Browsing Tag

haji

panggilan haji
Berita Semasa,

Wanita tolak panggilan haji, alasan diberi cukup mengharukan

Wanita tolak panggilan haji, alasan diberi cukup mengharukan

MENJADI impian setiap umat Islam seluruh dunia untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji.

Mana tidaknya, ibadah mulia itu turut menjadi penutup bagi lima Rukun Islam. Andai ia berjaya ditunaikan, terasa seperti salah satu tanggungjawab sebagai seorang Muslim lengkap dilunaskan.

Pun begitu, menerusi satu perkongsian di media sosial baru-baru ini, seorang wanita bernama Noraini Ismail memberitahu, dia termasuk golongan bertuah menerima panggilan haji tetapi memilih untuk menolak tawaran itu.

“Saya dapat panggilan haji, tetapi saya tolak. Kenapa tolak? ‘Orang lain ada yang merayu kerana nak pergi sangat tunai haji, tetapi awak tiba-tiba melepaskan peluang keemasan itu’,” tulisnya di laman sosial Facebook.

Baca juga Ingin haji mabrur, amal 7 adab saranan al-Ghazali

Turut disyorkan Memang perlu ada kemampuan untuk kerjakan haji, tetapi kita tak diwajibkan simpan wang untuk tujuan itu

panggilan haji

PASTINYA impian umat Islam seluruh dunia adalah untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji. Foto: 123RF

Tambahnya, dia telah pun melakukan solat istikharah sebelum membuat keputusan itu. Malah, keluarganya juga menasihatkan dia agar tidak menyahut panggilan haji tersebut.

“Sebenarnya sebelum saya tolak, saya terlebih dahulu buat solat istikharah. Saya juga mendapat nasihat daripada kakak supaya melepaskan peluang itu,” jelas wanita itu.

Baca juga Buat istikharah berkali-kali, tapi masih tiada jawapan…rupanya ini sebabnya

Turut disyorkan Mengapa jenazah meninggal di Makkah, wajah tidak bertutup dan diselimut kain berbeza warna?

Dedah Noraini, panggilan haji itu sebenarnya adalah kali kedua baginya. Sebelum ini, dia pernah menunaikan haji pertamanya beberapa tahun lalu.

Lantas, wanita berkenaan menolak tawaran daripada pihak Tabung Haji untuk memberi peluang kepada orang lain yang belum pernah menunaikan ibadah haji, terutamanya bagi golongan berumur.

“Saya tolak kerana saya nak beri peluang orang yang belum menunaikan haji mengisi kekosongan itu. Saya teringat pak saudara saya di kampung dah berusia 70-an masih belum mendapat tawaran tunai haji,” ujarnya.

Baca juga 10 Amalan Soleh Yang Boleh Dilakukan Pada Bulan Zulhijah

Dalam pada itu, Noraini turut berkata, umat Islam hanya difardukan mengerjakan haji sekali seumur hidup. Oleh itu, peluang menunaikan ibadah tersebut sebaik-baiknya diberikan kepada orang yang belum pernah melaksanakannya.

“Kalau dah terlebih mampu, apa salahnya beri ruang itu kepada mereka yang masih menunggu peluang pertama untuk menunaikan haji.

“Tabung Haji juga patut utamakan yang belum menunaikan haji untuk dimasukkan dalam senarai bakal jemaah mereka,” tulisnya sebagai penutup bicara.

Turut disyorkan Tabung Haji rangkul anugerah Perkhidmatan Bimbingan Haji Terbaik Dunia Islam

Sepanjang hayat Rasulullah SAW, baginda hanya pernah mengerjakan haji hanya sekali sahaja yang dikenali sebagai Haji Wada’. Foto: Freepik

Baca juga Masjid Namirah, khutbah terakhir Nabi SAW kepada umatnya di sini

Nabi SAW kerjakan haji hanya sekali seumur hidupnya

Benar, umat Islam dituntut melaksanakan haji hanya sekali seumur hidup. Bahkan Nabi Muhammad SAW sendiri pernah mengerjakan haji sekali sahaja sepanjang hayat baginda.

Menurut catatan, Nabi SAW menunaikan ibadah tersebut pada tahun kesepuluh Hijrah ketika Islam telah teguh dan para Muslimin bersatu daripada pelbagai bangsa dan kasta.

Kata Abu Qatadah, “Aku bertanya kepada Anas bin Malik berapa kali baginda SAW melaksanakan Haji?” Dia menjawab, “Satu kali dan berumrah sebanyak empat kali iaitu sekali di bulan Zulkaedah, umrah Hudaibiyah, umrah bersama haji dan umrah Ji’ronah tatkala membahagi harta perang Hunain” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Peristiwa Rasulullah SAW menunaikan ibadah haji sekali dalam hidupnya turut disebut oleh Zaid bin Arqam yang menyatakan bahawa baginda telah berperang sebanyak sembilan belas kali. Dan baginda melaksanakan ibadah haji setelah hijrah sebanyak satu kali dan tidak melaksanakan haji setelah itu. Haji itu adalah haji Wada’.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Turut disyorkan Ini pesanan Rasulullah SAW dalam khutbah terakhir baginda

panggilan haji

HAJI memerlukan persiapan yang rapi sebelum boleh melaksanakannya dengan sempurna. Foto: Google

Mengapa hanya sekali?
Tetapi mengapa Rasulullah SAW hanya berpeluang menunaikan haji sekali seumur baginda sedangkan ia merupakan kemuncak pada segala ibadah yang jelas wajib?

Memetik media tempatan, Prof Madya Dr. Mohamad Sabri Haron, Penyelaras Etika, Ketamadunan dan Kenegaraan, Pusat Citra Universiti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjelaskan bahawa ibadah haji merupakan proses tarbiah yang terbesar bagi umat Islam.

Tambahnya, ibadah haji bukanlah hanya sekadar ibadah badaniah tetapi ia juga melibatkan roh. Oleh itu, persediaan yang sehabis baik amat penting untuk menunaikan ibadah yang menjadi kemuncak pada rukun Islam yang lima.

“Ibadah haji adalah proses tarbiah terbesar bagi umat Islam. Ia memerlukan persediaan yang cukup rapi dalam pelbagai aspek seperti persediaan mental, fizikal, spiritual dan material.

“ALLAH SWT menentukan bahawa Nabi SAW hanya dapat menunaikannya pada tahun yang kesepuluh Hijrah setelah Islam mencapai kegemilangannya khususnya kesatuan dan persaudaraan umat Islam benar-benar utuh,” jelasnya.

Baca juga Sambut orang balik haji, antara sunnah yang dilupakan

Turut disyorkan LIMA amalan yang nilainya seperti menunaikan haji

Kata Sabri, walaupun haji hanya dilaksanakan sekali seumur hidup, namun apa yang penting adalah ia dilakukan dengan sempurna.

“Jangan sesekali hanya memikirkan ibadat haji yang sah sahaja, sebaliknya perlu ada kesempurnaan. Kesempurnaan itu hanya diperoleh dengan rasa keinsafan yang benar-benar memberi kesan dalam hati,” ulasnya.

Jelas pensyarah itu, apabila adanya kesempurnaan haji itu, barulah umat Islam berkualiti dapat dilahirkan. Iaitu mereka yang meneruskan kesinambungan ibadah walaupun selepas musim haji dan pulang ke tanah air.

Sumber: Facebook Noraini Ismail & Hikmah Mengapa Rasulullah SAW Mengerjakan Haji Hanyak Sekali Seumur Hidup

Foto: 123RF, Google & Freepik

haji mabrur
Ibadah,

Ingin haji mabrur, amal 7 adab saranan al-Ghazali

Ingin haji mabrur, amal 7 adab saranan al-Ghazali

MUSIM haji bakal tiba. Malah, penerbangan pertama bagi jemaah haji negara sudah pun bermula pada 21 Mei lalu.

Pastinya mereka yang dipilih menjadi tetamu ALLAH SWT untuk mengerjakan ibadah haji tahun ini sudah tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

Masakan tidak, haji merupakan syiar agung dan ibadah yang mulia. Bahkan mereka yang berpeluang melaksanakannya dengan seikhlas hati demi ALLAH Taala akan meraih keberkatan serta diampunkan dosa.

Baca juga Memang perlu ada kemampuan untuk kerjakan haji, tetapi kita tak diwajibkan simpan wang untuk tujuan itu

Turut disyorkan Cabaran umat Islam era pra-merdeka menunaikan ibadah haji.

Daripada Abu Hurairah RA berkata: “Aku mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda: Barang siapa melaksanakan haji semata-mata kerana ALLAH, lalu dia tidak menuturkan (perkataan) keji dan tidak melakukan fasik (keluar daripada ketaatan), dia akan kembali kepada keadaannya seperti baru dilahirkan oleh ibunya (bersih daripada dosa).” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Muslim, an-Nasaie dan Ibnu Majah)

Demikianlah haji mabrur yang mana ibadahnya diterima oleh ALLAH sehingga dihapuskan segala dosa menjadi impian setiap jemaah yang menunaikan Rukun Islam ke-5.

Persoalannya, bagaimana untuk mendapatkan haji yang mabrur?

haji mabrur

Baca juga LIMA amalan yang nilainya seperti menunaikan haji

Berdasarkan hadis berkenaan, haji yang mabrur ialah haji yang dilaksanakan dengan niat yang ikhlas kerana ALLAH SWT dan bukan bertujuan untuk melancong, berjual beli dan lain-lain.

Hanya dengan melaksanakan haji dengan kaifiyat atau tatacara yang betul sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, barulah kita akan memperoleh pahala yang besar dan diampunkan dosa.

Lantas, ulama terkemuka Imam al-Ghazali menitipkan tujuh adab berikut yang perlu diamalkan oleh para jemaah haji jika ingin meraih haji yang mabrur, sebagaimana dipetik menerusi portal NU Online.

Turut disyorkan Solat pandang Kaabah tanpa melihat tempat sujud, apa hukumnya?

haji mabrur

SETIAP jemaah haji pastinya ingin menggapai haji mabrur iaitu ibadahnya diterima oleh ALLAH sehingga dihapuskan segala dosa. Foto: 123RF

Baca juga Masjid Namirah, khutbah terakhir Nabi SAW kepada umatnya di sini

Turut disyorkan Hilang di Mekah, usaha mencari Ustaz Musthafa masih diteruskan

1. Mempunyai niat yang ikhlas.

Tujuan ibadah haji dilakukan mestilah semata-mata demi ALLAH SWT. Oleh itu, jemaah yang berniat ke Tanah Suci perlu berusaha untuk menjauhi tujuan keduniaan untuk mencapai fadilat serta darjat haji yang tertinggi.

Jika menunaikan ibadah haji atas pihak orang lain, niatlah dengan tujuan ingin membantu saudara seIslam memenuhi kewajipan mereka.

2. Menyediakan bekalan secukupnya dan tidak membazir.
Pertama sekali, wang yang digunakan untuk menunaikan haji haruslah daripada sumber yang halal. Selain itu, jangan boros membelanjakan wang serta elakkan terlalu berseronok atau berlebih-lebihan dalam berpakaian dan memakan makanan yang lazat sepanjang melaksanakan ibadah.

3. Menjaga kata-kata.
Hindari segala perkataan yang sia-sia, keji dan kotor seperti gurauan melampau atau membicarakan tentang hubungan suami isteri ketika menunaikan haji.

Di samping itu, jauhi permusuhan dan pertengkaran yang boleh menimbulkan hasad dengki serta mengakibatkan perpecahan sesama saudara Islam sepanjang berada di Tanah Suci.

Baca juga Pengembaraan epik ikut laluan hijrah Nabi, lelaki ini berjalan 500km dari Mekah Ke Madinah

ULAMA sarankan beberapa adab tertentu yang perlu dijaga oleh para jemaah haji jika ingin meraih haji mabrur. Foto: 123RF

Baca juga Ketahui kelebihan amalan tawaf di hadapan Baitullah ketika musim umrah atau haji

Turut disyorkan Mengapa jenazah meninggal di Makkah, wajah tidak bertutup dan diselimut kain berbeza warna?

4. Menunaikan ibadah haji dengan berjalan kaki jika mampu melakukannya.
Ulama berpendapat bahawa tidak ada masalah untuk menunaikan haji dengan menaiki kenderaan. Dengan cara itu, jemaah tidak akan keletihan manakala kurang gangguan semasa beribadah akan membawa kepada ibadah haji yang lebih sempurna.

Namun begitu, jika mampu maka laksanakanlah haji dengan berjalan kaki. Hal ini kerana salah seorang sahabat Nabi SAW, Abdullah bin Abbas pernah berkata kepada puteranya “Wahai anak-anakku, tunaikanlah haji dengan berjalan kaki. Ini kerana orang yang berhaji dengan berjalan kaki, setiap langkahnya dihitung sebagai tujuh ratus kebaikan dari kebaikan Tanah Haram.”

5. Berpenampilan sederhana.
Jemaah haji sewajarnya bersederhana dari segi penampilan seperti tidak mengenakan perhiasan berlebihan semasa ibadah dilaksanakan. Rasulullah SAW sendiri pernah berpesan agar sentiasa berpenampilan sederhana dan menyembunyikan kekayaan, serta melarang jemaah untuk bersenang-senang dan bermewah-mewahan.

AMBIL peluang mengadakan ibadah korban semasa di Tanah Suci. Foto: Google

Baca juga Jika tinggalkan suruhan ALLAH, tetap berdosa walaupun 10 kali ke Makkah

6. Menyembelih haiwan.
Keenam, mendekatkan diri kepada ALLAH SWT dengan menyembelih haiwan dam meskipun tidak wajib bagi dirinya. Ketahuilah apabila melaksanakan korban, bukan daging itu yang dinilai oleh ALLAH , namun yang dilihat adalah ketakwaan kita terhadap-NYA.

7. Sentiasa bersangka baik kepada ALLAH.
Sentiasa bersangka baik kepada ALLAH walau apa yang sahaja yang berlaku seperti keletihan, kerugian, bahkan mungkin musibah yang menimpa sepanjang beribadah.

Ujian berat yang diberikan oleh ALLAH sebenarnya membuka jalan kepada kita memperoleh pahala lebih banyak selagi kita teguh menghadapi cabaran itu.

Demikianlah tujuh perkara adab yang perlu diperhatikan oleh jemaah haji jika berhajat agar ibadahnya diterima oleh ALLAH SWT dan memperoleh haji yang mabrur.

Sumber: NU Online

Foto: 123RF & Google

Tunaikan haji atau berkahwin
Ibadah,

Duit sudah ada, tapi dilema antara tunaikan haji atau berkahwin dulu

Duit sudah ada, tapi dilema antara tunaikan haji atau berkahwin dulu

MELIHAT jumlah duit yang ada, sudah cukup untuk pergi menunaikan haji. Tinggal lagi, mahu atau tidak untuk berbuat demikian dalam musim berkenaan.

Namun, entah mengapa hati berbisik untuk menggunakan wang tersebut bagi melangsungkan perkahwinan pula.

Dilema dibuatnya dan hati pula berbelah bahagi. Masakan tidak, kedua-dua perkara itu begitu penting buatnya.

Bukan mudah menyimpan wang sebanyak itu. Apatah lagi ia memerlukan mujahadah yang tinggi dan tempoh panjang untuk dikumpulkan.

Bagaimana jika seseorang mempunyai wang yang mencukupi untuk perbelanjaan haji, tetapi dia juga ingin berkahwin?

Baca juga Memang perlu ada kemampuan untuk kerjakan haji, tetapi kita tak diwajibkan simpan wang untuk tujuan itu

Baca juga Bantuan Kewangan Haji bersasar dan berkala diteruskan kepada bakal haji Muassasah

Baca juga Kuota haji Malaysia kembali penuh, 31,600 jemaah boleh tunaikan Rukun Islam kelima tahun ini

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, haji dan perkahwinan merupakan suatu perkara yang dituntut dalam agama.

DR ZULKIFLI

Meskipun demikian, ibadah haji merupakan satu kewajipan yang mesti dilaksanakan bagi golongan berkemampuan.

Jika dilihat hukum nikah yang terbahagi kepada lima iaitu harus, wajib, sunat, makruh dan haram, semuanya bergantung kepada individu berkenaan.

“Andai dia mampu untuk menahan dirinya dan tidak terburu-buru untuk berkahwin, maka hendaklah dia mengerjakan haji terlebih dahulu,” katanya sebagaimana dipetik menerusi Maktabah Albakri.

Ia sebagaimana firman ALLAH SWT: “Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap ALLAH, iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. Barang siapa mengingkari (kewajipan haji), maka sesungguhnya ALLAH MAHA KAYA (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam.” (Surah Ali Imran, ayat 97)

Berdasarkan dalil itu, agamawan tersebut menjelaskan, ibadah haji dan umrah hanya wajib ke atas orang yang berupaya dan berkemampuan.

Baca juga Ibadah umrah diwajibkan bagi mereka yang mampu, ini maksud sebenar kemampuan tersebut

“Menurut al-Fiqh al-Manhaji, seseorang dianggap berkemampuan apabila memiliki harta yang mencukupi untuk mengerjakan haji dan umrah. Ia termasuklah tambang pengangkutan, perbelanjaan pergi dan balik, di samping perbelanjaan pasport perjalanan serta upah pemandu haji dan umrah sebagaimana dikehendaki oleh pemerintah.

Tunaikan haji atau berkahwin

JIKA seseorang mampu untuk menahan dirinya dan tidak terburu-buru untuk berkahwin, maka hendaklah dia mengerjakan haji terlebih dahulu. -Foto: Pexels

“Semua harta tersebut mestilah lebihan daripada jumlah hutangnya dan perbelanjaan ahli keluarga semasa ketiadaannya,” katanya.

Bagaimanapun, jelas mantan Mufti Wilayah Persekutuan itu, andai orang itu khuatir tidak mampu untuk menahan dirinya daripada melakukan kemaksiatan, maka hendaknya dia mendahulukan perkahwinan bagi mengelakkan kemudaratan lebih besar.

Mudah kata, semuanya terpulang kepada diri masing-masing. Tepuk dada, tanyalah hati. Semoga pilihan yang bakal kita buat nanti memberikan kebaikan kepada diri dan agama.

simpan wang haji
Ibadah,

Memang perlu ada kemampuan untuk kerjakan haji, tetapi kita tak diwajibkan simpan wang untuk tujuan itu

Memang perlu ada kemampuan untuk kerjakan haji, tetapi kita tak diwajibkan simpan wang untuk tujuan itu

MENGERJAKAN haji merupakan satu kewajipan bagi setiap orang Islam mukalaf, atau cukup umur yang berkemampuan (istita’ah).

Tuntutan itu adalah berdasarkan firman ALLAH SWT: “Dan ALLAH mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu bagi sesiapa yang mampu sampai kepadanya.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 97)

Antara kemampuan dimaksudkan di sini adalah dengan mempunyai simpanan yang mencukupi bagi mengerjakan ibadah haji.

Baca juga Ketahui kelebihan amalan tawaf di hadapan Baitullah ketika musim umrah atau haji

simpan wang haji

Baca juga LIMA amalan yang nilainya seperti menunaikan haji

Dalam erti kata lain, jika seseorang memiliki wang secukupnya untuk menyahut panggilan Ilahi termasuk perbelanjaan pergi dan baik, bayaran visa pasport perjalanan, upah pemandu haji dan sebagainya, maka dia diwajibkan untuk menunaikan haji.

Dalam masa sama, keseluruhan harta itu juga mestilah lebihan setelah sudah melangsaikan hutang dan mengambil kira perbelanjaan keluarga yang ditinggalkan sepanjang ibadah tersebut.

Jadi, sekiranya syarat wajib menunaikan haji termasuk mempunyai kemampuan kewangan, adakah ini bermaksud umat Islam diwajibkan berusaha menyimpan duit bagi mengerjakan Rukun Islam kelima itu?

simpan wang haji

UMAT Islam perlu memastikan mereka memenuhi kemampuan kewangan yang diperlukan untuk melaksanakan haji. Foto: 123RF

Baca juga Cabaran umat Islam era pra-merdeka menunaikan ibadah haji.

Dalam isu menyimpan wang untuk mengerjakan haji, para ulama berpendapat bahawa seseorang wajib melaksanakan haji hanya apabila syarat istita’ah itu telah dicapai.

Pun begitu, dia sendiri tidak wajib berusaha untuk memastikan dia memenuhi status istita’ah tersebut.

Pandangan itu dipersetujui oleh ulama Islam seperti Syeikh Muhammad al-Amin al-Syinqiti dan Imam al-Ru’aini al-Maliki.

Penjelasan diberikan al-Maliki adalah: “Jika seseorang itu mempunyai pekerjaan yang membolehkannya mendapat hasil pendapatan yang akan menjadikannya mampu mencapai syarat istita’ah setelah suatu tempoh, iaitu dengan dia mengumpul lebihan daripada perbelanjaan makanan dan keperluan hariannya, dia tetap tidak wajib untuk melakukan yang demikian (mengumpul harta), dan dia boleh bersedekah daripada lebihan keperluannya itu. (Rujuk kitab Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar Khalil)

Baca juga Elakkan diri daripada ‘scammer’ pembuat badal haji.

WALAUPUN tidak diwajibkan, namun umat Islam harus berusaha mengumpul wang bagi mengerjakan haji memandangkan sudah ada banyak kemudahan untuk hal itu. Foto: Pexels

Turut disyorkan Sambut orang balik haji, antara sunnah yang dilupakan

Kesimpulannya, kemampuan kewangan itu merupakan salah satu syarat untuk diwajibkan kewajipan haji ke atas seseorang.

Bagaimanapun, Islam tidak mewajibkan seseorang itu berusaha mencukupkan simpanan bagi menunaikan haji. Bahkan, tidak ada masalah baginya untuk membelanjakan apa jua wang yang diperoleh melalui pekerjaan, perniagaan atau seumpamanya bagi tujuan lain.

Namun begitu, umat Islam amat digalakkan menyimpan duit dengan niat mengerjakan haji. Ia termasuk dalam anjuran bersegera dan bersungguh-sungguh dalam menunaikan tuntutan syarak.

Apatah lagi dengan kewujudan Lembaga Tabung Haji di negara kita yang telah banyak mempermudahkan urusan jemaah haji untuk menyimpan dan menguruskan perjalanan ke Tanah Suci.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: 123RF & Pexels

Memang perlu ada kemampuan untuk kerjakan haji, tetapi kita tak diwajibkan simpan wang untuk tujuan itu

kaabah
Hukum,

Sentuh Kaabah sambil tawaf, adakah dikira batal dan perlu buat pusingan baru?

Sentuh Kaabah sambil tawaf, adakah dikira batal dan perlu buat pusingan baru?

UMAT Islam semestinya berimpian untuk menjejakkan kaki ke Baitillahil haram atau Masjidil haram untuk melihat sendiri Kaabah di depan mata, tidak kiralah atas tujuan menunaikan umrah atau haji.

Maka, tidak hairanlah bermacam-macam perasaan seperti teruja dan kagum hadir dalam diri tatkala menatap kiblat Muslimin itu sehinggakan ada segelintir mengambil kesempatan untuk menyentuhnya setiap masa.

Namun, di sebalik keterujaan tersebut, timbul persoalan mengenai hukum memegang kiswah (kelambu) kaabah ketika tawaf. Sebahagian masyarakat percaya perbuatan itu boleh membatalkan ibadah yang dilakukan.

Baca juga 410 kilogram kapas digunakan untuk hasilkan kiswah Kaabah

Kaabah tawaf

 

Menurut sebuah hantaran di laman Facebook, pendakwah bebas Dr Syed Shahridzan Ben-Agil mengingatkan bahawa dalam mazhab Syafi’e, antara syarat sah tawaf, sama ada haji mahupun umrah, ialah seluruh badan orang yang bertawaf berada di luar binaan asal Kaabah.

Perkara ini dijelaskan di dalam kitab Busyra al-Karim: “Syarat kesembilan (sah tawaf): hendaklah seluruh tubuh badan orang yang bertawaf di luar binaan Kaabah, Syazarwan dan Hijr (Ismail).”

Baca juga Syaaban saksi banyak peristiwa besar, antaranya arah kiblat dialih dari Baitulmaqdis ke Kaabah di Makkah

Kaabah tawaf

SEBENARNYA bentuk binaan Kaabah yang wujud sekarang ini bukan saiz Kaabah yang sebenar sepertimana yang dibina pada zaman Nabi Ibrahim AS. Foto: Pexels

Baca juga Mutawif ini kongsi tips berpuasa di Tanah Suci sepanjang Ramadan

Sempadan Kaabah

Katanya, apa yang masyarakat perlu tahu adalah Kaabah mempunyai sejarah panjang yang telah melalui pelbagai bentuk pembinaan dan penstrukturan semula.

Bahkan, bentuk binaan Kaabah yang wujud sekarang ini bukan saiz Kaabah yang sebenar sepertimana yang dibina pada zaman Nabi Ibrahim AS.

Jika diikutkan, saiz yang ada sekarang lebih kecil daripada saiz Kaabah pada zaman dahulu.

Tambah agamawan itu, Syazarwan yang dikenali sebagai bingkai Kaabah menggambarkan saiz panjang dan lebar kiblat yang sebenar. Manakala, Hijir Ismail juga termasuk dalam binaan Kaabah yang asal. Oleh itu, sesiapa yang bersolat di dalam Hijir Ismail bermakna dia mendirikan solat di dalam Kaabah.

Oleh yang demikian, beliau menjelaskan sesiapa sahaja yang bertawaf sambil menyentuh Kaabah, Rukun Yamani atau masuk ke dalam Hijr Ismail bermakna sebahagian tubuhnya telah masuk ke dalam bangunan Kaabah.

Turut disyorkan Mengapa jenazah meninggal di Makkah, wajah tidak bertutup dan diselimut kain berbeza warna?

PASTINYA bermacam-macam perasaan kagum dan teruja timbul tatkala menatap kiblat ALLAH itu. Foto: Pexels

Baca juga 15 rahsia keajaiban Kaabah yang perlu diketahui

Sentuh Kaabah sambil tawaf, batal atau tidak?

Syed Shahridzan menjelaskan, sesiapa yang sedang bertawaf sambil menyentuh Kaabah atau Rukun Yamani bermakna sebahagian tubuhnya telah masuk dalam Kaabah, maka perbuataan ini boleh menjejaskan keabsahan tawaf yang merupakan salah satu daripada rukun-rukun haji dan umrah.

Walau bagaimanapun, beliau berkata perbuatan tersebut tidaklah membatalkan keseluruhan tawaf atau sesuatu pusingan itu.

Jadi seseorang itu tidak perlu mengulangi tawaf semula dari awal. Apa yang dia perlu dilakukan, menurut ulama Syafi’iyyah, ialah kembali semula pada tempat dia mula menyentuh Kaabah, Hajar Aswad atau Hijir Ismail, kemudian berdiri tetap pada tempat itu, berdiri tegak, menjadi bahagian kiri tubuhnya ke arah Kaabah dan menyambung kembali tawaf.

Kesimpulannya, perbuatan menyentuh Kaabah ketika tawaf tidak membatalkan tawaf dilakukan secara mutlak.
Namun jika dia meneruskan tawaf setelah menyentuh Kaabah atau seumpamanya tanpa kembali di posisi asal ketika sentuhan berlaku, maka pusingan tawaf itu sahaja yang tidak sah dan perlu diulangi.

Sumber: Facebook Dr Syed Shahridzan Ben-Agil

Foto: Canva & Pexels

LUAR MASJIDIL HARAM
Berita Semasa,

Pakej umrah naik harga, MOTAC perlu main peranan lebih berkesan

ISU kenaikan harga pakej ibadah umrah pada asasnya berlaku hampir di seluruh negara Islam atau negara yang terbabit dalam industri haji dan umrah contohnya Singapura, Indonesia serta Thailand.

Penasihat asShams Travel and Tours Sdn Bhd, Ustaz Muhammad James al-Almaniy berkata banyak faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku.

USTAZ MUHAMMAD JAMES

“Yang pertama ialah apabila MOTAC mengeluarkan isu kartel tiket, maknanya ada kartel yang menguasai tiket penerbangan dan menjual balik dengan harga yang mahal. Pemain industri inilah yang mengambil peluang menaikkan harga.

“Kalau dahulu tiket umrah pergi balik sekitar RM2300 hingga RM2800. Sekarang ia meningkat ke RM4700 hingga RM4800. Naik sehingga 109 peratus.

“Kedua, kenaikan sewa hotel di Makkah. Selepas ini kemungkinan pakej haji pun akan naik. Pernah terjadi, gara-gara sewa bilik hotel dinaikkan secara mendadak, sedangkan ketika itu jemaah masih lagi dalam fasa menunaikan umrah, tiba-tiba segala pakaian dan beg mereka dilambakkan di luar hotel,” ujarnya.

Baca juga: Ibadah umrah diwajibkan bagi mereka yang mampu, ini maksud sebenar kemampuan tersebut

Tambahnya, ketidakstabilan harga perkhidmatan seperti visa turut menyebabkan jemaah menanggung kenaikan melebihi 50 peratus.

setelah dua tahun umat Islam seluruh dunia tidak dapat keluar negara sama ada untuk melancong atau menunaikan umrah, bulan-bulan terakhir ini menyaksikan permintaan meningkat melebihi penawaran

“Situasi itu dikesan mula berlaku sejak November lalu, ekoran kenaikan bilangan jemaah umrah selepas Arab Saudi membenarkan penggunaan visa pelancongan untuk tujuan ibadah berkenaan.

“Disebabkan itu, segelintir jemaah umrah tidak mempunyai pilihan selain membayar caj tambahan untuk meneruskan rancangan asal berangkat ke Tanah Suci,” katanya.

Tinjauan Sinar Islam Plus turut mendapati faktor tukaran Ringgit Malaysia yang lebih rendah berbanding Riyal Saudi juga menjadi punca.

Menurut Muhammad, setelah dua tahun umat Islam seluruh dunia tidak dapat keluar negara sama ada untuk melancong atau menunaikan umrah, bulan-bulan terakhir ini menyaksikan permintaan meningkat melebihi penawaran.

Baca juga: Kos umrah naik: MOTAC bakal bincang dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi minggu depan

Demi kemaslahatan bakal jemaah, Muhammad menyeru pihak kerajaan melalui Motac memainkan peranan dengan lebih berkesan menerusi persepakatan dengan persatuan agensi pelancongan untuk berbincang sejauh mana kadar peningkatan dan apa yang boleh dilakukan supaya rakyat tidak sepenuhnya menyalahkan agensi pelancongan.

Sebahagian jemaah umrah di Masjidil Haram

 

khutbah terakhir rasulullah SAW
Rindu Rasulullah,

Ini pesanan Rasulullah SAW dalam khutbah terakhir baginda

INI pesanan Rasulullah SAW dalam khutbah terakhir baginda…

Tiada sebaik-baik insan yang diutuskan oleh ALLAH SWT untuk memimpin umat manusia melainkan Nabi Muhammad SAW.

Walaupun kita tidak berpeluang bertemu mata dengan kekasih ALLAH itu, namun kehadirannya tetap dirasai melalui setiap ajaran yang dititipkan oleh baginda buat pegangan sekalian umat Islam.

Tanggal 9 Zulhijah tahun 10 Hijrah menjadi suatu tarikh penting dalam kalendar Islam. Masakan tidak, pada hari tersebut, Rasulullah SAW telah menyampaikan khutbahnya yang terakhir buat para sahabat yang juga dikenali sebagai Khutbatul Wada’ (Khutbah Perpisahan).

Ketika itu, Rasulullah berkhemah di Lembah Uranah, Bukit Arafah untuk melaksanakan haji perpisahan sambil diiringi ribuan sahabat.

Baca juga Masjid Namirah, khutbah terakhir Nabi SAW kepada umatnya di sini

khutbah terakhir rasulullah SAW

SAHABAT Nabi SAW, Rabi’ah bin Umaiyah bertanggungjawab melaung dan menyampaikan ucapan baginda kepada orang ramai di padang Arafah.

Baca juga Sahabat Nabi SAW Tempuhi Perjalanan Sejauh 1,472 KM Demi Sepotong Hadis

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Wahai manusia dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan! Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.”

Begitulah bait pembuka bicara pesanan terakhir Rasulullah SAW seraya duduk di atas untanya, al-Qaswa’. Khutbah itu disampaikan oleh baginda saat merasakan bahawa usianya tidak lama lagi di atas muka bumi.

Jika diamati, Khutbatul Wada’ sarat dengan iktibar untuk dijadikan ikutan umat Islam walaupun selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW. Sebahagian besar daripada mesej baginda menyentuh hubungan sesama manusia.

Antaranya berkaitan hak asasi manusia iaitu kesucian darah manusia yang tidak patut ditumpahkan ke muka bumi dengan sia-sia. Semua insan harus bersama menjaga kesucian itu menerusi khutbah baginda yang bermaksud: “Wahai manusia! Darah dan harta kamu mesti dihormati sehingga kamu bertemu kembali dengan Tuhan kamu. la mesti dihormati seperti kehormatan hari kamu ini (hari Arafah) dan kehormatan bulan kamu ini (bulan haram Zulhijah).”

Baca juga Benarkah Rasulullah tidak menyebut “umatku, umatku” tatkala kewafatan Baginda?

MASJID Namirah yang terletak di Makkah telah dibina atas kawasan yang mana Nabi Muhammad SAW menyampaikan khutbah yang terakhir buat umatnya.

Sempurnakan hak, jauhi amalan tercela

Selain itu, umat Islam juga dilarang mengambil harta seseorang tanpa persetujuan pemiliknya. Sabda Rasulullah SAW: “Kembalikanlah harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah sesungguhnya kamu akan menemui TUHAN kamu, dan DIA pasti akan membuat perhitungan di atas segala amalan kamu.”

Dalam khutbah yang sama, baginda begitu menekankan supaya umatnya menjauhi amalan riba yang membinasakan.

Sabda baginda: “ALLAH SWT telah mengharamkan riba. Oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.”

Demikianlah Islam menolak sekeras-kerasnya amalan tercela itu kerana menindas peminjam dengan mengenakan bayaran kembali dalam jumlah melebihi modal dipinjamkan. Tindakan tersebut dikira menzalimi si peminjam yang kemungkinan besar masih dalam keadaan kesempitan wang.

Baca juga [VIDEO] Hutang masih belum habis bayar, tapi tetap mahu bersedekah. Ini yang wajib kita ambil tahu

BEGITULAH agama memuliakan wanita sehingga Rasulullah SAW mengingatkan kita untuk menjaga hak kaum hawa.

Rasulullah SAW turut mengingatkan kita agar berhati-hati dengan gangguan syaitan. Sabda baginda: “Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu.”

Dalam Khutbah Perpisahan tersebut, Rasulullah SAW juga menyebut hak wanita dalam hubungan suami isteri dan masyarakat. Sabda baginda: “Wahai manusia! Kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu dan mereka pula mempunyai hak ke atas kamu.

Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka.

Baca juga Fahami lima waktu diharamkan solat

Bukan itu sahaja, setiap orang Islam mempunyai tanggungjawab berikut sebagaimana yang disabdakan oleh baginda SAW: “Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah ALLAH SWT, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu, kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu.

SELAIN menunaikan lima rukun Islam, kita juga dipesan oleh baginda SAW agar saling menyantuni saudara Islam.

Sabda Rasulullah SAW lagi, “Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam takwa dan beramal soleh.

“Ingatlah bahawa kamu akan mengadap ALLAH SWT pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Baca juga 12 amalan ringkas Rasulullah SAW. Rupanya senang nak dapat pahala

‘Tinggalan’ berharga Rasulullah SAW

Seterusnya, Rasulullah SAW menegaskan serta mengingatkan tentang keimanan kepada ALLAH dan rasul dan bahawa tidak akan ada lagi sesiapa selepas baginda yang akan menjadi nabi.

Lantas, baginda SAW berpesan supaya berpegang kepada dua sumber utama Islam iaitu kitab al-Quran dan as-Sunnah kerana ia tidak akan menyesatkan dan tidak hilang sehingga kiamat.

KITAB suci al-Quran adalah sebaik-baik panduan hidup buat umat manusia.

Rasulullah bersabda: “Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu, wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu.

Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah al-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang mendengar terus dariku.

Saksikanlah ya ALLAH, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-MU kepada hamba-hamba-MU.”

Sesungguhnya, ia bukan sekadar pesanan semata-mata. Sama-samalah kita cuba fahami, hayati dan amalkan ‘wasiat’ bernilai Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.

Ini pesanan Rasulullah SAW dalam khutbah terakhir baginda…

Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), IKIM.fm & People@UTM

Foto: Pexels & Unsplash

jemaah wanita mahram
Antarabangsa, Berita Semasa,

Jemaah wanita tidak wajib lagi ditemani mahram ke Tanah Suci

JEMAAH wanita yang berhasrat menunaikan ibadah haji atau umrah di Arab Saudi tidak lagi perlu ditemani mahram.

Peraturan itu sebelum ini hanya dikhususkan untuk wanita berusia 45 tahun ke atas, namun kini diperluas kepada semua jemaah perempuan dari seluruh dunia.

Lapor Saudi Gazette, kenyataan tersebut dibuat oleh Menteri Haji dan Umrah, Dr Tawfiq al-Rabiah menerusi sidang media di Kedutaan Saudi di Mesir pada Isnin.

jemaah wanita mahram

KENYATAAN dibuat oleh Kementerian Haji dan Umrah menerusi persidangan di Kedutaan Arab Saudi di Mesir, baru-baru ini.

Tambah beliau, tiada kuota atau siling untuk jumlah visa umrah dikeluarkan untuk umat Islam dari seluruh dunia.

“Mana-mana umat Islam yang datang dari pelbagai negara dengan apa-apa jenis visa boleh menunaikan umrah,” jelasnya.

Baca juga 15 rahsia keajaiban Kaabah yang perlu diketahui

Dalam pada itu, Dr Tawfiq berkata, kos pembesaran Masjidil Haram di Makkah melebihi SR200 bilion (RM249.06 bilion) dan merupakan jumlah yang terbesar pernah dilakukan dalam sejarah masjid suci itu.

Tegasnya, Arab Saudi menunjukkan kesungguhannya untuk mengurangkan kos mengerjakan haji dan umrah, namun ia berkait dengan beberapa faktor.

KERAJAAN Arab Saudi telah membangunkan pelbagai teknologi sebagai kemudahan buat para jemaah yang mengunjungi Tanah Suci. Foto: Arab News

Baca juga Ada kemusykilan ketika tunaikan umrah, robot di Masjidil Haram boleh jawab soalan para jemaah dalam 11 bahasa

Beliau merujuk kepada usaha kerajaan baru-baru ini menerusi pengenalan dan penggunaan teknologi moden serta pendigitalan dalam perkhidmatan yang disediakan bagi mereka yang ingin melawat dua masjid suci.

Antara inisiatif yang dijalankan termasuk penggunaan robot untuk membantu jemaah, di samping membangunkan Nusk, platform digital kerajaan bagi melancarkan urusan kemasukan pengunjung ke Tanah Suci.

PARA jemaah yang bakal berangkat ke Tanah Suci sudah tidak perlu risau tentang sekatan kesihatan yang pernah dikenakan berikutan pandemik COVID-19. Foto: BERNAMA

“Platform itu membolehkan (pengunjung) memohon permit umrah dalam masa yang singkat. Visa mampu dikeluarkan dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Selain itu, kerajaan Arab Saudi juga telah menarik balik semua sekatan kesihatan yang dikenakan ke atas jemaah umrah Mesir disebabkan pandemik Covid-19 atas arahan Raja Salman.

 

Jemaah wanita tidak wajib lagi ditemani mahram ke Tanah Suci

Sumber: Saudi Gazette

Foto: Pexels, Saudi Gazette, Arab News & BERNAMA

Simpanan
Antarabangsa,

Simpanan haji dimakan anai-anai, lelaki warga Indonesia reda dengan ujian-NYA

RAMAI yang berusaha membuat simpanan haji semata-mata untuk beribadah kepada ALLAH SWT di Tanah Suci. Masakan tidak, memang menjadi impian setiap umat Islam seantero dunia untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci bagi menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Andai ia berjaya ditunaikan, terasa seperti telah lengkap melaksanakan seluruh Rukun Islam dengan sempurna.

Namun begitu, tidak semua berupaya berbuat demikian kerana pelbagai kekangan berbangkit. Ini kerana untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu, kita hendaklah berkemampuan. Salah satunya dari sudut kewangan.

Disebabkan itu tidak hairanlah jika kita melihat ramai yang berusaha menyimpan wang bertahun-tahun lamanya untuk menunaikan ibadah haji.

Perkara sama turut dilakukan oleh seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Jawa Tengah, Indonesia. Lelaki yang dikenali sebagai Samin turut menyimpan duit bagi menunaikan ibadah haji bersama isteri dan dua anak mereka.

Malangnya, puluhan juta rupiah yang disimpan beliau di dalam dua bekas simpanan plastik di rumahnya selama dua tahun setengah musnah sekelip mata sahaja.

Bayangkan not kertas yang berjumlah hampir 100 juta Rupiah (RM30,354) itu dimakan anai-anai.

Simpanan

SAMIN reda duit simpanan untuk menunaikan haji bersama isteri dan dua anaknya dimakan anai-anai. Semoga beliau diberi kekuatan untuk kembali mengumpul duit bagi menunaikan Rukun Islam kelima di Tanah Suci suatu hari nanti. -Gambar hiasan

Baca juga Yang ada emas dan wang simpanan, jangan lupa bayar zakat

“Saya berhasrat untuk mendaftar haji. Rezeki yang saya peroleh sedikit demi sedikit saya masukkan ke dalam bekas simpanan tersebut lebih kurang dua tahun setengah sebelum Covid-19 lagi,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal Kompas.com.

Tiga hari sebelum itu, lelaki berusia 53 tahun tersebut ada meminta isterinya untuk membuka tabung tersebut yang diletakkan di tempat tidur mereka kerana isinya sudah penuh.

Namun, dek kerana tidak punya kesempatan masa, bekas simpanan tersebut baru sahaja dibuka pada Selasa, tetapi tidak menyangka mereka pula menerima kejutan lain.

“Jam 9 pagi tadi (semalam) ketika mahu masukkan wang, macam bunyi runtuh. Setelah dibuka tabungnya, keluar anai-anai. Wang yang dimakan anai-anai itu berada dalam tabung berwarna hijau. Kondisi duit sudah tidak berapa utuh dan rosak. Ada sekitar 50 juta Rupiah (RM15,177) di dalamnya.

“Sedangkan dalam tabung berwarna ungu pula, sebahagian besar not itu masih utuh meskipun ada yang dimakan anai-anai. Wang di dalam itu ada dalam sekitar 48 juta Rupiah (RM14,570),” katanya yang menabung hasil titik peluhnya berjualan makanan ringan di kantin sekolah tempat kerjanya.

Baca juga Tak boleh pergi haji, tapi ada 10 amalan yang ganjarannya seperti pahala haji

Sejak tahun 2019, Samin mengakui, beliau tidak pernah gagal menyimpan wang antara 100,000 Rupiah (RM30.35) hingga 200,000 Rupiah (RM60.71).

“Gaji yang yang diterima sebagai pengawal sekolah digunakan untuk keperluan seharian, manakala hasil berjualan di kantin dan membuat minuman guru sekolah pula untuk tabungan.

Simpanan

SEMUA wang simpanan Samin adalah hasil keringat beliau berjualan di kantin dan membuat minuman guru sekolah.

“Saya ingatkan simpan wang dalam tabung itu lebih selamat. Lagipun, sedikit saja tabungan yang diperoleh. Setiap kali dapat rezeki, mudah untuk saya masukkan dalam tabung, tidak terfikir mahu ke bank,” katanya yang reda dengan ujian tersebut.

Dalam pada itu, portal berita Kompas.com turut mendapatkan Ketua Pejabat Perwakilan Bank Solo Indonesia, Nugroho Joko Prastowo mengulas tentang insiden duit rosak berkenaan.

Baca juga Sambut orang balik haji, antara sunnah yang dilupakan

Jelas beliau, pertukaran wang rosak boleh dilakukan dengan syarat duit berkenaan diperakui keasliannya. Wang berkenaan mestilah dua pertiga daripada saiz asal not.

“Biasanya hanya dua bahagian sahaja dikira sebagai polisi khas iaitu wang bersaiz dua pertiga daripada asal, kita akan gantikan dengan wang baru.

“Kalau wang itu terpisah dan disambungkan, ia akan dihitung secara manual mahupun imbasan. Andai saiznya sekurang-kurangnya dua pertiga, duit itu akan segera digantikan,” katanya.

Foto: Republika, Kompas.com & Freepik

Tunai umrah
Istimewa Panggilan Baitullah,

Sambut orang balik haji, antara sunnah yang dilupakan

ANTARA sunnah Rasulullah SAW yang jarang sekali dipraktikkan oleh masyarakat adalah perbuatan menyambut orang yang baru balik daripada melaksanakan ibadah haji.

Bermula semalam, jemaah haji Malaysia sudah mula beransur pulang ke tanah air setelah selesai mengerjakan Rukun Islam kelima itu di Arab Saudi.

Setelah berminggu-minggu lamanya berpisah, pastinya kepulangan ini dinantikan oleh sanak-saudara dan sahabat handai yang berada di Malaysia dengan penuh rasa syukur serta gembira.

sambut orang balik haji

DATUK BADLI SHAH ALAUDDIN

Bagi jemaah haji yang pulang ke tanah air, penceramah bebas, Ustaz Datuk Badli Shah Alauddin mengingatkan bahawa disunatkan singgah ke masjid terlebih dahulu untuk menunaikan solat sunat serta membaca doa sebelum menjejakkan kaki ke rumah.

Baca juga Jemaah haji Malaysia mula pulang ke tanah air

Sementara itu, kepada mereka yang bakal menyambut kepulangan jemaah haji pula, agamawan itu mengajak kita merenungkan kembali adab-adab pernah diajarkan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis:

Apabila kamu bertemu orang haji (yang baru pulang haji), maka bersalamlah dan berjabat tanganlah dengannya dan suruhlah dia berdoa memohon keampunan untuk dirimu sebelum dia masuk ke rumahnya, maka sesungguhnya dia itu telah mendapat keampunan ALLAH SWT (doanya dikabulkan).

Doa yang dibacakan seperti berikut: ‘Allahumagfir lilhajji Walimanistagfaralahulhaj’. Maksudnya, “Ya ALLAH berikanlah keampunan kepada orang yang mengerjakan haji dan kepada mereka yang dimohonkan ampun oleh orang yang haji.” (Hadis riwayat Ahmad)

sambut orang balik haji

BEGITU syumulnya agama ALLAH sehingga adab menyambut orang yang baru pulang daripada mengerjakan haji juga ada diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Berdasarkan hadis berkenaan, ujar Ustaz Badli Shah, jelaslah bahawa terdapat tiga perkara yang disunatkan untuk dilakukan ketika menyambut kepulangan jemaah haji.

Pertama sekali, kita digalakkan memberi salam, berjabat tangan serta bertanyakan khabar kepada jemaah haji tersebut.

Baca juga LIMA amalan yang nilainya seperti menunaikan haji

Kedua, meminta kesudian jemaah haji untuk mendoakan agar dosa-dosa kita diampunkan. Ini kerana doa orang yang baru kembali daripada melaksanakan haji adalah mustajab, ungkapnya.

“(Orang yang baru pulang dari haji) bagaikan bayi yang baru lahir. Belum ada dosa, masih bersih lagi.

Satu lagi adalah mendoakan jemaah haji. Rasulullah SAW suka mendoakan orang yang baru kembali menunaikan ibadah haji sebagai tanda cinta terhadap umat Islam yang telah menjadi tetamu ALLAH serta mendapatkan limpah kurnia-NYA dalam melaksanakan Rukun Islam,” jelas beliau.

Baca juga Cabaran umat Islam era pra-merdeka menunaikan ibadah haji.

Memetik portal Shafiqolbu, antara doa menyambut kepulangan jemaah haji adalah seperti berikut:

Said bin Mansur menyatakan, bahawa apabila orang yang baru pulang daripada menunaikan haji bertemu dengan Abdullah bin Umar, dan beliau mengucapkan kepada orang yang kembali dari haji:

sambut orang balik haji

Selain itu, dalam kitab, al-Mausu’ah Fiqhiyyah, ulama Syafie berpendapat dianjurkan ucapan berikut kepada orang yang berhaji atau umrah:

sambut orang balik haji

Oleh itu, tiada masalah jika kaum keluarga ingin meraikan kepulangan sanak-saudara yang baru selesai menunaikan ibadah haji namun sambutan yang dilakukan mestilah bersesuaian dan tidak bercanggah dengan ajaran agama Islam.

Sambut orang balik haji, antara sunnah yang dilupakan.

Foto & Sumber: Shafiqolbu & Freepik