Browsing Tag

Durioo+

Durioo+
Berita Semasa,

Durioo+ bakal anjur Festival Marhaban Ya Ramadan

BERSEMPENA bulan Ramadan tidak lama lagi, Durioo Plus (Durioo+), platform penstriman kartun buat kanak-kanak Muslim bakal melancarkan lagu Marhaban Ya Ramadan esok (1 Mac 2023).

Pengasasnya, Sinan Ismail berkata, ia bagi memberi kesedaran kepada si cilik tentang keberkatan bulan berkenaan.

“Kanak-kanak biasa (dengan lagu untuk) sambut hari raya saja, tetapi sebenarnya Ramadan itulah yang barakah.

“Jadi kami akan perkenalkan lagu ini dan umumkan penyanyinya ketika pelancarannya pada 1 Mac,” katanya ketika ditemui selepas majlis Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) di sebuah hotel di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, Sinan yang juga pengasas animasi Didi & Friends dan Omar & Hana itu berkata, pihaknya juga bakal mengadakan Festival Marhaban Ya Ramadan di IOI City Mall Putrajaya pada 18 dan 19 Mac ini.

Durioo+

WATAK Alif dan Anis dalam siri animasi Alif & Anis yang baru diperkenalkan Durioo+ pada 15 Februari lalu. -Foto: Facebook Durioo+

Festival kanak-kanak Muslim itu sebagai persiapan bagi kelompok berkenaan meraikan Ramadan dan menyayangi bulan mulia itu, terangnya.

“Ia bukan sahaja meraikan para pelanggan Durioo+, tetapi juga merapatkan hubungan silaturahim antara keluarga dan menyemai akhlak yang baik,” katanya.

Selain kandungan baharu untuk bulan Ramadan, Sinan berkata, pada tahun ini juga, pihaknya merancang untuk menambah lagi konten Islamik baharu dan dalam bahasa Malaysia.

“Pada masa sama, kami merancang untuk meluaskan pasaran penstriman Durioo+ ke luar negara seperti di Amerika Syarikat dan United Kingdom,” katanya yang kini mempunyai 22,000 pelanggan dengan 99 peratus daripada mereka terdiri daripada pasaran Malaysia.

Durioo+

SINAN (kanan) ketika menerima Anugerah Rangkaian Edutainment Islamik 2023 pada anugerah BISA yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin pada minggu lalu.

Sinan yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Rangkaian Edutainment Islamik 2023 dalam anugerah BISA baru-baru ini melahirkan rasa syukur atas pengiktirafan tersebut.

Baca juga Enam anugerah bernuansakan Islam ungguli anugerah BISA

“Apa yang kita lakukan untuk menghasilkan karya-karya bagi kanak-kanak adalah jalan yang betul. Ia bukan suatu perkara mudah dan anugerah ini membuatkan nama Durioo+ dikenali.

“Paling penting, ia memberi impak kepada anak-anak dan ibu bapa untuk membina ummah yang beriman, berakhlak serta berilmu. Semoga pengiktirafan ini menjadi pemangkin kami untuk terus berkarya dan ALLAH SWT mempermudahkan urusan kami di landasan yang betul,” ungkapnya.

Durioo+ ditawarkan pada harga langganan RM12.90 sebulan dan RM149.90 setahun.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.