Browsing Tag

harta dan pangkat bukan ukuran di sisi ALLAH

Harta dan pangkat
Isu,

Harta dan pangkat, ujian buat manusia

HARTA dan pangkat, dua ‘alat’ kemasyhuran yang begitu disanjung oleh kebanyakan manusia.

Benar, tidak salah andai seseorang itu kaya dan berkedudukan tinggi. Apa yang menjengkelkan andai ia disalah guna.

Malah, semua yang dimilikinya dianggap sebagai karamah hingga akhirnya bersikap bongkak serta tamak serta mendongak ke langit.

Baca juga Sifat riak, sombong boleh membuatkan manusia mudah lupa kepada YANG MAHA ESA

Mengertilah, semua itu adalah kurniaan dan pinjaman ALLAH SWT. Bila-bila masa sahaja DIA boleh menariknya semula mengikut kehendak-NYA. Bahkan, apabila seseorang meninggal dunia, satu daripada harta-hartanya yang dibanggakan tadi tidak boleh mengikutnya ke alam kubur.

Siapa pun seseorang itu, di sisi ALLAH, kita tetap sama iaitu hamba-NYA. Suka atau tidak, kewajiban kita terhadap Sang Pencipta tidak boleh dilupakan sama sekali. 

Apakah yang membezakan antara setiap manusia dengan individu lain menurut pemilik kerajaan langit dan bumi itu? Apakah pangkat dan harta menjadi ukuran di sisi-NYA?

Habuan akhirat

Sinar Islam Plus menemu bual Pegawai Tadbir (Hal Ehwal Islam) Pusat Islam, Universiti Teknologi Malaysia, Ustaz Panji Alam Mazhisham.

USTAZ PANJI ALAM

Beliau memulakan mukadimahnya dengan menegur ‘kesilapan’ manusia yang selama ini menganggap kekayaan, harta dan pangkat sebagai satu kemasyhuran serta kemuliaan dan kelebihan.

Baca juga Pangkat besar dan harta berjuta, bukan kategori insan hebat. Kenali 4 jenis manusia paling dikagumi berpandukan al-Quran dan hadis

Ketahuilah bahawa kemuliaan di sisi ALLAH bukanlah terletak pada banyak atau sedikitnya habuan dunia seperti itu, ungkapnya.

“Sebaliknya, DIA memuliakan seseorang hamba dengan memberikannya ketaatan dan taufik yang membolehkan mereka mendapat habuan akhirat.

“Andai diberi kesenangan di alam yang fana ini, dia bersyukur dan sentiasa memuji ALLAH SWT,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

ALLAH SWT berfirman yang mafhumnya: “(Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: “Tuhanku telah memuliakan daku!” (Surah al-Fajr, ayat 15)

Harta dan pangkat

KETAHUILAH bahawa harta dan pangkat bukan suatu kemuliaan, sebaliknya ia merupakan ujian buat hamba-NYA. -Foto: 123rf

Ustaz Panji Alam menukilkan pandangan Dr Wahbah az-Zuhaily dalam kitab Tafsir al-Munir bahawa, ayat itu berkaitan pemikiran manusia yang salah dengan menganggap harta dan pangkat merupakan suatu kemuliaan.

Malah, ada yang menyangka ia merupakan karamah, lalu bergembira dengan apa yang diraih tanpa bersyukur kepada Sang Pencipta serta tidak menyedari itu adalah ujian daripada Tuhan, ungkapnya.

Baca juga Kaya juga satu ujian. Ini yang perlu kita tahu

“Dengan kata lain, kekayaan, harta benda, pangkat dan kuasa bukanlah tanda keredaan ALLAH SWT terhadap seseorang hamba. Ini kerana semua itu tiada nilai di sisi-NYA.

“Hakikatnya, segala bentuk kemasyhuran atau dianggap mulia itu adalah fitnah dan ujian kepada manusia,” ujarnya.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Manusia akan semakin meningkat tua, namun ada dua ciri dalam dirinya yang akan semakin muda iaitu; perasaan cinta kepada kehidupan dan cinta kepada harta.” (Sahih al-Bukhari)

Di sebalik maksud hadis berkenaan, jelas Ustaz Panji Alam, tiada perkara di dunia yang lebih besar kuasanya untuk mengubah seorang manusia melainkan dengan harta!

“Lihat sahaja insan di sekeliling kita berubah sikap, prinsip dan pegangan hidup apabila kaya raya, memegang jawatan tinggi, diberi pangkat besar dan gelaran di hadapan nama.

“Ingatlah, segala nikmat yang diberikan oleh-NYA waima harta, kekayaan dan pangkat itu sebenarnya menuntut manusia untuk menjadi hamba yang bersyukur kepada-NYA serta membuat persediaan untuk berjaya di akhirat dengan beriman dan beramal soleh,” tuturnya.

‘Fitnah’ penyebab manusia lalai

Sesungguhnya, harta merupakan fitnah yang akan menyebabkan manusia lalai daripada mengingati-NYA, melakukan maksiat dan kemungkaran kepada ALLAH SWT.

Harta dan pangkat

KEMASYHURAN yang dimiliki asbab kekayaan dan jawatan disandang bukan tiket untuk seseorang bersifat bongkak dengan apa dimilikinya. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Buktinya jelas dirakamkan dalam al-Quran tentang kisah Qarun yang kaya serta berdarjat, tetapi akhirnya tenggelam ‘ditelan’ bumi bersama rumahnya.

Menurut Pegawai Hal Ehwal Islam itu lagi, kisah Qarun yang diceritakan dalam Surah al-Qasas bermula ayat 76 hingga 82 menjadi saksi bahawa kesombongan melalui harta tidak akan kekal lama andai kita tidak memahami konsep kekayaan dalam hidup.

Baca juga Usah Mendabik Dada Dengan Kejayaan Yang Diperoleh, Ustaz Ini Terangkan Semuanya Daripada-NYA

“Ketamakan Qarun dengan hartanya tidak terhenti di situ, malah diakui oleh pengikut-pengikutnya. Sikap mendabik dada ini mengingatkan kepada manusia agar berhati-hati dengan jawatan, pangkat dan kedudukan yang mulia diberikan ALLAH kepada kita.

“Manusia sering kali diuji dengan kedudukan yang baik, malah memberikan gambaran bahawa kehidupan yang senang itu adalah anugerah sedangkan mereka tidak memahami bahawa setiap kelebihan itu juga adalah ujian untuk mereka,” terangnya.

Kepada satu soalan, Ustaz Panji Alam menjawab: “Setiap daripada kita pada hari kiamat nanti akan dibangkitkan di Padang Mahsyar dan akan melalui pemeriksaan ketat serta timbangan atas amalan semasa hidup di dunia.

“Ia termasuklah disoal setiap harta yang diperoleh waima dibelanjakan dengan cara halal atau sebaliknya.”

Justeru, beliau menitipkan pesan agar umat Islam menggunakan harta dan pangkat untuk mendekatkan diri kepada ALLAH.

“Caranya adalah dengan menginfakkan harta membantu orang dalam kesusahan seperti fakir miskin dan anak yatim.

“Janganlah kita terpesona dengan keseronokan kehidupan dunia hingga meninggalkan urusan akhirat. Ingatlah, semua limpahan kesenangan dan nikmat dikurniakan akan dipertanggungjawabkan di hadapan Rabbul Jalil Azza Wajalla,” katanya mengakhiri perkongsian ilmunya.

***Foto: Freepik