Browsing Tag

haiwan korban

Pakaian kena darah
Ibadah,

Pakaian terkena darah haiwan korban dikira bernajis?

SUKAR untuk mengelak pakaian terkena darah haiwan korban. Jika tidak banyak, pasti percikannya masih tersisa.

Kadangkala sudah bermacam-macam cara digunakan bagi membersihkan kekotoran kesan darah binatang korban berkenaan. Malangnya, masih ada kesan berwarna kemerah-merahan kelihatan.

Digosok sudah, ditonyoh ‘bagai nak rak’ usah dikata, apatah lagi disental sehabis daya. Namun, ‘kekotoran’ berkenaan sukar benar dihilangkan.

Adakah pakaian tersebut dikira sebagai bernajis dan tidak boleh dibawa untuk solat?

Baca juga Solat tanpa berpakaian dalam, apa statusnya?

Menjelaskan perkara itu, Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed berkata, kesan najis yang sukar dihilangkan adalah perkara yang dimaafkan sekalipun ia daripada jenis najis mughallazah.

DR SYED SHAHRIDZAN

Lantaran itu, katanya, pakaian tersebut tadi boleh dipakai untuk tujuan solat.

Ia sebagaimana yang disebutkan dalam Kitab Muqaddimah Hadramyyiah iaitu: “Warna dan bau (najis) yang kekal yang mana sukar untuk dihilangkan, maka ia tidak memudaratkan.”

Bukan itu sahaja, Dr Syed Shahridzan turut menjelaskan, fakta tentang indikator kesukaran bagi menghilangkan kesan najis waima bau mahupun warna juga ada dinyatakan secara jelas dalam Kitab Busyra al-Karim (Syarah Muqaddimah Hadramiyyah).

Baca juga [VIDEO] Apabila bulu kucing melekat di tempat solat, kita perlu…

Kitab tersebut menyebut: “Piawaian kesan najis yang sukar dihilangkan iaitu (apabila) kesan najis tidak hilang selepas basuhan sebanyak tiga kali berserta gosokan dan tekan pada setiap kali basuhan, juga berserta (bahan basuhan) seperti ‘usynan’ (sejenis tumbuhan yang dijadikan bahan basuhan) atau sabun yang mana kuasa menghilangkannya bergantung kepada kenyataan orang yang pakar.”

Melihat kepada pernyataan tersebut, agamawan itu menjelaskan, sabun basuh pada zaman ini berkeupayaan untuk menghilangkan kesan-kesan najis menurut kajian pakar.

“Andai kata tempat kesan najis itu sudah dibasuh sebanyak tiga kali degan sabun dan ia masih ada lagi baki kesan tersebut, maka ia dimaafkan.

“Malah, pakaian itu tidak dikira sebagai bernajis. Ini selaras dengan falsafah Islam sebagai agama yang mudah untuk diamalkan oleh umatnya,” ungkapnya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.