Browsing Tag

ditangguhkan seksa

meninggal dunia Ramadan
Aqidah,

Meninggal dunia di bulan Ramadan akan terlepas azab kubur, benarkah?

Meninggal dunia di bulan Ramadan akan terlepas azab kubur, benarkah?

ADA begitu banyak sekali keistimewaan bulan Ramadan yang pernah diceritakan kepada kita sebagai umat Islam menerusi al-Quran dan as-Sunnah.

Antaranya seperti setiap amalan kita akan dilipatgandakan oleh-NYA sepanjang 30 hari penuh keberkatan itu. Malah, disebutkan juga bahawa wujud satu malam yang mana kebaikannya menyamai 1000 bulan dalam 10 malam terakhir Ramadan.

Dalam pada itu, ada satu kefahaman yang berleluasa dalam masyarakat bahawa seseorang yang meninggal di bulan Ramadan akan dikurniakan kelebihan sama ada terlepas atau ditangguhkan daripada seksaan azab kubur sepanjang bulan mulia tersebut.

Baca juga Haram menjirus air mawar atas kubur selain untuk sebab-sebab ini.

meninggal dunia Ramadan

Baca juga Ada nikmat kubur buat orang beriman

Benarkah meninggal di bulan Ramadan terlepas daripada azab kubur?
Sebagaimana dijelaskan dalam portal Mufti Wilayah Persekutuan, sememangnya antara kelebihan bulan Ramadan termasuklah pintu syurga dibuka sementara pintu neraka ditutup.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Apabila datangnya Ramadan maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.” (Hadis Riwayat Muslim)

Namun, menurut ulama Syeikh al-Izz Abd al-Salam, apa yang dimaksudkan dengan pintu syurga dibuka adalah disebabkan banyaknya amalan ketaatan dilakukan pada malam Ramadan. Manakala, pintu neraka ditutup merujuk kepada kurangnya orang-orang yang melakukan maksiat sepanjang bulan suci tersebut. (Rujuk Maqasid al-Saum)

Baca juga Mengapa masih lakukan tabiat tidak baik walaupun syaitan diikat pada bulan Ramadan?

SETIAP makhluk ALLAH SWT tidak akan terlepas daripada kematian. Foto: Unsplash

Baca juga Malaikat Munkar dan Nakir bersoal jawab dengan mayat di alam barzakh dalam bahasa apa?

Jelas pihak Mufti, sebenarnya tiada hadis sahih yang mengkhususkan kelebihan bagi mereka yang meninggal dunia pada bulan Ramadan. Apalagi yang menyebut tentang seseorang terlepas atau ditangguhkan seksaan kubur kerana meninggal di bulan mulia itu.

Namun, wujud satu hadis berkaitan meninggal dunia ketika berpuasa yang sahih, iaitu:

Sabda Nabi SAW, “Dan sesiapa yang berpuasa sehari kerana mencari keredhaan ALLAH, yang ia mengakhiri hidupnya dengan amal tersebut, ia masuk syurga.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Laman web itu bagaimanapun menegaskan, tidak kira meninggal sewaktu Ramadan atau tidak, seseorang akan dimasukkan ke dalam syurga berdasarkan amalan kebaikan yang dilakukannya ketika di dunia dahulu.

Turut disyorkan Antara bertarawih di rumah dan masjid, mana satu paling terbaik untuk wanita?

meninggal dunia Ramadan

ALLAH SWT menjanjikan syurga kepada sesiapa sahaja yang beramal soleh dan mati dalam kepercayaan penuh terhadap-NYA. Foto: 123RF

Baca juga 10 tanda kematian yang baik

Mati di bulan Ramadan tanda husnul khatimah

Pun begitu, pihaknya tidak menafikan bahawa meninggal dalam bulan Ramadan atau pada waktu mulia lain seperti hari Jumaat, atau di tempat suci seperti di Tanah Haram, maka ia boleh dikategorikan sebagai salah satu tanda husnul al-khatimah (pengakhiran hidup yang baik).

Justeru, tugas kita sebagai seorang hamba adalah dengan sentiasa memperbanyakkan amalan soleh serta sentiasa beristiqamah mempersiapkan diri untuk bertemu ALLAH SWT pada bila-bila masa sahaja.

Baca juga Inginkan rumah di syurga, amalkan tujuh perkara ini

Hakikatnya, sifat rahmat dan keampunan ALLAH SWT amat luas dan ia tidak terhad pada tempat atau waktu-waktu tertentu.

Oleh itu, kelebihan dimasukkan ke syurga dijanjikan untuk sesiapa sahaja yang beramal soleh dan mengakhiri hidupnya dengan kebaikan. Bukan semata-mata meninggal dunia pada bulan Ramadan.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: Unsplash & 123RF