Browsing Tag

doa

Tunai umrah
Istimewa Panggilan Baitullah,

Sambut orang balik haji, antara sunnah yang dilupakan

ANTARA sunnah Rasulullah SAW yang jarang sekali dipraktikkan oleh masyarakat adalah perbuatan menyambut orang yang baru balik daripada melaksanakan ibadah haji.

Bermula semalam, jemaah haji Malaysia sudah mula beransur pulang ke tanah air setelah selesai mengerjakan Rukun Islam kelima itu di Arab Saudi.

Setelah berminggu-minggu lamanya berpisah, pastinya kepulangan ini dinantikan oleh sanak-saudara dan sahabat handai yang berada di Malaysia dengan penuh rasa syukur serta gembira.

sambut orang balik haji

DATUK BADLI SHAH ALAUDDIN

Bagi jemaah haji yang pulang ke tanah air, penceramah bebas, Ustaz Datuk Badli Shah Alauddin mengingatkan bahawa disunatkan singgah ke masjid terlebih dahulu untuk menunaikan solat sunat serta membaca doa sebelum menjejakkan kaki ke rumah.

Baca juga Jemaah haji Malaysia mula pulang ke tanah air

Sementara itu, kepada mereka yang bakal menyambut kepulangan jemaah haji pula, agamawan itu mengajak kita merenungkan kembali adab-adab pernah diajarkan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis:

Apabila kamu bertemu orang haji (yang baru pulang haji), maka bersalamlah dan berjabat tanganlah dengannya dan suruhlah dia berdoa memohon keampunan untuk dirimu sebelum dia masuk ke rumahnya, maka sesungguhnya dia itu telah mendapat keampunan ALLAH SWT (doanya dikabulkan).

Doa yang dibacakan seperti berikut: ‘Allahumagfir lilhajji Walimanistagfaralahulhaj’. Maksudnya, “Ya ALLAH berikanlah keampunan kepada orang yang mengerjakan haji dan kepada mereka yang dimohonkan ampun oleh orang yang haji.” (Hadis riwayat Ahmad)

sambut orang balik haji

BEGITU syumulnya agama ALLAH sehingga adab menyambut orang yang baru pulang daripada mengerjakan haji juga ada diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Berdasarkan hadis berkenaan, ujar Ustaz Badli Shah, jelaslah bahawa terdapat tiga perkara yang disunatkan untuk dilakukan ketika menyambut kepulangan jemaah haji.

Pertama sekali, kita digalakkan memberi salam, berjabat tangan serta bertanyakan khabar kepada jemaah haji tersebut.

Baca juga LIMA amalan yang nilainya seperti menunaikan haji

Kedua, meminta kesudian jemaah haji untuk mendoakan agar dosa-dosa kita diampunkan. Ini kerana doa orang yang baru kembali daripada melaksanakan haji adalah mustajab, ungkapnya.

“(Orang yang baru pulang dari haji) bagaikan bayi yang baru lahir. Belum ada dosa, masih bersih lagi.

Satu lagi adalah mendoakan jemaah haji. Rasulullah SAW suka mendoakan orang yang baru kembali menunaikan ibadah haji sebagai tanda cinta terhadap umat Islam yang telah menjadi tetamu ALLAH serta mendapatkan limpah kurnia-NYA dalam melaksanakan Rukun Islam,” jelas beliau.

Baca juga Cabaran umat Islam era pra-merdeka menunaikan ibadah haji.

Memetik portal Shafiqolbu, antara doa menyambut kepulangan jemaah haji adalah seperti berikut:

Said bin Mansur menyatakan, bahawa apabila orang yang baru pulang daripada menunaikan haji bertemu dengan Abdullah bin Umar, dan beliau mengucapkan kepada orang yang kembali dari haji:

sambut orang balik haji

Selain itu, dalam kitab, al-Mausu’ah Fiqhiyyah, ulama Syafie berpendapat dianjurkan ucapan berikut kepada orang yang berhaji atau umrah:

sambut orang balik haji

Oleh itu, tiada masalah jika kaum keluarga ingin meraikan kepulangan sanak-saudara yang baru selesai menunaikan ibadah haji namun sambutan yang dilakukan mestilah bersesuaian dan tidak bercanggah dengan ajaran agama Islam.

Sambut orang balik haji, antara sunnah yang dilupakan.

Foto & Sumber: Shafiqolbu & Freepik

hutang
Isu,

Amalkan doa ini supaya orang membayar hutang kita

JIKA anda pernah meminjamkan wang kepada sesiapa, anda boleh amalkan doa ini supaya individu berkenaan membayar hutang mereka.

Dalam Islam, tiada masalah untuk berhutang demi keperluan hidup namun wang yang dipinjam itu wajib dikembalikan.

Menurut pendakwah, Ustaz Hadi Talhah, roh seseorang seolah-olah ‘tergantung’ selepas kematiannya sekiranya ada hutang yang tidak dilangsaikan.

Rasulullah SAW bersabda: “Jiwa seorang Mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dilunaskan hutang baginya.” (Riwayat at-Tirmizi)

Baca juga Jiwa Orang Yang Cuai, Liat Bayar Hutang Akan Tergantung Selagi Dia Tidak Melunaskan Hutangnya

Dalam Islam sudah banyak dibahaskan perihal cara untuk melangsaikan hutang. Namun, lain pula halnya bagi seseorang yang ingin menuntut wang yang pernah dipinjamkan kepada orang lain.

Jika diikutkan sememangnya tiada dalil khusus yang memberi panduan kepada para pemiutang untuk mendapatkan kembali hak mereka.

hutang

BADLI SHAH ALAUDDIN

Demikian penjelasan pendakwah terkenal, Ustaz Badli Shah Alauddin dalam sebuah video yang disiarkan di laman sosial Youtube miliknya.

Pun begitu, kata beliau, ada satu kaedah paling ampuh yang boleh diamalkan iaitu berdoa.

Sering dipraktikkan oleh orang-orang tua dahulu, cara berdoa ini boleh diamalkan untuk melembutkan hati si peminjam wang untuk melunaskan hutang. Bahkan, Umar al-Khattab RA juga pernah mengamalkan kaedah serupa.

Jelas Ustaz Badli Shah, peristiwa tersebut berlaku suatu ketika apabila Umar tidak membahagikan rampasan perang kepada tentera setelah tamat berperang. Bilal membantah keputusan itu kerana bercanggah dengan amalan Rasulullah SAW. Maka, Umar pun berdoa pada waktu malam agar Bilal dilembutkan hati dan dapat menerima cadangannya.

Baca juga [VIDEO] Hutang masih belum habis bayar, tapi tetap mahu bersedekah. Ini yang wajib kita ambil tahu

Oleh itu, Badli Shah menasihatkan agar pemiutang mendirikan solat sunat Tahajud sebelum berdoa. Langkah-langkah seterusnya yang boleh diambil adalah seperti berikut:

1. Mendirikan solat sunat Tahajud.
2. Selepas bacaan al-Fatihah rakaat pertama dan kedua, baca surah al-Insyirah (3 kali), an-Nas (4 kali), al-Ikhlas (7 kali)
3. Setelah selesai solat, zikir seberapa banyak yang mampu.
4. Berniat dalam hati serta berdoa kepada ALLAH agar dibukakan si peminjam untuk membayar hutang

hutang

BANYAKKAN berdoa memohon pertolongan ALLAH SWT supaya urusan dipermudahkan.

Selain itu, pemiutang juga boleh mengamalkan bacaan Yasin 7 Mubin. Cara melakukannya adalah dengan membaca surah Yasin terlebih dahulu. Setiap kali bertemu dengan kata ‘mubin’, berhenti seketika untuk berdoa sambil menyebut nama orang yang berhutang tersebut.

Dalam surah Yasin, terdapat tujuh tempat perkataan ‘mubin’ iaitu pada ayat:

hutang

hutang

Ustaz Badli Shah sekali lagi mengingatkan bahawa amalan doa ini tidak diambil daripada mana-mana dalil khusus. Sebaliknya, ia dikira sebagai salah satu usaha untuk menyelesaikan masalah dengan pertolongan ALLAH SWT.

Ujarnya, “Walaupun tiada dalil secara khusus, namun boleh dijadikan sebagai ikhtiar kita. Duit (itu maknanya), doa, usaha, ikhtiar dan tawakal.”

Foto: Freepik & Unsplash

Rasulullah lakukan ini ketika bermusafir
Hukum,

Bercuti atau balik kampung, jangan lupa sunnah Rasulullah SAW ini ketika bermusafir.

FIRMAN ALLAH “DIA-lah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya..”(Surah al-Mulk, ayat 15)

Islam sangat menggalakkan umatnya mengembara. Sambil-sambil meneroka alam ciptaan ALLAH, dapat juga memahami gaya hidup serta budaya masyarakat lain.

Rasulullah SAW juga banyak bermusafir untuk urusan perniagaan dan dakwah Islamiah. Mungkin kaedah pengangkutan yang ada pada hari ini berbeza dengan Nabi SAW yang menunggang unta dan berkuda namun amalan Baginda kekal relevan sehingga kini.

Tatkala bermusafir ada beberapa tatacara yang elok untuk diamalkan sebagaimana anjuran Rasulullah, berikut perinciannya:

1. Menunaikan solat sunat dua rakaat sebelum bermusafir
Daripada Jabir bin Abdullah RA berkata: “Rasulullah mengajar kami beristikharah dalam semua perkara sebagaimana satu surah al-Quran.

Pesan Nabi:Jika kamu memikir-mikirkan tentang sesuatu, maka solatlah dua rakaat yang bukan solat wajib. Kemudian berdoa (doa istikharah).” (Hadis riwayat al-Bukhari)

2. Cari peneman atau berkonvoi
Nabi bersabda: “Kalaulah manusia tahu apa yang aku tahu tentang seseorang apabila berseorangan, pasti tiada siapa pun yang akan menunggang pada waktu malam seorang diri.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Rasulullah SAW lakukan perkara ini ketika bermusafir

WALAUPUN kaedah pengangkutan kini tidak serupa zaman Nabi SAW dahulu, namun ajaran baginda tetap dapat kita praktikkan.

3. Memulakan perjalanan pada hari Khamis atau pada waktu malam
Kaab bin Malik berkata: “Rasulullah keluar ke perang Tabuk pada hari Khamis. Baginda memang suka keluar pada hari Khamis.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Rasulullah SAW juga gemar melakukan perjalanan pada malam hari kerana suasananya yang lebih baik dan sejuk berbanding waktu siang yang panas.

Daripada Anas bin Malik RA, Nabi SAW juga bersabda:
Berjalanlah berjalan malam, sesungguhnya bumi ‘dilipat’ pada waktu malam.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Menurut Imam al-Munawi, keadaan malam yang tenang juga boleh membuatkan perjalanan terasa lebih cepat jika dibandingkan dengan waktu siang.

4. Membaca doa safar (musafir) sebelum memulakan dan setelah pulang daripada permusafiran

Mulakan doa safar dengan bertakbir sebanyak tiga kali اَللهُ أَكْبَرُ

Kemudian diikuti dengan doa berikut:

سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا، وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ، وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ، اللهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى، وَمِنَ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى، اللهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا هَذَا، وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ، اللهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ، وَالْخَلِيفَةُ فِي الْأَهْلِ، اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ، وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ، وَسُوءِ الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَالْأَهْلِ

Ertinya: “Maha Suci ALLAH yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali. Ya, ALLAH! Sesungguhnya kami memohon kebaikan dan taqwa dalam perjalanan ini, dan dengan amalan yang ENGKAU redhai. Ya ALLAH! Permudahlah perjalanan kami ini, dan dekatkanlah bagi kami jarak yang jauh. Ya ALLAH! Sesungguhnya ENGKAU adalah teman dalam perjalanan, dan ketua bagi ahli keluarga. Ya ALLAH! Sesungguhnya aku berlindung denganMU dari kesukaran perjalanan ini, dan pemandangan yang buruk. Dan dari kejahatan yang boleh menimpa harta dan ahli keluarga sekembalinya kami.”

 

Rasulullah lakukan perkara ini ketika bermusafir

HIASI perjalanan kita dengan doa dan kalamullah supaya diberkati ALLAH SWT.

5. Mendoakan orang yang ditinggalkan

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW berpesan:

Sesiapa yang hendak bermusafir, hendaklah dia mendoakan orang yang dia tinggalkan:

أَسْتَوْدِعُكُمُ اللَّهَ الَّذي لا تَضِيعُ وَدَائِعُهُ

Aku mengamanahkan kamu kepada ALLAH yang tidak pernah hilang simpanan-Nya.” (Hadis riwayat Ahmad)

6. Bertakbir (Allahuakbar) apabila melalui tempat tinggi dan bertasbih (Subhanallah) ketika melewati tempat rendah

Daripada Jabir RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Sesungguhnya kami apabila menaiki tempat yang tinggi, maka kami bertakbir dan apabila kami menuruni tempat yang rendah, maka kami bertasbih.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Baca juga Boleh ke tunaikan solat jamak qasar ketika mulakan perjalanan musafir lepas masuk waktu solat?

7. Segera kembali kepada keluarga apabila urusan sudah selesai
Rasulullah bersabda: “Perjalanan satu keratan daripada azab. Kamu tidak boleh makan, minum dan tidur (seperti biasa). Maka apabila urusan musafir kamu selesai, segeralah kembali kepada keluarga.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

8. Balik daripada musafir membawa hadiah
Tidak semestinya hadiah yang mahal-mahal tetapi cukup sebagai tanda kita ingat akan mereka.

Hendaklah kamu saling memberi hadiah, nescaya kamu akan saling berkasih sayang.” (Hadis riwayat al-Bukhari dalam Adab al-Mufrad)

Rasulullah lakukan perkara ini ketika bermusafir

PELIHARA adab ketika memandu dan patuhi undang-undang jalan raya tatkala bermusafir.

9. Zikir dalam perjalanan pulang

آيِبُونَ تَائِبُونَ عَابِدُونَ لِرَبِّنَا حَامِدُونَ

Anas pernah bermusafir bersama Nabi. Tatkala kota Madinah kelihatan, Baginda pun mengucapkan (bacaan di atas).

Baginda ulang-ulang sehinggalah kami tiba di Madinah.” (Hadis riwayat Muslim)

10. Solat di masjid berdekatan
Kaab bin Malik berkata: “Ketika pulang daripada perjalanan, Baginda akan singgah di masjid dahulu untuk solat dua rakaat.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Semoga perkongsian ini dapat dijadikan amalan setiap kali anda melakukan sesuatu perjalanan. Sambil berjalan, sambil beramal. Barulah perjalanan menjadi lebih mudah dan diberkati ALLAH SWT.

Foto: Unsplash

Ibadah dilakukan diterima
Panduan,

Amalan para tabiin ketika malam Nisfu Syaaban

JIKA dilihat pada kalendar Islam, malam ini bermulalah 15 Syaaban yang dikenali sebagai Nisfu Syaaban. Ia begitu istimewa kerana mempunyai kelebihan tersendiri.

Malah, begitu banyak hadis yang memerihalkan tentang kelebihan malam berkenaan daripada pelbagai jalur. Cuma, boleh dikatakan kebanyakannya berstatus daif.

Bagaimanapun, terdapat satu riwayat yang dinilai sahih iaitu hadis yang diriwayatkan daripada Muaz bin Jabal RA.

Beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “ALLAH SWT meluhat makhluk-NYA pada malam Nisfu Syaaban, kemudian DIA mengampunkan semua makhluk-NYA kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan.” (Hadis Riwayat Ibn Hibban)

Menurut Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, pada malam istimewa itu, para tabiin dalam kalangan penduduk Syam seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin ‘Amir dan lain-lain begitu memuliakannya.

“Bahkan, mereka bersungguh-sungguh melakukan ibadah pada malam Nisfu Syaaban. Malah, melalui merekalah, orang ramai mengetahui tentang kelebihan dan kemuliaan malam tersebut.

Malam Nisfu Syaaban

BANYAKKANLAH berzikir tanpa mengira waktu.

“Demikianlah pernyataan yang dinukilkan oleh Ibn Rajab al-Hanbali,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web maktabahalbakri.com.

Baca juga Prasyarat raih keampunan ALLAH SWT pada malam Nisfu Syaaban

Begitupun, agamawan itu mengakui bahawa para ulama berbeza pendapat mengenai kemuliaan malam tersebut tatkala ia tersebar luas dalam kalangan masyarakat.

Ujar beliau, terdapat golongan yang menerimanya dan sependapat dengan para tabiin tersebut. Misalnya, sekumpulan ahli ibadah daripada penduduk Basrah dan selainnya.

“Adapun, terdapat juga golongan yang mengingkarinya. Kebanyakannya dalam kalangan ulama Hijaz seperti ‘Ata’ dan Ibn Abi Mulaikah.

“Malah, ‘Abd al-Rahman bin Zaid bin Aslam ada menukilkan pandangan daripada fuqaha Madinah iaitu kata-kata pengikut Imam Malik dan selainnya bahawa mereka berkata; ‘Perkara itu kesemuanya adalah bidaah’,” katanya.

Menyambung hujahnya, Dr Zulkifli yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia turut mengemukakan pandangan ulama Syam yang berbeza perspektif berkenaan cara untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban kepada dua pendapat iaitu;

Malam Nisfu Syaaban

HIDUPKANLAH malam Nisfu Syaaban dengan menunaikan apa sahaja jenis ibadah.

1. Disunatkan untuk menghidupkannya secara berjemaah di masjid.

Diceritakan bahawa Khalid bin Ma’dan, Luqman bin ‘Amir dan lain-lain memakai baju yang paling cantik, memakai minyak wangi dan bercelak. Mereka melakukan ibadah di masjid pada malam tersebut.

Malah, Ishaq bin Rahawaih bersetuju dengan perbuatan itu. Beliau menyatakan, amalan ibadah yang dilakukan secara berjemaah di masjid itu bukanlah perkara bidaah. Pendapat itu dinukilkan oleh harb al-Karmani dalam Kitab Masa’il.

2. Makruh berhimpun pada malam Nisfu Syaaban di masjid sama ada untuk mendirikan solat, ceramah waima berdoa.

Bagaimanapun, ia tidak dihukumkan makruh apabila seseorang itu menunaikan solat sendirian sebagaimana pandangan yang dikemukakan oleh al-Auza’I iaitu seorang imam yang alim dalam kalangan ulama Syam.

Baca juga Usah lepaskan peluang berdoa, bermunajat pada malam nisfu Syaaban hari ini

Kemudian, Ibn Rajab menyebut bahawa pendapat tersebut merupakan pandangan yang paling hampir dengan kebenaran.

Melihat kepada perilaku yang ditonjolkan oleh para tabiin tersebut, jelaslah terdapat sebahagian daripada mereka yang bersungguh-sungguh melakukan ibadah pada malam Nisfu Syaaban.

Tidak kiralah sama ada berjemaah di masjid ataupun melakukan amalannya secara sendirian.

Justeru, Dr Zulkifli menjelaskan, kita digalakkan untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan ibadah seperti berzikir, membaca al-Quran, beristighfar kepada ALLAH SWT, mendirikan solat sunat, bersedekah dan seumpamanya.

“Malah, dapat difahami daripada ungkapan Imam Syafie bahawa pada malam itu digalakkan untuk kita berdoa kerana ia termasuk dalam lima malam dimakbulkan doa.

Malam Nisfu Syaaban

AMBILLAH peluang untuk berdoa pada malam Nisfu Syaaban kerana ia merupakan antara waktu mustajabnya doa.

“Tambahan pula hadis yang menceritakan kelebihan malam Nisfu Syaaban berdasarkan kesemua jalur-jalurnya adalah sahih dan mempunyai asalnya sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’ut,” katanya.

Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, Dr Zulkifli mengajak seluruh umat Islam untuk merebut peluang dan ganjaran yang disediakan dengan mengisi mala mini dengan berzikir kepada ALLAH dan berdoa semoga diampunkan segala dosa, di samping memperbanyakkan taubat dan beribadah kepada-NYA.

“Seperkara lagi, jauhkanlah diri daripada dosa yang menjadi penghalang kepada peluang untuk mendapatkan keampunan ALLAH SWT dan termakbulnya doa pada malam ini,” katanya.

Foto: 123rf, Freepik, Pexels & Unsplash

Gempa bumi
Panduan,

Lakukan amalan ini ketika gempa bumi

SUSULAN berlakunya gempa bumi berukuran 6.2 magnitud pada skala Richter di pantai barat Sumatera, Indonesia pada kedalaman 10 kilometer hari Jumaat lalu, ia menyebabkan beberapa kawasan di sekitar bahagian Barat Semenanjung Malaysia turut merasai gegarannya.

Antaranya di Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Malah, terdapat beberapa pejabat yang dikosongkan kakitangannya gara-gara kesan gegaran tersebut yang agak membimbangkan sekitar jam 9.39 pagi pada hari berkenaan.

Tidak dapat digambarkan betapa dahsyatnya bencana alam tersebut yang menimpa negara jiran kita. Sedangkan kita yang duduk jauh dari kawasan itu turut menerima ‘ekor’ tempiasnya sudah rasa serba tidak kena dan bimbang. Apatah lagi mereka yang sedang berhadapan dengan musibah berkenaan.

Setakat jam 7 petang semalam, portal berita berpengaruh Indonesia, news.detik.com melaporkan, angka korban akibat gempa bumi yang melanda wilayah Pasaman Barat dan Pasaman, Sumatea Barat itu meningkat kepada 11 kematian.

Baca juga Jangan mengeluh ketika hujan

Bercerita tentang perihal gempa bumi, sebenarnya, peristiwa tersebut pernah berlaku pada zaman sahabat.

Memetik artikel yang disiarkan di kalam.sondonews.com, diceritakan bahawa bencana tersebut pernah terjadi di Madinah ketika zaman pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab.

Mengertilah bahawa semua bencana tersebut sudah tertulis ditentukan oleh ALLAH SWT.

Sebenarnya, ada satu doa yang dianjurkan untuk kita baca ketika gempa bumi berlaku sebagaimana yang dikongsikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia menerusi hantarannya di laman sosial Facebook mereka.

Doa berkenaan berbunyi: Allahumma inni as aluka khoiroha wa khoiroma fiha wa khoiro ma ursilata bihi, wa ‘a’uzubika min syarriha wa syarrima fiha wa syarrima ursilaa bih (Ya ALLAH, sesungguhnya aku memohon daripada-MU kebaikan atas apa yang terjadi dan kebaikan apa yang ENGKAU kirimkan. Dan aku memohon perlindungan kepada-MU daripada keburukan atas apa yang terjadi, dan keburukan yang terjadi di dalamnya dan keburukan apa yang ENGKAU kirimkan). (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Gempa bumi

BERDOALAH ketika gempa bumi berlaku untuk memohon perlindungan ALLAH SWT.

Menurut kalam.sindonews.com, doa tersebut sebenarnya adalah doa ketika terjadinya angin ribut yang pernah dibacakan oleh Rasulullah SAW.

“Tiada contoh yang jelas daripada baginda SAW tentang doa gempa bumi. Namun begitu, para ulama sebahagiannya menganjurkan kita melafazkan doa berkenaan atau apa sahaja doa umum lain yang difahami tanpa meyakininya sebagai sebuah sunah Rasulullah SAW.

“Ini kerana kedua-duanya memiliki kesamaan sebagai suatu fenomena bencana alam,” kata artikel tersebut.

Bukan itu sahaja, meskipun rakyat Malaysia tidak menghadapi musibah berkenaan, jangan lupa memanjatkan doa buat saudara seagama kita di sana.

Antara doa yang dianjurkan sebagaimana dipetik menerusi portal cnnindonesia.com adalah: Innalillahi wa inna ilaihi raji’un, Allahumma ajirhum fi musibatihim, wa akhlif lahum khoiran minha (Sesungguhnya kami adalah milik ALLAH dan sesungguhnya akan kembali kepada-NYA. Ya ALLAH, berilah mereka pahala dalam musibah mereka dan gantilah dengan yang lebih baik).

Baca juga Amalkan 2 Doa Ini Ketika Musibah, Lebih-Lebih Lagi Mereka Yang Terkesan Dengan Banjir

Doa berkenaan, jelas CNN Indonesia, ia pernah diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam Hadis Riwayat Muslim. Ia ada disebut dalam buku Kumpulan Doa Dari Al-Quran dan As-Sunnah karya Yazid bin Abdul Qadir Jawas.

Bukan sekadar fenomena alam

Sesungguhnya, tiada kejadian yang diatur oleh ALLAH SWT itu adalah sia-sia. Semuanya pasti mempunyai sebab musababnya.

Bagi orang yang beriman, portal muslim.or.id menjelaskan, gempa bumi bukan sekadar fenomena alam yang biasa, tetapi ia merupakan tanda peringatan daripada ALLAH SWT supaya manusia kembali kepada agama dan menjauhi maksiat.

Gempa bumi

GEMPA bumi merupakan tanda peringatan daripada ALLAH SWT supaya manusia kembali kepada agama dan menjauhi maksiat.

Ia sebagaimana disebutkan dalam al-Quran menerusi Surah al-Isra’, ayat 59 yang bermaksud: “…Dan KAMI tidak mengirimkan tanda-tanda itu melainkan untuk menakut-nakutkan mereka.”

Menurut Syaikh Abdurrahman as-Sa’di dalam Tafsir as-Sa’di menjelaskan: “Maksud ayat ini adalah memberikan rasa takut agar manusia terhalang melakukan maksiat saat itu.”

Begitu juga pendapat yang dilontarkan oleh Ibul Qayyim dalam Miftah Daris Sa’adah. Beliau menyatakan bahawa gempa bumi terjadi agar manusia meninggalkan kemaksiatan dan kembali kepada ALLAH SWT.

Tidak kiralah apa jua ketentuannya, jangan lupa sentiasa memuji-NYA saat kita berada dalam kesulitan mahupun diulit kesenangan.

Foto: Pexels & news.detik.com

Untitled design (1)
Gaya Hidup,

Tidak kira ketika musibah atau selesa, jangan lupa memuji ALLAH’

Oleh NURUL FATIHA MUAH

SEMANGAT kebersamaan yang ditonjolkan masyarakat tatkala melihat insan di sekeliling ditimpa musibah banjir akibat hujan berterusan pada penghujung tahun 2021 wajar dipuji.

Pendakwah Ahmad Hazran Ahmad Kamal atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Aran Ketika dihubungi Sinar Islam Plus menjelaskan, perilaku tersebut sememangnya pernah dizahirkan oleh Rasulullah SAW yang menjadi suri teladan kepada kita.

Perbuatan mulia Nabi Muhammad itu dapat dilihat apabila baginda menyantuni dan bergaul dengan ahli suffah (sahabat yang duduk di persekitaran Masjid Nabawi) meskipun ada dalam kalangan mereka merupakan seorang asnaf, terangnya.

“Baginda langsung tidak meminggirkan mereka, malah bercampur dengan semua masyarakat daripada setinggi-tinggi kedudukan taraf sehingga serendah-rendah pangkat. “Ia bukan terhad hanya kepada umat Islam sahaja, tetapi juga sesama bukan Muslim. Sifat ini dapat dilihat apabila Rasulullah SAW ingin pergi berperang.

“Tatkala meninggalkan keluarga untuk tujuan tersebut, baginda pernah menggadaikan baju besi perangnya kepada seorang Yahudi. Dengan nilai yang diperoleh tersebut, maka sebanyak itulah bekalan makanan disediakan buat keluarga baginda. Justeru, tiada masalah untuk kita bermuamalah dengan orang bukan Islam,” katanya. Ya, semangat kebersamaan begitu penting tidak kiralah sama ada dalam perkara susah mahupun senang.

Namun, Imam Muda Aran mengingatkan supaya sikap itu diimplementasikan juga dalam hal membanteras perkara maksiat. Ia sebagaimana yang disuruh oleh ALLAH SWT menerusi firman-NYA yang bermaksud: “…Dan saling tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa, dan jangan saling tolong-menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan…” (Surah al-Maidah, ayat 2)

Beliau juga menjelaskan, andai kita tidak mampu memberikan bantuan dari segi harta benda mahupun tenaga kepada orang lain, berdoalah kepada ALLAH SWT dan berilah kata-kata semangat kepada mereka yang ditimpa ujian.

“Doa adalah senjata orang Mukmin. Justeru, kepada mereka yang diberikan ujian, minta tolonglah kepada ALLAH SWT dengan bersabar. Ingatlah, apa jua situasi kita, sifat tersebut begitu penting.

“Tidak kiralah musibah mahupun kesenangan yang dikurniakan-NYA kepada kita, jangan lupa untuk memuji Tuhan. Ini kerana ALLAH jualah yang menurunkan musibah kepada kita. Andai kita bersabar dengan ujian-NYA dan sentiasa mengingati-NYA, pahala bakal diraih,” ujarnya lagi.

Doa untuk orang bukan Islam
Gaya Hidup,

7 Teknik berdoa yang bakal menjemput Rahmat ALLAH

 

Oleh FOUZIAH AMIR

 

DOA adalah senjata Mukmin. Doa selalu dikaitkan dengan impian dan harapan, namun bagaimanakah doa impian menjemput rahmat ALLAH SWT?

Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd menganjurkan program Doa Impian 2022 secara hibrid iaitu secara maya dan fizikal di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada 29 Januari lalu. Jurulatih utamanya, Fazrul Ismail berkongsi ilmu mengenai doa cara nabi dan rasul yang menjadi panduan umat Islam untuk menjemput rahmat dan anugerah daripada ALLAH SWT.

Berikut tujuh teknik berdoa yang diinspirasikan daripada amalan para Nabi dan Rasul terdahulu.

 

  1. GABUNGKAN PEMIKIRAN & PERASAAN

Inti pati dalam berdoa adalah pemikiran dan perasaan yang membawa tawakal kepada ALLAH. Dalam surah al-Asr, ALLAH menyatakan tentang masa. Ia berkaitan dengan usia. Manusia yang rugi usia kehidupannya dengan berseronok semata-mata, melainkan bagi yang beriman, beramal soleh dengan kebenaran dan kesabaran.  Jiwa Iman dikaitkan dengan gabungan pemikiran dan perasaan. Inilah dikatakan doa impian, yang ada perasaan dan menjiwai. Rugi jika kita berdoa tapi kosong jiwa dan pemikiran.

 

  1. ISTIQAMAH BERDOA

Tanda orang serius yang berdoa akan melakukannya pada siang dan malam termasuk solat tahajud. Sentiasa ikuti piawaian al-Quran untuk berdoa agar ALLAH memandu kita beramal melalui petunjuk dan hidayah-NYA.

Mafhum firman ALLAH di dalam ayat 73, surah al-Qasas : “Dan kerana rahmat-NYA. DIA jadikan untukmu malam dan siang, agar kamu beristirahat pada malam hari dan agar kamu mencari sebahagian kurniaan-NYA (pada siang hari) serta agar kamu bersyukur kepada-NYA.”

 

  1. JADI HAMBA YANG TAHU BERSYUKUR

Syukuri nikmat ALLAH setiap ketika. ALLAH  pasti akan menambahkan nikmat-NYA kepada orang yang bersyukur.

 

  1. TAWADUK / MERENDAH DIRI

Berdoalah sebagai jiwa hamba yang bersungguh-sungguh dengan pemikiran dan perasaan agar dimakbulkan dan diberi keberkatan. Maksud jiwa hamba adalah merendah diri dan rasa amat memerlukan ALLAH.

ceritakan keadaan diri yang memerlukan, ketakutan atau kelemahan, mohonlah apa yang dikehendaki dan mohonlah apa yang membawa ke akhirat

  1. LAZIMKAN MEMBANTU INSAN LAIN

Untuk menggandakan kebaikan pada tahun ini, kita jangan pentingkan diri. Sebaliknya sentiasa bersedia membantu orang lain, kemudian memohon doa kepada ALLAH. Inilah doa impian mengikut piawaian al-Quran. Ayat 24 di dalam surah al-Qasas merakamkan kisah Nabi Musa AS membantu dua perempuan mengambil air. Ketika itu Baginda AS dalam keadaan letih bermusafir, tiada tempat tinggal, pekerjaan dan makanan. “Selepas memberi pertolongan, Nabi Musa berdoa kepada ALLAH SWT, “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku sangat memerlukan sesuatu kebaikan (makanan) yang ENGKAU turunkan kepadaku.”

 

  1. BERDOA SAMBIL DISERTAKAN RASA TAKUT KEPADA ALLAH

Kaedah doa impian Nabi Zakaria AS di dalam Surah Maryam ayat 4 hingga 6, ialah doa yang disertakan rasa takut dan mengadu kepada ALLAH SWT, menceritakan keadaan diri yang memerlukan, ketakutan atau kelemahan, bermohon apa yang dikehendaki dan mohon apa yang membawa ke akhirat. Nabi Zakaria AS memohon zuriat bagi legasi agama bukan sekadar keperluan di dunia, malah membawa ke akhirat.

 

  1. TETAP BERTAWAKKAL

Doa juga membawa kita kepada syukur, iman dan tawakal. Apa jua doa yang dipohon, hanya ALLAH YANG MAHA TAHU apa yang baik untuk kita. Sebagai hamba, berdoalah dengan penuh keimanan dan pemikiran yang membawa legasi ke akhirat, mudah-mudahan doa itu akan menjemput rahmat ALLAH.

 

Untuk maklumat lanjut program Doa Impian akan datang, layari https://www.facebook.com/akademisinergi/

 

Berdoa
Gaya Hidup,

Usah Segan Berdoa Minta Suatu Perkara Pada ALLAH

ADAKALANYA bibir begitu mudah menuturkan kata-kata berbentuk doa dalam perkara yang dianggap sebagai remeh-temeh.

“YA ALLAH, teringinnya hendak makan durian. Berilah aku nikmatinya.”

“Kurniakan aku kemampuan hendak beli kereta besar, ya ALLAH. Sesungguhnya ENGKAU MAHA BERKUASA atas segalanya”

Demikianlah monolog kita dalam hati yang kadangkala terbit tanpa disengajakan. Benar, kadangkala kita seolah-olah menyimpan harapan dan impian tanpa sedar berdoa tentangnya.

Kadangkala kita benar-benar memaksudkannya dan meminta semuanya kepada ALLAH.

Pendakwah Muhammad Fahmi Rusli menjelaskan, jangan sesekali kita berasa segan untuk berdoa dan meminta urusan dunia yang spesifik kepada ALLAH SWT tidak kiralah pada waktu-waktu dan tempat mustajab berdoa.

MUHAMMAD FAHMI

“Ia termasuklah hendak minta supaya dapat beli rumah atau mampu memakai Mercedes Benz, Countryman, BMW dan seumpamanya. Berdoa pada ALLAH SWT,” katanya sebagaimana dipetik menerusi ciapannya di Twitter miliknya baru-baru ini.

Menyambung hujah, ujar beliau, menjadi amalan para ulama silam berdoa sehinggakan hendak memakan buah anggur pun, mereka tetap berbuat demikian.

Katanya, Imam al-Laits bin Sa’d menceritakan, beliau pernah melihat seorang lelaki sedang duduk berdoa.

Al-Laits menyatakan bahawa lelaki tersebut mengatakan: “Wahai Tuhan, wahai Tuhan, sehingga terputus nafasnya (tercungap-cungap). Kemudian dia berkata: “Ya Hayyu, Ya Qayyum” (wahai Tuhan YANG MAHA HIDUP, wahai Tuhan YANG MAHA MENGURUS TADBIR), sehingga terputus nafasnya. Kemudian dia berkata: “Ya ALLAH, ya ALLAH”, sehingga terputus nafasnya. Kemudian dia berkata: “Wahai Tuhan YANG MAHA PEMURAH, wahai Tuhan YANG MAHA PENYAYANG”, sehingga terputus nafasnya. Kemudian dia berkata lagi: “Wahai Tuhan YANG MAHA PENYAYANG dari kalangan yang penyayang”, sehingga terputus nafasnya.

Setelah selesai menyebut semua itu, lelaki tersebut kemudia berkata: “Ya ALLAH, sesungguhnya aku teringin sangat kepada buah anggur, berilah kepadaku untuk aku memakannya. Sesungguhnya dua helai pakaianku juga telah lusuh, berilah pakaian kepadaku.”

Baca juga Amalkan 2 Doa Ini Ketika Musibah, Lebih-Lebih Lagi Mereka Yang Terkesan Dengan Banjir 

Dipendekkan cerita, Al-Laits kemudian berkata: “Aku terus melihat sebuah bekas yang penuh berisi anggur dan dua helai pakaian yang diletakkan di situ.”

Berdoa

DOA merupakan senjata bagi orang Mukmin.

Ujar Muhammad Fahmi, kisah itu sebenarnya agak panjang. Namun, fokus utamanya adalah tawassul lelaki berkenaan dengan nama-nama dan sifat ALLAH SWT tersebut terbukti mustajab.

“Walaupun permintaannya nampak pada perkara biasa sahaja, namun para ulama terdahulu sentiasa melazimi ibadah berdoa.

“Lelaki yang dimaksudkan itu sebenarnya ialan Ja’far al-Sadiq iaitu salah seorang ulama keturunan Nabi Muhammad SAW daripada jalur al-Husain bin Ali RA,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan agar kita tidak memandang enteng dengan peranan doa.

Paling tidak pun, sekurang-kurangnya luangkan sedikit masa kita selepas solat untuk berdoa.

Foto: Freepik, Unsplash & Pexels

Penghalang bahagia dunia dan akhirat
Gaya Hidup,

8 Perkara Jadi Penghalang Untuk Kita Bahagia Di Dunia Dan Akhirat

no comment

SETIAP manusia begitu mendambakan kebahagian dalam kehidupan masing-masing waima dari segi harta benda, keluarga mahupun pencapaian karier.

Tiada siapa pun yang mahu hidupnya berantakan apa lagi tidak terurus. Maka tidak hairanlah mengapa semua orang berlumba-lumba untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik.

Tidak lengkap seandainya kita sebagai orang Islam hanya mengejar kebahagiaan duniawi semata-mata. Sudah tentu kebahagiaan ukhrawi mahu digapai juga.

Namun begitu, dalam kita meraihnya, jangan sampai kita terjerumus ke lembah yang menghalang diri daripada mencapai kebahagiaan tersebut.

Pendakwah Asma’ Harun mengingatkan, terdapat lapan perkara yang menyebabkan kita terhalang atau lambat untuk menggapai bahagia dan berjaya di dunia serta akhirat.

ASMA’

“Ia termasuklah rasa lemah semangat, mudah sentap, malas, penyedih, penakut, bakhil (kedekut), bebanan hutang dan kezaliman manusia,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Bagi mengikis semua sifat berkenaan, Asma’ turut mengajarkan doa sebagaimana dianjurkan oleh Rasulullah SAW menerusi sebuah hadis masyhur.

Daripada Abu Said al-Khudri RA, katanya: “Rasulullah SAW telah memasuki masjid. Tiba-tiba terdapat seorang sahabat bernama Abu Umamah RA sedang duduk di sana.”

Baginda SAW bertanya: “Wahai Abu Umamah, kenapa aku melihat kau sedang duduk di dalam masjid sedangkan bukan luar waktu solat?” Abu Umamah menjawab: “Dukacita dan hutang menyelubungiku wahai Rasulullah!” Rasulullah menjawab: “Mahukah kamu aku ajarkan kepada kamu satu doa jika kamu membacanya, ALLAH akan menghilangkan rasa dukacitamu dan melangsaikan hutangmu?” Abu Umamah menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.”

Maka baginda bersabda: “Ucapkanlah pada tiba waktu pada pagi dan petang bacaan ini: “Ya ALLAH, sesungguhnya aku berlindung kepada ENGKAU daripada kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada ENGKAU daripada sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada ENGKAU daripada sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada ENGKAU daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”
Abu Umamah RA berkata: “Setelah membaca doa tersebut, ALLAH menghilangkan kedukaanku dan melunaskan hutangku.” (Riwayat Abu Daud)

Baca juga Ini Kelebihan Sedekah Secara Sembunyi Yang Ramai Mungkin Tidak Sedar

Begitupun, tidak cukup sekadar doa semata-mata. Sebaliknya, kita juga perlu berusaha untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Memetik portal kumparan.com, terdapat lapan rahsia untuk menggapainya iaitu dengan cara:

1. Menjaga solat lima waktu.

Penghalang bahagia dunia dan akhirat

PELIHARALAH solat fardu lima waktu kerana ia menjadi ibadah pertama yang akan dihisab di akhirat kelak.

Ia merupakan amalan pertama yang akan dihisab pada hari kiamat kelak.

Firman ALLAH SWT: “Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana ALLAH (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 238)

2. Tidak membenci.

ALLAH SWT berfirman: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada ALLAH supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)

3. Tunaikan zakat.

Penghalang bahagia dunia dan akhirat

ZAKAT merupakan Rukun Islam keempat yang difardukan ke atas setiap umat Islam.

Islam mengajar umatnya agar memberi daripada meminta-minta. Selain zakat, kita juga digalakkan untuk bersedekah, melakukan infak dan sebagainya.

4. Tidak mudah keluh-kesah.

Firman ALLAH SWT: “Demi sesungguhnya! KAMI akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 155)

5. Memelihara kemaluannya.

ALLAH SWT berfirman: “Dan mereka yang menjaga kehormatannya, Kecuali kepada isterinya atau kepada hambanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela; Kemudian sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-Ma’arij, ayat 29-31)

6. Bersikap rendah hati.

Bukan semua orang diberikan kemewahan ataupu kecukupan dalam kehidupan mereka. Sesiapa yang tergolong dalam kelompok itu, maka tanamkanlah sifat rendah hati agar terhindar daripada sifat sombong yang merugikan.

7. Selalu memberi.

Rasulullah SAW bersabda: “Tangan di atas lebih baik dari tangan di bawah (menerima/meminta).” (Riwayat Muslim)

8. Hindari permusuhan.

Penghalang bahagia dunia dan akhirat

ELAKKAN permusuhan dan saling memaafkan antara satu sama lain andai ada melakukan kesilapan sesama manusia.

ALLAH SWT berfirman: “Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” (Surah Fussilat, ayat 34)

Justeru, sempena mengambil semangat tahun baharu Islam ini, ayuh kita sama-sama memperbaiki diri menjadi insan lebih positif dan istiqamah melakukan kebaikan.

Foto: Unsplash, Freepik & 123rf

Berita Semasa, Gaya Hidup, Gaya Hidup, Isu, Panduan,

Doa memohon perlindungan Covid-19, amal selepas solat fardu

HAMPIR dua tahun dunia diuji dengan kehadiran wabak Covid-19 sehingga telah meragut banyak nyawa setiap
hari.

Penularan jangkitan yang sangat cepat amat menakutkan. Malah negara kita juga kini telah mencatat angka
jangkitan harian yang sangat tinggi.

Sehingga semalam, bilangan kes baharu positif Covid-19 terus melonjak kepada 20,596 kes sekali gus
menjadikan Malaysia merekodkan jumlah tertinggi selama dua hari berturut-turut.

Pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 1,203,706 kes.

Pelbagai langkah berjaga-jaga telah diambil dek kerana pandemik yang sangat berbahaya serta boleh
mengakibatkan kematian dalam sekelip mata.

Selain pencegahan dari aspek kesihatan, kerohanian juga perlu kita pertingkatkan.

Justeru SinarPlus kongsikan doa yang boleh diamalkan.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Dibaca selepas solat fardu atau sunat;

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ

الحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ العَالَمِينَ، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّـدِنَا مُحَمَّدٍ أَشْرَفِ الأَنْـبِيَاءِ وَالمُرْسَلِينَ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ.

اَللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّـا البَلآءَ وَالغَلاَءَ وَالوَبَاءَ وَالطَّاعُونَ وَالفَحْشَاءَ وَالمُنْـكَرَ وَالبَغْيَ وَالسُّوءَ المُخْتَـلِفَ وَالشَّدَائِدَ وَالمِحَنَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ مِنْ بَلَدِنَا وَقَرْيَتِـنَا هَذِهِ خَآصَّةً وَمِنْ بُلْدَانِ المُسْلِمِينَ كَآفَّةً عَآمَّةً إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ وَبِالإِجَابَةِ جَدِيرٌ.

تَحَصَّـنَّا بِذِى العِزَّةِ وَالجَبَرُوتِ، وَاعْتَصَمْـنَا بِرَبِّ المَلَـكُوتِ، وَتَوَكَّـلْنَا عَلَى الحَيِّ الَّذِي لاَ يَمُوتُ، اَللَّهُمَّ اصْرِفْ عَنَّا هَذَا الوَبَاءَ، وَقِنَا شَرَّ الرَّدَى، وَنَجِّنَا مِنَ الطَّعْنِ وَالطَّاعُونِ وَالبَلاَءِ، بِلُطْفِكَ يَا لَطِيفُ، يَا خَبِيرُ، إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ، وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّـدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ
وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ وَالحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ العَالَمِينَ.

Yang bermaksud: Segala puji bagi ALLAH Tuhan sekelian alam, selawat dan salam ke atas Saidina Muhammad
semulia-mulia nabi dan rasul, ahli keluarga dan para sahabatnya.

doa

Ya ALLAH! Jauhilah kami daripada bala’ bencana, wabak penyakit, taun, pelbagai perlakuan keji dan mungkar, segala kepayahan dan dugaan yang zahir dan yang tersembunyi. Ya ALLAH! Selamatkanlah negeri kami ini khususnya, dan negara umat Islam amnya daripada segala bencana tersebut. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa ke atas segala-galanya dan Engkaulah yang selayaknya memberi perkenan.

Aku berlindung dengan ALLAH Tuhan yang Maha Gagah Perkasa dan yang Mempunyai Kekuasaan Mutlaq. Aku berpegang teguh kepada ALLAH Tuhan yang Memiliki Kerajaan yang Maha Agung dan aku berserah diri kepada ALLAH yang Hidup dan tidak akan mati.

Baca juga Zikir untuk 100 kebaikan, dijauhkan 100 keburukan

Ya ALLAH! Wahai Tuhan kami jauhilah kami daripada wabak yang datang ini dan peliharalah kami daripada segala
kejahatan yang merosakkan serta selamatkanlah kami daripada segala fitnah dan penyakit taun serta segala
bala’ yang datang, dengan kelembutan-Mu ya ALLAH, Tuhan yang Maha Berlemah Lembut, wahai Tuhan yang Maha Halus Pengetahuan-Nya, Engkau Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu, selawat dan salam kepada junjungan Nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabatnya. Segala puji bagi ALLAH Tuhan pencipta alam semesta.

Selamat beramal!

Sumber: Datuk Mohd Yusof Ahmad, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus

Foto: Masjid Pogung Dalangan/Unsplash