Browsing Tag

Hamba yang melahirkan tuannya

Hamba yang melahirkan tuannya
Gaya Hidup,

Ibarat hamba yang melahirkan tuannya, ibu bapa jangan terlalu manjakan anak

DALAM riwayat masyhur, seorang hamba wanita yang melahirkan tuannya merupakan antara tanda-tanda kiamat.

Hadis yang dimaksudkan itu diriwayatkan oleh Umar bin al-Khattab RA yang mana Malaikat Jibril datang kepada Nabi Muhammad SAW dan para sahabat untuk mengajarkan tentang Islam, iman dan ihsan.

Jibril bertanya: “Khabarkan kepadaku tentang hari kiamat.”

Nabi Muhammad SAW menjawab: “Tidaklah yang ditanya itu lebih mengetahui daripada yang bertanya.”

Maka Jibril bertanya lagi: “Khabarkan kepadaku tentang tanda-tanda kiamat.”

Lantas Rasulullah SAW bersabda: “(Antara tandanya adalah) apaabila seorang hamba wanita melahirkan tuannya…” (Sahih Muslim)

Baca juga ALLAH perihalkan tentang hari kiamat dalam Surah al-Zalzalah. Ini antara inti sari penting perlu kita ketahui

Sebenarnya ada sebab mengapa Sinar Islam Plus membangkitkan perihal seorang hamba yang melahirkan tuannya.

Hamba yang melahirkan tuannya

JANGAN biarkan diri kita menjadi ibu bapa yang melahirkan ‘tuannya’ kerana terlalu memanjakan mereka dan membiarkan cahaya mata masing-masing menerima ‘didikan’ daripada gajet mereka tanpa kawalan sehingga boleh membinasakan masa depan. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

Semuanya gara-gara kisah yang dikongsikan oleh individu dikenali sebagai Faisal Rahim menerusi bebenang di platform X miliknya.

Menurut pengguna akaun @acaijawe itu, ketika dirinya berada di sebuah kedai makan, beliau melihat seorang ibu berulang-alik mengambil makanan untuk dua orang anaknya.

Paling menyedihkan, anak-anaknya bukannya kecil lagi, tetapi sudah berumur lingkungan 18 tahun.

“Ulang-alik (ibu) order dan ambilkan air. Kemudian, ambilkan tisu lagi. Anaknya? Main game di telefon.

“Ketika makan, mak cuba berborak. Anaknya jawab sambil mata pandang telefon,” coretnya.

Situasi itu membuatkan Faisal yang juga seorang amil teringat tentang tanda-tanda kiamat tersebut iaitu ‘hamba wanita melahirkan tuannya’.

Masakan tidak, jelas beliau, ibu bapa yang sepatutnya menjadi penguasa, dikuasai oleh anak-anak mereka sendiri.

Baca juga Dunia sekarang, anak tidak takut kecilkan hati ibu bapa, tetapi ibu bapa pula yang takut kecilkan hati anak

“Bahkan, anak-anak jadi tuan kepada ibu mereka.

“Semoga kita semua dapat layan ibu bapa kita dengan penuh kasih sayang,” ungkapnya.

Hamba yang melahirkan tuannya

SEBAGAI ibu bapa, kawallah anak-anak agar tidak terlalu leka dengan gajet sehingga membinasakan nilai-nilai kemanusiaan dalam diri permata hati masing-masing. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Perkongsian beliau dilihat lebih 639,000 tontonan dan diulang kicau 2,074 kali.

Seorang netizen dikenali sebagai @GizlySafiyyah menyifatkan, semua itu ada perkaitannya dengan ibu bapa.

“Salah ibu bapa juga sebab diajar begitu. Apa-apa yang kita biasakan ajar pada anak-anak, sampai ke besar itulah yang dibuatnya. Lebih-lebih lagi anak lelaki yang jenis lambat sedar diri,” tulisnya.

Pengguna platform X, @FaridAuzyddin pula berkata, sebagai pengusaha kedai makan, situasi seperti itu sudah tidak asing lagi.

“Kadang-kadang saya dah menunggu lama untuk dapatkan pesanan, masing-masing sibuk melayan telefon.

Baca juga Perkasakan peranan ibu bapa, usah biarkan gajet kuasai anak-anak

“Tapi tak semua macam itu, ada saja yang ibu bapa tegas. Masalahnya dah susah jumpa yang tegas itu,” coretnya.

Sementara itu, memetik artikel Irsyad Al-Hadith Siri ke-425: Maksud Hadis Hamba Wanita Melahirkan Tuannya, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, majoriti ulama mengatakan bahawa ia merupakan antara tanda-tanda kiamat.

Ulama seperti Imam Ibn Hajar al-’Asqalani dan Syeikh Mustofa Dib al-Bugha memahaminya menerusi konteks yang lebih luas.

“Lalu sampai kepada kesimpulan bahawa ia merupakan kiasan akan berleluasanya perbuatan derhaka dan layanan kasar terhadap ibu bapa oleh anak-anak sepertimana layanan kasar tuan terhadap hambanya,” jelasnya.