelihara nyawa (hifz al-nafs), memelihara akal (hifz al-‘aql), memelihara keturunan (hifz al-nasl) dan memelihara harta benda (hifz al-mal).

Pemberian vaksin dilihat sebagai suatu tindakan penting dalam ikhtiar untuk memelihara nyawa pada waktu ini memandangkan angka kes baharu dan kes kematian masih berlaku saban hari.

Usaha mengelak atau menghilangkan sebarang risiko jangkitan penyakit dalam kalangan masyarakat merupakan ikhtiar yang amat digalakkan oleh Islam sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: Tidak boleh berbuat kemudaratan dan tidak boleh membalas kemudaratan dengan kemudaratan. (Riwayat Ibn Majah)

Hadis ini menjelaskan larangan melakukan sebarang kemudaratan sama ada terhadap diri sendiri mahu pun terhadap orang lain daripada segala jenis kemudaratan termasuklah mudarat kesihatan.

Ia sesuai dengan matlamat pemberian vaksin yang bermatlamat membina imuniti tubuh sekali gus dapat mengelak diri daripada dijangkiti penyakit dan bagi mengelak dari menjadi penyebab jangkitan kepada orang lain.

Antara kaedah fiqah yang digunakan dalam penentuan keharusan pengambilan vaksin adalah sebuah kaedah fiqah yang masyhur iaitu:

الضَّرَرُ يـُزَال

Maksudnya: Kemudaratan itu disingkirkan.

Sesuatu kemudaratan yang wujud di dalam kehidupan mestilah dihilangkan atau disingkirkan. Antaranya, dengan mengambil langkah berjaga-jaga (precaution) terhadap sesuatu bahaya yang bakal menimpa.

Oleh itu, pengambilan vaksin  adalah termasuk dalam cara menyingkirkan kemudaratan yang wujud dalam kehidupan.

 Penentuan hukum penggunaan vaksin juga mengambil kira kebarangkalian mudarat yang berlaku, dalam hal ini para ulama telah menetapkan kaedah umum yang sesuai dalam situasi ini iaitu:

أَنَّ أَدنَى المَفْسَدَتَين يُرْتَكَبُ مِنْ أَجلِ دَفْع أَعْلَاهُمَا

Maksudnya: Sesungguhnya mafsadah yang paling ringan antara dua mafsadah dilakukan dengan tujuan mengelakkan mafsadah yang lebih besar.

Jika tidak dapat dielakkan, vaksin yang bersumberkan daripada bahan haram dibenarkan atas dasar darurat yang diiktiraf syarak.

Pada dasarnya sesuatu pilihan yang dibuat oleh kerajaan mahupun individu mestilah suatu keputusan yang tiada sebarang mafsadah atau kesan negatif dalam segala aspek kehidupan.

Namun dalam keadaan-keadaan tertentu, wujud situasi sukar yang memerlukan pilihan dibuat antara dua mafsadah.

Berdasarkan kaedah di atas maka penelitian kesan mestilah dengan mengambil kira mafsadah yang paling ringan antara keduanya. Pengambilan vaksin dilihat lebih ringan mudaratnya berbanding dengan mudarat tidak mengambil vaksin.

Kesimpulan

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-10 dan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor (MJKFNS) Kali Ke-1/2021 memutuskan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia.

Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira pandangan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta perbahasan ilmiah oleh ahli-ahli mesyuarat di peringkat MKI.

Berdasarkan penelitian terhadap keputusan-keputusan fatwa berkaitan vaksin, keharusan pengambilan sesuatu vaksin bukanlah secara mutlak. Ia diputuskan dengan mengambil kira beberapa perkara antaranya:

  • Sumber vaksin hendaklah daripada bahan-bahan yang suci dan tidak najis.
  • Jika tidak dapat dielakkan, vaksin yang bersumberkan daripada bahan haram dibenarkan atas dasar darurat yang diiktiraf syarak.
  • Sekiranya terdapat dua pilihan vaksin iaitu yang bersumberkan bahan halal dan yang haram, maka wajib memilih vaksin yang bersumberkan bahan halal.

Umat Islam seharusnya menyambut baik usaha kerajaan dalam mengekang penularan wabak yang merbahaya ini dengan mengambil suntikan vaksin yang diberikan oleh kerajaan, tindakan mengelak daripada mengambil vaksinasi dibimbangi akan menyebabkan kemudaratan yang lebih besar kerana data KKM menunjukkan mereka yang belum mendapat vaksinasi terdedah dan berisiko tinggi terhadap jangkitan Covid-19.

Aidilfitri gamit ingatan pada ibu ayah
Isu,

Tiada Ayat Tertentu Semasa Ziarah Kubur, Terpulang Kerana Membacanya Adalah Harus

no comment

MEMANDANGKAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah membuat pengumuman bahawa aktiviti ziarah kubur Islam telah dibenarkan bagi setiap fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri, pastinya ramai dalam kalangan kita yang mahu melakukan aktiviti ziarah kubur dan terfikir-fikir apakah bacaan yang sesuai.

Bagi menjawab persoalan itu, Penceramah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus atau lebih dikenali sebagai UAI menerusi sesi soal jawab merungkaikan perkara itu seperti dikongsikan di page Facebook KEDAH DI HATIKU. UAI berpandangan, sebaik tiba di kawasan perkuburan berilah ucapan salam kepada si mati.

Ulasnya lagi, kemudian digalakkan membaca ayat-ayat al-Quran yang mana yang mudah bagi penziarah dan akhir sekali membaca doa meminta kebaikan untuk si mati.

baca quran

“Tidak dimestikan membaca ayat-ayat al-Quran yang tertentu tetapi terpulang kepada penziarah surah apa yang dia mahu baca kerana ia adalah harus.

“Cuma setengah-setengah orang suka membaca Yaasin atau surah al-Baqarah atau surah lain dan ia bukanlah wajib atau menjadi syarat,” katanya.

Beliau turut berkongsi sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Nawawi, “Diriwayatkan di dalam Sunan Al-Baihaqi dengan sanad yang hasan bahawa Ibnu Umar menyukai agar dibaca di atas perkuburan sesudah pengebumian permulaan pada surah Al-Baqarah dan pada pengakhirannya.” (Kitab Al-Azkar)