Browsing Tag

enggan bayar kos perkhidmatan keselamatan

Kos perkhidmatan keselamatan
Berita Semasa,

Enggan bayar kos perkhidmatan keselamatan atau penyelenggaraan rumah, ketahui pandangan agama dalam hal ini

YURAN perkhidmatan keselamatan dan kos penyelenggaraan menjadi antara perkara ‘wajib’ dibayar oleh mereka yang mendiami suatu kawasan perumahan.

Malah, caj tersebut juga dikenakan kepada mereka yang duduk di rumah berstrata seperti apartmen dan kondominium. Lazimnya pemilik rumah akan menandatangi suatu dokumen berkaitan hal itu sebelum kunci rumah diserahkan.

Lebih-lebih lagi lokasi panas yang memerlukan khidmat pengawal keselamatan untuk membuat rondaan dan mengawal ketat keluar masuk kenderaan ke dalam taman perumahan tersebut.

Bagi penyewa, caj berkenaan dibayar oleh tuan rumah yang mana jumlah kos tersebut sudah dimasukkan sekali dalam kediaman yang disewanya.

Namun begitu, adakalanya segelintir orang memandang remeh tentang yuran berkenaan sehinggakan sanggup membiarkannya dan tidak membayarnya selama berbulan-bulan sehingga ada yang memakan tahun!

“Saya tak duduk situ, buat apa nak bayar yuran perkhidmatan keselamatan?”

Itu antara alasan klise diberikan apabila perkara tersebut dibangkitkan. Walhal, individu berkenaan adalah membeli rumah di kawasan tersebut.

Kos perkhidmatan keselamatan

JANGAN jadikan ‘tak duduk di situ’ sebagai alasan untuk tidak membayar kos perkhidmatan keselamatan. -FOTO: CANVA

Memetik portal Soal Jawab Agama Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, apabila seseorang menandatangani suatu perjanjian sewaktu pembelian rumah, maka ini bermakna dirinya telah bersetuju dengan syarat yang telah ditetapkan oleh pemaju.

“Sementelah, syarat-syarat yang ditetapkan pula adalah untuk menjamin keselamatan semua penduduk yang terlibat dalam kejiranan tersebut.

“Maka, menjadi satu kemestian untuk memenuhi segala prasyarat yang telah dipersetujui bersama,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel berkenaan.

Meskipun kita tidak duduk di rumah berkenaan, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang mengingatkan, aset tersebut tetap berada dalam kawasan kejiranan tersebut.

“Perkara ini sudah cukup membuktikan bahawa kita merupakan sebahagian daripada komuniti taman tersebut.

“Malah, kita sepatutnya bersyukur kerana penduduk di kejiranan itu amat mengambil berat tentang isu keselamatan penduduk dan harta benda para penduduk yang berada di situ,” katanya.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Nafi’ bin Abdul Harith, daripada Nabi Muhammad SAW, baginda bersabda: “Antara (tanda) kebahagiaan seseorang ialah rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan tunggangan yang selamat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Kos perkhidmatan keselamatan

APABILA seseorang menandatangani suatu perjanjian sewaktu pembelian rumah, maka ini bermakna dirinya telah bersetuju dengan syarat yang telah ditetapkan oleh pemaju dan wajib memenuhi syarat yang telah dipersetujui bersama. -FOTO: CANVA

Berdasarkan riwayat itu, menjadi satu keperluan dan tanggungjawab berjiran untuk kita berganding bahu, saling membantu bagi meringankan beban dan menjamin keharmonian kejiranan tersebut dengan menyertai usaha-usaha yang telah dilakukan oleh jawatan kuasa taman.

Justeru, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang berpandangan, yuran yang ditetapkan oleh pihak jawatan kuasa taman perumahan itu merupakan suatu kewajipan yang perlu ditunaikan sebagai salah satu usaha mengurus dan menjaga kemaslahatan para penduduk.

Baca juga Jangan pandang remeh prinsip hidup berjiran

“Maka, jumlah bayaran yang dipersetujui oleh ahli jawatan kuasa yang dilantik mewakili para penduduk, ia perlu dibayar. Ini kerana setiap anggota yang tinggal dalam kejiranan tersebut akan mendapat manfaatnya dari sudut keselamatan diri dan harta benda yang ada di situ.

“Malah, ia boleh dikira sebagai hutang jika yuran itu tidak dijelaskan,” katanya.

Bahkan, perkara itu selari dengan salah satu teras maqasid syariah iaitu hifz al-mal (memelihara harta).

“Andai berlakunya sesuatu kemudaratan seperti kecurian, pencerobohan dan lain-lain, maka menjadi suatu kewajipan untuk menghilangkan kemudaratan tersebut. 

Kos perkhidmatan keselamatan

APABILA berlakunya sesuatu kemudaratan seperti kecurian, pencerobohan dan lain-lain, maka menjadi suatu kewajipan untuk menghilangkan kemudaratan tersebut. -FOTO: FREEPIK

“Oleh yang demikian, menjadi satu kesalahan dan dianggap berdosa apabila kita tidak berusaha untuk mencegah dan menutup jalan-jalan kemudaratan yang akan mengakibatkan kemudaratan berlaku kepada harta benda kita ataupun orang lain,” kata jabatan mufti berkenaan.

Seperkara lagi, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang mengingatkan bahawa memenuhi janji merupakan penanda aras keimanan seseorang kerana hukumnya adalah wajib.

“Mengingkari janji adalah berdosa besar dan pelakunya dianggap sebagai munafik dan tidak boleh dipercayai,” katanya.

Baca juga Orang berhutang cenderung berbohong dan tak tepati janji? Rasulullah SAW pernah beri peringatan tentang hal ini

Justeru, jangan culas untuk membayar kos perkhidmatan keselamatan atau caj berkaitan penyelenggaran kediaman masing-masing jika kita duduk di sesebuah kawasan perumahan tertentu. Ia akan dianggap hutang jika kita tidak membayarnya!

***Foto: Canva