Browsing Tag

haiwan yang tidak boleh Muslim pelihara

Haiwan tidak boleh pelihara
Gaya Hidup,

6 haiwan yang Muslim tidak boleh pelihara

WALAUPUN pencinta binatang, ada haiwan tertentu yang Muslim tidak boleh pelihara.

Benar, kita disuruh supaya mengasihi dan berlaku ihsan terhadap haiwan. Ia tidak kiralah sama ada binatang itu haram dimakan ataupun tidak.

Baca juga Tak Boleh Sakiti Haiwan, Sekalipun Ia Haram Dimakan Atau Disentuh

Meskipun demikian, ia bukanlah ‘tiket’ untuk kita membela semua jenis haiwan lebih-lebih lagi di rumah masing-masing.

Bukan sahaja tertakluk kepada undang-undang ataupun spesies yang dilindungi, tetapi sebenarnya agama Islam juga meletakkan panduan tentang binatang yang tidak boleh dibela.

Sinar Islam Plus menyenaraikan haiwan yang Muslim tidak boleh pelihara sebagaimana dirujuk menerusi beberapa laman web terkemuka.

Antaranya seperti Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Mufti Terengganu, Republika, Islam Qa, Islampos.com, Islam web dan bondowoso.jatimnetwork.com.

Berikut perinciannya:

1. Anjing.

Haiwan tidak boleh pelihara

ANJING antara haiwan yang Muslim tidak boleh pelihara kecuali atas tujuan yang dibenarkan oleh syarak. -Foto: Canva

Larangan membela anjing banyak disebutkan dalam nas tanpa sebab-sebab yang diharuskan oleh syarak.

Baca juga [VIDEO] Bila masuk ke rumah rakan yang bela anjing, ini perkara yang perlu kita ambil tahu

Antaranya Ibnu Umar RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membela anjing selain daripada anjing memburu, atau anjing yang menjaga tanaman, berkurang pahalanya setiap hari sebanyak dua qirat.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam satu riwayat lain, Abi Talhah RA berkata bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang terdapat anjing dan patung untuk disembah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

2. Ular.

Umat Islam diharamkan membela haiwan yang dianjurkan untuk dibunuh terutamanya binatang berbahaya seperti ular.

Bahkan, reptilia itu termasuk dalam kelompok binatang pengganggu dan perosak (fawasiq) serta tiada manfaat untuk diperdagangkan.

3. Babi.

Baca juga Termakan daging babi tanpa sengaja, apa perlu dibuat?

ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya ALLAH hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah dan daging babi…” (Surah al-Baqarah, ayat 173)

Memetik artikel disiarkan dalam Islam Web, umat Islam tidak boleh memeliharanya kerana ia haiwan yang najis.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya ALLAH dan Rasul-NYA telah mengharamkan jual beli arak, bangkai, babi dan berhala.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

4. Cicak.

Haiwan tak boleh pelihara

SUDAH tentu ramai yang tidak mahu membela cicak sebagai haiwan peliharaan atas beberapa alasan termasuk geli dengan fizikalnya. -Foto: Canva

Ia termasuk sebagai haiwan yang dibolehkan untuk dibunuh dan pengganggu. Apatah lagi jika dipelihara atau dimakan.

5. Tikus.

Tikus termasuk haiwan yang najis dan kotor. Lantaran itu, tidak hairanlah mengapa Islam melarang kita untuk memeliharanya. Mudah kata, tiada manfaatnya berbuat demikian, malah lebih banyak mendatang mudarat.

Baca juga Tak boleh bunuh semut, tetapi bagaimana jika serangga itu bawa mudarat?

Bukan itu sahaja, memetik laporan portal Republika yang mengambil sumber daripada Islam Web, hamster antara spesies tikus yang dilarang untuk dibela.

Hamster disebutkan dalam Ensiklopedia Arab dan Ensiklopedia Bebas serta dikenali dalam bahasa Arab dengan nama ‘qidaad’.

6. Burung gagak.

Aisyah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Lima haiwan fasiq dan boleh dibunuh di tanah haram iaitu tikus, kala jengking, burung helang, burung gagak dan anjing gila atau ganas.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menurut Islam Web, ramai ulama berpandangan burung gagak yang dianjurkan untuk dibunuh adalah burung gagak perut putih yang memakan bangkai haiwan dan bukan semua jenis.

Bagaiamanpun, Mazhab Maliki berpandangan bahawa semua jenis burung gagak adalah fawasiq. Disebabkan itulah ia tidak boleh dibela.

Demikianlah antara haiwan yang Muslim tidak boleh pelihara. Masih banyak lagi binatang peliharaan lain yang boleh kita bela di rumah masing-masing.

***Foto: Canva