Browsing Tag

gelaran

Haji dan Hajah
Ibadah,

Ibadah Haji tidak hanya sekadar mendapatkan pangkat ‘Haji’ dan ‘Hajah’

Ibadah Haji tidak hanya sekadar mendapatkan pangkat ‘Haji’ dan ‘Hajah’…

BAGI mereka yang sudah selesai menunaikan haji, pasti gelaran ‘pak haji’ tidak asing lagi dalam kehidupan dan masyarakat sekeliling.

Perkara ini dianggap sudah menjadi kebiasaan sehingga ada yang mengatakan dengan tegas “ye la, kita dah bertungkus-lumus melaksanakan haji, berbelas-belas ribu ringgit habis, jadi hormatlah sikit kita dengan pengiktirafan”.

Namun, itulah hakikat bagi sebahagian besar umat Islam, khususnya di Malaysia. Mereka ingin serta berasa selesa dan bangga dengan gelaran ‘Haji’ sesudah pulang daripada mengerjakan ibadat agung itu.

Jadi persoalannya, adakah ia dibolehkan di sisi Islam?

Penasihat Shariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Dr Zaharuddin Abdul Rahman menjelaskan gelaran sebegini bukan persoalan ibadat khusus yang memerlukan kepada dalil daripada amalan Rasulullah SAW atau sahabatnya.

DR Zaharuddin Abdul Rahman

Ujarnya, isu gelaran adalah sebuah isu kemasyarakatan dan sosial yang tidak tertakluk kepada dalil khusus. Ia hanya tertakluk kepada dalil umum yang mengandungi nilai dan asas, sama ada untuk mengarah atau melarang.

“Dalam hal gelaran, dalil yang menjelaskan prinsip atau disiplin dalam gelar- menggelar boleh diambil daripada firman ALLAH SWT seperti tercatat di dalam ayat surah al-Hujurat yang bermaksud “Janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah segala jenis nama panggilan yang berciri fasik selepas kamu beriman.”

ARTIKEL BERKAITAN 

“Jelas daripada ayat di atas, prinsipnya adalah ALLAH SWT melarang umat Islam menggelar saudara seagama dengan apa juga gelaran buruk dan menyakitkan hatinya, tidak kira sama ada ia benar atau tidak, selagi mana ia dilakukan dengan niat menghina dan menjatuhkan, ia adalah dilarang.

“Justeru dalam Islam, budaya gelar menggelar dengan gelaran buruk bukan tindakan benar, malah paling keji dan hanya mainan individu yang dipimpin emosi.

GELARAN ‘Haji’ atau ‘Hajah’ bukan persoalan ibadat khusus yang memerlukan kepada dalil daripada amalan Rasulullah SAW atau sahabatnya. 

“Tentunya tiada halangan di dalam Islam untuk gelaran biasa yang kurang kontroversi seperti Tuan Haji, Ustaz, Dr, Datuk, Syeikh, Profesor, Tok Guru, Imam, Hujjatul Islam, Syeikhul Islam dan apa juga gelaran yang baik lagi disukai dan baik untuk digunakan sebagai penghargaan, pujian, doa dan pengiktirafan,” katanya.

Tambah beliau lagi, isu sama ada gelaran itu akan mendatangkan rasa riak, takbur dan ‘ujub’ adalah persoalan kedua. Hal ini mempunyai sedikit persamaan dengan isu memuji seseorang di depannya.

Baca Juga Rehlah haji terjemahkan makna syukur dan sabar yang paling maksimum

“Jika diketahui pujian itu akan memusnahkannya, jangan dilakukan. Maka larangan adalah disebabkan hal luaran yang mendatang dan bukan pada pujian itu sendiri. Demikian juga gelaran Tuan Haji, Sayyid dan sepertinya.

“Oleh itu, jika kita memanggil seseorang dengan gelaran Tuan Haji dan ia disukai olehnya, sudah tentu ia tidak dilarang, sebaliknya lebih digalakkan lagi. Ini kerana, mungkin gelaran itu boleh mengingatkannya kepada ALLAH serta boleh mengekalkannya dirinya supaya sentiasa insan.

WALAUPUN seseorang itu ‘harus’ mendapat atau menggunakan gelaran ‘Haji’, yang perlu disedari adalah pemergian menunaikan rukun Islam kelima itu bukan kerana gelaran . -Foto: MadaniNews

“Apatah lagi apabila menjadi adat di sesebuah kawasan untuk menggunakan nama panggilan yang baik itu. Adakalanya, gelaran ‘Haji’ juga diguna semata-mata kerana tiada gelaran lain yang sesuai untuk seseorang bagi menunjukkan hormat kita.

“Kita sedar, kesan buruk juga boleh berganda apabila seorang bergelar ‘tuan haji’ dan ‘puan hajah’ melakukan maksiat dan dosa terang-terangan. Lebih mendukacitakan apabila kesnya membabitkan tangkapan khalwat, zina, pecah amanah dan lain-lain yang biasanya tersiar di dada akhbar.

Turut Disyorkan Demi ibadah haji sanggup berjalan kaki ke Mekah, 2 kisah ini wajar dijadikan inspirasi

“Namun demikian, hal itu tidak menjadikan penggunaan gelaran ‘Haji’ dan Hajah’ sebagai haram.

“Bagaimanapun perlu diingatkan, walaupun seseorang itu ‘harus’ mendapat atau menggunakan gelaran ‘Haji’, yang perlu disedari adalah pemergian menunaikan rukun Islam kelima itu bukan kerana gelaran yang diberi manusia, sebaliknya pandangan serta pengiktirafan ALLAH SWT sendiri,” tegasnya.