Browsing Tag

doa berbuka puasa

doa berbuka puasa
Ibadah,

Jangan terus makan ketika berbuka puasa, sebaliknya amalkan doa terbaik sewaktu iftar

Jangan terus makan ketika berbuka puasa, sebaliknya amalkan doa terbaik sewaktu iftar

AZAN berkumandang menandakan waktu berbuka pasti dinantikan oleh setiap orang yang berpuasa.

Mana tidaknya, setelah hampir 13 jam menahan lapar dan dahaga, sudah tentulah ia antara saat yang membahagiakan apabila dapat menghirup seteguk air dan menjamah hidangan.

Namun, di sebalik keterujaan berbuka puasa, jangan terus meluru ke arah juadah yang tersedia tanpa menitipkan doa kepada ALLAH SWT terlebih dahulu.

Baca juga Sebelum berbuka antara waktu mustajab berdoa, usah abaikan detik ini

doa berbuka puasa

Hal ini kerana masa berbuka merupakan antara waktu mustajab doa bagi mereka yang berpuasa, sebagaimana diperihalkan dalam banyak hadis.

Antaranya daripada Abdullah bin ‘Amr RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika dia berbuka, doa yang tidak akan ditolak.” (Hadis Riwayat Ibn Majah)

Turut disyorkan Mantapkan kecergasan diri dengan berpuasa bukannya lemau sepanjang masa, ini nasihat WHO

doa berbuka puasa

AMBIL peluang berdoa pada masa berbuka puasa kerana ia termasuk waktu mustajab doa. Foto: Unsplash

Baca juga Ada yang malas bekerja dan lesu bila beribadah? Nabi SAW sarankan doa ini dibaca setiap hari

Doa terbaik untuk dibaca ketika berbuka
Jelas bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, sebaik-baik doa untuk dibaca ketika berbuka ialah sepertimana yang diajar oleh Rasulullah SAW iaitu mohon pahala.

Sabda Nabi SAW:

ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتْ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الْأَجْرُ إنْ شَاءَ اللَّهُ تَعَالَى

Maksudnya: “Telah hilanglah dahaga, urat-urat telah basah, dan telah terhasil pahala, Insya-ALLAH.” (Hadis Riwayat Abi Dawud)

Namun, menurut para cendekiawan Imam Ibnu Hajar al-Haitami dan Imam Ramli, doa tersebut dibaca sejurus selepas berbuka (عقب), bukannya sebelum iftar.

Turut disyorkan Semua orang puasa, tapi pahala kita berbeza. Ini sebab-sebabnya

USAH terus menjamah selera sebaik sahaja azan berkumandang. Foto: Pexels

Tulisnya lagi di portal Maktabah al-Bakri, umat Islam juga disarankan memohon keampunan kepada ALLAH pada waktu mustajab berdoa berkenaan.

Satu doa yang boleh diamalkan pernah dilafazkan salah seorang sahabat Nabi SAW iaitu ‘Abdullah ibn ‘Amru RA sewaktu berbuka puasa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَىْءٍ أَنْ تَغْفِرَ لِي

Maksudnya: “Wahai ALLAH, sesungguhnya aku memohon dengan rahmat-MU yang meliputi segala perkara, agar ENGKAU mengampuniku.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Pun begitu, sebenarnya kita boleh membaca segala jenis doa memohon apa-apa sahaja keperluan ketika berpuasa atau berbuka puasa. Ketahuilah ALLAH amat menyukai hamba-hamba-NYA yang sentiasa berdoa, memohon dan bermunajat kepada-NYA.

Semoga ALLAH menjadikan kita hamba-NYA yang sentiasa berdoa kepada-NYA, selain doa tersebut menjadi antara yang dimakbulkan-NYA.

Sumber: Maktabah al-Bakri

Foto: Pexels & Unsplash