Browsing Tag

hari Jumaat

khatib khutbah
Ibadah,

Wajib diam ketika khatib baca khutbah, tapi untuk 3 perkara ini anda dibolehkan bersuara

Wajib diam ketika khatib baca khutbah, tapi untuk 3 perkara ini anda dibolehkan bersuara

HARI Jumaat digelar penghulu kepada segala hari kerana ada begitu banyak sunnah yang terkandung sepanjang hari tersebut sama ada memperbanyakkan selawat, berzikir dan sebagainya.

Hari istimewa ini juga sangat penting, terutamanya bagi golongan Adam, kerana ia membuka peluang untuk menghapuskan dosa-dosa kecil melalui solat Jumaat yang wajib dihadiri para Muslimin.

Baca juga Ini cara menghapuskan dosa seminggu pada hari Jumaat

khatib khutbah

ARTIKEL BERKAITAN:

Menyentuh tentang solat Jumaat, kita sentiasa diingatkan supaya menjaga adab dan tidak bercakap ketika khutbah berlangsung. Bahkan untuk menegur orang lain dan menyuruhnya diam sekalipun, perbuatan itu dianggap sia-sia dan boleh mengurangkan pahala penuh hari Jumaat.

Sabda Rasulullah SAW: “Jika kamu berkata kepada sahabatmu pada hari Jumaat “diam” dan ketika itu imam sedang berkhutbah, maka sesungguhnya kamu telah lagha (melakukan perkara yang sia-sia).” (Hadis Riwayat Bukhari)

khatib khutbah

SOLAT Jumaat wajib dilaksanakan oleh lelaki Islam pada hari Jumaat. Foto: Pexels

Baca juga Ghibtah – Dua keadaan HASAD yang dibenarkan

Pun begitu, portal tzkrh.com menjelaskan, ada tiga jenis percakapan yang masih dibenarkan ketika khutbah.

Pertama, ialah mengucapkan selawat ke atas Nabi SAW apabila mendengar nama baginda disebutkan. Bahkan orang yang tidak berselawat saat mendengar nama baginda dikira sebagai kedekut.

Kedua, mengucapkan amin apabila mendengar khatib membacakan doa. Ia dibenarkan dan tidak termasuk hal yang lagha.

Ketiga, mengucapkan Alhamdulillah (segala puji bagi ALLAH) selepas bersin atau mengucapkan Yarhamukallah (semoga ALLAH memberikan rahmat kepadamu) kepada orang lain yang bersin.

ELAKKAN bercakap ketika khatib sedang membacakan khutbah melainkan ada keperluan terdesak. Foto: 123RF

Daripada hal itu, kita mengetahui bahawa tidak semua percakapan itu ditegah semasa khutbah disampaikan. Kita masih boleh mengucapkan selawat apabila mendengar nama baginda disebut, mengucapkan amin ketika khatib berdoa dan mengucapkan Alhamdulillah ketika bersin.

Walau bagaimanapun, jika tidak ada keperluan seperti yang disebutkan itu, maka diam adalah lebih baik berbanding menyibukkan diri dengan zikir, membaca al-Quran atau berdoa dengan kuat semasa khutbah disampaikan.

Sumber: Tzkrh 

Foto: 123RF & Pexels

dosa
Ibadah,

Ini cara menghapuskan dosa seminggu pada hari Jumaat

SUDAHKAH kita meminta ampun daripada ALLAH SWT atas dosa-dosa yang dilakukan hari ini? Bagaimana pula kesilapan semalam, seminggu lepas atau masa-masa lampau?

Sebagai manusia biasa, hari-hari kita dipenuhi dosa kecil yang dilakukan tanpa kita sedari. Mungkin hari ini kita ada bercakap buruk tentang seseorang di tempat kerja. Atau gara-gara terlalu stres dengan tuntutan hidup, barangkali kita menaikkan suara tanpa sengaja kepada pasangan sehingga mengguriskan hati mereka.

Apa pun yang dilakukan, ketahuilah dosa yang terkumpul itu perlu disucikan dengan taubat agar ia tidak menjadi barah menghitamkan sanubari.

Mujur ada banyak cara mudah untuk kita bertaubat serta menyucikan diri daripada kesilapan yang dilakukan menunjukkan betapa pemurahnya ALLAH kepada manusia.

Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW pernah mengajarkan kita bagaimana untuk menghapuskan dosa kecil tiap kali menjelang hari Jumaat.

Sabda Nabi: “Sesiapa yang berwuduk dan dia perelokkan wuduknya, kemudian dia pergi menuju solat jumaat serta mendengar (khutbah) dengan teliti, dan diam (semasa khutbah), akan diampunkan dosa-dosanya dalam tempoh antara dirinya (Jumaat saat ini) dan juga hari jumaat yang sebelumnya, serta pertambahan 3 hari lagi. Dan sesiapa yang bermain dengan batu kecil, maka dia telah lagha.” (Hadis Riwayat Muslim)

Hadis berikut sebenarnya dikhususkan untuk orang yang menghadiri masjid pada hari Jumaat bagi menunaikan solat Jumaat.

Dengan melakukan beberapa perkara ini, iaitu mengambil wuduk sebaiknya untuk solat kemudian duduk diam mendengar khutbah dengan teliti tanpa melakukan perkara lain, itu sudah memadai menghapuskan dosa kecil untuk beberapa hari dalam minggu ini.

Sebaliknya jika anda termasuk kaum hawa yang tidak berpeluang melaksanakan solat Jumaat atau pada hari selain Jumaat, Nabi SAW pernah menitipkan beberapa amalan mudah ini supaya diampunkan dosa lalu.

Amalan mudah penghapus dosa ringan
1. Baca doa lepas makan.

Sabda Nabi SAW: “Barangsiapa yang makan dan kemudian dia membaca doa ini:

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِيْ أَطْعَمَنِيْ هَذَا الطَّعَام، وَرَزَقَنِيهِ مِنْ غَيْرٍ حَوْلٍ مِنِّي وَلاَ قُوَّةٍ

Maka akan diampunkan segala dosanya yang lalu.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

2. Baca doa memakai pakaian.
Sabda baginda Nabi “Barangsiapa yang memakai pakaian dan dia membaca doa ini:

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِيْ كَسَانِيْ هَذَا وَرَزَقَنِيهِ مِنْ غَيْرٍ حَوْلٍ مِنِّي وَلاَ قُوَّةٍ

Maka akan diampunkan segala dosanya yang lalu.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

3. Menyempurnakan wuduk.
Selain itu, Rasulullah mengingatkan bahawa wuduk yang sempurna juga dapat menghapuskan dosa. Sabda Nabi SAW:

Barangsiapa yang mengambil wuduk dan menyempurnakan wuduknya. Maka akan keluarlah dosa-dosanya dari tubuhnya sehingga dari celah-celah jarinya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

4. Zikir selepas menunaikan solat.
Sabda Nabi SAW, “Barangsiapa yang mengucapkan:

(33 kali) الله اَكْبَر
(33 kali) اَلْحَمْدُ لِلّه
(33 kali) سُبْحَانَ الله

Kemudian dicukupkan jumlah 100 dengan ungkapan:

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maka akan dihapuskan dosanya sekalipun dosanya banyak seperti buih di lautan.””(Hadis Riwayat Muslim)

Demikian ALLAH memberi peluang demi peluang untuk kita menyucikan diri daripada dosa hanya dengan amalan yang mudah dilakukan, tidak perlu bersusah payah melibatkan tenaga atau masa yang lama.