Browsing Tag

doakan tuan rumah ketika beraya

Ziarah-menziarahi
Gaya Hidup,

Doakan tuan rumah ketika beraya, perkara ini yang sering diabaikan

Doakan tuan rumah ketika beraya, perkara ini yang sering diabaikan

KETIKA beraya di rumah orang, kita begitu asyik menjamah makanan dan minuman yang dihidangkan. Mulut pula tidak henti-henti berborak dengan tuan rumah.

Maklum sahajalah, Hari Raya Aidilfitri merupakan saat terbaik untuk berziarah dan bertanya khabar sanak saudara, kenalan dan jiran tetangga. Lebih-lebih lagi jika kita jarang bersemuka apalagi bertemu dengan mereka.

Sayangnya, apabila mahu meminta diri untuk pulang, tiada satu pun ungkapan doa yang dititipkan buat tuan rumah tadi.

Ya, memanglah mereka tidak mengharapkan apa-apa balasan pun. Bagaimanapun, bukankah lebih elok andai layanan baik yang diberikan mereka itu dibalas juga dengan kebaikan?

Alangkah baiknya jika kita mengiringi kepulangan tersebut dengan ucapan terima kasih dan mendoakan kebaikan buat tuan rumah.

Baca juga Bolehkah tuan rumah menolak tetamu yang datang ziarah lewat malam?

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menjelaskan, perkara itu pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika Baginda menziarahi seorang sahabat bernama Saidina Busr.

DR AHMAD SANUSI

Saidina Busr telah menjamu Rasulullah SAW dengan makanan. Ketika ingin pulang, Saidina Busr berkata: “Doakan kami wahai Rasulullah.”

Lalu Baginda SAW mendoakan mereka: اللهُمَّ بَارِكْ لَهُم فيما رَزَقتهْمْ، واغْفِر لهم وارحَمْهُم (Ya ALLAH, berkatilah mereka dengan rezeki yang ENGKAU berikan kepada mereka, ampunilah mereka dan rahmatilah mereka.) (Hadis Riwayat Muslim)

Ahli akademik itu menjelaskan, Sheikh Said al-Qahtani telah meletakkan satu topik khusus dalam kitab Hisnul Muslim tentang doa tetamu kepada tuan rumah yang memberi makan.

“Ia dinamakan sebagai ‘Doa tetamu kepada si pemberi makan’.

Baca juga Siapa sangka syurga dan neraka mampu mendoakan kita

“Malah, kaedah yang sama juga digunakan oleh al-Imam al-Darimi, al-Baihaqi dan Ibn Hibban yang mana mereka meletakkan topik yang hampir sama dengan lafaz berbeza,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman sosial Facebook miliknya.

Bukan itu sahaja, Dr Ahmad Sanusi menjelaskan, al-Imam al-Nawawi turut menyatakan keharusan buat tetamu berbuat demikian berdasarkan kepada hadis berkenaan.

Kata al-Imam al-Nawawi: “Hadis ini menunjukkan keharusan meminta doa daripada orang yang lebih baik daripada kita, begitu juga keharusan berdoa oleh tetamu agar (tuan rumah) diberikan keluasan rezeki, keampunan serta rahmat daripada ALLAH SWT.”

Doakan tuan rumah

PADA musim perayaan ini, sama-samalah kita mendoakan kebaikan terhadap tuan rumah yang telah menjamu kita makan. -Foto: 123rf

Meskipun hadis berkenaan secara umumnya tidak menampakkan sunnah khusus tentang doa tetamu buat tuan rumah, Dr Ahmad Sanusi menjelaskan, ia merupakan keharusan buat tetamu melakukan sedemikian.

Baca juga Elak lakukan 15 kesilapan ini ketika Hari Raya Aidilfitri

“Pada musim perayaan ini, sama-samalah kita mendoakan kebaikan terhadap mereka yang memberikan kita makan dengan lafaz yang pernah diucapkan oleh Rasulullah SAW,” pesannya.

Satu lagi doa yang boleh diucapkan untuk mendoakan kebaikan buat tuan rumah yang menjamu kita: اللهُمَّ، أَطْعِمْ مَنْ أَطْعَمَنِي، وَأَسْقِ مَنْ أَسْقَانِي (Ya ALLAH, berilah makan kepada mereka yang memberi kami makan dan berilah kami minum buat mereka yang memberi kami minum). (Hadis Riwayat Muslim)

Andai kita terlupa sebelum ini untuk mendoakan tuan rumah, selepas ini bolehlah kita praktikkan doa berkenaan. Semoga kita sama-sama beroleh kebaikan dan keberkatan sepanjang berhari raya.

Bahkan, doa tersebut juga boleh diamalkan bukan sahaja ketika Syawal, tetapi juga pada waktu-waktu lain ketika kita berkunjung ke rumah orang.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.