Browsing Tag

Dr soberi

Ustaz Dr. Soberi Awang
Berita Semasa,

Menghadap ilahi ketika beri kuliah subuh, ini coretan sahabat lama Ustaz Dr Soberi Awang

PENSYARAH kanan di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ustaz Dr Soberi Awang meninggal dunia ketika menyampaikan kuliah Subuh pagi Ahad di Surau Al-Ittihadiyah, Seksyen 9, Shah Alam.

Allahyarham membawa tajuk hari kiamat dan beliau sempat mengupas bahawa bumi ini sudah terlalu uzur dan perjalanan kita sesudah mati pun masih terlalu jauh untuk menunggu padang mahsyar nanti.

Di penghujung kuliah beliau yang terhenti selepas 20 minit, beliau sempat meminta maaf kerana sakit dada sudah lima hari (sambil menekan dadanya) dan sempat meneguk air.

Kalimah terakhir beliau ialah “ALLAH subhanahu wa ta’ala...”, sebelum tidak sedarkan diri dan menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Berpendidikan B.A (Syariah) dari Universiti Al-Azhar dan M.A Universiti Yarmouk, beliau menyiapkan tesis PhD beliau di UKM pada tahun 2016 di bawah selian Dato’ Dr Mohamad Sabri Haron (kini Mufti Terengganu) dengan tajuk “Pengislahan dan Pengembangan Asnaf Zakat Masa Kini – Kajian Kes di Negeri Terengganu”.

PEMERGIAN yang dicemburui, Pensyarah USIM Dr Mohd Soberi Awang meninggal dunia semasa menyampaikan kuliah Subuh.

Coretan cerita sahabat lama

Ramai agamawan yang mengenali Allahyarham dan menzahirkan rasa sedih dengan pemergian beliau.

Antaranya sahabat lama Allahyarham, Mantan Menteri Agama, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang telah mengenali sosok tubuh Dr. Soberi ini sejak tahun 1990-an.

Ujarnya, ayat al-Quran terakhir yang dilafazkannya sebelum meninggal dunia semasa menyampaikan Kuliah Subuh adalah:

وَبَرَزُوا لِلَّهِ الْوَاحِدِ الْقَهَّارِ
Maksudnya: “…dan mereka semuanya (di padang Mahsyar) berkumpul menghadap ke hadrat ALLAH YANG MAHA ESA lagi MAHA PERKASA. (Surah Ibrahim ayat 48)

“Dengan bentuk kematian yang berlaku, saya dengan sangkaan baik yang tinggi menganggap ia adalah petanda Almarhum meninggal dunia dalam husnul khatimah.

Artikel Berkaitan 

Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda “Apabila ALLAH SWT menghendaki kebaikan bagi hamba-NYA, maka ALLAH memberinya ‘asal. Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apa maksud ‘asal dari-NYA?” Baginda bersabda, “ALLAH berikan taufiq untuk beramal soleh, kemudian ALLAH cabut nyawanya dalam keadaan itu (husnul khatimah).”

“Ketika saya melanjutkan pengajian Sarjana di Damsyik, Syria lagi saya mengenali beliau sebagai anak muda yang sentiasa bersemangat dalam dakwah, dan mempunyai tahap keilmuan yang tinggi.

“Hubungan kami bertambah rapat apabila beliau menjadi pensyarah di kolej UNITI, Pasir Panjang, Port Dickson, bersama-sama saya.

DR Zulkifli ketika menziarahi keluarga dan jenazah almarhum di Hospital Shah Alam.

“Masih jelas di ingatan usaha saya, bersama-sama beliau dan juga al-Fadhil Ustaz Muhammad Nafis bin Berhan berhempas pulas memperjuangkan penubuhan program Diploma Pengajian Islam bagi Kolej UNITI. Alhamdulillah, ia kekal sehingga ke hari ini.

“Persahabatan kami diteruskan lagi apabila kami berdua berpindah dan meneruskan kerjaya di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Beliau kekal di sana dan saya meletakkan jawatan untuk berkhidmat sebagai Mufti Wilayah Persekutuan.

“Seingat saya, pernah beliau hadir bersama-sama Prof. Dr. Aznan Hassan mewakili Majlis Ulama ISMA bertemu saya semasa saya masih menjawat jawatan Mufti.

Baca Juga “Jangan bangga nikmat dunia, kematian menjemput anytime, anyway”- Ebit Lew nasihat jangan lalai

Turut Disyorkan Prof Kamal Hassan dalam kenangan

“Saya menjadi saksi bahawa beliau adalah seorang yang gigih dalam usaha dakwah kepada masyarakat serta amat mendalam ilmunya khususnya ekonomi Islam.

“Sesungguhnya, kita adalah milik ALLAH dan kepada-NYA kita kembali.

“Mewakili Ahli Lembaga Pengarah Universiti dan seluruh warga USIM, saya menzahirkan ucapan takziah dan berdoa kepada ALLAH, semogA ALLAH menempatkannya bersama dengan para anbiya’, siddiqin, syuhada’ dan solihin,” kongsinya menerusi satu hantaran di laman media sosial.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ
Maksudnya: “Ya ALLAH, ampunlah dosanya, limpahkan rahmat kepadanya, selamatkan dia dan ampunkan kesalahannya.