Browsing Tag

Hamba kepada Pencipta Ramadan

Tokoh Muslimah
Ibadah,

Jadilah hamba kepada Pencipta Ramadan

Jadilah hamba kepada Pencipta Ramadan

HAMBA Ramadan. Itulah frasa yang selalu diungkapkan setiap kali bulan agung itu bakal melabuhkan tirainya.

Masakan tidak, bahang Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjengah berbaki lebih kurang tiga hari lagi membuatkan mood orang ramai sedikit berubah.

Barangkali bukan semua orang bersikap sedemikian, tetapi kita tetap perlu mengambil langkah berjaga-jaga.

Apatah lagi pada bulan penuh barakah itu, kita dapat saksikan pelbagai aktiviti keagamaan dan kerohanian dilakukan umat Islam sepanjang Ramadan.

Malah, ada yang jarang sekali menyentuh al-Quran pada bulan-bulan biasa, tiba-tiba sahaja bertadarus dan menghabiskan seluruh juzuk kalamullah itu.

Baca juga Bahagikan muka surat atau juzuk tidak dikira sebagai khatam al-Quran

Begitu juga dengan solat sunat yang lain, boleh dikatakan habis semua ‘ditapaunya’.

Bukan mahu meremehkan apalagi mempersoalkan amal ibadah yang dikerjakan itu, cuma biarlah kita istiqamah dengan semua perkara tersebut meskipun Ramadan akan pergi meninggalkan kita.

Pendakwah Ustazah Asmak Husin turut memberi peringatan bernilai yang perlu disematkan dalam fikiran dan hati menerusi laman sosial Facebook miliknya.

USTAZAH ASMAK

Meskipun bertahun-tahun kita bertemu Ramadan, namun begitu, beliau mempersoalkan mengapa hanya ketika itu kita begitu bersungguh-sungguh beribadah, tetapi tidak apabila bulan tersebut berlalu yang mana hilang terus segala amal dikerjakan.

“Bila masuk sahaja bulan Ramadan, semua amal ibadah kita bersungguh-sungguh buat. Boleh katakan tak pernah ‘missed’ (tinggalkan).

“Malah, amalan fardu kita tambah baik, manakala amalan sunat pula digandakan. Waktu ini memang kita bersungguh-sungguh betul buat ibadah.

“Bagaimanapun, bila Ramadan sudah pergi meninggalkan kita, kenapa amalan kita pun ikut pergi juga?” soalnya.

Sewajarnya ujar beliau, kita tetap perlu teruskan apa yang dilakukan sepanjang Ramadan tadi pada bulan-bulan lain juga.

Baca juga Penting untuk kita lengkapkan madrasah Ramadan, berikut perinciannya

“Kalau sebelum ini, bulan puasa solat fardu lima waktu cukup dan siap awal waktu lagi kita solat.

“Eh, sekarang dah tak cukup. Buat (solat) hujung-hujung waktu, kadang ikut mood pula nak buat ke tak,” katanya memberi teguran secara terbuka.

Ketahuilah, selain Ramadan, umat Islam boleh sahaja membaca al-Quran pada setiap hari, malah ada individu yang berjaya mengkhatamkannya.

Hamba kepada Pencipta Ramadan

BUKAN sahaja ketika Ramadan, umat Islam perlu membacanya pada setiap hari dalam bulan-bulan lain juga. -Foto: 123rf

“Namun entah mengapa bila habis sahaja Ramadan, terus letak al-Quran dalam almari dan Ramadan tahun depan pula baru akan pegang balik untuk dibaca

“Harapnya tahun ni kita sudah tak jadi hamba kepada Ramadan, tetapi jadilah hamba kepada pencipta Ramadan iaitu Hamba ALLAH,” titipnya.

Meskipun bulan Ramadan bakal digantikan dengan Syawal tidak lama lagi, namun pendakwah itu mengingatkan bahawa amalan yang dilakukan sebelum ini ‘masih belum selesai’.

Baca juga Biar amal sedikit, jangan tinggalkan terus

“Usahakanlah untuk terus buat (ibadah). Kalau tak dapat buat semaksimum macam sebelum ini (sepanjang Ramadan), cuba buat juga walaupun sedikit, tetapi istiqamah dengan amal ibadah masing-masing.

“Semoga Ramadan kali ini menjadi batu loncatan untuk kita menjadi hamba ALLAH yang benar-benar bertakwa,” ungkapnya.