Browsing Tag

gaji

Bekerja
Isu,

Bukan semata-mata dapatkan gaji, ketahui konsep sebenar bekerja dalam Islam

RAMAI yang bekerja sekadar untuk memperoleh duit bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Hakikatnya, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, Ustazah Nurzahidah Jaapar berkata, konsep bekerja dalam Islam bukan satu-satunya misi untuk mendapatkan wang.

Bagaimanapun, katanya, ia lebih penting daripada ibadah yang melampaui batas melalui usaha fizikal dan mental yang mendatangkan manfaat.

Baca juga Abaikan amanah dilabel munafik dan tidak sempurna iman

Ketika bekerja, katanya, umat Islam perlu memelihara nilai-nilai dan hukum-hakam ALLAH SWT seperti mengambil tahu status halal dan haram dalam aktiviti tugasan tersebut.

“Selain itu, setiap individu perlu menetapkan niat bekerja untuk meraih keredaan ALLAH SWT. Ini kerana DIA mewajibkan hamba-NYA melakukan pekerjaan untuk membantu kelangsungan ekonomi isi rumah bagi memudahkan ketaatan kepada-NYA dan menjalankan fungsi khalifah bagi memajukan tamadun manusia sebagaimana dinyatakan dalam ayat 10, Surah al-Jumu’ah.

USTAZAH NURZAHIDAH

“Apabila seseorang Muslim dapat menghayati konsep bekerja sebagai salah satu jihad dan ibadah, mudah baginya menerapkan nilai amanah sekali gus dapat memupuk budaya kerja yang baik dan cemerlang,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Baca juga Peroleh keberkatan dalam bekerja, amalkan 10 adab ini

Bukan sekadar mengeluarkan tenaga dan buah fi kiran, ahli akademik itu menjelaskan, setiap insan juga perlu memenuhi etika ketika bekerja.

“Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya‘Ulum al-Din berpendapat, salah satu penanda aras pematuhan etika bekerja adalah sifat amanah yang dilaksanakan setiap individu kerana ia merupakan kewajipan dalam agama dan mencerminkan ketakwaan setiap Muslim,” jelasnya.

Tidak sekadar melepaskan batuk di tangga

Ustazah Nurzahidah melanjutkan perkongsian ilmunya. Butir bicaranya menyentuh tentang soal

integriti dalam pekerjaan yang sangat ditekankan dalam agama Islam.

Bekerja

JANGAN suka menagguhkan kerja mahupun bersikap sambil lewa dalam menyiapkan suatu tugasan. -FOTO: PEXELS

Dalam melaksanakan suatu tugasan, jelas beliau, ia tidak hanya menyudahkan tuntutan berkenaan semata-mata, sebaliknya setiap individu perlu mematuhi peraturan, dasar dan polisi yang ditetapkan oleh setiap jabatan, organisasi mahupun syarikat.

“Sekiranya terdapat individu yang melakukan kecuaian atau mendatangkan bahaya kepada organisasi, mereka boleh dikenakan tindakan tatakelakuan dan hukuman denda bagi memastikan amanah yang dipertanggungjawabkan dalam sesebuah pekerjaan dapat dilaksanakan.

“Usaha itu akan dapat membantu amalan budaya cemerlang dan sesetengah individu tersebut boleh diberikan peluang untuk memperbaiki prestasi mereka,” katanya.

Baca juga Tak boleh tipu resume untuk dapat kerja, jawatan tertentu

Kepada satu soalan, pensyarah itu menjawab: “Setiap individu perlu menanamkan sifat itqan iaitu bersungguh-sungguh dengan tugasan yang diamanahkan dan tidak melakukan kerja sambil lewa atau bertangguh-tangguh. Bahkan, ia perlu dilunaskan dengan sebaik mungkin.

“Dari perspektif agama, setiap pekerjaan itu diukur dengan menyempurnakan atau melaksanakan satu tuntutan daripada seseorang sebagaimana yang dikehendaki oleh orang tersebut tanpa kurang sedikit pun agar tidak terlewat daripada waktu yang ditetapkan.”

Bekerja

JIKA diberikan amanah, tunaikanlah kepercayaan yang diberikan dengan sebaiknya. -FOTO: PEXELS

Lantaran itu, Ustazah Nurzahidah mengajak umat Islam supaya menjadikan hadis dinyatakan sebagai renungan bagi memotivasikan diri melakukan yang terbaik ketika menyempurnakan pekerjaan.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya ALLAH ‘Azza Wa Jal kasih apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan hendaklah buat secara tekun.” (Hadis Riwayat at-Tabarani)

Baca juga Antara pekerjaan terbaik menurut Rasulullah SAW

ANEKDOT

Konsep amanah menurut hadis

1. Sifat amanah lenyap bermuladengan hilangnya rasa malu.

Orang yang tidak amanah ialah mereka yang tidak ada sifat malu dalam diri dan mampu melakukan larangan ALLAH. Hakikatnya, sifat malu itulah yang berperanan memandu manusia ke jalan kebenaran.

2. Unsur fitnah dalam amanah.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya akan datang kepada

manusia tahun-tahun penipuan, di dalamnya orang yang berdusta dipercaya sedangkan orang yang jujur didustakan, orang yang berkhianat diberi amanah sedangkan orang yang amanah dikhianati, dan di dalamnya juga terdapat ar-Ruwaibidlah”. Ditanya: “Apa itu ar-Ruwaibidlah wahai Rasulullah?” Baginda SAW bersabda: “Iaitu orang bodoh yang berbicara (memberi fatwa) dalam urusan manusia.” (Musnad Ahmad)

Hadis tersebut menyatakan, jika amanah diberikan kepada yang tidak layak, ia boleh mendatangkan fitnah. Oleh yang demikian, tanggungjawab itu hanya dapat dipikul oleh seseorang yang berkelayakan.

Bekerja

FLEKSIBILITI pelaksanaan bekerja dari rumah perlu ada dengan meraikan tugasan lain di rumah seperti membantu anak-anak dalam pembelajaran termasuk mengurus rumah tangga, tetapi pada masa sama tidak mengabaikan amanah pekerjaan diberikan. -FOTO: 123RF

3. Menunaikan amanah sebagai penghapus dosa.

Rasulullah SAW bersabda: “Solat lima waktu, jumaat ke jumaat berikutnya dan menunaikan amanah adalah penghapus dosa.” Ketika ditanya apa yang dimaksudkan dengan menunaikan amanah, baginda SAW bersabda: “Mandi janabah, sesungguhnya di bawah setiap rambut itu terdapat janabah.” (Hadis Riwayat Ibn Majah)

Berdasarkan riwayat itu, amanah tidak hanya berkisar tentang harta dan pemerintahan. Malah, ia juga terdapat dalam diri setiap manusia iaitu mandi janabah.

Baca juga 5 cara ALLAH SWT menghapuskan dosa hamba-NYA. Cara yang kelima sangat sukar dilalui manusia, namun besar ganjaran menanti

ALLAH SWT mengajar manusia supaya bertanggungjawab atas diri sendiri dengan menjaga kewajiban iaitu mandi janabah yang tidak diketahui sesiapa, namun ia perlu dilaksanakan dengan jujur terhadap diri sendiri.

4. Tetap tunaikan amanah walaupun dikhianati.

Dalam sebuah hadis riwayat Imam Abu Daud, Rasulullah SAW pernah bersabda agar menunaikan amanah kepada orang yang mempercayai diri dan tidak boleh mengingkari orang yang mengkhianati kita.

5. Sifat yang membezakan antara orang mukmin dan munafik.

Lawan kepada amanah adalah khianat dan ia adalah antara sifat orang munafik.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus

Sumber http://conference.kuis.edu.my/irsyad/images/eproceeding/2017/1045.pdf

***Foto: Freepik