Browsing Tag

Doa ketika musibah

'Dekat' dengan ALLAH
Gaya Hidup, Pilihan Editor,

Amalkan 2 Doa Ini Ketika Musibah, Lebih-Lebih Lagi Mereka Yang Terkesan Dengan Banjir

BENCANA banjir yang melanda beberapa kawasan di dalam negara terutama di sekitar Lembah Klang disifatkan luar jangka. Tiada siapa menduga begitu besar ujian tersebut.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa), hujan lebat yang berterusan selama dua hari sejak Jumaat lalu dikatakan menyamai jumlah taburan purata hujan di Lembah Klang untuk tempoh sebulan dan ia umpama fenomena yang berlaku setiap 100 tahun sekali.

Hujan lebat  telah mengakibatkan banjir kilat namun ramai yang tidak bersedia menghadapi musibah berkenaan. Malah, ada yang terperangkap waima di kediaman mahupun kenderaan masing-masing.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tidak dapat digambarkan bagaimana perasaan mangsa banjir mahupun mereka yang ‘tersangkut’ di kawasan yang dinaiki air.

Walaupun ada beberapa kawasan banjir yang telah surut, namun hambatan emosi yang dihadapi begitu sukar untuk ditepis. Lebih-lebih lagi mereka yang trauma dengan insiden berkenaan yang membawa kerosakan bukan sahaja kepada harta benda, malah mungkin kehilangan insan tersayang.

 

Doa ketika musibah

BERSABARLAH apabila ditimpa musibah kerana ALLAH SWT menjanjikan ganjaran atas kesabaran kita menerima ujiannya.

Kepada mereka yang terkesan dengan musibah tersebut, Pegawai Hal Ehwal Islam, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Muhammad Fahmi Rusli menitipkan pesan supaya memperuntukkan masa untuk memanjat doa kepada YANG MAHA ESA.

Terdapat dua doa yang dianjurkan untuk dibaca iaitu:

  1. Innilillahi wa inna ilaihi raji’un (Sesungguhnya kami milik ALLAH dan sesungguhnya kepada-NYA kami kembali).

  2. Allahumma ajirni fi musibati wa akhlifli khoiron minha (Ya ALLAH, berilah ganjaran pahala kepadaku terhadap musibah yang menimpaku ini, dan gantikanlah buatku suatu yang lebih baik daripadanya).

Ujar beliau, mereka yang mengamalkan doa tersebut bakal dikurniakan ganjaran pahala atas musibah yang dihadapi sebagaimana yang disebutkan dalam hadis.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada seorang hamba yang ditimpa musibah, lalu dia membaca doa di atas, melainkan ALLAH akan mengganjarkan pahala atas musibahnya itu serta menggantikan buat dirinya sesuatu yang lebih baik.” (Hadis Riwayat Muslim)

Baca juga Biasakan Diri Baca Doa Sebelum Keluar Rumah, Ini Sebabnya

Dalam pada itu, pendakwah tersebut mengingatkan bahawa semua musibah yang berlaku pada hakikatnya mengajak kita untuk sentiasa kembali kepada ALLAH.

Doa ketika musibah

“Disebabkan itulah orang yang diuji dengan musibah dituntut untuk memasakkan hati dengan ucapan istirja’ iaitu Innalillahi wa inna ilaihi raji’un,” katanya.

Beliau turut menegur sikap segelintir masyarakat yang mengaitkan musibah dengan maksiat yang berlaku di sesebuah tempat.

“Mengertilah bahawa mengajak manusia kembali kepada ALLAH lebih utama berbanding mendakwa musibah yang berlaku adalah kesan maksiat banyak di sesebuah negeri kerana sumpah mubahalah (kutukan) individu, solat masih berjarak dan ucapan-ucapan seumpamanya,” pesannya.

Foto: Mohd Halim Abdul Wahid & Freepik