Browsing Tag

gaya hidup sihat

rasulullah sihat
Gaya Hidup, Rindu Rasulullah,

Rasulullah SAW memenuhi imej lelaki maskulin, sihat dan cergas

RASULULLAH SAW memenuhi imej lelaki maskulin, sihat dan cergas

Nabi Muhammad SAW adalah insan terbaik yang wajib dicontohi. Baginda diriwayatkan memiliki personaliti menarik dengan ciri fizikal yang segak.

Namun, berbeza dengan umatnya selepas 1400 kewafatan baginda. Rata rata Muslimin di Malaysia tidak begitu sasa, ramping dan memiliki kecergasan setara dengan baginda Rasulullah.

Malaysia adalah negara dengan kadar obesiti paling tinggi di Asia Tenggara. Kenyataan itu pernah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) awal tahun ini.

 Baca juga Sesuka hati ‘body shaming’ ibarat menghina ciptaan ALLAH

Lebih membimbangkan, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) yang dijalankan pada tahun 2019 juga mendapati bahawa kira-kira 50.1 peratus rakyat negara ini mengalami masalah berat badan berlebihan.

Ini bermakna satu dalam setiap dua rakyat dewasa di Malaysia dikira obes.

Masyarakat perlu mengambil serius hal ini kerana rata-rata penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis dan strok mempunyai kaitan dengan kegemukan atau obesiti yang biasanya berpunca daripada gaya hidup tidak sihat.

SESUNGGUHNYA perbuatan mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Oleh itu, amalkan gaya hidup sihat agar kita tidak merana terlantar di katil hospital akibat penyakit kronik. Foto: Pexels

Dalam mengamalkan gaya hidup sihat, Nabi Muhammad SAW antara contoh terbaik. Selain cergas dan mampu bergusti mengalahkan lawannya, baginda juga seorang panglima perang yang telah menyertai banyak peperangan besar semasa hidupnya.

Bagaimana baginda menjadi begitu cergas dan sihat?

Jelas Ustaz Yusri Yubhi menerusi portal PERGAS (Persatuan Ulama dan Guru-guru agama Islam Singapura) , ia berbalik kepada gaya pengamalan hidup sihat yang diamalkan oleh Rasulullah SAW melalui empat perkara ini, iaitu diet pemakanan, puasa, solat dan doa.

Baca juga Kenali Makanan Super Yang Disebut Dalam Al-Quran Dan Hadis

rasulullah sihat

RASULULLAH SAW sangat bersederhana dalam cara pemakanannya. Bahkan baginda dikatakan hanya menjamah sekadar menghilangkan lapar dan bukannya untuk kenyang. Foto: Unsplash

1.Rasulullah tidak berlebihan ketika makan.

Terdapat banyak sekali hadis-hadis yang meriwayatkan tentang anjuran untuk menjaga diet pemakanan selain riwayat hadis mengenai sunnah gaya pemakanan Nabi SAW sendiri.

Salah satunya adalah baginda menganjurkan kita agar tidak makan terlalu banyak sehingga memenuhi ruang perut kita. Sabda Rasulullah SAW:

Cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya (tulang punggung). Melainkan jika ia tidak dapat mengelak, maka isilah sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya, dan sepertiga untuk nafasnya.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

Antara menu pemakanan harian Nabi pula terdiri daripada roti yang diperbuat daripada gandum, susu, cuka buah-buahan, madu serta kurma seperti yang disebutkan dalam kitab Syamail al-Muhammadiyah karangan Imam Tirmizi.

Baca juga Ini 7 makanan kegemaran Rasulullah SAW kita amalkan tanpa sedar

AMBIL peluang berpuasa sunat pada hari Selasa dan Khamis. Amalan itu bukan sahaja menjadi lubuk pahala, malah ia baik untuk kesihatan. Foto: Pexels

2.Rasulullah banyak berpuasa.

Selain itu, baginda SAW konsisten berpuasa pada setiap minggu. Antara amalan baginda ialah berpuasa pada setiap Isnin dan Khamis.

Rasulullah SAW turut berpuasa pada hari ‘Ayyamul Bidh’ atau hari-hari putih iaitu pada 13,14 dan 15 pada setiap bulan Hijriah di samping puasa lain seperti puasa Hari ‘Arafah (9 Zulhijah) dan lain-lain.

Selain menjadi satu bentuk ibadah untuk mendekatkan diri kepada TUHAN, puasa juga mempunyai faedah-faedah tertentu dari sudut kesihatan tubuh badan.

Perkara ini diakui sendiri oleh para saintis dan pakar kesihatan sendiri yang mengatakan bahawa amalan berpuasa dapat membersihkan toksin yang terdapat di dalam tubuh seseorang.

Baca juga Rupanya Ada Banyak Kelebihan Apabila Kita Berpuasa Sunat Isnin Dan Khamis

3.Senaman Rasulullah melalui solat.

Yang ketiga, Nabi SAW juga dikenali sebagai seseorang yang sering bersolat malam dengan jangka waktu yang sangat lama.

Maka tidak hairanlah, seorang sahabat meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW solat sehingga bengkak-bengkak kakinya. Pastinya ini tidak dapat dilakukan melainkan baginda seorang yang sangat cergas dan sihat fizikal tubuh badannya.

Dari Mughirah bin Syu’bah RA katanya: “Nabi SAW pernah melakukan solat sampai bengkak kedua tumit beliau. Lalu beliau ditanya orang, “Mengapa engkau memaksa diri begini? Padahal ALLAH TAALA telah mengampuni segala dosa engkau, baik yang telah lalu dan yang kemudian.” Jawab Rasulullah SAW, “Tidak bolehkah aku menjadi seorang hamba ALLAH yang tahu bersyukur?” (Hadis Riwayat Muslim)

Seperti yang kita maklum, solat itu sendiri padat dengan senaman. Setiap pergerakan mempunyai kebaikan-kebaikan pada anggota tubuh badan, urat serta perjalanan darah kita.

Baca juga Rahsia kehebatan pergerakan solat di sebalik sains

rasulullah sihat

SIAPA sangka ada banyak kebaikan dari segi kesihatan pada pergerakan-pergerakan yang dilakukan ketika solat. Pexels

4.Rasulullah berdoa diberi kesihatan baik.

Tidak kurang juga, Rasulullah banyak mengamalkan doa dan tasbih tertentu dalam solat-solat baginda terutamanya dalam posisi rukuk dan sujud.

Antara doa yang sering dibaca oleh Rasullah SAW dalam rukuk ialah:

اللَّهُمَّ لَكَ رَكَعْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَلَكَ أَسْلَمْتُ خَشَعَ لَكَ سَمْعِي وَبَصَرِي وَمُخِّي وَعَظْمِي وَعَصَبِي

Ertinya: “Ya ALLAH kepada-MU aku rukuk, kepada-MU aku beriman, kepada-MU aku berserah diri, khusyukkanlah pendengaranku, penglihatanku, otakku, tulangku, dan urat-uratku telah tunduk kepada-Mu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Baca juga Jangan abaikan 10 adab ini supaya doa dimakbulkan ALLAH SWT

JANGAN lupa juga memohon kepada ALLAH SWT untuk dikurniakan kesihatan yang baik kerana tiada yang mampu mengabulkan doa melainkan DIA.

Sementara doa yang dibaca Rasulullah SAW dalam sujudnya ialah:

اللَّهُمَّ لَكَ سَجَدْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَلَكَ أَسْلَمْتُ سَجَدَ وَجْهِي لِلَّذِي خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ تَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ

Ertinya: “Ya ALLAH, hanya untuk-MU aku melakukan sujud, hanya kepada-MU aku beriman, dan hanya kepada-MU aku berserah diri. wajah ku bersujud kepada ZAT yang telah menciptakan dan membentuknya, serta yang telah membelahkan pendengaran serta penglihatannya, MAHA TINGGI ALLAH SEBAIK-BAIK PENCIPTA.” (Hadis Riwayat Muslim)

Doa-doa berikut disebutkan oleh Imam Nawawi dalam kitabnya Raudhah al-Talibin sebagai doa yang paling afdal diamalkan dalam amalan rukuk dan sujud solat kita menurut mazhab Syafie.

Baca juga Elakkan lipat pakaian ketika tunaikan solat, ini sebab-sebabnya

Maka jelas di sini, rahsia kesihatan dan kecergasan fizikal Rasulullah SAW tidaklah datang secara kebetulan, tetapi ia diusahakan oleh baginda melalui gaya pemakanan, ibadah puasa, solat serta doa sehingga dijadikan amalan gaya hidup sihat.

Sebagai umatnya, pastinya kita ingin mengikuti segala ajaran Rasulullah SAW sebagai bukti kecintaan terhadap baginda.

Rasulullah SAW memenuhi imej lelaki maskulin, sihat dan cergas

Sumber: Blog PERGAS

Foto: Google, Pexels & Unsplash