Browsing Tag

Dr Fauzi Deraman

Dr Fauzi Deraman
Personaliti,

‘Jadi pendakwah, besar cabaran, besar juga ganjaran menanti’ – Dr Fauzi Deraman

NAMA Dr Fauzi Deraman barangkali agak asing bagi segelintir orang lebih-lebih lagi anak muda generasi sekarang. Sementelahan pula, kelibatnya dalam dunia dakwah tidak serancak dulu.

Bagi mereka yang mengikuti program-program ilmu menerusi kaca televisyen mahupun corong radio sekitar era 1990-an pasti mengenali susuk pendakwah tersohor berkenaan.

Sebut sahajalah mana-mana rancangan kerohanian di televisyen, kelibatnya sering diundang sebagai panel. Bicaranya tentang agama dan persoalan berkaitan hadis begitu jelas serta tuntas.

Tidak hairanlah mengapa mantan Ketua Jabatan al-Quran dan Hadis, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) itu menjadi pakar rujuk ramai. Ia termasuklah daripada pihak autoriti agama dan menerima undangan di luar negara.

Penulis pada asalnya menemu bual tokoh ilmuan hadis tersohor itu untuk memenuhi satu kolum dalam Sinar Islam Plus. Namun, pertemuan yang diatur di rumahnya di Taman Batu Muda, Kuala Lumpur baru-baru ini menarik perhatian penulis untuk mendekatinya dan menyelongkar sisi kehidupannya.

Dr Fauzi Deraman

DR FAUZI DERAMAN -Foto: MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

Ujar Dr Fauzi, 69, dirinya tidak pernah bermimpi untuk menjadi seorang ustaz walaupun bapanya bergelar bilal. Mungkin sudah tertulis anak kelahiran Machang, Kelantan itu bergelar pendakwah lantaran kehidupannya yang banyak dilorongkan ke arah bidang tersebut sejak kecil lagi.

“Selepas habis belajar Darjah 6 di sekolah rendah, saya terus ke sekolah Arab dan masuk balik Darjah 1. Sistem pendidikan agama di Kelantan ketika itu memang begitu.

Baca juga Buat kebaikan tak semestinya dengan sesuatu yang ‘grand’

“Bila saya masuk Darjah 5, barulah ada ‘sistem tingkatan’ selepas Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan aplikasikan sistem pendidikan Pusat. Jadi saya mula-mula rasa tingkatan itu pada Tingkatan 4, kemudian masuk Tingkatan 5.

“Sebab itu saya tidak pernah ambil SRP (Sijil Rendah Pelajaran) apalagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Oleh sebab itu, saya tak boleh masuk Tingkatan 6. Selepas tamat Tingkatan 5, saluran yang ada ketika itu adalah ke Nilam Puri (Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya) yang bertaraf ijazah, dalam Fakulti Syariah. Jadi, saya tak mimpilah hendak jadi ustaz,” selorohnya sambil tertawa.

Jadi khatib pada usia muda

Hampir dua jam kami berbual, penulis melihat butir bicara Naib Yang Dipertua 1 Persatuan Ulama Malaysia itu sentiasa disulami dengan ungkapan sabda Rasulullah SAW.

Sesungguhnya, memang cocok benarlah bait-bait untaian katanya dengan ilmu hadis yang dimiliki.

Sesi temu bual kami semakin rancak apabila Dr Fauzi mendedahkan, beliau pernah bergelar khatib di Masjid Mukim Labok (Masjid Haji Noh), Machang ketika usianya baru mencecah 19 tahun.

Dr Fauzi Deraman

DR FAUZI pernah menjadi khatib pada usia yang sangat muda iaitu 19 tahun. -Foto: MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

“Setiap kali saya balik kampung, pada hari Jumaat, giliran saya untuk pegang tongkat. Memandangkan imam di masjid itu pun saudara saya, dia bagi peluang saya ‘naik’,” ungkapnya.

Membuktikan dirinya tidak main-main dalam bidang itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Al-Mannar Malaysia tersebut kemudian melanjutkan pengajian Sarjana Muda Usuluddin (Hadis) di Universiti Islam Imam Muhammad Ibn Soud, Riyadh, Arab Saudi dan menamatkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pengajian Islam di Universiti Malaya (UM).

Beliau yang memulakan perkhidmatannya sebagai pensyarah di Fakulti Usuluddin, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya pada 1986 tetap setia bersama institusi berkenaan sehingga bersara pada tahun 2016 sebagai Prof Madya di Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith di akademi yang sama.

Jika dihitung, ujar Dr Fauzi, hampir lima dekad usianya mengabdikan diri dalam bidang dakwah.

Baca juga Demi sebar dakwah, ustazah Asma’ Harun gigih dapatkan tauliah setiap negeri

Sudah tentu banyak cabaran yang direntas dan pengalaman ditimbanya sepanjang tempoh berkenaan.

‘Jangan ingat kita sentiasa betul’

Jelas beliau, bergelar pendakwah yang sememangnya ada kekurangan, perlu sentiasa banyak bermuhasabah diri serta belajar daripada kesilapan lalu.

“Jangan ingat kita sentiasa betul. Bukan itu sahaja, kami perlu menguasai kemahiran lantaran audiens yang berbeza setiap kali memberi kuliah agama. Ada orang terpelajar, profesor universiti, orang kampung dan sebagainya. Pendek kata, ketika hendak sampaikan input, kita kena mengikut tahap mereka.

“Itu jugalah yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW. Jadi kita kena ‘layanlah’ semuanya,” ujarnya.

Dr Fauzi Deraman

KENANGAN manis…Dr Fauzi menunjukkan sijil pencapaian tertinggi diperolehnya menerusi Tokoh Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 2020. -Foto: MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

Akui beliau, bukan semua orang menyukai kita. Tidak kurang juga individu yang melabel macam-macam. Bagi dirinya, beliau enggan mengambil pusing tentangnya.

“Yang penting, jangan cari musuh, tetapi perbanyakkan kawan, itu kaedahnya. Begitulah rencam dalam dunia dakwah,” tuturnya. Kepada satu soalan, Dr Fauzi menjawab: “Dalam era digital kini, pendakwah seperti saya perlu menambah baik lagi dari aspek kemahiran.

“Dulu mungkin kita berceramah secara verbal, tetapi kini dengan adanya pelbagai platform online, kita perlu cakna kerana ia sangat penting dan ramai pengguna.

“Rugilah kalau kita sebagai pendakwah tidak tahu, sedangkan masyarakat adalah khalayak kita dalam berdakwah.”

Berikan hak kepada yang berhak

Bukan sahaja penulis, rasanya ramai mengagumi kerja pendakwah yang mempunyai rutin jadual padat. Malah, mereka juga dilihat tidak kenal erti penat dan lelah serta kadangkala terpaksa meninggalkan keluarga demi tugas penting pada agama Islam.

Ketika ditebak soalan tersebut, ini respons Dr Fauzi Deraman: “Itu biasa. Masa mengajar di universiti (UM) dulu, selain program biasa, kadang-kadang ada jemputan di pejabat-pejabat kerajaan. Jadi agak berlari-lari untuk ke kuliah di universiti dan pejabat untuk kuliah Zuhur.

Baca juga Hati-hati ketika berdakwah, jangan sampai merosakkan pahala

“Kemudian balik kerja, sambung pula kuliah Maghrib dan Isyak di masjid. Paling banyak dalam tiga kali sehari kuliah. Cuma pada hari minggu, dijemput pula untuk kuliah Subuh,” ceritanya mengimbas kisah lalu.

Malahan selepas pencen sejak tujuh tahun lalu, rutin harian Dr Fauzi tidak banyak berubah. Beliau masih lagi menerima undangan kuliah terutama pada waktu malam di masjid berhampiran kediamannya.

Sempat juga penulis tanyakan rahsia Dr Fauzi untuk menjaga diri supaya kekal bertenaga sepanjang hari.

“Kena jaga makan dan minum. Paling penting, makan berpada-pada.

“Sebenarnya, peranan keluarga sangat penting, masing-masing kena faham termasuk pasangan dan anak-anak. Kalau saya tak larat (beri kuliah), saya mohon ditangguhkan,” katanya.

Dr Fauzi Deraman


DR FAUZI (duduk, dua dari kiri) bersama rakan seperjuangannya merakam kenangan bersama.

Pada masa sama, Dr Fauzi tidak melupakan sembilan anaknya dengan meluangkan masa bersama keluarga serta bertanya perkembangan dan keperluan mereka.

“Kena layanlah anak-anak. Ambil masa hujung minggu, pergi ke mana-mana luangkan masa bersama.

“Begitulah konsepnya dalam Islam. Ketahuilah, ahli keluarga, anak, badan kita dan lain-lain ada hak. Jadi semua yang berhak itu, kena beri haknya,” ungkapnya.

Aktif berkarya

Pencapaiannya dalam lapangan dakwah bukan calang-calang. Portfolio Dr Fauzi bukan setakat sebagai pernah bergelar pensyarah dan pendakwah sahaja.

Beliau juga dikenali sebagai penulis buku agama. Banyak hasil nukilannya melibatkan kitab-kitab hadis dan terjemahan.

Malah, sepanjang separuh abad usianya dalam lapangan dakwah, beliau telah menulis sebanyak 25 naskhah termasuk karya terjemahan.

Beliau juga banyak menghasilkan jurnal akademik, selain menulis dalam majalah-majalah Islamik dan terlibat dalam seminar serta kursus.

Darjah kemasyhurannya boleh diukur apabila Dr Fauzi dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 2020.

Baca juga Belasungkawa Dr Yusuf Al Qaradhawi (tokoh pemimpin ulung Islam)

“Rasa seronok bila orang pilih jadi penerima anugerah. Itulah momen manis saya. Dalam bidang dakwah ini, apabila orang boleh terima kita, sudah tentulah kita gembira,” ungkapnya.

Bagaimana pula dengan kenangan pahit dalam industri itu? Jawab agamawan tersebut, terdapat satu insiden yang tidak dapat dilupakan sehingga kini.

“Ada orang membaling sesuatu ke atas bumbung ketika beliau sedang berceramah agama di suatu tempat di hulu Kelantan. “Pada masa itu, saya masih muda lagi dan sedang sambung pengajian dalam ijazah sarjana. Mungkin ada berlaku salah faham ketika itu, tetapi mujurlah ia tidak kecoh mahupun berlaku perkara tidak diingini,” tuturnya.

Usah kejar populariti

Tatkala berbual tentang tugas penceramah, kata Dr Fauzi, seorang pendakwah perlu memahami bahawa dirinya seorang da’i dan ikhlaskan diri dalam kerja dilakukan.

Dr Fauzi Deraman

SETELAH bersara sebagai Profesor Madya di Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam UM pada 2016, fokus Dr Fauzi Deraman lebih terarah kepada penulisan dan kuliah rutin di masjid, di samping aktiviti amal Pertubuhan Kebajikan Al-Mannar Malaysia yang dikendalikannya. -Foto: MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

Sebaiknya, abaikan niat-niat lain termasuk mencari populariti, nasihatnya.

“Saya selalu berpegang kepada pesanan Hassan al-Banna iaitu ‘Koreksilah diri kamu, ajaklah orang lain’. Usah pula kita mengajak orang lain, tetapi diri sendiri tidak melakukan pembetulan diri.

“Satu lagi, kena tambah ilmu. Ingatlah bahawa pembelajaran tidak pernah habis sampai kita menutup mata. Malah, kita sebenarnya tidak banyak ilmu, ALLAH SWT hanya beri sedikit saja. Justeru, jangan lokek untuk menambah pengetahuan dan berkongsi dengan orang lain,” titipnya buat dirinya dan rakan seperjuangannya.

Tidak lengkap rasanya jika tiada soalan semasa berkaitan bidang hadis. Penulis mengambil kesempatan itu bertanyakan tentang polemik terbaharu bahawa ada pihak mempertikaikan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi untuk pelajar Islam di sekolah. Kebanyakan mereka adalah kelompok bukan Islam.

Agamawan tersebut mempunyai perspektifnya tersendiri. Jelas beliau, pepatah Arab ada menyebut, seseorang akan memusuhi apa yang mereka tidak kenal.

“Hadis sudah lama diajar sebagai sebahagian daripada subjek Pendidikan Islam, cuma bilangannya sahaja yang berbeza.

“Topik yang dibincangkan dalam Hadis 40 Imam Nawawi adalah perkara yang umum berkait dengan Islam itu sendiri. Mengapa mereka membantah? Semoga setelah mendapat penjelasan, isu ini dapat diselesaikan,” ungkapnya.

Menutup cerita tentang itu, sempat juga penulis bertanyakan jika ada antara anak-anaknya yang mewarisi minat yang sama dalam bidang dakwah.

“Ada seorang anak lelaki saya (anak kelima) sedang ambil ijazah sarjana dalam bidang dakwah, tetapi saya kurang pasti dia mahu mengikut jejak saya dalam bidang ini. Dia seorang yang pemalu,” ujar datuk kepada 12 orang cucu itu.

Sebelum mengakhiri bicaranya, tokoh ilmuan hadis itu menyimpan impian untuk mengemas kini media sosialnya dalam menyebarluaskan dakwah menerusi platform berkenaan.

Baca juga Pusaka ilmu ulama tersohor, Sheikh Dr Yusuf al-Qaradhawi

“Sekarang sudah ada hantaran berkaitan perkongsian mudah seperti satu hari, satu hadis. Namun, saya bercadang untuk tambah lagi supaya lebih panjang ulasan dan huraian hadis.

“Doakan supaya saya sihat dan berupaya berkarya serta berdakwah untuk ummah,” titipnya.

PROFIL

Dr Fauzi Deraman

DR FAUZI DERAMAN

Nama penuh: Dr Fauzi Deraman

Tarikh lahir: 18 Disember 1954

Tempat lahir: Machang, Kelantan

Pendidikan:

– Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang, Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (1977/78)

– Diploma Bahasa Arab, Pusat Bahasa Arab, Universiti Islam Imam Mohad bin Saud Riyadh, Arab Saudi (1980)

– Sarjana Usuluddin (Hadis), Universiti Islam Imam Muhammad Ibn Soud Riyadh, Arab Saudi (1985)

– Ijazah Doktor Falsafah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (1999)

Jawatan terkini:

– Naib Yang Dipertua 1 Persatuan Ulama Malaysia

– Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Al-Mannar Malaysia

– Ahli Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan (Januari 2020 – 2023)

– Panel Pentashih Jami al-Tirmizi, Bahagian Penerbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) (2012 – sekarang)

– Panel Penyemak Tafsir Pedoman Muttaqin, Bahagian Penerbitan Jakim (2008 – kini)

– Penasihat Darul Sunnah Malaysia, Janda Baik, Pahang (2014 – sekarang)

Karya masyhur: Glosari Hadith (penyusun bersama), Pengantar Ulum al-Hadith, Pengantar Ulum Tafsir (penulis bersama), Ulum al-Hadith & Pengajian Hadith di Malaysia

Pencapaian:

– Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Universiti Malaya (2010)

– Sijil Perkhidmatan Cemerlang Universiti Malaya

– Penerima Anugerah Maal Hijrah Wilayah Persekutuan 2020