Browsing Tag

Gempa bumi

MAGHRIBI
Antarabangsa,

Stadium bergema, bacaan al-Fatihah penyokong Maghribi untuk mangsa gempa bumi

PERTEMUAN Maghribi menentang Burkina Faso dalam perlawanan bola sepak persahabatan di Perancis Selasa lalu bertukar ‘hening’ seketika apabila bacaan surah al-Fatihah bergema di stadium.

Demikian situasi yang terjadi semasa pembukaan perlawanan persahabatan tersebut yang berlangsung di Stadium Lens’ Bollaert-Delelis di Perancis yang dihadiri ribuan penyokong kedua-dua negara berkenaan.

Lapor Agensi Anadolu, difahamkan bacaan surah al-Fatihah oleh penyokong Maghribi itu adalah ditujukan buat mangsa-mangsa gempa bumi di Maghribi serta banjir di Libya yang terjejas teruk sejak beberapa hari lalu.

Baca Juga Masjid bersejarah Maghribi runtuh akibat gempa bumi

Meskipun hanya beberapa saat, namun rakaman kejadian itu tersebar ke serata dunia maya dan meraih pelbagai reaksi yang cukup hangat daripada segenap masyarakat.

Rata-rata warga maya memuji tindakan penyokong Maghribi yang majoritinya Muslim atas jasa baik bacaan surah pembuka al-Quran itu, selain turut bersimpati dengan mangsa bencana berkenaan.

Dalam pada itu, perlawanan persahabatan tersebut menyaksikan Maghribi menang 1-0 ke atas Burkina Faso hasil jaringan oleh Azzedine Ounahi pada minit ke-36.

 

 

Keadaan terkini Maghribi

Sementara itu, meninjau keadaan terkini di Maghribi, mangsa yang terselamat daripada gempa bumi paling dahsyat dalam tempoh lebih enam dekad telah diberikan bekalan makanan dan juga tempat perlindungan oleh pasukan keselamatan.

Memetik portal France24, jumlah korban pada Selasa melaporkan sekurang-kurangnya 2,901 terbunuh dan seramai 5,530 cedera dalam gempa bumi berukuran 6.8 magnitud yang melanda lewat Jumaat lepas.

Artikel Berkaitan

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dilapor masih berada di tempat-tempat runtuhan untuk mencari mangsa di kawasan tersebut.

Khemah kuning kerajaan telah diletakkan di tapak perkhemahan bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal di kawasan paling teruk, iaitu di selatan Marrakesh, dengan banyak kampung di pergunungan High Atlas musnah sepenuhnya.

MENURUT World Health Organization (WHO), lebih 300,000 penduduk terjejas di Marrakesh dan kawasan sekitarnya juga telah banyak merosakkan tempat bersejarah.

“Satu-satunya yang tinggal di kampung itu ialah nama mereka,” kata Fatima Benhamoud, 39, berhampiran pusat pengedaran untuk tempat perlindungan sementara.

Keluarganya tinggal di salah sebuah khemah yang diletakkan di sebuah taman di Amizmiz, yang menjadi pusat bantuan untuk kampung pergunungan, kerana rumah mereka tidak lagi selamat.

Turut Disyorkan ‘Lelaki kucing Aleppo’, adiwira menyelamatkan lebih 40 ekor kucing selepas tragedi gempa bumi Turkiye-Syria

Ketibaan pusat perlindungan adalah petunjuk bahawa bantuan mula mengalir tetapi ia bertujuan sementara dan tidak akan mencukupi sama sekali terhadap musim sejuk dan hujan yang semakin hampir.

Di hab pelancongan Marrakesh, di mana pusat bersejarahnya yang tersenarai UNESCO mengalami keretakan dan kerosakan lain, ramai keluarga masih tidur di tempat terbuka, berselimut di dataran awam kerana takut akan gegaran susulan.

Masjid Tinmel
Antarabangsa,

Masjid bersejarah Maghribi runtuh akibat gempa bumi

LEBIH 2,000 orang maut selepas gempa bumi kuat melanda negara Maghribi pada malam Jumaat. Kejadian berlaku kira-kira jam 11.11 malam waktu tempatan.

Gempa bumi yang berlaku itu antara yang paling kuat melanda negara tersebut dalam tempoh lebih daripada satu abad.

Menurut World Health Organization (WHO), lebih 300,000 penduduk terjejas di Marrakesh dan kawasan sekitarnya juga telah banyak merosakkan tempat bersejarah.

Antaranya tapak sejarah terpenting di pergunungan Atlas, sebuah masjid yang dibina pada zaman dinasti pertengahan yang menyaksikan penaklukan Afrika Utara dan Sepanyol pada ketika itu.

Baca Juga Diinspirasikan Asmaa ul-Husna, masjid di Sulawesi ini ada 99 kubah indah

Media Maghribi melaporkan, sebahagian daripada Masjid Tinmel telah runtuh. Gambar-gambar yang tular menunjukkan dinding dan menara masjid telah runtuh.

Menjawab soalan Reuters mengenai kerosakan yang dilaporkan pada Tinmel, sumber Kementerian Kebudayaan Maghribi berkata, “Kementerian telah memutuskan untuk memulihkannya dan akan memberi peruntukkan,” tanpa memberikan sebarang butiran lain.

MAGHRIBI isytihar tiga hari berkabung selepas dilanda gempa bumi yang dahsyat. / Foto: TRT World

Masjid Tinmel atau Tinmal Mosque ini dibina pada abad ke-12 zaman dinasti Muwahhidun (Almohad). Terletak di pergunungan Atlas dan merupakan pusat penubuhan empayar dinasti yang dipelopori oleh Ibnu Tumart.

Ia dianggap salah satu seni arkitektur terpenting dinasti Muwahhidun yang masih kekal berdiri. Namun, kini ia telah musnah secara keseluruhan.

Agensi kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu UNESCO berkata, mereka telah dimaklumkan mengenai kemusnahan Masjid Tinmel dan kini masih menunggu untuk menghantar pasukan bagi menilai kerosakannya.

Gempa bumi berukuran 6.8 magnitud itu merupakan paling dahsyat di kawasan itu sejak 1900. Banyak bangunan dan rumah tradisional penduduk setempat telah musnah.

Baca Juga 5 kisah meruntun hati di sebalik gempa bumi Turkiye-Syria

Gempa bumi itu juga menyebabkan kerosakan pada bandar lama Marrakesh, tapak Warisan Dunia UNESCO, di mana sebuah menara tumbang dan sebahagian tembok bandar bersejarah runtuh bersama beberapa rumah tradisional.

Maghribi isytihar tiga hari berkabung

Sementara itu, Raja Maghribi Mohammed VI telah mengisytiharkan tiga hari berkabung negara untuk mangsa gempa bumi yang berlaku Jumaat.

ORANG ramai bersedih di hadapan mayat mangsa yang terkorban dalam gempa bumi di Moulay Brahim, wilayah Al Haouz, pada 9 September 2023. / Foto: AFP

Bendera akan dikibarkan separuh tiang di semua bangunan awam semasa tempoh berkabung, dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita rasmi Maghreb Arabe Press.

Raja Maghribi juga mengarahkan pembentukan jawatankuasa menteri untuk membangunkan rancangan pembinaan semula rumah yang musnah.

Turut Disyorkan Masyarakat dunia bantu mangsa gempa Turkiye-Syria, ada sinar di sebalik bencana

Baca Juga Gempa bumi, bencana yang ALLAH telah jelaskan banyak kali dalam al-Quran

Kementerian Dalam Negeri Maghribi juga memaklumkan pihak berkuasa telah “menggerakkan semua sumber yang diperlukan untuk membantu kawasan yang terjejas”.

Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata Turkiye bersedia membantu Maghribi yang dilanda gempa bumi dengan segala cara yang ada.

Selain Turkiye, beberapa negara turut menawarkan bantuan kemanusiaan seperti Sepanyol, Algeria, India, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta negara-negara lain.

Salam takziah kepada keluarga yang terkorban dan terkesan.
إنا لله وإنا إليه راجعون
اللهم ارحم أهالينا ضحايا الزلزال رحمة واسعا واجعلهم من الشهداء يا أرحم الراحمين

turkiye-syria
Antarabangsa,

Masyarakat dunia bantu mangsa gempa Turkiye-Syria, ada sinar di sebalik bencana

Masyarakat dunia bantu mangsa gempa Turkiye-Syria, ada sinar di sebalik bencana…

GEMPA bumi besar berukuran 7.8 pada skala Richter yang membadai wilayah Kahramanmaras di Turkiye sehingga turut dirasai Syria, Mesir dan Palestin minggu lalu telah menjejaskan lebih 20 juta insan.

Portal berita CNN melaporkan hampir 36,000 mangsa terkorban dan angka ini dijangka meningkat.

Di seluruh dunia, orang ramai telah menyaksikan pelbagai imej ngeri bangunan diranapkan serta jalan raya musnah melalui liputan meluas tentang bencana menyayat hati tersebut.

Siapa sangka, di samping misi mencari dan menyelamat terus berjalan di Turkiye dan Syria, masyarakat dunia juga tidak putus menawarkan sokongan serta bantuan lantas memberikan sinar harapan di sebalik musibah yang berlaku.

Baca juga Kereta ‘usang’ sarat dengan bantuan mangsa gempa Turkiye, netizen kagum kegigihan pemuda ini

Solidariti masyarakat dunia terhadap mangsa gempa

1.Kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun derma wang saku.

Pernah terselamat daripada gempa bumi berukuran 6.0 skala Richter melanda Turkiye pada November 2022, seorang kanak-kanak lelaki bernama Alparslan Efe Demir tekad membantu mangsa gempa kali ini.

Justeru, warga Turkiye berusia 9 tahun itu telah menyumbangkan tabung wang simpanan miliknya beserta sepucuk surat hasil tulisan sendiri kepada pasukan Bulan Sabit Merah.

Gara-gara gempa bumi tahun lalu, kanak-kanak lelaki tersebut dan keluarganya terpaksa tinggal di dalam khemah.

Alparslan memberitahu ahli penyelamat, dia sendiri pernah mengalami rasa takut akibat gempa bumi.

ALPARSLAN Efe Demir, 9, pernah terselamat daripada gempa bumi. Foto: Omer Urer/AA

Baca juga Turkiye berada dalam salah satu zon gempa bumi paling aktif di dunia

2. Perhimpunan solidariti di US, Pakistan dan UK.

Perhimpunan solidariti telah diadakan di beberapa negara seperti Amerika Syarikat (US), United Kingdom (UK) serta Pakistan dengan menyalakan lilin sebagai tanda penghormatan kepada mangsa-mangsa gempa bumi Turkiye-Syria.

Misalnya, di Washington DC, US, lebih 50 orang dari pelbagai bangsa telah menyertai perhimpunan solidariti yang dianjurkan komuniti Amerika-Syria. Orang ramai yang hadir turut digalakkan menderma serta menghulurkan bantuan dengan apa cara yang mereka mampu.

Baca juga 5 kisah meruntun hati di sebalik gempa bumi Turkiye-Syria

3. Iraq hantar bantuan.

Selain itu, pasukan Bulan Sabit Merah Iraq telah menghantar 150 ahli paramedik ke Turkiye untuk membantu dalam usaha mencari dan menyelamat.

Dalam masa sama, Kementerian Kesihatan wilayah Kurdistan turut berkata, ia telah menghantar bantuan perubatan sebanyak 20 tan kepada negara berkenaan.

Manakala, Direktorat Migrasi dan Pemindahan wilayah Dohuk pula melancarkan kempen derma bagi mangsa gempa bumi.

“Kebanyakan mereka yang datang menderma adalah orang miskin. Sebahagian daripada mereka menderma 10,000 dinar Iraq (RM30), malah ada yang mencecah 50,000 dinar Iraq (RM150).

“Terdapat juga kanak-kanak menderma sebagai tanda sokongan kepada mangsa gempa bumi,” kata pengarah Warwin Sabah kepada agensi berita Middle East Eye.

4. Penduduk Gaza derma darah.

Di samping itu, Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) pernah melancarkan kempen derma darah di Semenanjung Gaza.

Laporan media menyatakan bahawa ramai sukarelawan beratur untuk menderma darah di Hospital al-Amal di kejiranan Khan Younis, selatan Gaza. Program tersebut berlangsung selama dua hari.

Selain itu, beratus-ratus rakyat Palestin turut menunaikan solat jenazah di Masjid al-Aqsa untuk mangsa gempa bumi.

Baca juga Israel rancang bina 18,000 penempatan baharu di Tebing Barat? Tindakan itu beri ancaman besar pada Palestin

Turkiye-Syria

WARGA Palestin di Gaza menderma darah buat mangsa gempa bumi Turkiye-Syria. Foto: Al-Jarmaq News

Turut disyorkan Gempa bumi, bencana yang ALLAH telah jelaskan banyak kali dalam al-Quran

5. Taiwan hantar pasukan penyelamat.

Dalam sebuah video dikongsikan di internet, anggota penyelamat dari Taiwan dilihat tiba di Turkiye bagi membantu usaha mencari dan menyelamat.

“Kami menghantar dua kumpulan. Kumpulan pertama terdiri daripada 40 orang, manakala yang kedua terdiri daripada 90 orang,

“Kira-kira 20 tahun lalu terdapat gempa bumi besar di Taiwan. Pada masa itu, Turkiye menghantar pasukan penyelamat. Kali ini giliran kami untuk membantu pula,” ujar salah seorang ahli pasukan tersebut.

6. Malaysia hantar pasukan SMART.

Malaysia turut tidak ketinggalan menghulur bantuan. Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) kedua di bawah seliaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang dihantar ke Turkiye pada 8 Februari.

Pasukan yang merangkumi 72 anggota daripada SMART serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di negara itu.

Pada 6 Feb lepas, Malaysia menghantar pasukan pertama SMART yang terdiri daripada pasukan perubatan daripada Kor Kesihatan Diraja (KKD) serta Unit K9 JBPM dan pasukan khas bahan kimia berbahaya (Hazmat) bagi membantu misi SAR sebagai tanda solidariti.

Baca juga Gempa bumi Turkiye dan Syria: Pelajar Malaysia mohon doa orang ramai

MALAYSIA turut menghulurkan bantuan kepada Turkiye dengan menghantar pasukan SMART. Foto: NADMA

Turut disyorkan Panjatkan doa jika tak mampu hulur wang, sumbang kudrat

Dalam pada itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) turut melaksanakan kutipan derma di masjid serta surau di bawah seliaan masing-masing bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar dalam satu kenyataan pada minggu lalu berkata, kutipan derma itu akan dibuat pada setiap Jumaat selama tiga minggu berturut-turut bermula bermula10 Februari.

JAKIM akan melaksanakan kutipan derma di Masjid Negara, Kuala Lumpur, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya, manakala JAWI akan melaksanakan kutipan derma di masjid dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Sumber: Middle East Eye

Foto: AFP, AA, NADMA, Al-Jarmaq News

gempa bumi Turkiye
Antarabangsa, Aqidah,

Gempa bumi, bencana yang ALLAH telah jelaskan banyak kali dalam al-Quran

SEHINGGA kini, dunia masih bersedih dengan kejadian gempa bumi yang telah membadai negara Turkiye termasuk sebahagian wilayah Syria.

Walaupun lebih 70 jam sudah berlalu selepas berlakunya gegaran pertama pada Isnin lalu, namun usaha mencari dan menyelamat tetap diteruskan lantaran jumlah mangsa belum ditemui yang masih tinggi.

Menurut portal berita The Guardian, angka kematian dari kedua-dua buah negara meningkat kepada 17,000 orang, manakala puluhan ribu mangsa cedera.

Baca juga Turkiye berada dalam salah satu zon gempa bumi paling aktif di dunia

FENOMENA alam itu mampu meranapkan bangunan serta meragut nyawa ramai insan. Foto: EPA

Baca juga Lakukan amalan ini ketika gempa bumi

Bercerita tentang perihal gempa bumi, sebenarnya peristiwa tersebut pernah berlaku sejak zaman para anbia lagi.

Ketahuilah, apapun yang terjadi di dunia sudah pun tercatat di Luh Mahfuz. Hal ini termasuk musibah serta takdir yang dialami setiap orang.

ALLAH SWT pula tidak akan mengaturkan sesuatu perkara melainkan ada sebab dan manfaat di sebaliknya untuk dijadikan teladan.

Justeru, kejadian gempa bumi banyak diceritakan dalam al-Quran bukan sekadar sebagai fenomena alam yang biasa, tetapi ia merupakan tanda peringatan daripada ALLAH SWT supaya manusia kembali kepada agama dan menjauhi maksiat.

Turut disyorkan  Segera rawat trauma bencana alam, jangan dibiarkan begitu sahaja

PELBAGAI kisah diceritakan ALLAH dalam al-Quran sebagai pesanan kepada umat manusia. Foto: Unsplash

Baca juga Panjatkan doa jika tak mampu hulur wang, sumbang kudrat

Bencana gempa bumi disebutkan al-Quran
Ada beberapa ayat dalam kitab suci al-Quran menyebut dan menjelaskan tentang fenomena alam berkenaan, antaranya:

1. Surah al-Zalzalah ayat 1-2.
Firman ALLAH SWT, “Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya, serta bumi itu mengeluarkan segala isinya.”

2. Surah al-’Ankabut ayat 37.
Dalam ayat ini, gempa bumi tersebut berlaku ketika zaman Nabi Syuaib AS.

Firman ALLAH,“Maka mereka mendustakan (Syuaib), lalu mereka dibinasakan oleh gempa bumi, serta menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.”

Baca juga Hikmah Maryam diperintahkan ALLAH menggoncang pokok tamar selepas bersalin

gempa bumi Turkiye

BENCANA alam sebenarnya dapat mendekatkan kita kepada ALLAH YANG MAHA ESA. Foto: 123RF

Baca juga Terkentut ketika baca al-Quran, perlu ke berhentikan bacaan?

3. Surah al-A’raf ayat 78.
Gempa bumi yang diceritakan menerusi surah ini berlaku pada zaman Nabi Soleh AS.

Firman ALLAH, “Oleh itu, mereka pun dibinasakan oleh gempa bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.”

4. Surah al-Mulk, ayat 16.
Firman ALLAH, “Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada TUHAN yang pusat pemerintahan-NYA di langit itu: menunggang-balikkan bumi menimbus kamu, lalu bergegarlah bumi itu dengan serta-merta (melenyapkan kamu di bawahnya)?

Begitulah ALLAH menceritakan tentang gempa sebagai petunjuk yang dapat dijadikan pelajaran bagi orang-orang yang beriman.

“Katakanlah: “DIA lah yang berkuasa menghantar kepada kamu azab seksa (bala bencana), dari sebelah atas kamu, atau dari bawah kaki kamu, atau Ia menjadikan kamu bertentangan dan berpecah-belah – berpuak-puak, dan Ia merasakan sebahagian daripada kamu akan perbuatan ganas dan kejam sebahagian yang lain”. Perhatikanlah bagaimana KAMI menjelaskan ayat-ayat keterangan (yang menunjukkan kebesaran KAMI) dengan berbagai cara, supaya mereka memahaminya.” (Surah al-An’aam, ayat 65)

Foto: 123RF, EPA & Unsplash

turkiye gempa
Antarabangsa, Berita Semasa,

Solat hajat, jenazah ghaib untuk mangsa gempa Turkiye dan Syria bermula Maghrib malam ini

TIGA masjid seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan melaksanakan solat hajat mendoakan kesejahteraan untuk Turkiye dan Syria yang dilanda bencana gempa bumi, malam ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Na’im Mokhtar berkata, solat hajat itu diadakan selepas solat Maghrib di Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Baca juga Turkiye berada dalam salah satu zon gempa bumi paling aktif di dunia

KAKITANGAN kecemasan mencari mangsa di tapak bangunan yang runtuh selepas gempa bumi menggegarkan di Diyarbakir, tenggara Turkiye. Foto: EPA

Baca juga Solat jenazah ghaib bukan untuk arwah yang hilang atau di luar negara sahaja. Ini perinciannya

“Menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah, untuk tujuan mendoakan kesejahteraan buat negara Turkiye dan Syria, saya telah mengarahkan masjid-masjid seliaan JAKIM mengadakan solat hajat dan memohon doa kesejahteraan selepas solat Maghrib malam ini.

“Begitu juga seluruh masjid dan surau di Wilayah Persekutuan di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) adalah diminta melaksanakan solat hajat memohon doa kesejahteraan,” katanya dalam satu kenyataan pada malam tadi.

Selain solat hajat, pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) turut menyarankan orang ramai mengadakan solat jenazah ghaib bagi mangsa gempa bumi di kedua-dua negara berkenaan.

Turut disyorkan Istana bersejarah Gaziantep berusia lebih 2000 tahun musnah akibat gegaran

Turkiye gempa

GEGARAN gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria turut dirasai sehingga Cyprus dan Kaherah, Mesir. Foto: EPA

Awal pagi Isnin, beberapa wilayah Turkiye serta barat laut Syria dilanda gempa bumi kuat berukuran 7.8 pada skala Richter sebelum diikuti satu lagi gegaran pada sebelah petang, lapor Agensi Anadolu.

Menurut portal The Guardian, setakat 4 petang waktu Malaysia, angka kematian dari dua buah negara tersebut sudah menghampiri 5,000 orang.

Menurut agensi berita berkenaan, seramai 3,381 orang disahkan terkorban di Turkiye, manakala media Syria melaporkan lebih 1,449 kematian di negara itu.

Dalam pada itu, aktiviti gempa bumi di rantau tersebut dengan gegaran susulan sehingga 6.7 pada skala Richter dijangka berterusan.

Sumber: The Guardian

Foto: BERNAMA, EPA

Gempa bumi
Panduan,

Lakukan amalan ini ketika gempa bumi

SUSULAN berlakunya gempa bumi berukuran 6.2 magnitud pada skala Richter di pantai barat Sumatera, Indonesia pada kedalaman 10 kilometer hari Jumaat lalu, ia menyebabkan beberapa kawasan di sekitar bahagian Barat Semenanjung Malaysia turut merasai gegarannya.

Antaranya di Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Malah, terdapat beberapa pejabat yang dikosongkan kakitangannya gara-gara kesan gegaran tersebut yang agak membimbangkan sekitar jam 9.39 pagi pada hari berkenaan.

Tidak dapat digambarkan betapa dahsyatnya bencana alam tersebut yang menimpa negara jiran kita. Sedangkan kita yang duduk jauh dari kawasan itu turut menerima ‘ekor’ tempiasnya sudah rasa serba tidak kena dan bimbang. Apatah lagi mereka yang sedang berhadapan dengan musibah berkenaan.

Setakat jam 7 petang semalam, portal berita berpengaruh Indonesia, news.detik.com melaporkan, angka korban akibat gempa bumi yang melanda wilayah Pasaman Barat dan Pasaman, Sumatea Barat itu meningkat kepada 11 kematian.

Baca juga Jangan mengeluh ketika hujan

Bercerita tentang perihal gempa bumi, sebenarnya, peristiwa tersebut pernah berlaku pada zaman sahabat.

Memetik artikel yang disiarkan di kalam.sondonews.com, diceritakan bahawa bencana tersebut pernah terjadi di Madinah ketika zaman pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab.

Mengertilah bahawa semua bencana tersebut sudah tertulis ditentukan oleh ALLAH SWT.

Sebenarnya, ada satu doa yang dianjurkan untuk kita baca ketika gempa bumi berlaku sebagaimana yang dikongsikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia menerusi hantarannya di laman sosial Facebook mereka.

Doa berkenaan berbunyi: Allahumma inni as aluka khoiroha wa khoiroma fiha wa khoiro ma ursilata bihi, wa ‘a’uzubika min syarriha wa syarrima fiha wa syarrima ursilaa bih (Ya ALLAH, sesungguhnya aku memohon daripada-MU kebaikan atas apa yang terjadi dan kebaikan apa yang ENGKAU kirimkan. Dan aku memohon perlindungan kepada-MU daripada keburukan atas apa yang terjadi, dan keburukan yang terjadi di dalamnya dan keburukan apa yang ENGKAU kirimkan). (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Gempa bumi

BERDOALAH ketika gempa bumi berlaku untuk memohon perlindungan ALLAH SWT.

Menurut kalam.sindonews.com, doa tersebut sebenarnya adalah doa ketika terjadinya angin ribut yang pernah dibacakan oleh Rasulullah SAW.

“Tiada contoh yang jelas daripada baginda SAW tentang doa gempa bumi. Namun begitu, para ulama sebahagiannya menganjurkan kita melafazkan doa berkenaan atau apa sahaja doa umum lain yang difahami tanpa meyakininya sebagai sebuah sunah Rasulullah SAW.

“Ini kerana kedua-duanya memiliki kesamaan sebagai suatu fenomena bencana alam,” kata artikel tersebut.

Bukan itu sahaja, meskipun rakyat Malaysia tidak menghadapi musibah berkenaan, jangan lupa memanjatkan doa buat saudara seagama kita di sana.

Antara doa yang dianjurkan sebagaimana dipetik menerusi portal cnnindonesia.com adalah: Innalillahi wa inna ilaihi raji’un, Allahumma ajirhum fi musibatihim, wa akhlif lahum khoiran minha (Sesungguhnya kami adalah milik ALLAH dan sesungguhnya akan kembali kepada-NYA. Ya ALLAH, berilah mereka pahala dalam musibah mereka dan gantilah dengan yang lebih baik).

Baca juga Amalkan 2 Doa Ini Ketika Musibah, Lebih-Lebih Lagi Mereka Yang Terkesan Dengan Banjir

Doa berkenaan, jelas CNN Indonesia, ia pernah diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam Hadis Riwayat Muslim. Ia ada disebut dalam buku Kumpulan Doa Dari Al-Quran dan As-Sunnah karya Yazid bin Abdul Qadir Jawas.

Bukan sekadar fenomena alam

Sesungguhnya, tiada kejadian yang diatur oleh ALLAH SWT itu adalah sia-sia. Semuanya pasti mempunyai sebab musababnya.

Bagi orang yang beriman, portal muslim.or.id menjelaskan, gempa bumi bukan sekadar fenomena alam yang biasa, tetapi ia merupakan tanda peringatan daripada ALLAH SWT supaya manusia kembali kepada agama dan menjauhi maksiat.

Gempa bumi

GEMPA bumi merupakan tanda peringatan daripada ALLAH SWT supaya manusia kembali kepada agama dan menjauhi maksiat.

Ia sebagaimana disebutkan dalam al-Quran menerusi Surah al-Isra’, ayat 59 yang bermaksud: “…Dan KAMI tidak mengirimkan tanda-tanda itu melainkan untuk menakut-nakutkan mereka.”

Menurut Syaikh Abdurrahman as-Sa’di dalam Tafsir as-Sa’di menjelaskan: “Maksud ayat ini adalah memberikan rasa takut agar manusia terhalang melakukan maksiat saat itu.”

Begitu juga pendapat yang dilontarkan oleh Ibul Qayyim dalam Miftah Daris Sa’adah. Beliau menyatakan bahawa gempa bumi terjadi agar manusia meninggalkan kemaksiatan dan kembali kepada ALLAH SWT.

Tidak kiralah apa jua ketentuannya, jangan lupa sentiasa memuji-NYA saat kita berada dalam kesulitan mahupun diulit kesenangan.

Foto: Pexels & news.detik.com