Browsing Tag

Hari Valentine

Gadaikan kehormatan
Berita Semasa,

Jangan gadai kehormatan demi cinta, kesetiaan. Ikuti acuan Islam zahirkan kasih sayang

Jangan gadai kehormatan demi cinta, kesetiaan. Ikuti acuan Islam sebenar zahirkan kasih sayang

TANGGAL 14 Februari setiap tahun dikaitkan dengan sambutan Hari Valentine yang menjadi tarikh keramat kepada setiap pasangan kekasih. Sering kali setiap pasangan yang bercinta akan mengisytiharkan ketulusan cinta dengan cara yang tersendiri.

Bahkan kita akan menyaksikan pelbagai pihak sama ada media, hotel mahupun premis jualan seperti bunga, hadiah dan seumpamanya akan galak mempromosikan pakej hari kekasih dengan pelbagai tawaran, promosi dan lain-lain lagi bagi memeriahkan sambutan hari tersebut.

Umat Islam seharusnya tidak terperangkap dengan sambutan hari tersebut yang tidak mempunyai asas dalam lembaran sejarah Islam sama sekali. Cukuplah pengharaman sambutan Valentine yang telah dibincangkan di peringkat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa dan beberapa fatwa negeri.

Dalam hal ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) pada tahun 2005 berpandangan bahawa ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya.

Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Baca juga Elak beri hadiah walaupun tak berniat sambut Hari Kekasih

Larangan menyerupai agama lain

Gadai kehormatan

SAMBUTAN Hari Valentine dipenuhi dengan unsur-unsur ritual agama Kristian terutamanya dikaitkan dengan individu bernama Saint Valentine. -Foto: Canva

Islam bukan sekadar jenama satu agama, bahkan mempunyai pendirian yang tegas tentang identiti tersendiri. Penghayatan Islam melalui komponen 3A (Akidah, Amalan [Fiqh] dan Akhlak) perlu bergerak seiring dan saling melengkapi. Komponen 3A ini menjadi identiti unik Islam berbeza dengan agama-agama yang lain.

Umat Islam tidak boleh mencampuradukkan identiti Islam dengan elemen peribadatan agama lain. Sambutan Hari Valentine dipenuhi dengan unsur-unsur ritual agama Kristian terutamanya dikaitkan dengan individu yang bernama Saint Valentine.

Apa pun pengkisahan tentang individu tersebut, sejarah yang paling popular adalah dikaitkan dengan St Valentine’s Day yang juga dikenali sebagai The Feast of Saint Valentine iaitu asal perayaan untuk penganut agama Kristian mengenangkan kembali seorang tokoh Kristian bernama Valentinus yang dipercayai hidup pada zaman Rom.

Tarikh keramat 14 Februari merupakan hari kematiannya. Hari Valentine dikaitkan dengan cinta dan kasih sayang disebabkan Saint Valentine mengahwinkan Christians yang dilarang berkahwin pada zaman tersebut.

Akhirnya sejarah hari tersebut bertukar menjadi hari pasangan yang bercinta menyatakan cinta masing-masing dengan pelbagai hadiah.

Baca juga Rasulullah SAW menyayangi umatnya sehingga di akhirat. Contohilah keperibadian baginda dengan sebarkan kasih sayang

Oleh itu, apabila sesuatu sambutan itu berunsurkan keagamaan, maka meraikannya bermakna mengakui agama mereka dan meredai kekufuran yang ada pada mereka. Daripada Ibnu Umar telah berkata, Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesiapa yang menyerupai dengan suatu kaum maka ia termasuk di kalangan mereka” (Abu Dawud, Kitab al-Libas, bab: fi lubs al-shuhrah, no: 4031)

Pengisian maksiat sangat ditegah

Ikatan pergaulan bebas, hubungan maksiat bukan mahram adalah sebahagian paparan pengisian kasih sayang dalam memenuhi sambutan Hari Valentine. Bahkan yang amat membimbangkan apabila pasangan yang berkasih sayang sanggup gadai kehormatan diri bagi menunjukkan kecintaan dan kesetiaan masing-masing.

Semua ini merupakan tindakan yang perlu dicegah daripada awal demi menjaga kesucian Islam itu sendiri. Perlu diingat, Islam tidak akan berkompromi dengan perkara berbaur maksiat dalam satu-satu masa yang dikaitkan dengan kasih sayang. Secara tidak langsung, setiap pengisian maksiat akan menggugat komponen 3A yang menjadi identiti Islam sebelum ini.

Gadai kehormatan

ISLAM tidak melarang penzahiran kasih sayang, namun mesti mengikut acuan yang digariskan dan tidak gadai kehormatan diri demi kecintaan kepada manusia. -Foto: Canva

Kasih sayang yang lebih Islami

Islam sama sekali tidak melarang penzahiran kasih sayang namun pengisian kasih sayang seharusnya mengikut acuan yang lebih Islam. Semaikanlah cinta kepada ALLAH SWT dan kasih sayang yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW sebagai acuan cinta dan kasih sayang lebih hakiki dan Islami.

Cinta ALLAH dan Rasulullah perlu menjadi keutamaan berbanding sesama makhluk yang belum mencapai sesuatu yang pasti. Firman ALLAH SWT: “Katakanlah ‘jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada ALLAH dan Rasul-NYA dan berjihad di jalan ALLAH, maka tunggulah sehingga ALLAH mendatangkan keputusannya’. Dan ALLAH tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik”. (Surah at-Taubah, ayat 24)

Baca juga Ini hukumnya bila ibu bapa pilih kasih yang perlu kita tahu

Sudah sampai masanya umat Islam tidak lagi mempersoalkan tentang keputusan muzakarah fatwa sebelum ini tentang “Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine’s Day” pada tahun 2005. Jadilah umat Islam yang akur dengan institusi fatwa yang menjadi pihak berautoriti tentang rujukan hukum Islam semasa.

***Artikel ditulis oleh Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, Zahari Mahad Musa